Followers

13.4.11

Jangan Berbohong!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar hari ni? Kakchik alhamdulillah, baik-baik saja cuma agak letih kerana masih lagi belum habis mengadakan promosi abaya di Mydin Hypermarket. Sebelum kakchik teruskan menulis, kakchik nak kongsikan satu huraian hadis mengenai larang bercakap bohong. Kakchik pun tak pasti sama ada mampu menulis panjang atau tidak hari ni tapi topik berbohong ni amat menarik hati kakchik. Penangan bercakap bohong ni semasa terlepas dari diketahui orang memanglah rasa selamat tapi hati mana ada tenang. Asyik teringat je dosa berbohong tu kan?

Bagi orang yang biasa berbohong, lama-lama sudah tiada apa-apa perasaan bersalah apabila berbohong. Tapi kena ingat, pepatah ada mengatakan, "sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua." Berbohong ini janganlah dijadikan amalan kerana ia satu dosa dan satu bebanan kepada kehidupan sendiri. Orang yang suka berbohong atau yang tidak suka berbohong tapi 'terpaksa' berbohong hatinya tidak tenang, asyik resah-gelisah saja.

Baiklah, mari kita baca apa huraian hadis yang kakchik maksudkan tu.

Hadith:

DARI Ibnu Umar r.a katanya: "Saya dengar Nabi SAW bersabda: "Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak. [Riwayat Bukhari]

Huraian Hadith:

Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat orang munafik, di antaranya: Apabila ia berkata, ia berbohong, apabila berjanji, ia mungkiri dan apabila diberi amanah, ia khianat.

Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat.

Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina.

Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya: "Hanya dengan satu perkara: "Laa Takzib! (Jangan berbohong!)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu.

"Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: "Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Lihatlah betapa besarnya perubahan yang berlaku pada seorang lelaki penzina apabila dia takut akan dosa berbohong. Akhirnya lelaki itu benar-benar insaf dan taubat dari melakukan dosa zina bermula dengan dia tidak berbohong. Semoga kisah ini menjadi iktibar kepada kita dalam melayari kehidupan yang penuh pancaroba ni.

Mohon Allah lindungi kita semua dari dosa bercakap bohong. Berkatalah benar walaupun pahit. Didiklah anak-anak kita agar sentiasa bercakap benar, tidak menipu. Kanak-kanak ada satu fasa di mana mereka takut untuk mengatakan yang benar dan mereka mula menipu untuk mengelakkan sesuatu. Sebagai ibu bapa, jika kita berjaya mengenalpasti anak-anak bercakap bohong, ambillah sedikit masa untuk menjelaskan baik-buruknya kepada anak tersebut sebelum mereka terbiasa dan kita akan terlambat.

Jom kita bercakap benar!

12.4.11

Perkongsian: Saya Nak Pakai Purdah, Apa Pandangan Akak?

Assalamualaikum dan salam kasih-sayang kepada semua teman-teman maya. Alhamdulillah kerana masih lagi dapat bertemu kalian di hari ini. Pagi ini kakchik tidak sempat untuk menulis dan kebetulan pula seorang teman di FB telah menulis satu topik yang agak hangat diperkatakan iaitu mengenai hukum memakai purdah. Kakchik juga seperti beliau, sering menerima soalan-soalan dari para pembaca dan teman-teman mengenai hukum berpurdah ini. Oleh kerana kakchik puas hati dengan tulisan beliau, kakchik yakin untuk berkongsi dengan kalian di sini. Semoga tulisan ukhti Harlina al-Hamra' akan membuka simpulan persoalan yang selama ini timbul dari isu pemakaian purdah ini. Selamat membaca dan memahami.

Bismillahirrohmaanirrohiim.

Segala puji hanya bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan kepada-Nya dan memohon keampunan kepada-Nya. Kita juga memohon perlindungan Allah di atas segala kesilapan dan kesalahan diri kita. Mereka yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa pun yang dapat menyesatkannya daripada petunjuk tersebut. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak siapa pula yang dapat memberikannya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (tuhan) melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.

Seringkali ana mendapat soalan begini, sama ada seseorang menemui ana face to face atau menghantar SMS kepada ana.

SAYA NAK PAKAI PURDAH, APA PANDANGAN AKAK?

Ana suka mengingatkan ana dan sesiapa sahaja tentang beberapa perkara:

Selepas berbincang dengan Naqibah di sebuah institusi, alhamdulillah ana lebih mantap memahami hukum berpurdah setelah sama-sama mengkaji dengan Naqibah apakah sunat atau wajib yang sewajar-wajarnya menjadi pegangan kami? Oleh itu, kajian kami hendaklah berlandaskan pada kebenaran menurut al-Qur’an dan as-Sunnah.

Ana sebelum ini berpendapat wajib.

Begitu juga naqibah ana.

Oleh yang demikian, kami sama-sama menyatakan hasil kajian kami mengapa kami meyakini wajib berpurdah. Kami juga mengeluarkan hujah-hujah ulama’ yang mengatakan purdah ini sunat atau harus. Pelbagai hujah dikeluarkan daripada kitab Fiqh sampailah kepada buku-buku ringan tentang wanita dan auratnya. (Hujah yang tidak menghukum WAJIB purdah bagi wanita). Mengapa?

Ini adalah bagi memastikan kedua-dua kami bukan bertaqlid membuta tuli atau sekadar memahami pada surface sahaja. Alhamdulillah, kami boleh memahami kitab bahasa Arab dengan baik.

Ana tunjukkan hujah-hujah bahasa melayu yang telah ana simpan selama pengkajian ana. Naqibah juga menunjukkan hujah yang diyakininya. Ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh): Hujah-hujah lain sengaja tidak disenaraikan di sini kerana tidak kuat untuk menyaingi hujah wajib.

AL-QUR’AN
Ana jelaskan bahawa Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

HADIS
Ana jelaskan bahawa ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh):

1. Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini”(Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan). Boleh rujuk teks lengkap dalam Riwayat Abu Daud.

2. Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah.(Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail). Boleh rujuk teks lengkap dalam banyak kitab.

3. Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalan-soalannya). Boleh rujuk teks lengkap dalam bnyak kitab.

Oleh yang demikian, kami berbincang tentang penjelasan ulama’-ulama’ bagi setiap hujah:

Bagi Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

Setelah berbincang, kami berpegang pada pendapat sahabat yang hidup pada zaman Nabi s.a.w iaitu Ibn Abbas yang menjelaskan bahawa perkataan ‘jalabibhinna’ ini bermaksud seluruh tubuh wanita wajib ditutup kecuali mata. Ini adalah kerana pada pendapat kami beliau adalah ulama’ tafsir yang paling memahami apa yang dimaksudkan dalam ayat al-Qur’an yang mulia ini kerana beliau hidup di zaman Nabi s.a.w.

Oleh itu, sebarang hujah ulama’ lain yang menghukum ia sebagai tudung tidak dapat dijadikan hujah memandangkan banyak ulama’ lain mentafsirkan bahawa ia bermaksud purdah juga. Oleh kerana pendapat ulama-ulama adalah pelbagai, tafsiran yang paling rajih sekali ialah melalui mufassir yang hidup pada zaman Nabi s.a.w. Oleh yang demikian, tafsiran yang paling rajih adalah tafsir Ibnu Abbas. Wallahua’lam.

Manakala bagi hadis pula:

Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini". (Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan).

Setelah berbincang, kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, oleh yang demikian kami rujuk kitab hadis Abu Daud dan mendapati bahawa Abu Daud mengatakan bahawa hadis ini mursal iaitu terputus sanadnnya, oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana Khalid bin Duraik dikatakan tidak berjumpa dengan Saidatina Aishah r.ha. Oleh yang demikian, hadis ini tidak dapat menyangkal ayat al-Qur’an yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan tidak pula bertentangan dengannya. Ini adalah kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana Abu Daud sendiri yang meriwayatkannya dan tidak pasti kesahihannya.

Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah. (Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini dipertikaikan oleh ulama’ yang menghukum tidak perlu menutup muka ialah kerana Rasulullah tidak memerintahkan wanita itu menutup muka sebaliknya hanya menolehkan wajah sahabatnya Fudhail. Manakala menurut ulama’ yang menghukum wajib menutup wajah mengatakan bahawa ini berlaku ketika ihram. Sebagaimana kewajipan memakai purdah adalah terkecuali ketika solat dan ihram, maka wanita ini tidak wajib berpurdah kerana sedang berihram. Sebab itu, Rasulullah hanya menolehkan muka sahabatnya dan tidak memerintahkan wanita itu menutup mukanya. Oleh yang demikian kedua-duanya mempunyai hujah yang seimbang. Wallahua’lam.

Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalannya)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini menjadi hujah bagi yang mengatakan pemakaian purdah tidak wajib kerana wajah wanita yang berdiri itu kemerah-merahan, oleh yang demikian ia jelas terbukti wajahnya kelihatan. Namun pendapat ini dipertikaikan oleh ulama-ulama’ yang menghukum wajibnya purdah kerana hadis ini tidak tercatatkan bila, oleh itu terdapat kemungkinan ia berlaku pada solat hari raya antara tahun-tahun sebelum tahun kelima hijrah. Ini adalah kerana kewajipan menutup aurat diperintahkan pada tahun kelima hijrah sedangkan kewajipan solat hari raya pada tahun kedua atau ketiga hijrah. Selain itu, wanita ini juga berkemungkinan telah tua bangka kerana wanita yang telah menopause atau tiada berkeinginan berkahwin diizinkan menanggalkan purdahnya berdasarkan ayat al-Qur’an Surah an-Nur ayat ke-60. Oleh itu kedua-dua hujah adalah seimbang. Wallahua’lam.

Kesimpulannya, kami berpegang pada aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh kecuali mata di hadapan lelaki ajnabi kecuali ketika solat dan ihram.

Oleh yang demikian tiada pertikaian mengenai menutup dahi atau tidak dan memakai sarung tangan atau tidak. Bagi yang berpegang pada sunat, perlulah berdasarkan dalil yang rajih yang telah dikaji begitu juga bagi yang berpegang pada wajib perlulah didasari kajian dan penelitian dalil yang adil dan bukan ikut-ikutan.

Bagi mereka yang berpegang pada wajib, namun tidak mendapat restu ibu bapa. Wajib berpurdah kerana kita bertanggungjawab pada Allah bukan pada manusia. Walaupun ibu kita menangis dan memulaukan kita. Kita wajib taat pada Allah. Tidak ada ketaatan pada ibu bapa di atas perkara-perkara maksiat. Adalah kemaksiatan bagi seorang ibu menyuruh anaknya menanggalkan purdah sedangkan anaknya berhukum pada wajib berdasarkan dalil yang paling rajih yang telah dikajinya. Oleh yang demikian seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk meninggalkan mazhab pegangannya. Jika dia berpegang pada wajib memakai purdah, maka tiada sesiapa boleh menghalang atau mengatakan ia wahabi atau ekstremis (berlebih-lebihan). Ini adalah kerana setiap orang ada mazhabnya sendiri dalam Fiqh, dan oleh itu tidak boleh mengatakan orang salah atau menuduh sembarangan atau menuduh orang lain berlebihan hanya kerana ORANG LAIN YANG BERBEZA PANDANGAN sedangkan dia telah mengkaji tentang hukum tersebut. Maka, wajib atau sunat itu pendapatnya. Begitu juga apabila seseorang itu telah mengkaji bersungguh-sungguh tentang hukum purdah dan menghukum ia sebagai sunat, maka tiada sesiapa boleh memaksanya. Ini hanya dalam hal jika ia TELAH MENGKAJI DAN MENDALAMI ILMU MENGENAINYA.

Wallahua’lam bissowab.

11.4.11

Mencari rahmat dan berkat dalam kehidupan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Gambar sekadar hiasan.

Alhamdulillah syukur kerana masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mencoretkan sesuatu di kanvas blog ni. Dalam keadaan diri yang agak letih ni kakchik asyik teringat akan blog ini yang hampir sehari tidak dikemaskini. Beginilah bila ada promosi, banyak masa dan tenaga perlu digunakan untuk menguruskan kerjaya dan bisnes. Ada orang yang kata, patut duduk di rumah saja, buat apa sibuk-sibuk nak berniaga. Iyalah, orang yang berkata begitu mungkin hidupnya sekeluarga sudah stabil, tak perlu membantu suami mencari rezeki. Kalau begitulah, kakchik pun nak jadi surirumah juga tapi hakikat adalah sebaliknya.

Setiap dari kita ini jalan hidupnya adalah berbeza antara satu sama lain dan telah ditentukan Allah SWT. Walaupun begitu Allah masih memberi kita peluang untuk mengubah nasib hidup kita sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat 11 Surah Ar-Ra'd ini:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.[Ar-Ra'd:11]

Ada pula orang yang kata, bukankah seorang wanita itu layaknya berada di rumah saja? Iya, benar, itulah yang sebaik-baiknya tapi ada kondisi yang membolehkan seorang wanita keluar mencari rezeki. Untuk hal itu kalian rajin-rajinlah mencari ilmunya, insyaallah pasti ketemu. Dan kakchik ini termasuk dalam kategori itu.

Ada orang merasakan sudah cukup dia menguruskan rumahtangganya tanpa perlu mengambil kira tentang urusan dalam masyarakat seperti urusan sosial dan siasah/politik. Mungkin ada benarnya tapi bagi kakchik jika semua orang berfikiran begitu, bagaimanakah nasib-nasib anak-anak remaja belia yang dari sehari ke sehari rosak akhlak mereka? Jika kakchik tidak turun ke dalam masyarakat, dan orang-orang macam kakchik tidak turun ke medan, siapakah yang akan menolong mereka?

Walau malu, segan dan bimbang dengan pandangan orang, kata-kata orang, sindiran dan cabaran iman, demi sayangkan agama ini kakchik akan kuatkan diri untuk terus melibatkan diri melalui kerjaya dan bisnes kakchik. Sudah tentulah semua ini boleh dilakukan dengan adanya izin suami dan sokongan suami. Had pergerakan kakchik bergantung kepada had yang diberikan suami. Alhamdulillah suami kakchik amat memahami kerana beliau sudah tahu mengenai kegiatan kakchik sejak sebelum kami berkahwin lagi.

Hidup ini sememangnya penuh mehnah dan tribulasi sebagaimana kata naqibah kakchik semasa di kampus dulu. Bila kita meletakkan Allah dan Rasul di hadapan, insyaallah apa juga yang kita lakukan dalam hidup setiap hari adalah berpandukan apa yang diajarkan oleh agama. Kalau kita tidak tahu, kita carilah ilmu tentang agama kita ni. Jangan biarkan diri kita ni nama saja Islam tapi sikit benar yang kita tahu dan amal dari amal kita ni walhal esok-esok kita nak mati dalam Islam. Ya Allah matikanlah kakchik dan kalian semua dalam Islam. Amiin.

Tak mudah kan nak mencari rahmat dan berkat Allah dalam hidup kita ni? Setiap masa ada saja dugaan iman yang datang. Macam-macam perkara lagho atau melalaikan yang berlaku di depan mata kita. Ada yang kita sengaja tengok, ada yang dipaksa tengok, ada yang terpaksa tengok dan ada juga yang tertengok. Kalau sempat istighfar, alhamdulillah, bagaimana kalau tak sempat dan teringin pula untuk tengok lama-lama? Allahu Akbar. Rosaklah iman kita hari tu. Dan jika berulang-ulang kita lihat, dari dosa kecil menjadi dosa besar. Jadi macamana hidup dan berkat?

Berkat tu apa ya? 
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs