Followers

4.9.08

Tahniah untuk USM!

USM dipilih Universiti Apex pertama

PUTRAJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai Universiti Apex pertama, mengetepikan beberapa institusi pengajian tinggi lain termasuk universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM).

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) selepas mendapati USM memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, USM mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah.

"Penilaian yang kita gunakan untuk memilih USM adalah berasaskan sudut kuantitatif dan kualitatif yang masing-masing bersandarkan kepada tahap kesediaan untuk melalui transformasi dan pencapaian akademik," katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam. Hadir sama, kedua-dua Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk Dr Hou Kok Chung.

Selain USM dan UM, lima lagi institusi pengajian tinggi awam yang mengemukakan permohonan untuk menjadi Universiti Apex adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dua institusi pengajian tinggi swasta, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), turut mengemukakan permohonan. Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Mohamed Khaled berkata, sepanjang tempoh pemilihan sebagai Universiti Apex, USM perlu berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020.

"Kita perlu lihat dan menilai pencapaian USM dengan kertas cadangannya bertema 'Perubahan Pengajian Tinggi Untuk Kestabilan Hari Esok'. Dalam tempoh berkenaan dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat sama ada perlu pemilihan Universiti Apex lain atau tidak," katanya.

Ditanya kenapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata, pemilihan bukan berdasarkan usia tetapi keupayaan membawa perubahan dalam sistem pendidikan tinggi sehingga mencapai tahap dunia.

"Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia," katanya.

Mengenai aspek pembiayaan, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam setiap bajet tahunan yang akan diumumkan kerajaan dalam merangka pelan transformasi selama lima tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah, dalam kenyataannya berkata pemilihan universiti itu sebagai Universiti Apex akan menjadi pendorong utama untuk memartabatkan pengajian tinggi ke peringkat dunia.

Beliau berkata, USM mahu melonjakkan usaha mentransformasikan pengajian tinggi bagi mewujudkan dunia yang sejahtera berteraskan pembangunan lestari.

"USM menjadi pusat kepakaran serantau bagi pendidikan lestari dengan adanya Pusat Latihan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2005. Ini adalah pengiktirafan yang besar kepada USM dan ia kejayaan seluruh warga kampus, apalagi dalam sambutan 40 tahun universiti," katanya.
=========================================

KChik: Sebagai ex-USM, kita tumpang gembira.

Catatan Pagi 4 September 2008

Cik Abe baru je bertolak ke masjid di Telipot untuk solat Subuh, KChik pun dah bersiap untuk menanti azan Subuh. Alhamdulillah, hari ni kami bersahur dengan lebihan tomyam kelmarin, ikan goreng, sambal dan mentimun sebagai ulam. Tambahan pula pemanis mulut setiap malam Cik Abe bawa balik dari masjid, kiriman jemaah untuk KChik. Hari pertama kek span, kedua cekmek molek dan semalam kek pisang pula. Terima kasih kat diorang walaupun KChik tak makan sangat kecuali kurma Miriami sebiji, dah cukup. Hidangan kami tu simple saja kan? Sudah cukup untuk mengenyangkan kami hingga berbuka nanti.

Hari ni KChik tak kerja. Zahra' tutup setiap Khamis dan Jumaat. Pelik la sikit dari orang lain yang cuti Jumaat-Sabtu atau Sabtu-Ahad. Hmmm... hari ni ada beberapa tugasan yang perlu KChik selesaikan sebab esok kelas untuk Sem Sept. akan bermula. Bermakna hampir sehari suntuklah KChik akan berada di OUM. Baik KChik senaraikan apa yang nak dibuat hari ini.

Antara 6 pagi - 10.30 pagi:
  1. Sambung Surah al-Maidah.
  2. Basuh pakaian kotor.
  3. Kemas rumah.
  4. Lipat kain yang dah diangkat (kesian Cik Abe malam tadi pakai singlet yang kedut-kedut sebab bekalan yang dah berlipat kehabisan... nasib baik dalam jubah).
  5. Cek email (kalau ada email pelanggan lagi bagus) - balas yang mana patut.
  6. Baca suratkhabar online.
  7. Update web & blog.
Antara 10.30 pagi - 1 petang:
  • Ke MariBaca Bookstore - cek stok dan bil-bil yang perlu dibayar.
  • BIMB - masukkan kutipan semalam, bayar Galeri Ilmu dan PTS, masukkan duit tabung Zahra'
Solat Subuh dulu ... sambung 6.45 pagi
  • HUSM - hantar hardcopy surat gerai
  • Maybank - ambil duit sewa kedai, buka akaun Wadiah Adik
  • Pej. Pos - bayar bil-bil MariBaca & Zahra' (bil rumah Cik Abe yang bayarkan)
Antara 1 petang - 6 petang:
  • Sambung baca Qur'an sebanyak yang boleh
  • Blogging lagi...
  • Baca modul untuk kelas esok
  • Sediakan juadah berbuka - hari ni KChik ingat nak goreng pisang la, sebab pisang setengah sikat kat dalam peti tu tak boleh simpan lama-lama dan minum teh panas (juadah berbuka: kurma, pisang goreng dan teh 'O')
Agaknya itulah kot perkara-perkara yang perlu KChik selesaikan di sebelah siang hari ni. Ha... sekarang ni sambil tunggu Cik Abe balik dari masjid, kain sedang dibasuh tu (guna mesin basuh je, akhir nanti KChik bilas sendiri) boleh lah menghadap laptop ni. Baca Quran setengah surah, suara dah mula 'serak-serak kering' jadi berhentilah dulu, nanti KChik sambung lagi.

Lepas ni KChik nak sapu dalam rumah sebab rumah KChik ni dekat padang, dan padang tu pulak sebelah jalan raya, maka kalau sehari je tak menyapu, debu habuk memang akan terasa di atas lantai. Rumah ni rumah papan nak kena selalu bersihkan nanti cepat saja sawang tu bertempek di siling dan celah-celah yang strategik, susah pula nak buang nanti. Tambah-tambah perabot kami yang banyak ialah rak buku, kalau tak cuci, berhabuk buku-buku tu... dah tu kalau datang penyakit 'duri palas' ... tau-tau ajelah apa jadi kat buku kami tu.

Okay, jam dah 7.01 pagi, KChik tangguh dulu...

KChik
Pulau Melaka, Kota Bharu

2.9.08

Ramadhan disambut sederhana

Alhamdulillah, hari ni dah masuk hari kedua kami berpuasa. Sekarang ni KChik dan Cik Abe sedang menunggu waktu untuk berbuka. Tinggal 3 minit lagi nak berbunyi azan. Sementara Cik Abe membaca Qur'an, KChik ambil kesempatan untuk buat catatan sikit.

Seperti tahun-tahun lepas, kami masih lagi berbuka berdua. (Intermission/Jangan ke mana-mana...)

Alhamdulillah sekali lagi.

Berbuka sudah, solat Maghrib pun sudah, Cik Abe pun dah balik dari masjid. Sementara tunggu makanan 'turun ke perut', sambil hilangkan peluh selepas minum teh panas tadi, kita sambung sikit catatan ni.

Setiap kali Ramadhan kami memang cuba untuk bersederhana agar belanja dapat dijimatkan. KChik pun akan cuba untuk lebih kerap memasak sendiri tahun ni. Tapi hari ni dah belanja RM9 untuk beli tomyam, bilis goreng dan agar-agar untuk berbuka dan bersahur. Kenapa? Tadi kata nak jimat. Mmmm, sebenarnya KChik nak singgah beli ikan kat pasar dekat Jambatan Tok Guru tu tapi punyalah ramai orang sampai jem jalan, jadi KChik terpaksalah batalkan niat. Nak masak apa kalau takde lauk? Takkan nasi saja kan? Maka singgahlah di pasar Ramadhan kat Kota Jembal. Beli apa yang patut jelah.

KChik nak kumpul duit sebab sekarang ni Ayah sedang bina rumah KChik. Rumah kecik je tapi terpaksa buat dua lapis sebab tanah sekangkang kera je. Sebenarnya Ayah dah mula bina masa bulan Julai lagi, dia nak kejar masa. KChik tima kasih sangat-sangat kat Ayah sebab Ayah KChik tu bukannya muda lagi dah badan dia sekarang cepat letih. Tapi Ayah usaha juga rumah tu. Satu lagi tima kasih banyak juga untuk Ummi tersayang yang mendahulukan belanja untuk beli bahan binaan. Kadang-kadang KChik rasa macam rumah tu rumah Ummi-Ayah dan kami yang akan sewa nanti. Kelakarkan?

Sebenarnya Cik Abe tak pandai nak tolong-tolong. Dia tak de kemahiran bertukang... Kalau kat rumah ni kalau rosak apa-apa baik KChik baiki sendiri. Kalau harapkan Cik Abe alamat menghitung hari le... bukan dia tak nak bantu tapi selalunya KChik tengok pun kesian, kekok benar. "Takpelah Bang, nanti Abang tolong sapu sampah dan kemas rumah dah le." Hehehe... jangan marah nanti cepat tua. Banyakkan senyum, diri nampak muda pahala sedekah pun dapat.
(Bang, maaf zahir batin ya)

Satu lagi perkara yang KChik nak buat Ramadhan ni ialah nak khatam Quran seawal mungkin dan nak cuba khatam lebih dari sekali. Kchik cuba habiskan satu rumah satu malam. Dah tu sambung setengah surah masa rehat kat ofis. Subuh insya-Allah tamat satu juz. Hari ni masih di Surah Ali Imran. Lepas terawikh nanti nak habiskan surah ni. Insya-Allah.

Mmmm, KChik juga sedang berusaha nak kempiskan perut (sebenarnya taklah buncit sangat tapi Cik Abe suka kalau lagi kempis macam mula-mula kawin dulu. Alahai Cik Abe ni. Tapi kita sayang suami kan... usahalah dulu). Sejak KChik diserang sembelit baru-baru ni perut memang ada naik sikit. Mama (kakak sulung - doktor) kata, mungkin sebab banyak angin dan perut kurang lawas sebab tu perut akan mudah buncit. Lagipun dah sebulan tak pergi senamrobik (hangus RM54 yuran kelas!) sejak Ummi sakit baru-baru ni. Bukan tak nak pergi, pakaian senamrobik pun sentiasa bersedia di dalam bonet kereta tapi hati tak senang lah, nak cepat-cepat balik nak tengok Ummi walaupun ada Chena dengan anak-anak menemankan.

Ahhh, tergendala sebentar... Cik Abang nak ke masjid dah.

"Assalamualaikum Bang, bawa elok-elok ya."

Cik Abe macam tahun-tahun lepas dijemput menjadi Imam terawikh di sebuah masjid di Kota Bharu. Sejak berpindah ke rumah sewa ni 3 tahun lepas KChik jarang dapat berterawikh di masjid sebab rumah agak jauh dari masjid dan jalan pun gelap dan kecik je. Cik Abe suruh terawikh di rumah saja. Insya-Allah terawikh tetap dilaksanakan walaupun sorang-sorang. Rindunya terawikh semasa di Faris Petra dulu dan semasa di USM. Nak ikut Cik Abe, tak sempat bersiap sebab KChik nak kena kemaskan dapur dan Cik Abe lebih suka KChik sambut dia balik nanti. Kalau semasa tinggal bersama Ummi-Ayah dulu KChik selalu ke Masjid Pulau Melaka bersama kakak-kakak. Jalan kaki je... Insya-Allah bila rumah siap nanti, tahun depan bolehlah terawikh di masjid.

Tahun ni Cik Abe dapat jemputan baru pulak. Selain dari terawikh di KB, Cik Abe mengimamkan solat Subuh di Telipot pulak. Nampaknya solat sorang-soranglah sepanjang Ramadhan ni kecuali solat Zohor & Asar di hari-hari cuti. KChik suka dan syukur Cik Abe terima jemputan tu. Sekurang-kurangnya Cik Abe akan lebih banyak masa di masjid berbanding di rumah. Cik Abe boleh bergaul dengan lebih ramai orang dan berkenalan dengan masyarakat di tempat tersebut. Cik Abe ni jenis suka menyendiri, serius sikit tapi boleh la bergurau. Jarang sangat dia keluar bergaul dengan orang sekeliling. Banyak masa dihabiskan dengan menghadap komputernya, buat kerja bukan bukan masa tau...

Sekarang dah 8.16 mlm, KChik tangguh dulu ya. Nak mandi dan bersiap untuk solat Isyak dan terawikh. Selamat berterawikh untuk semua!

KChik
Pulau Melaka, 2 Ramadhan 1429 Hijrah (2 Sept. 2008)
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs