Followers

29.4.11

Perkongsian: Video seks kotori minda anak muda

Firman Allah bermaksud: "Dan infakkanlah hartamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam lembah kebinasaan dengan tanganmu sendiri, dan berbuatlah kebaikan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." [Al-Baqarah:195]

Ibu bapa hari ini sangat berwaspada dengan kegiatan anak-anak yang tidak bermoral melalui medium internet. Selain majalah-majalah yang memaparkan gambar berunsur negatif, internet adalah jalan alternatif yang mudah untuk memuat turun segala video yang diinginkan. Anak muda yang terdidik dengan sistem alam maya ini didedahkan dengan pelbagai video lucah di internet.

Kebimbangan ini semakin parah apabila tapisan yang dibuat di internet untuk mengelakkan anak-anak terjebak dengan gejala negatif ini seolah-olah hanyalah sebagai syarat yang mampu ditembusi oleh mereka. Guru-guru di sekolah juga sentiasa memasukkan elemen nasihat seperti menjelaskan kesan dan akibat daripada mlihat video lucah.

Namun, usaha ibu bapa dan guru-guru seolah-olah hampa dan memutuskan semangat. Hal ini terjadi apabila siaran televisyen memaparkan cerita-cerita dan filem-filem yang sangat teruk, mempunyai adegan-adegan melampau dan pelakon-pelakon yang seksi.

Lebih hancur lagi harapan ibu bapa dan guru yang berusaha keras memastikan anak bangsa mempunyai nilai akhlak yang terpuji apabila isu video seks permainan politik diketengahkan. Bukan persoalan salah siapa, tetapi video yang dimuatkan dan gambar-gambar tidak bermoral ditayangkan untuk khalayak umum yang perlu dititikberatkan.

Akhbar tempatan memaparkan gambar lucah, siaran televisyen kerajaan menayangkan beberapa aksi panas dan pawagam rakyat (Youtube) mendedahkan segala cerita yang berlaku.

Video seks telah mengotori minda anak muda:

1) Pintu fitnah dibuka seluas-luasnya

2) Penyebaran video seks diberi lampu hijau

3) Tiada penjelasan daripada perspektif hukum Islam kepada seluruh rakyat mengakibatkan kekeliruan

4) Memberi persepsi politik kotor kepada anak muda

Dalam isu ini, peranan secara serius perlu dimainkan oleh golongan akademik dan ulama. Kes seperti ini telah membarah teruk dalam masyarakat khususnya anak muda hari ini.

Satu konvensyen besar-besaran perlu dianjurkan di peringkat nasional yang terdiri daripada golongan ulama, ahli akademik dan golongan profesional yang bebas daripada unsur politik bagi mengatasi konflik yang tidak terarah ini.

Anak muda khususnya mahasiswa Islam tidak sekali-kali dapat menerima hal seperti ini. Anak muda dan masyarakat menjadi mangsa pergaduhan politik sesama sendiri ini.

maksud firman Allah: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” [An-Nahl:125]

Justeru, saya menyeru kepada seluruh anak muda dan masyarakat luar agar kita semua berpegang dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang baik untuk mengelakkan terjerumus dalam kancah fitnah yang berleluasa ini. Semoga Malaysia lebih aman dan sejahtera.

We Unite For Islam

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor

Mahasiswa UIAM

Sumber: Harakahdaily

Hari yang sungguh berbaloi.

Assalamualaikum dan salam Jumaat semua.

Alhamdulillah, ada masa untuk update blog sebentar. Tahniah untuk kakchik sebab dah dapat dapur baru. Terima kasih banyak Yang kerana sudi membelikan dapur yang baru. Insyaallah sejak petang semalam dapur kami kembali berapi (mana boleh berasap, kakchik pakai dapur gas hehe). Dah dua minggu dapur lama rosak dan kerana masing-masing sibuk ke sana-sini, beberapa kali rancangan nak ke pekan membeli dapur tak menjadi. Kini, syukur, dapatlah memasak di dapur sendiri. Kalau tidak kena menumpang dapur Ummi ataupun menumpang makan di rumah Ummi hehe.

Bila dah ada dapur baru ni semangat nak memasak tu berkobar-kobarlah kan. Pagi tadi sempatlah sediakan juadah ringkas Jemput-Jemput Bilis sebelum kakchik ke Dataran Ilmu untuk mengikuti kuliah agama di pagi Jumaat ni. Dah berniat malam tadi, kalau hari ni kakchik sihat sepenuhnya, kakchik nak ke kuliah agama. Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan hajat kakchik. Syukur lagi. Jadi dengan masing-masing segelas kopi Radix, kami berdua bersarapan ala kadar saja.

Selesai membasuh kain dan mandi, kakchik terus bersiap untuk ke bandar. Hari ni kakchik sampai agak lewat tapi syukur dapat masuk parking kereta dalam kawasan pejabat MPKB-BRI jadi takdelah lama sangat nak kena pusing-pusing. Kawasan sekitar Dataran Ilmu ni jangan main-main kalau pagi Jumaat jika datang lambat, alamat tak sempat dengar kuliah pula nanti. Kakchik sempat dengan sikit saja kuliah yang pertama tapi kuliah kedua yang disampaikan oleh Ust. Nik Mohd. Abduh sempatlah dengar sampai habis. Dalam sibuk-sibuk nak dengar kuliah tu sempatlah juga kakchik ambil gambar kenangan suasana di Dataran Ilmu pagi tadi.

Pemandangan di Dataran Ilmu (Jalan Dato' Pati) semasa kuliah agama pagi Jumaat tadi.
Singgah gerai kawan yang menjual beg jahitan tangan ni. Cantik kan?
Singgah juga di sini untuk bertemu dengan taukeynya yang juga seorang kenalan.

Menarik sungguh intipati kuliah pagi tadi. Insyaallah lepas ni kakchik akan buat coretan khas mengenai topik kuliah agama pagi tadi. Kalau diikutkan hati selepas habis kuliah tu kakchik nak berlegar lama-lama kat sekitar kawasan kuliah tu, manalah tahu kot-kot terjumpa dengan ramai kawan. Alhamdulillah dapatlah juga jumpa dengan beberapa orang adik-adik yang sudah agak lama tak berjumpa. Memang gembira sangat bila turun ke bandar mendengar kuliah dan bertemu pula dengan kawan-kawan yang sama-sama datang menadah ilmu.

Selepas membeli beberapa helai jubah dan tudung yang dikirim oleh teman-teman di FB, kakchik terus bergegas pulang kerana cik abe nak ke masjid untuk solat Jumaat pula nanti. Kakchik singgah membeli barangan dapur, ikan dan ulam-ulaman untuk memasak hidangan tengahari yang ringkas saja sebagaimana merasmikan dapur baru yang dibeli petang semalam. Hidangan untuk dua orang saja - nasi putih, budu lengkap, ulam-ulaman dan ikan goreng saja. Cik abe suka yang hangat-hangat dan ringkas saja. Lagipun kakchik kepenatan sikit pada hari Jumaat ni berbanding hari Khamis.

Begitulah lebih kurangnya aktiviti kakchik sepanjang pagi Jumaat ni. Walaupun penat tapi amat berbaloi rasanya. Alhamdulillah. Sekarang ialah waktu kakchik berehat sambil membaca akhbar yang dibeli pagi tadi, Harakah, Sinar dan Kosmo. Walau sibuk macamana pun hal ehwal negara tetap kena ambil tahu juga kan? Tak nak jadi warganegara yang 'take things for granted' saja. Kakchik nak jadi rakyat yang bertanggungjawab, insyaallah. Baiklah, sampai di sini dulu. Wassalam.

28.4.11

Beg Tangan Berjenama (ORI) Untuk Pre-Love

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Malam ni kakchik cuma nak tulis ringkas saja kerana badan dah mula panas, selsema sudah bermula. Mungkin sebab kakchik keluar temankan cik abe mencari dapur baru petang tadi menyebabkan degupan jantung jadi agak kencang ni dan hidung dah mula tersumbat. Harap-harap selepas makan ubat tadi, tak jadi demam selsema ni. Jangan risau ya. Insyaallah kakchik akan sihat sebaiknya dalam masa yang segera.

Baiklah, satu masa dulu kakchik pernah tulis pasal impian kakchik untuk memiliki sebuah beg tangan berjenama Coach yang tulen bukan tiruan. Insyaallah impian itu akan terlaksana juga tak lama lagi hasil menyimpan sedikit demi sedikit. Kalau nak ikutkan duit sendiri tu tidaklah banyak sebab setiap bulan banyak juga perbelanjaan wajibnya tapi bila nak sesuatu, kenalah merancang dan menyimpan kan? 

Tapi malam ni kakchik nak kongsikan beberapa buah beg tangan ORI kepunyaan seorang sahabat baik. Beg-beg ini masih dalam keadaan yang elok kerana hanya beberapa kali saja dipakainya. Oleh kerana dia akan berpindah rumah tidak lama lagi dan kawan kakchik ni mungkin nak kurangkan barang yang perlu diangkut, maka beg-beg itu mungkin akan menjadi milik sesiapa saja yang berminat. Jom kita tengok.

Coach Blag Leather Bag - ada dustbag sekali. RM300 (Negotiable)
CK Stunning Red - RM280 (Negotiable)
CK - SOLD
Tommy Hilfinger Big Bag - boleh buat beg bayi. RM250 (Negotiable)
Atienne Aigner Kiera Satchel - RM280 (Negotiable)

Itulah dia 4 buah beg tangan kepunyaan kawan kakchik yang mahu di 'let-go'. Jika ada di kalangan kawan-kawan semua yang berminat, serius nak membelinya, silalah beritahu kakchik ya. Tinggalkan pesan dalam kotak komen atau pun email kepada hanniaziz@yahoo.com . Mana-mana pun boleh.

Oklah, sampai situ saja yang nak kakchik sampaikan. Nanti kalau larat dan ada kesempatan, kakchik menulis lagi. Salam Jumaat untuk kalian semua. Semoga kita mendapat lebih banyak rahmat dan barakat Allah di malam Jumaat dan esok, di hari Jumaat. Wassalam.

Semalam hari ulang tahun cik abe, sakit pun nak dinner date juga.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Semalam birthday cik abe tapi dah lewat petang baru kakchik teringat. Kakchik sentiasa ingat 27 April ni birthday dia tapi dalam keadaan badan yang lemah fikiran kakchik agak lembab sikit. Hampir sepanjang pagi kakchik habiskan dengan berbungkus dalam selimut, tidur akibat kehilangan air yang banyak. Masa cik abe nak ke pejabat tu kakchik dah mula baring sebab dah letih sangat. Itupun selepas kakchik pastikan pakaian kerjanya siap lengkap untuk dipakai dan air minum sedia untuk sarapan. Sakit atau demam, jika larat buat juga mana yang mampu.

Kami takdelah buat sambutan hari lahir ni, biasanya sekadar saling mengucapkan selamat saja. Sebenarnya kakchik ada memasang niat semasa ulang tahun kakchik 10 April lepas, pasang senyap-senyap je. Nak belanja cik abe laham mandi di Muzdalfa, KB tapi bila dah kurang sihat macam ni perancangan kena ubahlah. Bila cik abe balik dari kerja kakchik sambut dia kat pintu dengan ucapan 'happy birthday to you', saja nak bagi dia gembira. Syukur alhamdulillah belah petang tu badan kakchik dah mula sihat sikit. Penangan rehat yang panjang di sebelah pagi hehe.

Fish & Chips yang kakchik makan. Sedap.
 
Dinner date kami di Muzdalfa ditukar ke Royal Steak House di Panchor. Bukan apa, Muzdalfa jauhnya 7km di KB sana sedangkan RSH cuma 10 minit saja dari rumah. Tak kisahlah kan asalkan kami dapat makan sama-sama di luar. Sekali-sekala saja. Kepala tengah sakit berdenyut-denyut tapi kakchik tak bagitau cik abe takut dia kensel pulak date kami. Akhirnya kami dapat juga dinner date di RSH. Makanannya boleh tahan sedap. Cik abe makan Lamb Chop dan kakchik mkan Fish & Chips saja. Ala kadar ajelah jani gembira dapat dating dengan suami :)

Balik dari makan malam, kakchik dah tak mampu nak tahan sakit kepala. Selesaikan kemaskan tempat tidur terus baring nak hilangkan sakit. Tak hirau dah pasal jaga badan sebab baru selesai makan. Cik abe pun tak kata apa mungkin dia nampak kakchik macam dah tak tahan sangat dah. Kalau bangun duduk atau berdiri mungkin boleh pitam. Kuat sungguh virus kali ni menyerang. Sekejap baik sekejap sakit. Sabar sajalah. Sementara kakchik rasa agak sihat ni baiklah kakchik update blog. Takut ada yang tertanya-tanya ke mana pula menghilang kali ni.

Amni terlena sebelum kami balik.
 
Tadi kakchik dengan cik abe ke rumah kakak menziarahi dia dan Amni yang turut tidak sihat macam kakchik juga. Tapi Amni lagi teruk sebab muntah-muntah. Masa kakchik sampai tadi, Amni terkulai kat atas dukung ummi dia. Bila kakchik ambil dan dukung dia, rasa sayulah pulak. Mana taknya... anak-anak saudara yang selalunya aktif dan periang tiba-tiba jadi lemah macam tu. Sudah pasti hati kakak kakchik dan adik kakchik sebagai ibu lagi sedih dan sayu. Walau dalam keadaan demam gitu Amni masih nak tunjukkan peralatan sekolah dia kepada ayah wae nya. Mungkin sebab dia tak lalu makan, maka badannya sangat lemah. Masa kami nak balik sebelum Zohor tu dia dah terlena.

Amni ni walaupun tak sihat masih lagi rajin nak solat jemaah dengan umminya. Semalam kakak hantar gambar melalui MMS, tengok Amni dah tergolek keletihan dalam kain sembahyang. Anak solehah sungguh si kecil tu. Harap-harap cepatlah dia sihat. Kasihan tengok Amni tak lalu makan, lembik, lemah terbaring saja. Walau tak tidur dia diam saja sambil baring. Sepatutnya anak-anak kecil macam Amni berlari ke sana-sini dengan riang tapi Allah dah takdirkan ujian sakit seperti ini, kita yang dewasa ni mampu usahakan rawatan yang terbaik saja. Insyaallah esok lusa dia akan sihat juga.

Khabar terkini, Adelia juga sudah sihat, sudah boleh keluar dari hospital petang ni. Alhamdulillah.

26.4.11

Sakit itu ujian yang rahmat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Adelia yang keletihan selepas beberapa kali buang air besar.
Hari ni badan kakchik sangat letih akibat kehilangan banyak air. Dari tengahari semalam sampai ke saat ini, perut kakchik asyik menolak makanan yang dimakan. Sebentar saja dikisar sudah mai hu keluar dengan terburu-buru sekali. Rasanya kakchik keracunan lagi. Alhamdulillah cuma cirit-birit tanpa demam dan muntah seperti yang dialami dua orang anak-anak saudara kakchik, Eqbal dan Adelia juga Ummi kakchik. Keadaan mereka bertiga agak teruk hinggakan Eqbal dan Adelia terpaksa dimasukkan ke wad hospital.

Kakchik ambil cuti hari ni, esok tak tahu lagi. Kalau ok insyaallah kakchik masuk kerja tambahan pula e ksok ada mesyuarat pejabat dan sebelah petangnya ada rombongan lawatan dari Maahad Tahfiz Tanah Merah. Oleh kerana Allah uji dengan penyakit maka kakchik kenalah terima ianya sebagai satu rahmat dari Allah. Kakchik kata rahmat sebab di waktu ini ingatan pada Allah lebih kerap dan agak konsisten. Dalam masa yang sama kakchik dapat juga mencurah bakti kepada anak-anak saudara yang masih kecil tu juga kepada Ummi kakchik. Memanglah badan letih tapi dalam ramai-ramai yang sakit dan ada di rumah ni kakchiklah yang paling kuat jadi kenalah tolong mana yang patut.

Dari pagi dia menangis, jam 3 lebih baru mahu tidur. Kesian Lia.
Pagi tadi Adelia menangis tak henti-henti. Ibunya bertabah hati pergi juga ke hospital untuk kerja sebab hari ni dia on-call. Susah nak tukar dengan doc lain sebab sekarang ni ramai MO sedang exam. Kadang-kadang kakchik pulak yang geram dengan jabatan tempat dia kerja. Kenapalah jabatan yang boleh dikatakan paling sibuk tu mempunyai bilangan doc yang sedikit? Entahlah... berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bila dia telefon bertanyakan keadaan anaknya tu kakchik terus je cakap yang Adelia asyik menangis je, tak mahu tidur, tak mahu minum susu. Buang air besar lagi. Mana nak sampai hati untuk biarkan dia menangis macam tu. Sayu hati dibuatnya.

Ulang-alik ke bilik air, temankan Ummi yang juga keletihan kerana sakit yang sama bahkan muntah-muntah lagi, tolong dukung Adelia bergilir-gilir dengan bibik wati. Ayah ke rumah kakak memantau kerja-kerja pembinaan yang belum siap. Tak lama adik kakchik balik untuk ambil Adelia dan bibik. Nak admit katanya. Kesian dia, tentu susah hati sekali dengan dua anak yang sedang sakit. Itupun syukur sangat Eqbal sudah makin sihat dan buat sementara dihantar ke rumah mertuanya untuk dijaga. Balik dari on-call esok akan diambilnya semula. Kalau hati tidak tabah, kalau diri tidak sabar, ujian yang bertimpa ni mungkin boleh membuatkan kami tak keruan. Alhamdulillah Allah masih kurniakan kesabaran dan ketenangan.

Ziarah Lia di hospital lewat petang tadi.
Kasihan sungguh melihat Lia menangis kesakitan, air mata asyik bergenang je. Biarpun Lia cuma anak saudara tapi bagi kakchik yang setiap hari sama-sama mengasuh anak-anak saudara, kakchik kasihkan mereka seperti anak sendiri. Sakit demam anak-anak saudara ni memang akan buat kakchik tak cukup tidur juga. Sakit perut kakchik ni sudah buat kakchik letih tak bermaya, cuba bayangkan betapa seorang bayi 7 bulan melalui sakit yang lebih dari itu. Allahu Allah. Sesungguhnya Allah jadikan apa juga perkara yang berlaku untuk menguji kita semua.

Semoga Allah sembuhkan sakit anak-anak saudara dan Ummi kakchik. Kasihanilah mereka ya Allah.

25.4.11

Akedemi Fantasia Itu Haram

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebentar tadi kakchik menonton sedutan video kuliah agama oleh Ust. Azhar Idrus mengenai Akademi Fantasia. Kakchik tahu, ramai di kalangan kita yang suka menonton AF ni dan ada juga yang mungkin pernah menghadiri ataupun menyokong program ini dengan mengundi para pesertanya. Secara peribadi kakchik sangat tidak suka program AF ini kerana asas program hiburan ni yang melalaikan. Pernah tengok sekali dua masa AF1 dulu sekadar untuk mengetahui apa yang berlaku dalam rancangan itu.

Selepas itu kakchik langsung tidak mahu ambil tahu kerana sudah yakin dengan pasti yang program itu membuang masa dan menjadi dosa jika ditonton. Oleh kerana bab hukum ni bukan bidang kakchik, kebetulan pula Ust Azhar memberi kuliah dengan jelas menyebut tentang AF ni maka, kakchik rasa ada baiknya kakchik kongsikan video tersebut di sini. Kalau boleh ambillah masa untuk menonton sekejap ya. Bukan rugi apa pun malah insyaallah dapat pahala kerana ini kuliah agama.



Kuliah ustaz ni menggunakan dialek Terengganu tapi kakchik rasa tidaklah susah sangat nak difahami kan? Jelas mengikut kuliah ustaz, AF ni hukumnya haram tapi Majlis Fatwa Kebangsaan tak ada pulak membuat fatwa mengenai perkara ini. 

Dari ilmu kakchik yang sikit ni, kakchik setuju dengan apa yang disebutkan oleh Ust Azhar. Kalian bagaimana?

Hari paling kakchik suka bila mereka serbu rumah untuk...

... membaca beramai-ramai. Riuh-rendah satu rumah dengan suara mereka. Masing-masing berusaha membaca seberapa banyak buku yang mampu.




Adelia pun sibuk nak tengok apa yang ada atas meja.

Tengok tu... siapa yang menyelit kat tengah tu.



Bahagia rasanya bila membaca buku begitu digemari anak-anak saudara kakchik. Semoga mereka membesar dengan budaya mencintai ilmu. Amiin.

24.4.11

Debat Tentang Pengharaman Niqab di Perancis: Kudos to Heba Ahmed.

Assalamualaikum.

Let's watch and think.



Siapa yang berbahas dengan betul dan siapakah yang lari dari tajuk?

Tahniah Heba kerana anda telah menjadi duta Islam yang bagus. Alhamdulillah. I'm proud of you.

23.4.11

Cerita Tudung Labuh dan Niqab

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Macam dah lama benar tidak menulis seperti biasa. Malam tadi pun hanya kongsikan salinan berita akhbar tentang poco-poco tanpa sebarang ulasan. Sebelum tu cerita tentang anak-anak saudara yang sedang sakit dan sebelum-sebelum tu pulak hanya kongsikan artikel orang lain. Kalau teman-teman perasan, begitulah kakchik di waktu kesibukan dan bila mana mood menulis grafnya menurun.

Tapi malam ni semangat nak menulis dari hati ni datang kembali. Mungkin kerana kakchik mula merasakan kelesuan di blog sendiri. Mana aci biarkan para pengunjung hanya membaca entri lama kan? Bukannya tak ada apa-apa yang menarik berlaku pada diri kakchik tapi masa nak menulis tu yang terhad. Sama macam menulis diari juga. Ada hari rajin, ada hari malas hehe. 

Baiklah, tajuk malam ni sudah nyata lagi bersuluh di atas tu. Harap-harap apa yang kakchik akan tulis secara spontan ni semuanya berkait-rapat dengan tajuk perkara. Tau-tau sajalah, bila spontan ni kadang-kadang termelencong pulak dari tajuk. Bukannya kakchik buat draf ke apa sebelum menulis ni, mula dengan BISMILLAH, beri salam, terus je tulis apa yang terlintas di hati. Ada bahayanya menulis macam ni, ada orang yang tak puas hati dan silap faham. Tapi, apa kakchik nak kisah kan? Ini gaya kakchik menulis, bukan artikel formal pun, cuma coretan tak formal je.

Tudung Labuh

Alhamdulillah, tahun ni ialah tahun ke-24 kakchik memakai tudung labuh. Mashaallah, dah grad universiti dah kalau nak kira umur 24 ni. Sepatutnya kakchik sudah cukup matang dalam hal bertudung labuh ni. Dulu-dulu istilah 'tudung labuh' ni bagi kakchik ialah tudung bulat yang dijahit daripada kain Palace atau kain Koshibo. Ada satu jenis kain lagi yang kakchik gunakan untuk jahit tudung labuh ni tapi kakchik dah lupa apa namanya. Masa kakchik di U dulu ramai pelajar U suka beli kain tu di Petaling St. Rupa tudung labuh tu macam yang dalam gambar kat bawah ni.

Kenangan ke PBAKL 2007

Fesyen tudung bulat ni kakchik pakai sampai ke hari ni cuma sekarang ni koleksi tudung bulat kakchik sudah tidak banyak selepas 7 helai terkena air karat dan tidak berjaya dihilangkan. Mana ada masa nak jahit tudung baru. Masa tu kakchik mula pakai tudung empatsegi bidang 60" yang kakchik pakai gaya tersendiri agar dapat dijadikan niqab sekali. Kakchik pernah satu masa sangat tidak suka kepada kawan-kawan yang menukar gaya bertudung dari tudung bulat kepada tudung empatsegi ni. Bukan apa, tidak suka tu sebabnya tudung ini tidak dipakai semaksima mungkin iaitu lipatannya menjadikan ianya kecil. Dalam kamus kakchik, ianya masih tudung labuh bila keluasan penutupannya masih lagi seluas tudung bulat.

Semasa menyertai Pesta Buku Kelantan 2009.

Sejak kakchik pakai abaya, kakchik lebih banyak memakai shayla yang biasanya datang sepasang dengan abaya. Jika saiz shayla itu kecil, kakchik akan lapiskan dengan shayla kosong yang lebih besar atau kakchik pakai pashmina. Insyaallah ianya masih menjadi tudung labuh bila dipakai bergantung juga kepada cara ianya dibelit di kepala. Kelabuhan dan keluasan tudung ini menutupi kepala dan aurat kakchik di bahagian atas amat kakchik pentingkan kerana bagi kakchik, labuh di depan saja tak aci, kiri dan kanan bahu juga mestilah labuh barulah dikira seagai tudung labuh mengikut kamus pemahaman kakchik.

Mencuba kaftan di Nordin Batik beberapa tahun lalu.

Pakai tudung labuh ni banyak sangat manfaatnya. Antara yang paling bagus ialah nak solat tidak memerlukan kakchik membawa telekung sembahyang jika ke mana-mana. Kakchik hanya perlu pastikan pakaian kakchik bersih dan kakchik solat saja dengan memakai pakaian tersebut, tudung sudah labuh, kakchik bawa sarung tangan dan stokin 'spare'. Segalanya menjadi mudah. Selain itu, tudung labuh lebih menjaga aurat, jika ditiup angin pun jaranglah terbuka aurat w/pun tudung melekat di dada. Yang tidak disengajakan akibat ditiup angin ni, kita dimaafkan.

Tudung labuh juga menjadikan kakchik lebih menjaga akhlak. Insyaallah perasaan malu hadir bila nak buat perkara-perkara yang tak sepatutnya seperti ketawa mengilai depan orang ramai, bercakap kuat-kuat untuk menarik perhatian, bak kata, segan bila nak buat benda yang tidak sopan. Ia juga menjadi perisai kakchik daripada masalah ketika bermuamalah dengan lelaki asing. Rasa macam hati ini sangat dijaga dan perasaan malu sangat tebal jika terpaksa berurusan seorang dengan seorang dengan lelaki asing/ajnabi. Malahan, tudung labuh ini buat kakchik rasa kakchik lebih ingat kepada Allah SWT. Alhamdulillah.

Niqab/Purdah

Dari tahun dua pengajian di kampus hingga ke hari ini, alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kakchik kekuatan untuk terus istiqomah memakai niqab. Kali pertama memakainya secara tetap di tahun 1995 walau di dalam kampus masih on-and-off, kakchik amat bersyukur kerana Allah beri keyakinan untuk hadapi apa saja dengan tidak membuka niqab ini. Satu masa dulu bila melihat kawan-kawan baik yang asalnya berniqab membuka niqab selepas grad, kakchik mohon sangat-sangat pada Allah agar tetapkan hati kakchik untuk istiqomah. 

Dugaan datang silih berganti, sama juga dengan orang lain yang hidup untuk memperjuangkan agama ini dalam masa yang sama mahu menegakkan sunnah Ummahatul Mukminin ini. Prejudis ada di mana-mana tapi sokongan dan dorongan juga ada di mana-mana. Yang penting kita mempunyai sokongan moral yang kuat dari orang sekeliling terutama keluarga dan rakan rapat. Biasanya sokongan keluarga bukan mudah nak dapat tapi dengan keyakinan yang ditunjukkan, akhirnya keluarga terima kakchik seadanya begini. Mereka mungkin tahu, kakchik lain dari yang lain. :)

Bertudung labuh dipadankan pula dengan baju longgar seperti jubah atau abaya, sudah lengkap pada pandangan kakchik. Sudah tentulah sarung kaki juga penting kerana kaki juga aurat. Setengah orang percaya tangan juga perlu ditutup tapi kakchik masih lagi lemah iman bahagian ini. Pada kakchik, selagi lengan baju kakchik terkancing tetap di pergelangan tangan, maka kakchik sudah cukup menutup aurat. Hanya dalam keadaan tertentu saja kakchik akan memakai sarung tangan. Jika lengan abaya kakchik luas, kakchik baju kurung atau t-shirt lengan panjang yang ada kaff di hujungnya agar bila tangan diangkat tidaklah nampak lengan kakchik. Insyaallah selamat

Ada orang bagi alasan kata pakai tudung labuh, pakai jubah ni 'serebeh' atau nampak selekeh. Tidak sesuai untuk kerja pejabat, nampak tak sofistikated, kekampungan dan macam-macam lagi. Tapi, kakchik yakin kakchik telah mengubah persepsi itu pada diri kakchik. Tudung labuh dan purdah ini menambah keyakinan diri untuk tampil lebih kemas, rapi malah lebih elegan dalam bekerja, berniaga atau bersosial. Inikan pakaian Islam, pakaian sunnah pulak tu, pastilah kakchik rasa amat bangga memakainya, bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk ketaatan sebagai hamba Allah SWT. Bangga kerana kakchik seorang Muslimah. Bangga kerana kakchik beragama Islam, agama yang memberi ganjaran kepada umatnya yang mengikut suruhan Allah.

Tudung labuh dan niqab ini adalah pakaian untuk menutup aurat, tutup aurat itu satu kewajipan yang dituntut, maka seharusnya kakchik kena yakin dalam mengamalkannya. Dan kakchik bahagia bila dapat melaksanakannya dengan penuh istiqomah. Semoga hati kakchik juga sentiasa ikhlas dalam amalan ini. Bukan mudah nak melawan mazmumah seperti riak terutama bila dipuji orang. Istighfar jugalah yang sebaik-baiknya. Bahagia dan seronok dalam pakaian ini. Tenang dan damai hidup ini bila mengamalkan sunnah ini. Semoga Allah tetapkan iman kakchik.

22.4.11

Perkongsian: Majlis Fatwa Tidak Haramkan Poco-Poco

Majlis Fatwa Kebangsaan Tak Halang Poco-Poco, Perak Tetap Haram
Sumber: mStar Online

SEPANG: Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Jumaat memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

"Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Bagaimanapun beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan Muftinya, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau sebaliknya.

"Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor ketika diminta mengulas mengenai antara perkara utama yang dibincangkan pada muzakarah kali ini, beliau berkata ia termasuklah penggunaan vaksin 'mencevax' iaitu sejenis vaksin yang digunakan jemaah haji dan umrah sejak sekian lama.

"Jadi kita telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar di mana selepas tahun 1997 penghasilannya lebih baik selain kos yang lebih munasabah. Kita setuju teruskan (penggunaannya) jika tiada gantian yang lebih baik daripada itu," katanya.

Menurutnya terdapat juga permohonan daripada syarikat lain untuk membekalkan vaksin untuk jemaah haji dan umrah, yang sudah berada di pasaran selama dua tahun.

"Pada prinsipnya kedua-dua vaksin itu harus dan boleh digunakan. Tetapi kita mengutamakan vaksin pertama kerana ia sudah lama digunakan," kata beliau.

Muzakarah tiga hari yang bermula 20 April turut membincangkan mengenai wang pampasan insurans konvensional yang tidak dituntut serta masalah wang khairat kematian. - BERNAMA

Eqbal dan Adelia Tidak Sihat

Assalamualaikum dan salam Jumaat untuk semua.

Apa khabar? Semoga teman-teman semua sentiasa di dalam rahmat kasih-sayang Allah SWT. Alhamdulillah Jumaat datang lagi. Hari yang ramai orang suka untuk melakukan lebih banyak amal ibadah berbanding hari-hari lain. Seperti satu kebiasaan bagi orang Melayu Islam di Malaysia ni bila sampai malam Jumaat, masjid dan surau kembali meriah dan makmur dengan kuliah-kuliah agama dan kelas-kelas tadarus al-Qur'an. Rumah-rumah juga makmur dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an, alhamdulillah. Mungkin pada hari lain masing-masing sibuk dengan urusan duniawi makan pada malam dan hari Jumaat semuanya berebut untuk menjadi insan yang lebih baik. Baguslah juga daripada terus-terusan mengejar dunia, paling tidak masih ada masa untuk mengingati Allah.

Kakchik agak sibuk sekarang ni dengan beberapa projek berkaitan buku dan aktiviti ilmu yang memerlukan banyak masa memerah otak dan fizikal. Jadi kalau kakchik online pun terasa amat letih untuk menulis, sembag-sembang atau sebagainya. Kebetulan pula anak-anak saudara kesayangan kakchik jatuh sakit sejak beberapa hari lepas. Bermula dengan Eqbal yang muntah-muntah dan cirit-birit sampai badannya lembik tak bermaya, hari ni Adelia pula yang dapat sakit yang sama. Kasihan dan sedih sangat melihat dan menguruskan dua beradik yang belum sampai umur 2 tahun ni. Ibu mereka pun terpaksa mengambil cuti kerana keadaan Eqbal yang agak teruk. 

Eqbal yang tidak sihat.

Hari ni kami nak bawa Eqbal ke hospital sementara Adelia akan buat rawatan di rumah dulu. Jika keadaannya makin teruk kami akan terus bawa ke hospital juga. Yang bagusnya dua beradik ni walaupun sedang sakit, langsung tidak 'buat perangai' berbanding kakak-kakak mereka. Alhamdulillah. Eqbal misalnya walau tidak larat untuk berlari atau berdiri lama seperti biasa, masih nak berjalan sendiri cuma bila terlalu letih dia biarkan kakchik dan ahli keluarga yang lain mendukungnya. Rasa sangat sebak hati ni sebab kakchik takde pengetahuan sangat nak mengubati cuma mampu beri kasih-sayang dan belaian saja.

Makan apa pun dua beradik ni lalu tapi selepas je telan makanan tu pasti dimuntahkan balik. Entah berapa pasang baju dah silih berganti kerana terkena muntah atau cirit. Ya Allah... tentu adik kakchik sebagai ibu mereka lagi sedih hatinya kerana menguruskan anak-anak sendirian tanpa suami di sisi. Adik ipar kakchik sedang berkursus di KL sejak beberapa bulan lepas dan berakhir akhir tahun ni, jadi dia akan pulang setiap hari Jumaat, pagi Sabtu akan sampai ke sini. Walaupun kakchik, ummi dan adik-beradik lain ada untuk membantu, tentu tidak sama dengan kehadiran suami di sisi. Kakchik pun tidak mampu bayangkan keadaan menguruskan lima orang anak yang kecil, tiga bersekolah dan dua masih bayi, bekerja pula di wad yang sibuk, allahu'alam. Tak mampu nak bayangkan.

Adelia juga tidak sihat.

Mohon Allah segera sembuhkan sakitnya Eqbal dan Adelia dan jauhi yang lain-lain dari apa juga penyakit. Jika kita yang dewasa ini terkena cirit-birit beberapa hari pun sudah perlu MC dari bekerja kerana terlalu letih, bayangkan betapa kurus dan lemahnya seorang anak berusia setahun lebih dan tujuh bulan yang melaluinya. Ya Allah, tolong sembuhkan mereka. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk dapatkan rawatan yang terbaik. Kau bantulah Ya Allah. Amiin.

20.4.11

Yang Menarik: Dari Zahra' ke Pulau Melaka

Assalamualaikum.

Gambar-gambar diambil sepanjang perjalanan pulang dari kerja. Dari Telipot melalui Jalan Sultan Yahya Petra hingga Jalan Dato' Lundang. Sama-sama letih jadi masing-masing berdiam diri saja. Sesekali kakchik ambil gambar papantanda tempat-tempat yang menarik, mungkin boleh dikunjungi suatu hari nanti.

Masih murah dan pelanggannya sentiasa ramai.

Baru dibuka beberapa bulan lepas. Dulu SMI Aman kini KK Home Deco.

Sudah lama berhajat mahu ke sini tapi tak pernah bersungguh nak pergi.

Orang kata makanan Arab kat restoran ini lagi sedap berbanding AM Tarbush. Allahu'alam.

Entri pagi ni hanya gambar-gambar saja sebab kakchik ada banyak kerja. Walaupun ringkas, kakchik cuba nak kongsikan perkara menarik yang ada di KB ni. Mana tahu tempat-tempat ini boleh membantu sesiapa yang berkenaan.

Selamat bekerja!

19.4.11

Perkongsian: Jangan Mengejar Pengiktirafan Orang

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] - seutastasbih.blogspot.com

Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti akan ada yang mengatakan, “wah, baguslah!” “awak memang baik” “jarang jumpa orang macam awak” “Hebatnya!”. Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan diberikan kepada kita. Lantas kita menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan. Kita merasakan ada nilainya kebaikan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan “eleh, tu nak tunjuk baik la tu” “buang masa awak saja buat macam tu” “jangan buat macam tu lagi lain kali!”, apakah kesannya kepada diri kita? Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya? Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indikator kepada keikhlasan kita dalam beramal.

Nilai sesebuah amal itu tidak ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah nilai yang telah Allah gariskan dalam Al-Quran atau yang ditekankan oleh Rasulullah dalam Hadith baginda. Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah dan Rasul, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji. Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqomah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian. Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.

Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis. Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya? Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, “tentu aku akan dikenang orang”. Pernahkah kita membaca karya agung Ulama’-ulama’ silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka? Hati kecil kita masih lagi bersuara, “tentu orang akan menyanjung aku”. Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perasaan tersebut daripada timbul sama sekali, apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.

Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sesebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya. Keikhlasan itu perlu dijaga sebelum, ketika dan setelah melakukan sesebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah. Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah. Saya masih ingat pesan ustaz kepada saya ketika dulu;

Berbuat baik ayuhai teman
ke dalam laut engkau campakkan
kalau tidak dikenal ikan
tuhanmu tahu iyakah, bukan

Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah dan hanya untuk mendapat ganjaran daripada Allah. Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiakan oleh Allah. Bahkan apa yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (At-Taubah: Ayat 16)

Saya pernah mendengar sebuah kata hikmah, “jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi manusia, kamu akan dibenci Allah. Jika kamu tamakkan apa yang ada disisi Allah, kamu akan disanjung manusia”

Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah Hadith Rasulullah berpesan:

“Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya: “Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: “Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: “Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” (HR Muslim)

Jika ada yang memujimu, katakanlah “Alhamdulillah” dengan sebenar-benarnya.
Sumber: IDHAM LIM

Imam Muda 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni ada yang menarik perhatian kakchik di dalam akhbar. Mungkin sudah ramai yang tahu bahawa program realiti tv Imam Muda musim kedua akan bermula tidak lama lagi. Tahun lepas kakchik tidak sempat mengikuti program ini dan hanya sempat menonton episod 7 melalui youtube. Itupun tidak sempat kakchik habiskan kerana untuk menunggu loading di youtube adalah agak memakan masa. Jadi, rasanya tahun ni kakchik nak cuba ikuti rancangan Imam Muda 2 di ASTRO pula. 

Program sebegini bagi kakchik adalah jauh lebih baik dari program realiti tv yang berbentuk hiburan yang melalaikan. Kakchik percaya matlamat program Imam Muda adalah jauh berbeza daripada program-program realiti tv yang lain. Semoga penerbit tidak sekadar mengejar rating atau keuntungan semata tapi lebih berhajatkan kepada dakwah dan menggalakkan masyarakat mencontohi akhlak mulia peribadi Imam terulung iaitu Nabi Muhammad SAW.

Insyaallah program yang baik kakchik akan sokong. Jom lihat siapakah calon-calon Imam Muda 2 yang telah diperkenalkan oleh akhbar hari ini.





Maaf banyak-banyak kakchik tak dapat nak caption nama-nama mereka sebab kakchik tak sempat nak baca sampai habis artikel tentang mereka di akhbar. Jika kalian berminat, kenalah baca sendiri akhbar hari ni. Kalau tak silap dalam UM. Kakchik tak pasti sangat sebab masa membelek-belek akhbar tadi kakchik main belek je tanpa melihat betul-betul muka depannya. Maaf ya.

Rasa tak sabar pula nak menonton program ini tapi bimbang juga takut spoil dan mengurangkan minat. Harap-harap pengisian program Imam Muda ini tidak menghampakan kakchik dan teman-teman semua. Ada harapan yang tidak sanggup dihampakan oleh calon-calon imam ini tapi itu hanya harapan kakchik saja, belum tentu menyamai harapan para calon dan penerbit program. Semoga ada banyak kebaikan akan diperolehi oleh masyarakat dan peserta dari program Imam Muda ini. Insyaallah.

18.4.11

Ada belaka itu sikit ini sikit

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar? Lama rasanya kakchik menghilang dari menulis di blog ini. Maafkan kakchik banyak-banyak ya. Bukan tidak mahu menulis tapi secara tiba-tiba saja banyak tugasan dan kerja datang menjengah hinggakan otak kakchik tidak mampu untuk ditumpukan kepada aktiviti di internet. FB pun tidak sempat dibuka untuk lama-lama. Barangkali bertimbun mesej dan pesanan yang ditinggalkan di situ. Beginilah hidup, ada masanya kerja tidak banyak maka bolehlah diluangkan masa untuk menulis dan beramah-mesra di alam maya dengan teman-teman. Tapi bila datang kesibukan, fizikal menjadi letih dan minda pun sama maka idea amat sukar untuk dicari.

Alhamdulillah hari ni ada sedikit masa untuk menulis di sini. Sudah berlaku macam-macam sepanjang kakchik tidak update blog. Setiap hari hati teringat-ingat akan komen-komen yang belum berbalas. Insyaallah kakchik cuba luangkan masa untuk membalasnya nanti. Kakchik tidak akan abaikan kalian dan komen-komen yang ditinggalkan kerana bagi kakchik semuanya amat berharga. Kalau kakchik jadi teman-teman tentu rasa bosan kalau asyik singgah tapi tak ada sebarang update terkini kan? Maafkan kakchik ya, nak buat macamana kalau dah keletihan, buka komputer pun tak dapat nak bertahan lama mata rasa nak tidur. Kakchik memang hampir off terus dari internet selepas tamat gerai promosi Rabu lepas. Letih sungguh hehe.

Hari Khamis tu selepas pulang dari menghantar cik abe ke pejabat, kakchik balik ke rumah untuk bersihkan dan kemaskan rumah. Buat kerja rumahtangga seperti biasa tapi selepas Zohor, hajat nak ke bandar untuk beberapa urusan telah terbengkalai kerana kakchik tertidur hampir 3 jam akibat keletihan. Allah saja yang tahu betapa penatnya tapi itulah kesan yang kakchik sudah andaikan awal-awal. Kalau tak sanggup bergerai promosi, janganlah bekerja sambil buat bisnes macam kakchik. Insyaallah fasa begini tidak akan selamanya begini, satu masa nanti, kakchik pasti tidak akan seletih ini.




Hari Jumaat pula kakchik membantu ummi menjaga 5 orang anak-anak saudara kakchik kerana ibu mereka on-call. Kakchik memang tabik spring kepada ibu-ibu yang mampu menguruskan anak-anak yang ramai dengan baik kerana anak-anak yang unik ini kerenah mereka kadang begitu menguji kesabaran. Tapi telatah mereka tetap juga mengundang tawa dan ria. Sepanjang Jumaat yang sepatutnya kami bercuti, dipenuhi aktiviti dengan kanak-kanak riang manakala cik abe pula kerja lebih masa kerana majikannya mengadakan kursus umrah di pejabatnya. Petang nak Asar baru dia pulang. "Kesian suamiku, tak cukup rehat." Tapi kakchik gembira sebab cik abe balik dengan wajah yang ceria walaupun kepenatan.

Sepanjang dua hari cuti hujung minggu tu telefon entah ke mana, email entah ke mana dan internet pun macam langsung kakchik takde selera nak masuk. Penangan letih dan stress tapi masa kakchik dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti bermakna bersama keluarga. Ok jugak ambil 'holiday' beberapa hari dari berinternet ni. Tapi, bila masuk kerja pada hari Sabtu tu, terkejut badak jugaklah tengok email yang seribu lebih, mesej di FB ada 12 yang belum dibaca/dibalas, SMS dan missed call pun banyak. Nak cek dan balas semuanya memang tak sempatlah sebab kakchik dan kakitangan Zahra' akan menerima rombongan pelawat dari Melaka pagi tu. Kenalah utamakan yang utama sebab kakchik kan kerja. 

Rasanya malam ni baru kakchik ada ruang masa untuk membalas email dan apa-apa yang patut. Mohon maaf dan understanding dari teman-teman yang menanti jawapan dari kakchik. Kakchik tak mampu nak segerakan mengikut kehendak kalian. Insyaallah kalian akan menerimanya juga seberapa segara yang kakchik mampu balas. Harap sabar ya. Moga-moga belum terlambat.

Rasanya, setakat itu dulu yang kakchik mampu tuliskan pagi ni. Semoga kalian tidak jemu dengan kakchik dan blog ini. Salam mahabbah.

Kakchik.

13.4.11

Jangan Berbohong!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar hari ni? Kakchik alhamdulillah, baik-baik saja cuma agak letih kerana masih lagi belum habis mengadakan promosi abaya di Mydin Hypermarket. Sebelum kakchik teruskan menulis, kakchik nak kongsikan satu huraian hadis mengenai larang bercakap bohong. Kakchik pun tak pasti sama ada mampu menulis panjang atau tidak hari ni tapi topik berbohong ni amat menarik hati kakchik. Penangan bercakap bohong ni semasa terlepas dari diketahui orang memanglah rasa selamat tapi hati mana ada tenang. Asyik teringat je dosa berbohong tu kan?

Bagi orang yang biasa berbohong, lama-lama sudah tiada apa-apa perasaan bersalah apabila berbohong. Tapi kena ingat, pepatah ada mengatakan, "sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua." Berbohong ini janganlah dijadikan amalan kerana ia satu dosa dan satu bebanan kepada kehidupan sendiri. Orang yang suka berbohong atau yang tidak suka berbohong tapi 'terpaksa' berbohong hatinya tidak tenang, asyik resah-gelisah saja.

Baiklah, mari kita baca apa huraian hadis yang kakchik maksudkan tu.

Hadith:

DARI Ibnu Umar r.a katanya: "Saya dengar Nabi SAW bersabda: "Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak. [Riwayat Bukhari]

Huraian Hadith:

Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat orang munafik, di antaranya: Apabila ia berkata, ia berbohong, apabila berjanji, ia mungkiri dan apabila diberi amanah, ia khianat.

Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat.

Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina.

Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya: "Hanya dengan satu perkara: "Laa Takzib! (Jangan berbohong!)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu.

"Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: "Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Lihatlah betapa besarnya perubahan yang berlaku pada seorang lelaki penzina apabila dia takut akan dosa berbohong. Akhirnya lelaki itu benar-benar insaf dan taubat dari melakukan dosa zina bermula dengan dia tidak berbohong. Semoga kisah ini menjadi iktibar kepada kita dalam melayari kehidupan yang penuh pancaroba ni.

Mohon Allah lindungi kita semua dari dosa bercakap bohong. Berkatalah benar walaupun pahit. Didiklah anak-anak kita agar sentiasa bercakap benar, tidak menipu. Kanak-kanak ada satu fasa di mana mereka takut untuk mengatakan yang benar dan mereka mula menipu untuk mengelakkan sesuatu. Sebagai ibu bapa, jika kita berjaya mengenalpasti anak-anak bercakap bohong, ambillah sedikit masa untuk menjelaskan baik-buruknya kepada anak tersebut sebelum mereka terbiasa dan kita akan terlambat.

Jom kita bercakap benar!

12.4.11

Perkongsian: Saya Nak Pakai Purdah, Apa Pandangan Akak?

Assalamualaikum dan salam kasih-sayang kepada semua teman-teman maya. Alhamdulillah kerana masih lagi dapat bertemu kalian di hari ini. Pagi ini kakchik tidak sempat untuk menulis dan kebetulan pula seorang teman di FB telah menulis satu topik yang agak hangat diperkatakan iaitu mengenai hukum memakai purdah. Kakchik juga seperti beliau, sering menerima soalan-soalan dari para pembaca dan teman-teman mengenai hukum berpurdah ini. Oleh kerana kakchik puas hati dengan tulisan beliau, kakchik yakin untuk berkongsi dengan kalian di sini. Semoga tulisan ukhti Harlina al-Hamra' akan membuka simpulan persoalan yang selama ini timbul dari isu pemakaian purdah ini. Selamat membaca dan memahami.

Bismillahirrohmaanirrohiim.

Segala puji hanya bagi Allah, kita memuji-Nya, memohon pertolongan kepada-Nya dan memohon keampunan kepada-Nya. Kita juga memohon perlindungan Allah di atas segala kesilapan dan kesalahan diri kita. Mereka yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada siapa pun yang dapat menyesatkannya daripada petunjuk tersebut. Dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak siapa pula yang dapat memberikannya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (tuhan) melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.

Seringkali ana mendapat soalan begini, sama ada seseorang menemui ana face to face atau menghantar SMS kepada ana.

SAYA NAK PAKAI PURDAH, APA PANDANGAN AKAK?

Ana suka mengingatkan ana dan sesiapa sahaja tentang beberapa perkara:

Selepas berbincang dengan Naqibah di sebuah institusi, alhamdulillah ana lebih mantap memahami hukum berpurdah setelah sama-sama mengkaji dengan Naqibah apakah sunat atau wajib yang sewajar-wajarnya menjadi pegangan kami? Oleh itu, kajian kami hendaklah berlandaskan pada kebenaran menurut al-Qur’an dan as-Sunnah.

Ana sebelum ini berpendapat wajib.

Begitu juga naqibah ana.

Oleh yang demikian, kami sama-sama menyatakan hasil kajian kami mengapa kami meyakini wajib berpurdah. Kami juga mengeluarkan hujah-hujah ulama’ yang mengatakan purdah ini sunat atau harus. Pelbagai hujah dikeluarkan daripada kitab Fiqh sampailah kepada buku-buku ringan tentang wanita dan auratnya. (Hujah yang tidak menghukum WAJIB purdah bagi wanita). Mengapa?

Ini adalah bagi memastikan kedua-dua kami bukan bertaqlid membuta tuli atau sekadar memahami pada surface sahaja. Alhamdulillah, kami boleh memahami kitab bahasa Arab dengan baik.

Ana tunjukkan hujah-hujah bahasa melayu yang telah ana simpan selama pengkajian ana. Naqibah juga menunjukkan hujah yang diyakininya. Ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh): Hujah-hujah lain sengaja tidak disenaraikan di sini kerana tidak kuat untuk menyaingi hujah wajib.

AL-QUR’AN
Ana jelaskan bahawa Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

HADIS
Ana jelaskan bahawa ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh):

1. Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini”(Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan). Boleh rujuk teks lengkap dalam Riwayat Abu Daud.

2. Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah.(Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail). Boleh rujuk teks lengkap dalam banyak kitab.

3. Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalan-soalannya). Boleh rujuk teks lengkap dalam bnyak kitab.

Oleh yang demikian, kami berbincang tentang penjelasan ulama’-ulama’ bagi setiap hujah:

Bagi Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

Setelah berbincang, kami berpegang pada pendapat sahabat yang hidup pada zaman Nabi s.a.w iaitu Ibn Abbas yang menjelaskan bahawa perkataan ‘jalabibhinna’ ini bermaksud seluruh tubuh wanita wajib ditutup kecuali mata. Ini adalah kerana pada pendapat kami beliau adalah ulama’ tafsir yang paling memahami apa yang dimaksudkan dalam ayat al-Qur’an yang mulia ini kerana beliau hidup di zaman Nabi s.a.w.

Oleh itu, sebarang hujah ulama’ lain yang menghukum ia sebagai tudung tidak dapat dijadikan hujah memandangkan banyak ulama’ lain mentafsirkan bahawa ia bermaksud purdah juga. Oleh kerana pendapat ulama-ulama adalah pelbagai, tafsiran yang paling rajih sekali ialah melalui mufassir yang hidup pada zaman Nabi s.a.w. Oleh yang demikian, tafsiran yang paling rajih adalah tafsir Ibnu Abbas. Wallahua’lam.

Manakala bagi hadis pula:

Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini". (Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan).

Setelah berbincang, kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, oleh yang demikian kami rujuk kitab hadis Abu Daud dan mendapati bahawa Abu Daud mengatakan bahawa hadis ini mursal iaitu terputus sanadnnya, oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana Khalid bin Duraik dikatakan tidak berjumpa dengan Saidatina Aishah r.ha. Oleh yang demikian, hadis ini tidak dapat menyangkal ayat al-Qur’an yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan tidak pula bertentangan dengannya. Ini adalah kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana Abu Daud sendiri yang meriwayatkannya dan tidak pasti kesahihannya.

Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah. (Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini dipertikaikan oleh ulama’ yang menghukum tidak perlu menutup muka ialah kerana Rasulullah tidak memerintahkan wanita itu menutup muka sebaliknya hanya menolehkan wajah sahabatnya Fudhail. Manakala menurut ulama’ yang menghukum wajib menutup wajah mengatakan bahawa ini berlaku ketika ihram. Sebagaimana kewajipan memakai purdah adalah terkecuali ketika solat dan ihram, maka wanita ini tidak wajib berpurdah kerana sedang berihram. Sebab itu, Rasulullah hanya menolehkan muka sahabatnya dan tidak memerintahkan wanita itu menutup mukanya. Oleh yang demikian kedua-duanya mempunyai hujah yang seimbang. Wallahua’lam.

Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalannya)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini menjadi hujah bagi yang mengatakan pemakaian purdah tidak wajib kerana wajah wanita yang berdiri itu kemerah-merahan, oleh yang demikian ia jelas terbukti wajahnya kelihatan. Namun pendapat ini dipertikaikan oleh ulama-ulama’ yang menghukum wajibnya purdah kerana hadis ini tidak tercatatkan bila, oleh itu terdapat kemungkinan ia berlaku pada solat hari raya antara tahun-tahun sebelum tahun kelima hijrah. Ini adalah kerana kewajipan menutup aurat diperintahkan pada tahun kelima hijrah sedangkan kewajipan solat hari raya pada tahun kedua atau ketiga hijrah. Selain itu, wanita ini juga berkemungkinan telah tua bangka kerana wanita yang telah menopause atau tiada berkeinginan berkahwin diizinkan menanggalkan purdahnya berdasarkan ayat al-Qur’an Surah an-Nur ayat ke-60. Oleh itu kedua-dua hujah adalah seimbang. Wallahua’lam.

Kesimpulannya, kami berpegang pada aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh kecuali mata di hadapan lelaki ajnabi kecuali ketika solat dan ihram.

Oleh yang demikian tiada pertikaian mengenai menutup dahi atau tidak dan memakai sarung tangan atau tidak. Bagi yang berpegang pada sunat, perlulah berdasarkan dalil yang rajih yang telah dikaji begitu juga bagi yang berpegang pada wajib perlulah didasari kajian dan penelitian dalil yang adil dan bukan ikut-ikutan.

Bagi mereka yang berpegang pada wajib, namun tidak mendapat restu ibu bapa. Wajib berpurdah kerana kita bertanggungjawab pada Allah bukan pada manusia. Walaupun ibu kita menangis dan memulaukan kita. Kita wajib taat pada Allah. Tidak ada ketaatan pada ibu bapa di atas perkara-perkara maksiat. Adalah kemaksiatan bagi seorang ibu menyuruh anaknya menanggalkan purdah sedangkan anaknya berhukum pada wajib berdasarkan dalil yang paling rajih yang telah dikajinya. Oleh yang demikian seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk meninggalkan mazhab pegangannya. Jika dia berpegang pada wajib memakai purdah, maka tiada sesiapa boleh menghalang atau mengatakan ia wahabi atau ekstremis (berlebih-lebihan). Ini adalah kerana setiap orang ada mazhabnya sendiri dalam Fiqh, dan oleh itu tidak boleh mengatakan orang salah atau menuduh sembarangan atau menuduh orang lain berlebihan hanya kerana ORANG LAIN YANG BERBEZA PANDANGAN sedangkan dia telah mengkaji tentang hukum tersebut. Maka, wajib atau sunat itu pendapatnya. Begitu juga apabila seseorang itu telah mengkaji bersungguh-sungguh tentang hukum purdah dan menghukum ia sebagai sunat, maka tiada sesiapa boleh memaksanya. Ini hanya dalam hal jika ia TELAH MENGKAJI DAN MENDALAMI ILMU MENGENAINYA.

Wallahua’lam bissowab.

11.4.11

Mencari rahmat dan berkat dalam kehidupan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Gambar sekadar hiasan.

Alhamdulillah syukur kerana masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk mencoretkan sesuatu di kanvas blog ni. Dalam keadaan diri yang agak letih ni kakchik asyik teringat akan blog ini yang hampir sehari tidak dikemaskini. Beginilah bila ada promosi, banyak masa dan tenaga perlu digunakan untuk menguruskan kerjaya dan bisnes. Ada orang yang kata, patut duduk di rumah saja, buat apa sibuk-sibuk nak berniaga. Iyalah, orang yang berkata begitu mungkin hidupnya sekeluarga sudah stabil, tak perlu membantu suami mencari rezeki. Kalau begitulah, kakchik pun nak jadi surirumah juga tapi hakikat adalah sebaliknya.

Setiap dari kita ini jalan hidupnya adalah berbeza antara satu sama lain dan telah ditentukan Allah SWT. Walaupun begitu Allah masih memberi kita peluang untuk mengubah nasib hidup kita sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat 11 Surah Ar-Ra'd ini:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.[Ar-Ra'd:11]

Ada pula orang yang kata, bukankah seorang wanita itu layaknya berada di rumah saja? Iya, benar, itulah yang sebaik-baiknya tapi ada kondisi yang membolehkan seorang wanita keluar mencari rezeki. Untuk hal itu kalian rajin-rajinlah mencari ilmunya, insyaallah pasti ketemu. Dan kakchik ini termasuk dalam kategori itu.

Ada orang merasakan sudah cukup dia menguruskan rumahtangganya tanpa perlu mengambil kira tentang urusan dalam masyarakat seperti urusan sosial dan siasah/politik. Mungkin ada benarnya tapi bagi kakchik jika semua orang berfikiran begitu, bagaimanakah nasib-nasib anak-anak remaja belia yang dari sehari ke sehari rosak akhlak mereka? Jika kakchik tidak turun ke dalam masyarakat, dan orang-orang macam kakchik tidak turun ke medan, siapakah yang akan menolong mereka?

Walau malu, segan dan bimbang dengan pandangan orang, kata-kata orang, sindiran dan cabaran iman, demi sayangkan agama ini kakchik akan kuatkan diri untuk terus melibatkan diri melalui kerjaya dan bisnes kakchik. Sudah tentulah semua ini boleh dilakukan dengan adanya izin suami dan sokongan suami. Had pergerakan kakchik bergantung kepada had yang diberikan suami. Alhamdulillah suami kakchik amat memahami kerana beliau sudah tahu mengenai kegiatan kakchik sejak sebelum kami berkahwin lagi.

Hidup ini sememangnya penuh mehnah dan tribulasi sebagaimana kata naqibah kakchik semasa di kampus dulu. Bila kita meletakkan Allah dan Rasul di hadapan, insyaallah apa juga yang kita lakukan dalam hidup setiap hari adalah berpandukan apa yang diajarkan oleh agama. Kalau kita tidak tahu, kita carilah ilmu tentang agama kita ni. Jangan biarkan diri kita ni nama saja Islam tapi sikit benar yang kita tahu dan amal dari amal kita ni walhal esok-esok kita nak mati dalam Islam. Ya Allah matikanlah kakchik dan kalian semua dalam Islam. Amiin.

Tak mudah kan nak mencari rahmat dan berkat Allah dalam hidup kita ni? Setiap masa ada saja dugaan iman yang datang. Macam-macam perkara lagho atau melalaikan yang berlaku di depan mata kita. Ada yang kita sengaja tengok, ada yang dipaksa tengok, ada yang terpaksa tengok dan ada juga yang tertengok. Kalau sempat istighfar, alhamdulillah, bagaimana kalau tak sempat dan teringin pula untuk tengok lama-lama? Allahu Akbar. Rosaklah iman kita hari tu. Dan jika berulang-ulang kita lihat, dari dosa kecil menjadi dosa besar. Jadi macamana hidup dan berkat?

Berkat tu apa ya? 
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs