Followers

24.2.15

Aku Dan Tok Guru 7

[ SINGGAH ISI MINYAK DI BANYAK STESEN ]

Dalam satu tahun tu, ayah dan arwah adik bongsuku kemalangan di negeri Pahang. Alhamdulillah pada waktu itu abang sulong masih mengajar di sana jadi dapatlah dia dan kakak iparku meluangkan masa untuk ayah di Hospital Kuantan. Namun mereka orang bekerja dan ayah dan arwah adik perlukan jagaan yang lebih rapi. Tulang belikat ayah ibarat retak seribu manakala arwah adik patah satu tulang di bahagian leher menyebabkan dia tidak boleh bangun dari berbaring walaupun bahagian badan yang lain sihat.

Waktu itu yang berada di rumah ini ialah Umi, aku dan seorang lagi adik perempuanku. Adik-beradik yang lain semuanya di universiti atau sekolah berasrama. Kami sungguh sedih dan perlukan bantuan untuk segera ke Pahang. Ketika itu Umi ajak Pakngah untuk tolong sama-sama ke sana. Sebenarnya masa tu bukan mudah nak berjalan jauh kerana tiada kenderaan dan orang yang mahir memandu jauh. Mungkin atas perbincangan Umi dan Pakngah, mereka meminta bantuan Ayoh Zik. Alhamdulillah sungguh, tak sangka Ayoh Zik sudi ajak kami menaiki kereta beliau untuk ke Pahang. Kalau tak silap aku, almarhum ketika itu ada program di Terengganu.

Dalam perjalanan, kami berhenti beberapa kali untuk mengisi minyak, makan dan solat. Hairan juga sebab kalau bagi aku, tak perlu sekerap itu untuk berhenti. Agaknya Pakngah pun tertanya-tanya juga seperti aku lalu dia suarakan kepada Ayoh Zik. MasyaAllah... barulah aku faham kenapa almarhum menyuruh pemandunya buat begitu. Antara pengajaran yang aku dapat,

"Kita berhenti banyak tempat supaya tidak seorang peniaga yang dapat rezeki."

"Bila bermusafir, jangan gopoh-gapah. Bertenang, banyakkan zikir. InsyaAllah selamat perjalanan."

"Bila bermusafir, ibadah wajib jangan dilupa." (Zaman dulu ramai orang tak solat bila perjalanan jauh walau tahu ada kemudahan untuk jamak-qasar.)

Allahu Akbar.

#AkuDanTokGuru

Aku Dan Tok Guru 6

[ IKUT ARWAH MOK GI KULIAH TOK GURU ]

Zaman kanak-kanak dulu masa membesarku banyak dihabiskan di rumah arwah Mok (nenek). Belajar mengaji Qur'an dengan Mok, tidur di rumah Mok, dengar cerita nasihat dan cerita zaman Jepun pun dari Mok, nakal tak dengar kata Mok cubit sampai biru peha. Aduh, masih teringat betapa sakitnya. Arwah Mok jika tak ke mana-mana dia wajib solat berjemaah di Masjid Pulau Melaka.

Arwah sambil bertongkat terpaksa menyeberang jalan untuk ke masjid (tapak sekarang). Oleh kerana kesihatan kakinya semakin menurun, arwah telah membina sebuah pondok di atas tanah wakaf bersebelahan rumah almarhum Tok Guru Nik Mat (ayah TGNA) yang kini menjadi bangunan SRI Al Anuar. Bila Mok berpindah, aku turut berpindah. Hakikatnya aku masih duduk di rumah keluarga cuma lebih banyak masaku bersama arwah Mok.

Setiap hari Rabu malam Khamis, Khamis malam Jumaat dan Jumaat selepas zohor, almarhum Tok Guru Ayoh Zik akan mengajar agama di masjid. Pastinya arwah Mok antara muridnya yang taat dan aku selalu dibawanya bersama. Mungkin dari situlah aku mengutip ilmu awal dari almarhum Tok Guru. Aku suka ikut Mok. Sebab apa tau? Selalu saja kawan-kawan Mok puji. Antara yang best, "Jjuruh cucu demo ni Nik Yea. Besar esok-esok buleh jjadi ustazah." Hehehe...

Al-Fatihah untuk almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan almarhumah Mok, Hjh. Che Mariam Che Mamat.

Jjuruh cucu demo ni Nik Yea = Bagus cucu kamu ni Nik Mariam.

#AkuDanTokGuru

Aku Dan Tok Guru 5

[ AYOH ZIK... KAMI NAK IKUT ]

Petang begini aku sering teringat suatu petang di tahun 80an dulu. Masa tu aku masih di sekolah rendah, sedang lasak, suka ikut kawan 'gi ddeghak' dalam kampung. Suatu petang sedang kami asyik bermain bola kaki tiga di halaman rumah seorang kawan, kami nampak Ayoh Zik sedang berjalan menuju ke kebunnya. Macam biasa, di bahunya ada sebilah senapang. Kami tahu apa yang Ayoh Zik nak buat.

Kami memang amat tertarik dengan rutin hujung minggu Ayoh Zik. Beliau nampak gagah memikul senapang walau hanya berkain pelikat paras betis, berkopiah putih, berbaju pagoda dan berbut pua chu kang hitam. Cara berjalan dan bunyi derap kasut butnya pada kami nampak hebat sangat. Budak-budaklah katakan... kena pulak masa tu memang suka sangat main perang-perang menggunakan pistol buluh buatan sendiri. (Pistol tu rupanya nak serupa dengan gobek sirih. Ehem, apa nama suratnya ya?)

Tiba-tiba entah sape berteriak. "Ayoh Ziiiiik ! Nok ikut. Nok ikut."
Aduh! Siapalah yang berani sangat tu. Macam tau-tau je yang di kebuh Ayoh Zik tu banyak buah-buahan. Rambutan, jambu, durian dan kelapa. Masa tu kalau tak silap aku pokok jambu tengah lebat, meleret sampai ke tanah dahannya.

Ayoh Zik berpaling ke arah kami tapi tak berhenti. "Marilah."
Apa lagi, terkedek-kedeklah kami mengekori beliau. Hahaha kenyang makan jambu petang tu. Balik dekat Maghrib kena marah kat Umi. Bau macam kuba katanya.

gi ddeghak = ronda-ronda pusing kampung
kuba = kerbau

#AkuDanTokGuru

Aku Dan Tok Guru 4

[ JANGE DENGA CRITO OGHE ]

Ayahku adalah antara anak murid almarhum Tok Guru yang jarang meninggalkan solat berjemaah di masjid atau kuliah-kuliah agamanya di merata tempat. Selalu juga Ayah balik dari masjid dan menceritakan apa yang berlaku di masjid dan sekitarnya termasuklah tentang almarhum Tok Guru. Sudah menjadi kebiasaan, selepas solat Subuh, almarhum akan berkuliah kepada jemaah yang hadir. Selepas itu ramai orang bertemu beliau untuk mentahnikkan anak ataupun mengangkat nikah. Ada juga yang datang untuk mengadu hal. Semuanya dilayan sebaik mungkin sebelum almarhum bertolak ke pejabatnya.

Satu hari ayah cerita, ada orang datang mengadu hal berkenaan si fulan bin si fulan. Cerita tersebut tiada asas dan bukti melainkan aduan kerana rasa tidak puas hati. Orang yang mengadu begitu beriya-iya mengharapkan Tok Guru segera mengambil tindakan namun Tok Guru hanya mengangguk dengan wajah yang kurang senang. Aku perhatikan ada satu sikap Tok Guru, beliau tidak suka mendengar orang bercerita tentang orang lain lebih-lebih lagi jika cerita itu tiada buktinya. Wajah beliau akan berubah seolah-olah beliau mahu segera menghentikan percakapan orang yang mengadu.

"Jange suko denga crito oghe!" Ayat ni dia ada maksud di sebaliknya. Pesanan yang mungkin disebutkan ketika bersama dengan orang kampung yang dekat dengan almarhum. Kita ni jangan suka dengar orang mengumpat atau memfitnah dan jangan mudah percaya. Kena ada usul periksa yang jelas sebelum kita nak sebarkan. Kalau terdengar, ambil masa untuk meneliti, cari bukti yang sepatutnya untuk bertindak selepasnya.

Aku cuba beramal begitu. Di hari ini terlalu banyak berlaku fitnah dan memang mudah disebarkan. Setiap kali ada isu yang agak meragukan, aku meluangkan sedikit masa untuk mencari bahan buktinya dan adakalanya jika ada dalam pengetahuanku fakta-fakta tertentu, aku usahakan memberitahu orang lain agar diperbetulkan. "Jangan dengar cerita orang (dan sebar tanpa usul periksa)."

#AkuDanTokGuru

18.2.15

Aku Dan Tok Guru 3

[ SIANG CARI DUIT, MALAM UNTUK IBADAT ]

Seingat kakchik dulu kedai runcit kami (Umi & Ayah ada kedai runcit dulu) dibuka siang dan malam. Sampai ke satu ketika Ayah tidak lagi membuka kedai runcit di waktu malam. Sebelum maghrib pasti kedai ditutup dan dia akan bersegera untuk ke masjid.

"Mek, bakpo kito tok jjua male doh?", kami tanya Umi (masa tu kami masih panggil dia Mek.

"Tok Guru pese, siye aghi kita cari pitih, male biarlah untuk amal ibadah getek. Barulah hidup berkat.", jawab Umi.

Alhamdulillah, memang betul pada hemat kakchik. Perubahan yang Ayah buat tu hasil dia selalu ke masjid mendengar Tok Guru mengajar telah membawa banyak kebaikan kepada keluarga kami. Terima kasih Tok Guru.

Mek, bakpo kito tok jjua male doh?
(Mak, kenapa kita sudah tidak lagi menjual di waktu malam?)

Tok Guru pese, siye aghi kita cari pitih, male biarlah untuk amal ibadah getek.
(Tok Guru pesan, siang hari waktu mencari wang/rezeki dan biarlah waktu malam untuk beramal ibadah pula.)

#AkuDanTokGuru

Aku Dan Tok Guru 2

[ USTAZ BERBASIKAL UNGU ]

Tadi kakak bercerita. Dulu Ayah Zik selalu naik basikal Chopper berwarna ungu untuk ke sana-sini. Cantik sangat basikal tu. Tayarnya besar tapi nipis je. Tempat duduk di belakang dari kayu yang dicat hitam. Basikal tu kalau tak silap dihadiahkan kepada anaknya Ust. Nik Omar.

Setiap kali beliau melalui jalan-jalan di kampung sambil mengayuh basikal, kaum wanita akan segera berselindung. Nak tau kenapa? Zaman itu ramai wanita masih belum menutup aurat dengan baik. Tudung kepala masih ramai yang tak pakai. Oleh kerana segan dan takut ditegur oleh Ayah Zik maka ... 'lari nnusuk' lah belaka :D

'lari nnusuk' = menyorokkan diri dari pandangan

#AkuDanTokGuru

Aku Dan Tok Guru 1

[ SEORANG LELAKI TUA, BERPELIKAT PARAS BETIS, BERBAJU PAGODA PUTIH, BERKOPIAH, BERSENAPANG DAN BERBUT PUA CHU KANG HITAM ]

Di zaman kanak-kanakku aku sering melihat beliau menyusuri jalan kecil berhampiran rumah kami untuk melintas tembak (jalan berbatu-batu - masa tu jalan kampung kami belum bertar) untuk ke hulu kampung. Di sana letaknya kebunnya.

"Ayoh Zik !!!" "Nok gi mmano tu?"
Laung kami dari halaman rumah. Budak kecik, mana tau malu hehe.

Dia hentikan langkah dan berpaling ke arah kami yang sedang bermain di halaman.
"Nok gi kkebun. Tembok tupa."

"Assalamualaikum Ayoh Zik !!!" jerit kami dan beliau pun meneruskan langkahnya.

Itulah antara sedikit kenangan awal yang kakchik ingat-ingat lupa tentang perkenalan kami.

#AkuDanTokGuru

17.2.15

[ IA HADIR SELEPAS 12 TAHUN MENANTI ]



BISMILLAH.

Segala puji bagi Allah yang Maha Rahman dan Maha Rahim. Tuhan yang Maha Mendengar setiap gerak hati hamba-hambanya. Subhanallah dengan izin-Nya penantian sekian lama akhirnya dikurniakan dalam keadaan tidak dijangka. Allah penentu segalanya. Hanya puji dan syukur yang mampu disembahkan kepada-Nya dalam segenap ruang kehidupan. Alhamdulillah kini sudah 23 minggu ia hadir di dalam hidup kami, membawa bersamanya pelbagai rezeki dari Allah SWT. Nikmat yang tidak mampu untuk didustakan lagi. Allah Allah Allah.
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs