Followers

31.1.11

Santai: Love the way you look

Assalamualaikum dan selamat malam teman-teman semua.

Kakchik tak pasti di watu ini ada orang singgah atau tidak di blog ini sebab kakchik hanya update sekali di pagi tadi. Takde idea nak menulis jadi kakchik membaca buku.

Sebentar tadi kakchik login ke Polyvore tengok-tengok fesyen yang telah lama direka. Rupanya kali terakhir kakchik mencipta 13 hari yang lepas. Nak masuk 2 minggu dah. Lama juga tu.

Asyik membelek-belek rekaan yang lepas-lepas, kakchik nak kongsikan satu set yang kakchik suka. Iaitu yang ini:


Kalau minat, bolehlah ambil ideanya. Jika tak minat tak jadi masalah.

Bawah Umur Sudah Pandai Ke Kelab Malam

Assalamualaikum dan salam pagi ceria untuk teman-teman semua.

Kakchik doakan kalian semua dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dilindungi Allah SWT dari mara bahaya. Alhamdulillah di pagi Isnin ini kakchik ada sedikit masa untuk menulis di ruangan blog kesayangan ni. Asalnya kakchik mahu tangguhkan ke waktu rehat semasa di pejabat nanti tapi kakchik tahu kerja agak banyak jadi waktu rehat mungkin digunakan untuk keluar ke bandar atas beberapa urusan penting.

Sebenarnya kakchik dari malam tadi mahu menulis tentang perkara di atas tu. Berita tv malam tadi ada melaporkan tentang 21 orang remaja bawah umur ditahan kerana berhibur di pusat hiburan. Astaghfirullah... kakchik beristighfar panjang bila mendengar laporan tu. Bila lihat rakaman video pula terasa sedih dan terfikir, bagaimanakah anak-anak belasan tahun tersebut boleh berada di kelab malam sedangkan mereka sepatutnya berada di rumah?

Di bawah ini adalah salinan berita di Harian Metro, 31 Jan 2011.
21 remaja bawah umur asyik berhibur ditahan
KUALA LUMPUR: Seramai 21 remaja bawah umur ditahan polis dalam satu serbuan di tiga pusat hiburan di Jalan Doraisamy, di sini awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, polis memeriksa hampir 100 pelanggan di premis berkenaan sebelum menahan semua remaja berkenaan.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata dalam serbuan itu, 21 remaja termasuk 13 perempuan ditahan manakala 12 pelanggan positif dadah jenis methaphetamine dan amphhetamine.
Menurutnya, siasatan mendapati, ada di kalangan remaja terbabit masih bersekolah dan dipercayai sering ke pusat hiburan berkenaan pada setiap hujung minggu untuk berhibur.
Katanya, semua remaja itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan sebelum penjaga atau ibu bapa mereka dihubungi bagi mengambil semua mereka.
Beliau berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan, namun gagal mematuhi peraturan melarang pengunjung bawah umur mengunjunginya.

Memang benar, di akhir zaman ni masalah sosial semakin teruk hinggakan ia tidak kenal usia lagi. Kalau dulu anak-anak semuda 13 dan 14 tahun ni masuk waktu Maghrib biasanya mereka berada di dalam rumah. Kalau ada yang di luar pun selalunya mereka bersama keluarga. Tapi hari ini kakchik selalu sangat melihat anak-anak awal remaja ini berkeliaran, melepak di pusat-pusat membeli-belah.

Bukankah mereka masih di bawah kawalan dan tanggungjawab ibu bapa? Kenapakah dibiarkan anak-anak berpeleseran dengan kawan-kawan mereka? Patutlah zaman ini makin ramai anak remaja yang tidak tahu mendirikan solat, diminta membaca Al-Fatihah pun mereka teragak-agak. Hidup mereka makin serasi dengan hiburan. Akhirnya tertangkap. Tapi, adakah mereka insaf?

Dari dulu kakchik sangat tidak setuju dengan gaya hidup ini - keluar makan bersama keluarga menjelang Maghrib. Dari pemerhatian kakchik, secara tidak langsung perbuatan itu mendidik anak-anak biasa dengan keluar rumah di waktu yang sepatutnya berada di rumah, bersedia untuk menghadap Tuhan. Mungkin pada ibu bapa, tidak menjadi kesalahan sebab anak-anak keluar dengan keluarga dan bukannya ke tempat yang salah, cuma nak pergi makan saja.

Tapi pada kakchik, itulah cara halus syaitan menipu-daya umat manusia agar leka dengan waktu penting menghadap Tuhan iaitu Maghrib. Bermula di situlah hati-hati anak-anak seolah-olah dididik "tidak mengapa keluar senja". Bila mereka remaja, keluar rumah di waktu petang berjumpa kawan dan pulang lewat malam menjadi biasa kerana ibu bapa yang didik mereka begitu. 

Islam mengajar kita agar menjelang senja, semua ahli keluarga seharusnya berada di rumah, bersedia untuk solat Maghrib, kalau keluar, keluarlah ke masjid, membaca al-Quran, mengisi waktu puncak secara optima dengan ahli keluarga. Sayangnya itu semua semakin tiada dalam kehidupan keluarga di negara kita. Sekarang ini waktu malam dihidupkan dengan budaya 'liburan malam'. Penyakit ini amat mudah berjangkit kerana ianya menyeronokkan dan manusia lemah iman macam kita ni sangat mudah dijangkiti.

Duhai ibu bapa, tanyalah iman masing-masing, adakah mahu memusnahkan peribadi anak-anak dengan kehidupan liar, bebas dan penuh hiburan atau mahu anak-anak menjadi pengirim doa bila kalian di alam kubur nanti? Kita sama-sama ingat, zaman ini kerosakan akhlak tidak lagi mengira sama ada anak itu sekolah menengah atau sekolah agama, pakai tudung atau 'free hair'. 

Bila kuman ini merebak, ia tak kira siapa. Kalau antibodi lemah, antivirus pula tiada, akibatnya mungkin parah.

30.1.11

Mencari ketenangan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua teman-teman terutama kepada yang sentiasa sudi mengunjungi blog ini walaupun kakchik kurang aktif sehari dua ni.

Entah kenapa sejak petang Rabu lepas kakchik terasa sangat-sangat ingin berehat. Rehat sungguh-sungguh tanpa melakukan sebarang kerja yang memerlukan kakchik memandu atau menggerakkan anggota badan. Malam tu rasanya kakchik berehat agak awal. 

Hari Khamis pula selepas menghantar cik abe ke pejabat dan selesai berurusan di pejabat pos kakchik balik ke rumah dan berbaring saja sepanjang hari sambil menukar-nukar saluran astro. Takde satu pun yang kakchik tonton lama-lama kerana fikiran tak dapat fokus.

Kakchik login fb dan blogger tapi tak tahu kenapa, seluruh minda kakchik menasihatkan agar kakchik berehat. Tenangkan diri tanpa memikirkan apa-apa. Email, mesej dan SMS semakin banyak terkumpul dan kakchik memang tak dapat nak fokus untuk membalas satu persatu.

Akhirnya kakchik maklumkan di fb yang kakchik nak berehat sehari tapi menjadi dua hari pula kerana ada hal-hal lain pula menyusul bila kakchik dah sedia untuk menulis lagi. Sebenarnya kakchik rasa amat tenang tanpa internet selama hampir dua hari. Alhamdulillah.

Sepatutnya kena buat macam tu baru hidup ni tenang kan? Kalau setiap hari menghadap internet, sudah tentu ada perkara-perkara yang menyebabkan diri merasa tertekan. Kadang memikirkan masalah sendiri yang belum selesai dan kadang perlu memikirkan masalah orang lain yang mengharapkan bantuan.

Jadi kakchik syukur kakchik ambil keputusan berehat dari internet selama dua hari walaupun bila online hari ni banyak urusan yang menanti. Tak mengapa. Sekurang-kurangnya kakchik kembali dengan ceria dan segar.

29.1.11

Surat Pembaca: Persoalan-Persoalan Tentang Pemakaian Purdah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada teman-teman semua. Apa khabar? Kakchik doakan kita semua dalam keadaan sihat sejahtera walaupun cuaca sekarang tidak menentu dan penyakit sangat mudah berjangkit. Semoga Allah melindungi kita dari mara bahaya.

Hari ini kakchik ingin kongsikan satu emel dari seorang pembaca blog ini yang mengharapkan bantuan kakchik meleraikan sedikit kekusutan yang beliau hadapi. Oleh kerana isi persoalan yang pengirim utarakan kepada kakchik ada persamaan dengan beberapa persoalan yang pernah kakchik terima sebelum ini, maka kakchik mengambil keputusan untuk menjawabnya melalui blog Keluargaku Sayang agar mereka yang bertanya mendapat jawapan yang sama.

Sebelum itu, silakan membaca salinan emel beliau di bawah ini. Sebahagian maklumat telah kakchik edit sebagai menjaga maslahah peribadi pengirim tersebut. Harap maklum.
Assalamu'alaikum w.r.h ,

Ana tak tahu bagaimana mahu mulakan. Pertamanya ana minta maaf, kalau mesej ana ni mengganggu kakchik tapi keadaan memaksa setelah ana tak tahu macamana lagi ana dapat berhubung dengan kakchik secara private .

Ana hanyalah seorang remaja biasa yang baru menginjak usia 19 tahun pada tahun ini. Ana bukanlah bekas pelajar maahad atau sekolah agama tapi hanyalah bekas pelajar sekolah berasrama penuh (bukan integrasi) dan kini merupakan pelajar pusat asasi universiti M. Tujuan ana menghubungi kakchik adalah untuk bertanyakan beberapa pendapat dan persoalan bagi merungkai masalah ana. Ana rasa kakchik mesti dah terbiasa dengan keadaan ni kan? Diburu dengan pelbagai persoalan dari pelbagai jenis manusia . Jadi ana juga salah satu dari mereka . ^_^

Sejak sebelum tamat persekolahan lagi (2009) hati ana tergerak untuk memakai purdah. Pernah ana suarakan kepada sahabat2, tak lupa juga kepada emak ana. Mereka tidak melarang, cumanya ada yang mengatakan 'takut kerjaya masa depan tak sesuai dengan pemakaian', 'nanti susah nak cari kerja' dsb. Emak juga tak melarang, tapi dia ada cakap; nak buat sesuatu fikir habis habis dulu . Memandangkan emak ana sendiri bukanlah si pemakai tudung labuh, mungkin dia kurang faham dengan kehendak ana. Tapi sedikit sebanyak ana juga terkesan dengan 'kata-kata' orang sekeliling .

Bukan hanya kata-kata mereka yang menjadi persoalan sebenarnya kerana ana sendiri punya persoalan-persoalan lain yang tak mampu ana jawab .

Pertama ; bagaimana ana nak berhadapan dengan saudara mara kelak? memandangkan saudara mara yang lain tidak ada yang memakai tudung labuh sekalipun. memang benar kita tak perlu hirau pandangan orang sebaliknya pandangan Allah. Tapi tak dapat dinafikan, ianya harus dilalui juga kan?

Kedua ; bagaimana keadaannya bila kita bersama dengan saudara mara? bolehkah purdah itu ditanggalkan? maknanya, bila kita bersama dengan saudara-mara, purdah tak dipakai tapi selain dari waktu tu kita pakai.

Ketiga ; bagaimana caranya kita nak makan bilamana kita berpurdah?

Keempat ; Ana seorang yang agak aktif dengan persatuan-persatuan di kampus. Andai ana berpurdah satu hari nanti, perlukah aktiviti2 dengan persatuan dikurangkan? Kerana seperti yang sedia maklum, bila berpersatuan mesti tak dapat lari dari berurusan dengan kaum muslimin. Kerana pada hemat ana, bila kita berpurdah bukanlah kita tak dapat bergerak aktif tapi pada pandangan mata kasar ana sendiri, muslimah yang berpurdah akan mengehadkan pergaulan atau penglibatan mereka dengan program2 atau aktivit2 yg melibatkan kaum muslimin .

Kelima ; seperti yang ana katakan tadi , ana merupakan pelajar univ M dan pihak univ M sendiri tak membenarkan pelajar2 memakai purdah di dalam kampus. Jadi sekiranya ana nekad untuk memakai purdah nanti , bagaimana ana mahu istiqamah bila peraturan yang ditetapkan perlu dipatuhi? Dan apa hukumnya jika itu terjadi? Kadang2 ana confius bila ada ukhti2 di sini yang memakai purdah di luar , tapi bila ada aktiviti2 persatuan seperti tamrin (lokasinya di dalam hutan, X secara specificnya), mereka tidak mengenakan purdah padahal muslimin juga sama2 menyertai tamrin tersebut .

Jadi ana harap kakchik dapat terangkan pada ana, dengan meleraikan soalan2 yang ana kira mungkin dah acapkali kakchik dengar dan jawab . Soalan terakhir, lebih kurang dengan soalan kelima tadi, bolehkah kita berpurdah hanya pada waktu2 tertentu ? Kalau benar boleh , bilakah waktu2 tertentu tu? Sebagai contoh, di dalam kampus atau di kawasan perumahan kita tak berpurdah, tapi di luar kampus dan selain dari kawasan perumahan kita berpurdah .

Kini hampir dua tahun ana membuat pencarian dan mendalami pengertian dan kehidupan muslimah berpurdah. Untuk pengetahuan kakchik, ana selalu 'blog-walking' dan selalu juga terjumpa dengan blogger2 muslimah yang berpurdah. Mungkin Allah mahu beri petunjuk tapi wallhu'alam kerana hidayah itu milik Allah. Ana cuma takut andai betul ianya petanda dari Allah. Ana takut Allah akan tarik balik petunjuk atau petanda yang diberiNya . Jadi ana harap feedback dari kakchik nanti akan menambah keyakinan ana dan seterusnya menamatkan pencarian ana tentang erti pemakaian purdah yang sebenarnya .

Ana ada baca entri dari blog kakchik dan sedikit sebanyak kita punya alasan yang sama untuk memakai purdah. Pertamanya ana mahu menjaga diri ana dan juga orang sekeliling yakni dengan menjaga pandangan ana agar tidak meliar, juga pandangan orang lain agar ana tidak menjadi fitnah buat mereka. Ana juga rasa andai ana berpurdah, ana akan lebih berhati-hati dalam segala hal seperti menjaga langkahan kaki agar tidak melangkah ke tempat2 yang tak sepatutnya. Selain itu bilamana ana berpurdah, ana juga insyaAllah akan berusaha lebih gigih lagi untuk mencapai mardhatillah kerana tak mahu hanya 'baik dari segi pakaian' sebaliknya baik dari segi dalaman dan luaran .

Wallahu'alam. Segala kerjasama dari kakchik ana dahulukan dengan ucapan jazakillahu khairan kathira .

Assalamu'alaikumn w.r.h . ^_^

KakChik akan cuba jawab setakat mana ilmu dan pengalaman yang ada. Mungkin jawapan kakchik ini tidaklah begitu memuaskan hati kerana kakchik tak mampu nak jawab dengan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis bersama ulasan terbaik. Tapi kakchik akan cuba berdasarkan kefahaman kakchik terhadap makna menutup aurat itu sendiri.

Pertama ; bagaimana ana nak berhadapan dengan saudara mara kelak?
Adik, mulakan dengan akhlak yang baik. Jika sebelum ini saudara-mara sudah biasa melihat adik memakai tudung labuh dan menjaga akhlak maka perubahan baru dengan memakai purdah insyaallah lama-lama akan diterima juga. Tapi fitrahnya di awal perubahan akan ada banyak pandangan yang kurang menyenangkan. Masa kakchik mula-mula pakai purdah dulu saudara-mara memang ada macam-macam pandangan. Tapi kakchik selalunya jawab secara gurauan dengan mereka. Sebenarnya ada beberapa situasi bila mana kakchik memakai purdah ketika ada saudara-mara.

1. Jika mak saudara atau bapa saudara datang ke rumah dan mereka adalah adik/abang/kakak ayah atau umi yang sememangnya kakchik rapat dari kecil maka kakchik tak pakai purdah lagipun mereka adalah umpama ayah dan umi kakchik. KECUALI jika ada sepupu lelaki yang memang kakchik tidak kenal rapat, kakchik akan pakai purdah.


2. Jika ada majlis kenduri-kendara sama ada di rumah kakchik atau di rumah saudara, kakchik akan pakai purdah kerana di masa kenduri bukan saja ahli keluarga yang ada tapi termasuk juga orang lain. Selalunya kakchik berada di dapur atau di bahagian perempuan. Bahagian depan yang selalunya menjadi ruang berkumpul orang lelaki akan cuba dihindari.


Kedua ; bagaimana keadaannya bila kita bersama dengan saudara mara?
Jawapan untuk soalan ini adalah sama dengan jawapan di atas. Pandai-pandailah tengok keadaan dan suasana. Jika hanya perempuan sahaja, tak perlulah pakai. TAPI jika bercampur lelaki dan perempuan maka pakailah. Beranikan diri mempraktikkan purdah di hadapan mereka. Jika ada yang mempersoalkan jawablah dengan yakin. Kalau ada yang kritik, biarkan saja.


Ketiga ; bagaimana caranya kita nak makan bilamana kita berpurdah?
Oleh kerana soalan ini paling ramai yang tanya kakchik jadi agak letih nak menulis berulang kali jawapannya jadi kakchik copy & paste jawapan kakchik dari mesej dengan seorang teman sebelum ini. Ini ialah cara biasa kakchik makan di luar atau di khalayak ramai.

1. angkat niqab dgn tangan kiri. tingginya sekadar dpt suapkan makanan dan mata kita boleh nampak tangan kanan yg dihala ke mulut.
2. suami/mahram jadi pelindung atau makan di sebelah suami/mahram, pesongkan sikit badan ke arah beliau dan buka niqab. yang ni kakchik tak pernah buat tp ramai jg kwn2 yg biasa buat.
3. pakai niqab yang bergetah di dalam tudung. bila nak makan, tarik sikit tudung bhgn atas agar turun menutupi muka dan tariklah niqab ke bawah dagu untuk makan. (ini yang selalu kakchik buat)
4. kerjasama dgn suami/mahram agar cari meja makan yg agak secluded agar dpt buka niqab dan makan macam biasa.

Untuk minum pun begitu juga tapi paling selamat ialah dengan menggunakan straw minuman. jika air panas, guna kaedah di atas juga.

Keempat : Andai ana berpurdah satu hari nanti, perlukah aktiviti2 dengan persatuan dikurangkan?
Tidak perlu tapi pastikan persatuan yang disertai itu tidak menyebabkan timbul isu pada pakaian adik. Kakchik juga seorang yang aktif aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum semasa belajar dulu. Jika di dalam kampus yang melibatkan aktiviti rasmi, kakchik buka purdah. Pandai-pandailah memilih aktiviti agar ia tidak menjadi penyebab kepada kita menjadi tidak aktif. Berpersatuan tidak salah. Berurusan dengan lelaki dalam keadaan kita sedang belajar dibolehkan asalkan kita tahu batasnya.

Bagi kakchik bila berpurdah lagi patut kita turun ke medan aktiviti. Syaratnya dengan menjaga akhlak. Barulah kita dapat menaikkan imej dan kedudukan wanita yang berpurdah. Kalau kita memilih untuk mengasingkan diri hanya kerana kita berpurdah, macamana kita mahu berdakwah? Purdah itu boleh menjadi alat dakwah sebenarnya. Bila orang bertanya, kita ada peluang untuk bercerita tentang pakaian Islam dan Islam secara khasnya.

Kelima : bagaimana ana mahu istiqamah bila peraturan yang ditetapkan perlu dipatuhi? Dan apa hukumnya jika itu terjadi? 
Dalam hal ini ia bergantung pada pegangan mana yang ada pegang. Jika adik berpegang pada pendapat bahawa purdah itu wajib, maka wajiblah ke atas adik untuk berusaha memakainya walau apa jua halangan yang ada. Persiapkan diri dengan segala ilmu tentang wajibnya berpurdah sebagai langkah bersedia menghadapi kemungkinan timbul masalah.

Sebaliknya, jika adik berpegang bahawa memakai purdah itu sunnah maka pandai-pandailah memastikan adik dapat memakainya sepanjang masa yang sesuai. Jika terpaksa dibuka tidak menjadi kesalahan kerana ia hanya sunnah. Kakchik berpegang dengan pendapat ini tapi seboleh mungkin kakchik cuba elakkan dari membuka purdah. Semasa belajar dulu kakchik membukanya bila masuk kawasan kampus untuk ke kuliah. Jika di luar kakchik pastikan kakchik sentiasa memakainya w/pun ia aktiviti universiti.

Terakhir: bolehkah kita berpurdah hanya pada waktu2 tertentu ? Kalau benar boleh , bilakah waktu2 tertentu tu?
Bergantung kepada pegangan mana yang adik pegang. Rujuk jawapan di atas. Jawapan yang sebenar adalah terletak pada kefahaman adik terhadap pemakaian purdah itu sendiri. Bacalah lebih banyak buku tentang aurat, pakaian wanita Islam, purdah dan isu-isu yang berkaitan agar ilmu adik meningkat. Barulah tindakan adik memakai purdah adalah tindakan beserta ilmu. Bila beserta dengan ilmu insyaallah hati adik akan lebih kuat untuk istiqomah dan lebih berani menghadapi dugaan terutama bila di kampus yang tidak pro-purdah.

Ringkasnya, kakchik tidak mempunyai jawapan yang tepat untuk setiap persoalan di atas. Jawapan yang kakchik kongsikan adalah berdasarkan pengalaman peribadi dan sedikit ilmu yang kakchik ada tentang menutup aurat. Setiap individu mempunyai tafsiran berbeza dan mungkin tidak bersetuju dengan apa yang kakchik tulis di atas, itu terserahlah kepada masing-masing.

Kakchik mendasari tindakan kakchik sepanjang memakai purdah pada Islam. Pakai kerana Allah. Nak jaga diri kerana Allah. Nak naikkan martabat wanita Islam kerana Allah. Sebab itu kakchik lebih suka turun ke medan masyarakat, terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk politik kerana wadah inilah yang benar-benar membuatkan kakchik kuat dan yakin dalam Islam dan purdah.

Kakchik yakin, bila niat nak pakai niqab ni kerana Allah, tiada apa yang susah dik. Alah bisa tegal biasa kata orang. Kita dengan sendirinya akan berfikir dengan kreatif agar diri kita mudah mempraktiskannya. Insyaallah kalau adik benar-benar mahu memakainya, jangan difikir segala yg susah itu. Mohonlah agar Allah permudahkan. Jika kita asyk fikirkan risikonya sedangkan kita tahu ianya baik untuk kita dan insyaallah untuk orang lain juga, kita mungkin tidak akan jadi melakukannya.

Kakchik harap jawapan kakchik ini boleh adik terima tapi kakchik harapkan adik mendapat kebaikan darinya. Orang lain mungkin mempunyai alasan dan jawapan yang berbeza malah mungkin jauh lebih baik. Jadi kakchik harap, adik janganlah telan bulat-bulat pandangan kakchik ini. Luaskan pemerhatian, rajinlah mencari dan membaca serta kenalilah lebih ramai niqabi agar keputusan adik nanti adalah keputusan penuh yakin.

Allahu'alam.

26.1.11

Read Aloud & Storytelling Ke-2

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua. Apa khabar rohani dan jasmani? Semoga kedua-duanya dalam keadaan yang baik memberansangkan. Alhamdulillah.

Entri petang ini sekadar satu pemberitahuan dan jemputan kepada teman-teman terutama yang mempunyai anak-anak berusia sekitar umur 3 hingga 10 tahun untuk menyertai program di atas. Program ini anjuran Perpustakaan Dar Nur al-Zahra', Kota Bharu dan kakchik yang mengendalikannya.

Berikut ialah butiran mengenai program ini.

TARIKH: 29 Januari 2011 (24 Safar 1432H), Sabtu
TEMPAT: Ruang Keluarga, Perpustakaan Dar Nur al-Zahra', Telipot, KB, Kelantan
MASA: 10.00 pagi - 11.30 pagi
YURAN: RM5.00 seorang

Kalau boleh anak-anak bawa pensel warna dan alatulis sendiri ya. Insyaallah minggu ni selepas kakchik membacakan buku cerita, kakchik akan adakan sedikit post-reading activity.

Read aloud ni sebaik-baiknya diamalkan di rumah dalam masa 10 - 20 min sehari. Sekejap saja kan? Insyaallah kesannya amat baik untuk perkembangan minda dan jika dibuat dengan komited, akhlak juga akan dapat dibentuk dengan baik.

Jemput datang ya. Sebagai penutup, jemput tonton video kanak-kanak berempat ni.



Alhamdulillah...

25.1.11

Perkongsian: Fasik Haram Meniru Perbuatan Orang Kafir

Tiru perbuatan orang kafir, fasik haram
BH, 2011/01/25

Sumber: BH Online
Remaja bertindik selain anggota telinga, bertatu bertentangan dengan tatasusila Muslim

HUKUM asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Salah satu contoh perhiasan yang diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, sama ada berbentuk emas, perak dan berlian. Amalan bertindik menjadi kecenderungan remaja masa kini.

Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dulu mengenali amalan bertindik hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai bertindik di bahagian selain telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ia sudah mula melarat kepada golongan lelaki.

Sebenarnya perbuatan bertindik adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal.”

Dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada golongan wanita.

Disebabkan itulah golongan lelaki dilarang daripada menindik telinga mereka kerana ia dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Lelaki yang menyerupai wanita dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang dalam Islam.

Itu permasalahan menindik telinga. Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan salafussaleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini.

Walaupun tidak dibincangkan secara khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar)

Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat).

Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Tambahan, menyeksa diri dan dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan pelaku dengan jangkitan penyakit seperti Hepatitis B.

Permasalahan mengenai tindik sudah dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Selain bertindik, remaja kini juga gemar bertatu dan melihat perbuatan itu seolah-olah tidak menjadi kesalahan dari sudut pandang agama. Mengukir badan sendiri dengan melakarkan corak atau bentuk tertentu sehinggakan kesakitan dianggap satu kepuasan.

Bahkan ada yang berbangga memiliki tatu di badan dengan mempertontonkan kepada orang ramai sedangkan ia membawa imej seorang Muslim.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan, bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW.

Bagi yang sudah tergelincir dan ingin kembali ke pangkal jalan, timbul pula persoalan untuk menghilangkan tatu yang ada. Ada segelintir yang menyeksa tubuh badan mereka semata-mata untuk menghilangkan tatu. Malah, ada yang menggunakan seterika.

Memang benar taubat dapat menghapuskan dosa, namun taubat juga perlu bertepatan dengan caranya.

Jika menanggalkan tatu itu mendatangkan kemudaratan atau membuatkan anggota badan nampak jelik, maka harus membiarkannya dan memadai dengan taubat (baik lelaki mahupun wanita).

Ini pandangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Bari. Pandangan ini juga dinukilkan dari ulama semasa iaitu Dr Muzzamil dan bekas Mufti Kerajaan Saudi, Syeikh Abd Aziz bin Baz dalam fatwa beliau.

Pandangan ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Namun, tatu itu tetap wajib ditanggalkan jika ada teknologi yang dapat menanggalkannya dengan mudah dan tidak mendatangkan mudarat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Tidak kira zaman mana pun kita, etika berhias terbaik adalah pakaian takwa. Semoga dengan mengikut suri teladan terbaik iaitu Baginda Nabi SAW, membuatkan kita terselamat daripada segala kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.

================================
Nota kakchik: Sebahagian dari orang kita memang mudah meniru amalan dan budaya orang yang tidak hidup berpaksikan agama. Makin hari kehidupan mereka makin serupa orang bukan Islam. Pakaian, tingkah-laku, makanan, bahasa percakapan, gaya hidup - semuanya HAMPIR SAMA. Yang berbeza, namanya ada BAU ISLAM. Itupun makin hilang. Marilah kita beringat-ingat, kenalpasti mana yang halal, mana yang haram. Yang mana dosa yang mana pahala. Jangan ingat kita hidup menongkat dunia. Setiap yang hidup pastikan mati kemudian dihidupkan kembali. Hidup kali kedua itu penentu kita ialah syurga atau neraka.

Bonding Time with Dearest Ummi

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Al-Fatihah untuk arwah ibu mertua teman sekerja kakchik, kak akmar yang kehilangan ibu mertuanya pagi tadi. Insyaallah jam 3 petang nanti kakchik dan rakan yang lain akan menziarahi jenazah.

Semalam sepanjang waktu pagi kakchik dihabiskan di HUSM menemankan Ummi membuat pemeriksaan kesihatan berkalanya. Ada dua tempat yang perlu Ummi singgah iaitu Jabatan ECHO dan kemudiannya di Klinik Pakar Perubatan. 

Ada satu perasaan yang halus bergetar di hati bila kaki menjejaki hospital. Bagi kakchik hospital ni kaitannya ialah sakit, penyakit, ubat, ujian kesabaran, keyakinan, usaha dan kematian. Bau ubat di persekitarannya memang membuatkan kakchik rasa sedikit insaf.

Semasa Ummi di'scan' jantungnya di bilik ECHO, mata kakchik yang dapat melihat denyutan jantung Ummi di skrin rasa seperti mahu berair. Panas dan tiba-tiba rasa pedih tapi kakchik tahan saja takut jururawat hairan kenapa pulak dengan kakchik ni.

Syukur alhamdulillah kesihatan Ummi stabil cuma Ummi tetap perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan seperti sebelum ini. Ummi kakchik memang sangat komited dengan jadual makan ubatnya. Setiap kali melihat wajah Ummi, jauh di sudut hati kakchik insaf sebab belum berjaya menjadi anak Ummi yang solehah.

Degupan jantung Ummi membawa syukur di dalam hati. Syukur kerana Allah masih memberi peluang kepada kakchik untuk berbakti kepadanya. Syukur kerana Allah masih izinkan kakchik melakukan khidmat dan kebajikan untuk Ummi. Syukur kerana Ummi masih ada.

Kakchik bersyukur sebab semalam Allah pilih kakchik untuk bercuti dan menemankan Ummi ke hospital. Selalunya kakak yang temankan. Bertuah dia sebab banyak masa dia dapat habiskan dengan Ummi semasa menanti giliran di hospital tu. Masa beberapa jam kami bersama tu kami sembang-sembang pasal anak-anak saudara, pasal masa depan kami suami isteri. Bonding Time yang sungguh bermakna.

Seronok rasanya dapat jadi pemandu Ummi walaupun sekali-sekala. Seronok dapat temankan Ummi membeli nasi bungkus di Restoran Selera Kampung. Seronok pilihkan baju basahan untuk Ummi di Butik Peace Collections. Seronok membeli-belah di stokis HPA Kubang Kerian bersama Ummi. Dan paling seronok sama-sama makan nasi bungkus sampai habis kerana kelaparan hehe.

Macamana tak lapar? Sarapan pagi hanya minum segelas susu dan sekeping roti. Jam 2 petang baru urusan di hospital selesai. Ulang-alik pula memparkir dan mengambil kereta yang terpaksa diparkir di luar HUSM, depan BSN. Banyak lemak yang terbakar semalam. Bagus juga tapi memang lapar sungguh.

Bersama Ummi di Klinik Pakar

Semoga Allah izinkan kakchik melakukan banyak lagi khidmat untuk Ummi kerana kakchik tahu kakchik masih banyak yang mahu ditebus. Ummi sudah 64 tahun. Kakinya selalu sakit-sakit. Dalam usia yang semakin tua, Ummi perlukan banyak berehat. Kakchik malu sebab kakchik tak benar-benar berusaha menyenangkan Ummi.

24.1.11

Tenang Berpurdah Sejak 16 Tahun Lalu (samb.)

Assalamualaikum dan selamat petang teman-teman semua.

Maafkan kakchik sebab begitu lewat menyambung tulisan kakchik petang semalam. Kakchik ingatkan bila balik ke rumah, malam tadi sempatlah kakchik sambung tapi takdir Allah kami menerima tetamu dan beliau balik hampir jam 12 malam. Masa tu kakchik pun sudah mengantuk. Hari ni pulak kakchik ambil cuti sebab nak bawa Ummi buat medical check up di HUSM. Jam 2 lebih baru ada masa nak berehat tapi belum larat nak mencoretkan apa-apa. Letih. Apapun, janji tetap janji jadi kakchik akan cuba menyambung tulisan semalam untuk tajuk ni.

Sebelum kakchik memakai purdah, kakchik sudah biasa melihat senior-senior yang mengikut jemaah al-Arqam dan beberapa orang senior PMIUSM yang memakai purdah tapi mereka hanya memakainya bila keluar dari pintu pagar kampus. Dalam kampus purdah diharamkan. Kakchik suka memerhati mereka tapi tidak suka bertanya kenapa mereka memakai purdah. Bagi kakchik sebab-musababnya kakchik boleh kaji sendiri. Bahan bacaan melambak dan kakchik pula selalu mengikuti usrah dan majlis ilmu. Alhamdulillah, semakin kita mencari kebenaran, mengamalkannya pula secara amal-jamai'e, kita mudah kuat dan yakin dengan pilihan kita.

Masuk tahun 2 pengajian, kakchik tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan seusrah. Indahnya kenangan semasa tinggal di sana tidak dapat nak kakchik ceritakan. Yang pasti kakchik membina peribadi sebagai Muslimah semasa di sana. Makin hari hati makin terasa ingin berpurdah. Kakchik selalu berurusan dengan pelajar lelaki dan jika mereka tidak berusaha menjaga pandangan mata mereka, biarlah kakchik yang menutup. Hati kakchik tenang, mereka juga selamat dari dosa. Itulah yang kakchik harapkan. Tambahan pula hati ini mahu sekali merasai nikmat mengikut sunnah para isteri nabi.

Ketika itu kakchik mulai kenal seorang ahli usrah yang baru. Datangnya dari Negeri Sabah, akhlaknya sangat terpuji, ilmu agamanya jauh lebih tinggi dari kakchik, amal ibadahnya sangat teratur, kami sebaya tapi kakchik senior dari segi tahun pengajian dan dia seorang Muslimah yang berpurdah. Setiap kali kami bertemu di dalam majlis-majlis ilmu kakchik semakin menyukainya dan secara semulajadi diri tertarik dengan peribadi beliau. Kebetulan pula saiz kami yang hampir sama. Kalau kami duduk atau berdiri bersama, orang yang melihat ada saja yang kata kami macam kembar. Peribadi beliaulah yang banyak mempengaruhi kakchik untuk meningkatkan keperibadian diri.

Tapi kakchik tak pernah beritahu sesiapa hatta kawan baik kakchik sekalipun. Kawan baik pula ramai dan rapat dan mereka jauh lebih alim dan warak berbanding kakchik. Kakchik ni happy-go-lucky dan gila-gila sikit tapi sangat tegas dalam hal-hal tertentu. Menginjak ke bulan Ramadhan hati makin kuat mahu berpurdah. Sebelum tu semasa balik bercuti di kampung kakchik senyap-senyap menjahit sendiri 2 helai purdah. Kakchik memang menjahit sendiri tudung labuh yang kakchik pakai jadi untuk menjahit purdah tidak menjadi masalah. semuanya dibuat dengan jahitan tangan saja.

Rutin pagi di rumah sewa kami, selepas Subuh ada pasangan yang akan keluar ke pasar membeli barangan dapur. Tiba pada satu pagi Ramadhan, kakchik tidak ingat dah bagaimana tapi pagi tu kakchik bagitau kawan baik yang kakchik nak mula pakai purdah. Kawan-kawan beri sokongan dan dengan lafaz Bismillah kakchik mula memakai purdah semasa mahu ke pasar di awal bulan Ramadhan itu. Tiada hentian lagi selepas itu. Pakai dan terus pakai. Tinggal beramai-ramai atau berjemaah ni segala yang baik hatta yang buruk sekalipun akan mudah menjadi ikutan lebih-lebih lagi bila sikap itu dominan, Jadi di rumah jemaah itu sudah pasti yang baiklah yang dominan maka memakai purdah juga boleh mempengaruhi orang lain.

Kakchik nekad, mahu mempraktiskannya sebaik mungkin. Jika ada halangan kakchik cuba fikirkan awal-awal apa yang perlu kakchik buat untuk melepaskan diri dan purdah kakchik selamat. Zikir itu mendekatkan hati kita dengan Allah. Memang benar. Masa tu kakchik cuba memakai purdah di dalam kawasan kampus. Untuk kurangkan rasa bimbang ditegur atau diberi amaran oleh pengawal keselamatan kampus yang kebanyakannya kelihatan mengerunkan, hati kakchik cuba sentiasa berzikir. Yang kakchik ingat, hanya Allah saja yang boleh menjadikan kehendak kakchik yang satu itu kenyataan. Sukar.

Rasa tak sabar untuk tamat pengajian sarjana muda kerana kakchik mahu mengamalkan purdah dengan bebas. Tapi... ada isu yang baru pula. Bagaimana bila nak interview kerja? Pada waktu itu sering saja terdengas desas-desus beberapa orang rakan belajar yang bertudung labuh telah mengecilkan tudung mereka dan dengan mudah mula memakai make-up dan sebagainya. Allahua'lam benar atau tidak tapi ada yang kakchik lihat sendiri. Sedih. Inilah cabarannya. Adakah kakchik juga akan membuka hijab wajah ini demi sebuah pekerjaan?

Maaf, terpaksa tangguh lagi... dah lewat malam, suami ajak tidur. Esok nak bangun awal menyahut seruan Ilahi.

23.1.11

Tenang Berpurdah Sejak 16 Tahun Lalu

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar kalian semua petang ini? Kakchik doakan semoga kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera dan menggunakan kesempatan yang ada di hari ini untuk mengejar waktu menambah amalan kebajikan untuk bekalan di akhirat nanti. Di saat ini kakchik berehat sebentar dari meneruskan kerja. Orang Kelantan kata "Bbeto oghak."

Sebenarnya kakchik tidak rancang untuk menulis di waktu ini kerana pagi tadi kakchik rancang mahu menulis berkaitan saranan Dr. M dalam isu ledakan pornografi di alam siber Malaysia. Tapi bila tiba peluang untuk menulis, ilham lain pula yang datang. Tak mengapalah, mungkin ilham yang ini mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding isu pagi tadi.

Baiklah, kawan-kawan pun tahukan kakchik ini memakai purdah. Bagi yang baru mengenali blog kakchik mungkin sekadar singgah sebentar tidak akan tahu peribadi pemiliknya. Jadi selamat berkenalanlah ya. Salam taaruf dari kakchik, seorang muslimah berpurdah dari Kota Bharu, Kelantan.

Sudah acap kali kakchik terfikir, betapa bertuahnya wanita hari ini berbanding masa kakchik berusia awal 20an dulu. Kenapa kakchik berkata begitu? Iyalah, kalau dilihat di facebook, betapa ramainya wanita yang berpurdah sama ada sepenuh masa atau separuh masa (dan ada juga yang sekadar main-main, saja-saja berpurdah). Bila begitu ramai bermakna zaman sekarang ni memakai purdah semakin diterima oleh masyarakat Malaysia.

Di masa kakchik mula memakai purdah dulu, boleh dikatakan sukar sekali untuk bertemu muslimat lain yang juga berpurdah. Kalau adapun selalunya dalam jemaah yang sama atau di majlis-majlis agama. Kalau di kampus, di bandar atau di kampung, memang teramatlah sukar nak ketemu.

Tapi manisnya memakai purdah ketika itu kerana ujian-ujian yang datang ke atas diri hanya kerana secebis kain yang menutup wajah. Jiwa sentiasa subur dengan peringatan-peringatan dan semangat dakwah selalu saja dikemaskini dengan kerap. Bahagianya amat mendalam bila wajah tidak lagi menjadi tatapan awam.

Kakchik tidak tahu orang lain tapi dari pengalaman sendiri, kakchik berusaha memastikan orang-orang yang berhubung dengan kakchik boleh menerima penampilan kakchik tanpa banyak soal. Kalau ada soalan pun jenis-jenis soalan mahu tahu, mahu kenal lebih lanjut alasannya, mahu belajar, mahu kenal Islam. Insyaallah kakchik layan sebaik-baiknya.

Azan Asar, sambung di rumah nanti. Insyaallah.

Dr. M Mahu Kerajaan Sekat Porno

Sumber: Zaharuddin.net
Assalamualaikum dan selamat pagi yang sejahtera untuk semua.

Entri akan datang kemudian sebab kakchik nak kejar masa ke pejabat dulu.

22.1.11

Kembalikan duit yang dikutip

Keratan akhbar Kosmo hari ini.

Kakchik membaca hadis ini di blog TAZKIRAH,

"Rasulullah s.a.w. bersabda; "Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana mendapat harta, apakah dari sumber halal atau haram." - Sahih Bukhari

Ini pula status Ust. Zaharuddin di facebook

"Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Merampas dan meragut sememangnya merupakan suatu dosa. Namun apabila ia dilakukan di ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalanraya atau kemusnahan di dalam rumah. Dosa penjenayah terbabit BERGANDA, KEHINAAN mereka di sisi Allah juga menjadi berganda."

Elok kita baca tulisan ustaz yang berkaitan hal mengambil hak orang tanpa usul periksa halal haramnya. Jangan kita ambil mudah perkara-perkara berkaitan dosa pahala dalam apa jua perkara.


Allahua'lam.

Didiklah anakmu mencintai ilmu

Assalamualaikum dan selamat malam. 

Jumpa lagi kita malam ni. Kali ni kakchik cuma nak kongsikan sedikit ilmu dan banyak gambar. Ilmunya ialah bagaimana mewujudkan kecintaan anak-anak terhadap buku dan ilmu.

Pernah dengar ayat ini?
"Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad."

Sudah tentu pernah kan? Jadi berdasarkan ayat inilah kakchik telah memulakan praktikalnya melalui amalan memperkenalkan buku kepada anak-anak saudara yang baru lahir.

Buku kesayangan kakchik dan kesukaan anak-anak saudara.

Biasaya seawal hari pertama lagi kakchik sudah perkenalkan mereka dengan buku. Selalunya kakchik baca buku ini (di atas tu) terutama bila anak yang baru lahir itu mempunyai abang dan kakak. Sangat berkesan.

Eqbal yang berusia setahun lebih sudah serasi membaca buku. Alhamdulillah.

Hasilnya, alhamdulillah semakin mereka membesar mereka mudah serasi dengan buku, ilmu, bercerita, membaca, menyimpan buku dan menghargai buku.

Buku yang berat itupun cuba dipegangnya. Kononnya membacalah tu.

Kalau pergi ke pasaraya, kami singgah kedaibuku dulu sebelum ke tempat lain. Tapi kita orang dewasa ni kenalah sabar sebab kanak-kanak fitrahnya tidak dapat nak berikan tumpuan yang lama pada sesuatu perkara. Begitu juga dengan membaca.

Eqbal cuba meniru bagaimana hamster duduk.

Tapi, yang penting, setiap hari, membaca buku adalah satu aktiviti wajib dalam kehidupan mereka. Bila kita jadikan buku itu satu keseronokan, insyaallah membaca akan menjadi seronok. Hidup dengan buku menjadi seronok

Kita pun tahu sesuatu yang menyeronokkan semua orang pun suka. Betul kan?

21.1.11

Misteri akhirnya terbongkar

Assalamualaikum dan salam sejahtera sekali lagi.

Hari sudah semakin petang dan malam pun tak lama lagi akan muncul. Hari Jumaat bakal berakhir bila tirai Maghrib. Kakchik baru balik dari usrah sebentar tadi. Sekarang ni selepas siapkan makan malam untuk kami berdua (malam ni makan nasi himpit sate, nasi himpit ummi yang beri dan sate kakchik beli masa perjalanan balik tadi) kakchik nak kongsikan satu kegembiraan.

Semalam kakchik ada mendapat satu hadiah misteri yang ditinggalkan di MariBaca. Kakchik ada update gambarnya di facebook sebelum kakchik membuka beg hadiah tersebut. Ada beberapa orang kawan yang mungkin tertunggu-tunggu nak tahu apakah hadiah misteri yang kakchik terima dan siapakah yang begitu baik hati menghadiahkannya.

Hati tertanya-tanya siapakak yang baik hati ni?

Balik dari mengambil cik abe petang semalam kakchik telah membukanya dan dengan sendirinya persoalan di minda terjawab. Bertuah punya kawan. Hehe... diam-diam dia ke kedaibuku untuk tinggalkan hadiah ni. Dah tu tak beritahu pula apa namanya kat pembantu kakchik. Puas juga kakchik meneka rupa paras dengan pembantu kakchik. TERIMA KASIH ya wahai adinda (tuan yang memberi tu kalau baca post ni tentu dia tahu). Terima kasih banyak atas kebesaran hatimu menghadiahkan benda-benda ini kepada kakchik.

Satu pek Raja Detox dan satu bungkusan yang bila dipegang kakchik tahu apa isinya.

Ops... dah nak Maghrib. To be continued selepas selesai Maghrib, mengaji dan makan malam..........insyaallah.



Cekodok Pisang Jelai Berangan dengan NesVita

Cekodok Pisang Jelai Berangan + NesVita

Assalamualaikum dan salam Jumaat untuk kawan-kawan semua. 

Hari Jumaat, hari banyak nikmat bagi kakchik. Paginya nyaman dan tenang. Sebelum subuh boleh dengar suara bilal membaca Qur'an di masjid, jelas dan terang. Biasanya begitulah kaedahnya agar orang kampung dapat bangun awal dari tidur. Beramai-ramai orang ke masjid untuk bersolat subuh bersama Tok Guru dan kemudiannya mendengar kuliah subuh. Bertuahnya berjemaah di sana.

Rumah sudah riuh-rendah dengan suara anak-anak saudara yang bangun awal terutamanya Eqbal yang suka mandi pagi. Kami kaum ibu ni mula sibuk di dapur menyediakan sarapan yang ringan-ringan sebab hari Jumaat ni biasa kami ke pasar di Kota Jembal jadi tentulah akan ada makanan lain pula sebagai kudapan.

Ikut cara Hana menggoreng jadi dapatlah bentuk agak bulat macam ni.

Beberapa hari lepas kakchik ada beli seikat pisang jelai berangan. 5, 6 biji tu kakchik makan begitu saja dan cik abe ada juga makan beberapa biji. Tapi pisang seikat tu ada 8 biji lagi yang berbaki dan ia pun dah mula masak ranum. Untuk elakkan dari jadi buruk, kakchik buat cekodok untuk sarapan pagi ni.

Resepi untuk menghasilkan cekodok di atas tu ada kat sini: My Culinary Adventure. Senang saja. Guna je apa yang ada kat dapur. Nak masukkan baking powder, baking powder takde. Tanya ummi pun dia punya sudah habis jadi kakchik guna pisang, tepung gandum, gula, garam dan sepaket NesVita.

Senang dibuat, sedap dimakan.

Hasilnya amat memuaskan hati. 4 biji pisang jelai berangan menghasilkan 18 biji cekodok sebesar bola ping pong. Alhamdulillah... laju je cik abe makan. Kakchik biarkan dia makan sepuas hati sambil tangan curi-curi ambil beberapa biji hehe. seronok dapat makan cekodok hasil tangan sendiri.

Pisang masih ada berbaki 4 biji. Apa cadangan kawan-kawan untuk kakchik habiskan pisang tu? Nak makan begitu saja tak kot sebab dah masak sangat. Tolong cadang respi yang mudah-mudah kat kakchik. Boleh buat untuk minum petang nanti.

20.1.11

Lia, Lia, Oh Lia!


Kakchik sakit kepala tiba-tiba. Nak tidur tak lena jadi kakchik update blog dengan gambar-gambar Raja Adelia Nisrina, si comel yang temankan kakchik siang tadi.

Seronok para ibu bila boleh melayan anak secomel dan secerdik ini. Kalian adalah wanita yang bertuah. Bersyukurlah kerana Allah kurniakan nikmat menjadi ibu kepada kalian.

Jangan biarkan anak-anak membesar seperti Yahudi atau Nasrani tapi pastikan mereka membesar dalam persekitaran Islam dan Islamik.

Pisang Goreng Hidangan Tengahari

Pisang goreng yang rangup dan manis.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kalian suka makan pisang goreng? Tentu suka kan? Jarang orang tak suka makan pisang goreng @ goreng pisang. Setahu kakchik yang tak suka makan pisang goreng ialah kakak sulung kakchik. Semua jenis makanan yang bergoreng dia memang tak makan. Bagus sungguh. Sebab tu badan dia kekal ramping sampai ke hari ni walaupun umur dah 40 lebih.

Berbeza pula dengan kakchik ni. Kalau pisang, ubi keledek, tapai ubi dan cendawan tiram, harus kena goreng. Memang suka sangat dimakan tak kira masa. Kalau ada pagi, pagilah kakchik goreng. Kalau tak pun kakchik beli macam hari ni. Sibuk ke sana-sini hingga tak sempat nak masak tengahari.

Nak makan nasi pun dah pukul 3 lebih, perut tak berapa mahu. Jadi kakchik cari alternatif iaitu pisang goreng. Singgah beli kat gerai depan tanah perkuburan di Tapang. Beli air kelapa kat gerai sebelahnya. Alhamdulillah... dapat makan pisang goreng kemudian minum air kelapa, terasa amatlah nikmatnya.

Memang nikmat sekali bila kita makan ketika kita lapar tapi jangan kita lupa, berhentilah sebelum kekenyangan. Makan banyak sangat akan buat perut rasa sebu. Ibarat kalau tunduk dan sendawa mesti makanan akan termuntah sebab dah penuh sangat dalam perut tu.

Kawan-kawan semua tentu makan tengahari dengan hidangan yang enak-enak saja kan? Insyaallah kakchik akan masak untuk makan malam nanti. Hari ni cik abe balik dapat makan nasi panas, insyaallah.

Congkak

Bermain congkak di rumah kakak.
Assalamualaikum dan selamat tengahari.

Hari ni kakchik agak santai di rumah. Pagi tadi selepas menghantar cik abe ke pejabat, kakchik singgah membeli nasi bungkus untuk diri sendiri, ummi dan ayah. Bibik tak makan nasi kerabu jadi dia makan nasi goreng yang lebih ummi sediakan untuk cucu-cucunya subuh tadi.

Sebelum turun dari rumah kakchik dah masukkan kain-baju dalam mesib basuh. Bila balik, wah... semuanya telah siap bersidai di ampaian. Ucap terima kasih kat bibik wati yang tolong jemurkan pakaian kami. Terus naik ke rumah dan bersarapan. Alhamdulillah.

Selepas makan, kakchik sambung bungkus abaya sebab nak diposkan hari ni juga. Sambil-sambil tu kakchik cek email sambil layan Adelia. Seronok sungguh tengok Adelia terkekek-kekek ketawa sambil bermain-main dengan plastik pembungkus. Bila waktu siang begini kat rumah hanya tinggal orang tua dan anak kecil saja.

Tiba-tiba je kakchik teringat pada permainan congkak yang sudah lebih 20 tahun kakchik tak bermain. Minggu lepas kami berdua bawa Amierah, Amriena dan Emran ke rumah kakak kakchik. Saja nak hilangkan bosan sambil menjenguk kakak sekeluarga (ehem, sebenarnya cik abe rindukan amni hehe).

Seronok sungguh budak-budak bermain bila dah bertemu sepupu diorang. Iffah keluarkan papan congkak dan buah guli. Apa lagi, kakchik pun tumpang bermain sama. Ya Allah... seronok sekali dapat bermain congkak ni w/pun sudah lama ditinggalkan. Kemahiran kakchik masih tak hilang.

Dulu-dulu kakchik main congkak untuk tajamkan minda kakchik terutama matematik. Memang elok sangat jika kita mahu anak-anak bijak matematik. Isikan masa lapang dengan bermain congkak. Nak bergerak kena tahu mengira, menjangka dan membaca riak gerakan lawan, barulah kita lambat kalah dan menang bergaya dengan mengaut banyak buah lawan.

Bila tengok Adelia dan otak teringatkan congkak, kakchik rasa nak belilah satu papan congkak untuk letak kat rumah ni. Kalau bosan boleh kakchik bermain dengan cik abe atau anak-anak saudara. Bagus jugakan?

Penipu-Penipu Blogwalking

Assalamualaikum dan salam pagi ceria untuk teman-teman semua.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT sebab masih lagi diiznkan oleh-Nya untuk berada di atas bumi pinjaman ini untuk menambah bekalan hidup di akhirat nanti. Kalau semalam kita cuma dapat melakukan sedikit kebaikan, insyaallah peluang yang Allah beri pada hari ini mestilah kita gunakan sepenuhnya dan sebaik-baiknya untuk mendapatkan sebanyak-banyak manfaat dan mestilah dengan niat kerana-Nya.

Sumber: Riwayat Hariku

Berkaitan dengan itu kakchik ingin kongsikan maklumat yang telah dikongsikan oleh teman blogger iaitu SOP (Riwayat Hariku) mengenai senarai blogwalkers yang penipu. Penipu dalam ertikata mereka KONONnya datang singgah ke blog kita dengan meninggalkan komen di shoutmix atau cbox walhal sebenarnya mereka tak pernah datang pun.

Terima kasih kepada SOP kerana kongsikan SENARAI INI:
Newbie
Kasim Ahmad (BulanPurnama | MariLompat)
Innovator - 
Joe -
Fashion Girl
Sembang Kosong - ---- kalian kenal dia ini ~!!!
Popolita ( rasa macam nak bagi pelempang je... )
Cilupbah (kalian pasti kenal dia~!)
Anggur
Melati Putih
Cahaya Cinta
Suhaisweet
GetMovie124
Umar Yang Cute <---- Kalian PASTI KENAL~!
Blur a.k.a Jiwa Kacau -<---- kalian kenal dia~!!!
Syamsid - 
Joe a.k.a Faizol-1

Kakchik merahkan nama-nama samaran yang memang selalu saja ada di shoutmix kakchik tak kira pagi petang siang malam. Sekali baca mesej dan tengok url ringkas pun kakchik dah tahu mereka PENIPU. Sebab itu kakchik sudah tidak layan dan tidak pernah klik pun URL mereka. Sesetengah tu sudah kena BAN TAHAP EXTREME tapi... tahu ajelah, kalau dah tak sedar diri tu mereka akan usaha guna ROBOT yang lain pula.

Kakchik rasa ada lagi yang baru-baru belum masuk dalam senarai kat atas tu. Ada yang tinggal komen,

"Hai. Terima kasih sudi singgah blog saya."
atau,

"Salam. Ini adalah kunjungan balas dari saya."

Bunyinya macam kita sudah pernah singgah di blog mereka dan kini mereka datang untuk kunjungan balas. Kakchik dah terkena dua hari lepas dengan mesej sebegini. Bila tengok URL bukan yang shortcut jadi kakchik klik nak tengok. Manalah tahu kot kakchik lupa yang kakchik pernah singgah dan tinggalkan mesej atau komen.

SAH! Memang tak pernah singgah pun lagi kat blog tu. Terkenalah nampaknya. Taktik para PEMALAS yang nak orang datang ke blog mereka mungkin atas beberapa alasan yang berkaitan dengan jumlah pengunjung yang juga bersangkutan dengan MEMBUAT DUIT untuk blog. Iysk... isyk... isyk... tak baiklah macam tu.

Elakkan dari MENIPU dalam apa juga perkara yang kita buat. Kalau tak sempat atau tak mampu nak BLOGWALKING ke blog orang, SABARLAH. Cari masa, BWlah puas-puas. Jangan tinggal mesej SPAM, pemilik blog akan tahu anda TIDAK IKHLAS. 

MENIPU BERDOSA! MENIPU BERDOSA!

Elakkan dari menipu dari sekecil-kecil perbuatan misalnya blogwalking dan lebih-lebih lagi jika perbuatan besar yang akan membawa mudarat. Ingat, MENIPU BERDOSA.

19.1.11

Mana nak cari kedaibuku kakchik?

Di sini:


Assalamualaikum dan selamat malam.

Ramai yang bertanya di mana kedaibuku kakchik? Baiklah, walaupun sudah acap kali juga kakchik menyebut alamatnya di sini dan di blogshop MariBaca Bookstore pun ada alamat lengkap, kakchik rasa dengan gambar maklumat akan jadi lebih jelas.

Inilah bangunan kompleks membeli-belah Kota Sri Mutiara yang di sebelahnya ialah Hotel Renaissance dan di dalamnya ada Pasaraya Billion. Kedaibuku MariBaca berada di dalam kompleks ini di TINGKAT 3 depan Butik AVON.

Kakchik harap kawan-kawan yang mencari-cari kedaibuku MariBaca lepas ini tak akan tersilap lagi. Tambahan maklumat, bangunan ini letaknya berhadapan dengan Sek. Keb. Langgar di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat dengan Masjid Langgar yang terkenal tu.

Kalau dari Pasir Puteh, Bachok dan Kubang Kerian mahu ke Kota Bharu pasti akan melalui hadapan bangunan ini. Dari jauh lagi sudah boleh nampak kerana:


Bangunannya sangat tinggi. Jadi, jemputlah singgah ya di MariBaca Bookstore jika kalian turun ke KB. Biasanya hari Khamis kakchik akan berada di kedai. Hari lain kakchik bekerja di Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'. 

Sekian, terima kasih.

Perkongsian: Memakai Tudung Dengan Betul

Assalamualaikum dan selamat tengahari semua.

Kakchik terbaca satu soal-jawab agama di dalam sebuah majalah dan merasa sangat elok jika kakchik kongsikan dengan teman-teman semua. Jomlah kita baca. Kakchik sudah membacanya tapi apa salahnya jika dibaca lagi sekali kan?

Gambar hiasan dari arkib KakChik'S Wardrobe.


SOALAN: Bagaimanakah cara memakai tudung yang betul mengikut syariat Islam? (Ku Iz, Rembau, Negeri Sembilan)

JAWAPAN:

Allah berfirman:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman... hendaklah mereka menutup belahan dadanya dengan tudung kepala mereka." (Sebahagian dari ayah 31 surah al-Nur).

Berdasarkan ayat ini, maka memakai tudung bukan sekadar untuk menutup kepala dan rambut, tetapi hendaklah dilabuhkan ke hadapan sehingga menutup payudara mereka. 

"Belahan dada" yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah bentuk V yang terletak di antara payudara. 

Ini adalah kawasan yang paling kerap didedahkan oleh fesyen pakaian wanita, padahal inilah kawasan yang sepatutnya ditutup dengan pakaian, kemudian ditutup lagi dengan kain tudung.

Ada pun fesyen tudung mini yang tidak sampai menutup payudara atau tudung yang diikat ke belakang kepala, leher atau bahu, ia tidak betul mengikut syariat Islam. 

Selain itu, tudung yang nipis dan tudung yang dipakai untuk menunjuk-nunjuk juga tidak betul mengikut syariat Islam.

Terima kasih kepada Ust. Kapten Hafiz Firdaus Abdullah yang telah menjawab persoalan ini.

Semoga perkongsian ini akan memberi manfaat kepada kita semua.

Sumber: Dara.com, Januari 2011

Tak puas tengok

Rekaan terbaru tema LOVE THE WAY YOU LOOK

Assalamualaikum dan salam pagi ceria semua.

Entri santai pagi ni sekadar gambar pencuci mata untuk menghiburkan hati kakchik je. Tak tahulah kenapa sejak kakchik buat set ni semalam, kakchik suka benar nak ulang tengok. Perasan sungguh. Hati kata cantik, macam dalam majalah je.

Sesekali menghiburkan hati sendiri tak salah kan? Kalau tengok dalam gambar tu, ketinggian tumit kasut tu buat tak tahu aje ya. Insyaallah kat luar kakchik tak pakai yang tinggi melangit macam tu. Lagipun kurang sesuai dengan kita. Letak kasut tu pun sebab gabungan warnanya sangat kena dengan warna abaya tu.

Bila tengok gambar ni kakchik rasa bersemangat. Kakchik memang suka gabungan warna hitam dan merah. Abaya dan tudung pun banyak yang ada warna merah tapi sikit-sikit saja. Kalau banyak sangat merah kakchik tak gemar. Bimbang terlalu menonjol. Cukuplah secalit dua untuk naikkan semangat diri.

Rasa macam tahun ni nak mula buat rekaan untuk cadangan gaya berpakaian ala-ala magazine spread la pulak. Sambil-sambil menggilap bakat dalam bidang editing. Mana tahu kot satu hari nanti kakchik akan jadi editor pulak, hehe.

Bila elektrik terputus...

Assalamualaikum.

Tadi sebelum Maghrib elektrik terputus. Kami lepak-lepak sambil mendengar cerita. Siapa lagi yang bercerita kalau bukan kakchik, hehe. Bukan ape... anak-anak saudara kakchik ni macam excited sangat bila takde bekalan elektrik. Berderet diorang datang ke rumah. Ada yang kepit botol susu kat celah gigi dan ada juga yang sibuk nak bermain lampu suluh mini.

Cik abe menjadi mangsa Nana untuk menggentel, tabiat semulajadi bila dia nak hisap susu. Ingatkan dah masuk umur 6 tahun ni dia dah berhenti rupanya masih lagi ada tabiat tu. Emran pula hisap susu sambil gentel bucu bantal. Hahaha... macam-macamlah diorang ni.

Kakak dan Nana yang tak duduk diam langsung.
Oleh kerana masa bergelap agak lama tadi, kakchik main-main dengan kamera bersama kakak dan nana. Lepas tu diorang mula bising. Macam seronok je dapat baring-baring kat rumah kakchik. Si nana siap cakap, "panaslah dok atas rumah tokmek. Rumah chikja sejuk." Pandailah dia. Ada-ada je.

Toto saiz queen tu nak share 4 orang (3 budak kecik dan sorang dewasa) tentulah semuanya kena mengerekot sikit. Mulalah diorang nak bergaduh berebut ruang. Kesian suami kakchik tu terpaksa dok tengah-tengah. Kelakar sungguh kakchik tengok.

Eqbal sibuk nak pegang kamera.
Untuk alihkan perhatian diorang dari bergaduh adik-beradik, kakchik ajak diorang dengar cerita. Mestilah cerita dari pengalaman hidup barulah ada nilai moral yang tinggi. Kakchik cerita pasal macamana kakchik suka tidur di rumah arwah Mok, tiap-tiap malam berebut nak tidur kat celah ketiak arwah sebab hangat dang seronok dapat dengar ceritanya.

Lepas tu kakchik cerita pasal sekolah pulak. Dulu kakchik dan ibu diorang tak pernah dapat nombor lebih dari no 3 dalam seluruh sekolah. Sekali saja kakchik dapat no 3 masa darjah 2, terus dinasihati oleh tokmek (Ummi) dan tokmok (arwah Mok) sampai ke hari ni nasihat tu melekat. Alhamdulillah.

Semuanya berbaring kat depan rak buku, kawasan sejuk.
Cerita pulak tentang zaman kanak-kanak ibu diorang yang suka berbedak putih dan bertocang dua bila ke sekolah. Dulu adik kakchik tu ulat buku. Rasanya hampir semua buku yang ada dalam perpustakaan sekolah dibacanya. Patutlah dia menang anugerah pelajar rajin membaca masa tapi sejak kerja kat wad O & G, jarang kakchik tengok dia baca buku. Mana nak sempat... anak pun dah 5 termasuk 4 orang yang dok terkekeh-kekeh gelak mendengar cerita kakchik.

Nana ni macam-macam memek muka dibuatnya.
Belum sempat kakchik nak sambung cerita elektrik pun ada semula. Apa lagi kakchik dengan cik abe nak solat Isyaklah. Tadi takde air nak berwuduk. Kesian pulak bila tengok diorang, macam frust je tak dapat dengar cerita. Kakchik suruh diorang balik tidur awal sebab esok nak ke sekolah.

Alhamdulillah semuanya dengar kata kakchik dan balik tidur. Sekarang, kakchik pun nak tidur juga. Selamat malam. Assalamualaikum. Esok kita bercerita lagi. Insyaallah.
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs