BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para tetamu yang hadir di blog kakchik ni. Lama tak menulis ni memang mengambil masa untuk memulakan. Berperang sikit dengan perasaan mengenai topik yang nak dikongsikan kat sini. Bukan mudah tau nak pilih satu perkara untuk diceritakan. Apatah lagi topik tu kakchik harap membawa manfaat kepada diri-sendiri dan pastinya kepada kalian juga yang membacanya.
NIQAB
Sejak banyak kali menulis tentang pengalaman memakai niqab ni kakchik seolah-olah macam pakar niqab pula bagi sesetengah pembaca. Ada yang mendapat inspirasi untuk berubah penampilan diri hasil dari membaca cerita-cerita kakchik tentang niqab. Banyak mesej dan email berkenaan hukum pemakaian niqab, nak pakai niqab famili halang, nak pakai niqab tapi diri masih belum cukup solehah dan macam-macam lagi. Kakchik sampai tidak kemampuan lagi untuk membalas semua pertanyaan tersebut.
Untuk yang nak tahu, kakchik mula memakai niqab semasa di tahun kedua pengajian di universiti iaitu dalam tahun 1995 iaitu di awal Ramadhan. Pada masa tu kakchik pakai 'on n off' kerana peraturan universiti dan beberapa situasi yang menghalang. Kakchik mula istiqomah memakainya di khalayak umum ialah sebaik saja tamat pengajian. Memang ada situasi yang kurang menyenangkan semasa temuduga tapi akhirnya kakchik diizinkan Allah mendapat pekerjaan di organisasi yang tidak kisah dengan penampilan kita asalkan menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah.
Pada masa tu tak ramai orang yang memakai niqab secara terbuka dan kakchik hanya bertemu rakan yang juga berniqab apabila menghadiri usrah ataupun program-program jemaah. Jarang benar kakchik nampak atau jumpa muslimah lain yang berniqab semasa kakchik keluar ke bandar sama ada di KB atau di KL. Tapi hari ni, masya-Allah... boleh dikatakan memakai niqab adalah satu penampilan yang sangat menarik hati wanita untuk turut beramal dengannya. Niqab mewarnai dunia nyata malah dunia facebook juga menjadi meriah dengan para niqabi.
Kakchik melihat perubahan positif ini secara positif walaupun ada sekelumit sudut negatif yang berlaku tapi bagi kakchik kalau kita mencari yang negatif kita pastinya tak mampu nak melihat atau menghargai yang positif. Hari ni di merata tempat kita boleh jumpa muslimah berniqab yang berjubah lengkap. Niqab menutup segalanya hatta sepasang mata dilengkapi jubah abaya yang longgar dari kepala hingga ke lantai. Kita juga boleh melihat muslimah berjubah biasa dan berniqab sama ada niqab ala Arab ataupun niqab ala Malaysia yang lebih dikenali dengan nama purdah.
Biasa juga kita lihat dan jumpa muslimah berbaju kurung memakai niqab. Oleh kerana kita hidup dalam negara yang ramai berbangsa Melayu dan pakaian tradisional wanitanya ialah baju kurung, maka tidak hairan kalau ada niqabi yang berpakaian tersebut. Bagi kakchik baju kurung masih mampu menutup aurat dengan baik selama mana ianya memenuhi ciri-ciri pakaian wanita Islam yang sebenar.
Kadang-kadang kita jumpa muslimah berseluar panjang dan bert-shirt labuh paras lutut memakai niqab. Sesetengah orang menganggap ini pelik dan tidak sesuai tapi selagi ciri-ciri pakaian wanita Islam itu dipenuhi, tidak salah rasanya. Untuk bersenam kakchik juga berpakaian begitu. Satu masa dulu kakchik pun pernah berpakaian jubah seluar dan berniqab tapi hari ni kakchik lebih selesa berabaya. Rasa lebih yakin dan selamat untuk ke mana-mana.
Apa yang pasti, hari ni niqab dipakai oleh muslimah dengan pelbagai cara berpakaian yang masih menepati kod etika pakaian Islam. Apabila pakaian sudah begitu, ada satu lagi yang amat serasi dengan pemakaian niqab iaitu...
AKHLAK
Alhamdulillah... penampilan sudah cantik dan elok di pandangan kita dan pandangan umum. InsyaAllah di pandangan Allah jua. Sudah tentulah penampilan itu selari dengan kebaikan akhlak yang diamalkan oleh pemakainya. Ya, kakchik akur, akhlak kita tidaklah semulia wanita-wanita contoh teladan yang kita selalu baca tapi kakchik yakin setiap kita saban hari berusaha untuk membina peribadi yang berakhlak mulia.
Menjaga mata, menjaga mulut dan lidah, menjaga telinga, menjaga segala anggota dan pancaindera kita dari perkara mazmumah seharusnya menjadi satu perjuangan untuk kita. Walaupun kita hidup di alam nyata namun kita juga hidup di alam maya, di dunia siber berupa facebook, twitter, instagram, blog dan sebagainya. Maka, wajiblah untuk kita turut menjaga akhlak kita di kedua-dua alam ini. Jangan biarkan diri kita menjadi talam dua muka dan janganlah bermuka-muka.
Akhlak yang baik di alam nyata dan alam maya boleh diketahui oleh orang lain yang berhubung dengan kita. Lebih-lebih lagi jika kita diberi peluang oleh Allah untuk berhubung juga di alam nyata. Menjaga akhlak ini sangatlah penting. Tulisan-tulisan kita di alam maya, nilai sebaik mungkin sebelum kita publish kepada umum. Bukan sahaja mata manusia yang membacanya tapi dua malaikat di kiri-kanan turut mencatat dan merekod dan Allah SWT Maha Melihat segala sesuatu.
Bila kita berpakaian menutup aurat dengan baik maka usahakanlah agar akhlak kita juga semakin hari semakin baik. Mula-mula kita kena berakhlak mulia dengan diri-sendiri dulu. Dari situlah kita akan mampu membina akhlak mulia dengan orang lain di sekeliling kita. Senyuman, ketawa, kata-kata, tulisan dan sebagainya menjadi talian akhlak kita sama ada baik atau buruk.
Ada pembaca tanya, "Kakchik macamana nak jadi baik sedangkan saya ni seorang yang ketawa pun terbahak-bahak. Orang sindir, pakai niqab tapi perangan kasar macam lelaki!?" Begini... segalanya perlukan tarbiah/didikan dan latihan yang berterusan. Kakchik juga ada fasa dalam hidup yang memalukan jika diingat kembali tapi dengan azam yang kuat, kawan-kawan yang baik, kakchik cuba, cuba dan akan terus cuba untuk menjadi muslimah berniqab yang berakhlak baik. Nak kata mulia tu tak berani dan serahkan aje kepada penilaian Allah.
Kita kasar macam lelaki, kita sendirilah yang kena paksa diri kita menjadi tidak kasar seperti lelaki. Latih sifat-sifat kewanitaan yang ada, kenali ciri-ciri wanita solehah dan beramallah, beramallah dengan hati gembira. Latih dan bentukkan sifat kasar yang ada itu menjadi sifat tegas dan berani untuk Islam. Apabila situasi memerlukan kita menjadi tegas dan berani maka sifat tersebut akan muncul. Di masa-masa lain kita latih diri menjadi muslimah yang tenang, lemah-lembut, penuh senyuman, mesra, pemurah dan seumpamanya sesama kita dan kena pada tempatnya.
InsyaAllah barulah selari antara penampilan dan perlakuan kita. Moga terhindarlah fitnah dan cerca orang terhadap penampilan kita. Allahu'alam.
KakChik Niza
ps: Maafkan salah silap kerana kakchik menulis tanpa merancang. Apa yang ada di minda kakchik tuliskan bersama sedikit pertimbangan.