Followers

31.12.12

Essential Items On Working Days.

Hari Terakhir 2012 Masehi Yang Hujan Lebat

Bismillahir-Rahmanir-Rahim.

Hujan di Zahra' saat ini.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam mahabbah untuk teman-teman blogger dan juga para pengunjung yang singgah sebentar di sini. Alhamdulillah, syukur dengan nikmat Allah dapat lagi kita panjang umur hingga ke hari ini, hari terakhir 2012 Masehi. Dan di saat ini hujan lebat sedang mencurah-curah di luar sana. Terasa mahu saja kakchik mematikan suit penghawa dingin pejabat ini tapi nanti cepat pula bahang panas dirasai.

Elok kita baca doa semasa hujan dulu kan? "Bismillahir-Rahmanir-Rahim. Allahumma soyyiban nafi'an. Amin." Semoga Allah menurunkan hujan ini penuh dengan manfaat kepada kita semua. Semoga jika rezeki kita di langit Allah turunkan ianya bersama hujan ini. Jika rezeki kita jauh maka berkat waktu siang ini, berkat hujan yang menyegarkan ini, rezeki kita akan datang kepada kita dari segenap ruang. 

Dari tingkap pejabat kakchik.

Sepanjang 3 hari Allah hentikan hujan dan izinkan kita menikmati sinaran matahari yang panas dan banjir mula menyurut. Alhamdulillah. Syukur dengan nikmat panas. Nampaknya Allah masih mahu turunkan hujan yang berbaki di awan sana ke bumi Kelantan ini. Khabarnya Pahang dan Terengganu juga hujan hari ni. Rahmat Allah semuanya untuk kita walau ada yang diuji dengan banjir. Sabarlah. Banyak hikmah dari kesabaran dan ujian ini.

Hari ni selalunya malam nanti akan ada sambutan di ambang tahun baru di seluruh negara. Dulu-dulu sambutan yang dbuat penuh dengan maksiat tapi sejak Kelantan diperintah oleh sebuah Kerajaan yang mendaulatkan Islam, sambutan tahun baru telah berubah di Kelantan khususnya dan kelihatannya negeri-negeri lain juga mulai membuat perubahan ke arah yang lebih Islamik.

Zaman kanak-kanak dulu, tempat beginilah tempat 'mandi kerbau' hehe.

Secara peribadi, kakchik tidak suka dengan acara-acara sambutan tahun baru masehi ni. Bagi kakchik Awal Muharram lagi bermakna kerana sebagai seorang Islam, merayakan hari-hari kebesaran Islam adalah lebih baik. Lagipun sambutannya banyak dipenuhi dengan aktiviti keagamaan yang menambahkan amal ibadah kita. Berlainan pula dengan sambutan tahun baru masehi. Anda sendiri pun dapat bayangkan bagaimana suasananya kan?

Kini, dengan kesedaran Islam di kalangan beberapa Kerajaan Negeri dan artis-artis pun semakin ramai yang berhijrah, sambutan tahun baru juga mendapat tempiasnya. Pengalaman kakchik terlibat dengan sambutan tahun baru 2009 untuk Negeri Kelantan dulu telah membuka minda ramai orang bahawa, kita boleh raikan sesetengah acara yang melibatkan rakyat dengan membuat pengisian yang Islamik. 

Pokok segar ditimpa hujan.

Misalnya, ada kuliah agama disampaikan oleh ulamak terkenal tanahair, ada persembahan pentomin mengenai perjuangan umat Islam Palestin, ada persembahan nasyid oleh kumpulan-kumpulan nasyid terkenal seperti Rabbani dan apabila detik 12 malam tiba, azan dilaungkan di dalam stadium dan selepas itu majlis bersurai selepas bacaan doa oleh Tuan Guru Menteri Besar.

Itulah kelainan pada sambutan tahun baru yang diadakan di negeri ini. Kakchik rasa selamat untuk turut sama terlibat menjayakannya. Apapun, tahun ini Kelantan tidak akan mengadakan sambutan tahun baru. Jangan terkejut ya. Bagi kakchik, ok je kalau tak buat pun. Lagi yang lebih diutamakan ialah usaha kita yang berterusan untuk memartabatkan Islam tak kira tahun lama atau tahun baru.

Dalam hujan lebat dan suhu bilik yang sejuk ini, kakchik ingin mengajak para pembaca blog Keluargaku Sayang ini untuk sama-sama meneruskan usaha untuk membina jatidiri sebagai seorang Islam yang baik agamanya, bagus akhlaknya dan murni budi pekerti. Hidup ini untuk meningkatkan kualiti diri dan memberi nilai kepada orang lain.


Salam sayang,
KakChik Niza

28.12.12

Kuliah Jumaat TGNA : Surah As-Saaf

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamualaikum dan salam jumaat untuk semua. Hari ni kakchik tak berfesbuk buat sementara waktu. Nak luangkan waktu pagi untuk kuliah jumaat. Oleh kerana kakchik tak ke Dataran Ilmu jadi kakchik tonton sambil dengar kuliah jumaah yang dikongsikan orang lain di youtube.

Hari ni kakchik dengar kuliah jumaah TGNA mengenai Surah As-Saaf.








Doa TGNA sebelum mengakhiri kuliah.


Meluangkan masa sejam lebih untuk menambah ilmu agama adalah baik. InsyaAllah dapat ganjaran dari Allah SWT.

** Semua video di atas bukan milik kakchik tapi kepunyaan tuan punya saluran bernama YangAkuSegala di youtube.

26.12.12

3 IDIOTS - Such an awesome film

BismillahirRahmanirRahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Sudah lama kakchik tak menulis tentang filem mungkin kerana kakchik pun sudah jarang sekali mempunyai masa terluang yang panjang untuk duduk dan menonton. Setiap detik terasa amat diperlukan untuk kerja-kerja yang dinamik berbanding duduk statik di sesatu tempat dan menonton.

Tapi, satu artikel di laman fesbuk Darwis Tere Liye telah mencetuskan keinginan untuk kakchik menonton filem 3 IDIOTS. Sebenarnya kakchik pernah cuba menontonnya satu ketika dulu tapi setakat beberapa minit di permulaan sahaja dan entah apa yang berlaku telah menghentikan proses menonton di tengah jalan.

Minggu lepas, peluang diberikan oleh Allah dan selepas otak agak penat bermesyuarat di sepanjang pagi, dan sebahagian waktu petang kakchik melayan kunjungan pelanggan di rumah, selepas Asar, kakchik terasa amat-amat mahu menontonnya dan berjaya.

Ini kesimpulan yang kakchik dapat hasil menonton filem 3 IDIOTS tersebut. 

1. Pendidikan adalah sesuatu yang menyeronokkan bagi mereka yang benar-benar mahukan ilmu dan memanfaatkannya betul-betul.

2. Bersahabat mestilah jujur antara satu sama lain.

3. Segulung ijazah bukan penentu masa depan yang bahagia jika kita terpaksa mendapatkannya.

4. Lakukanlah sesuatu kerana kita suka dan seronok melakukannya bukan kerana orang lain.

5. Kita bukan robot tapi manusia yang mempunyai perasaan.

6. Jadikan tekanan, cemuhan, ejekan dan sindiran sebagai satu peluang untuk mencabar kemampuan diri.

7. Berterus-terang adalah lebih baik daripada memendam perasaan.

8. Berkorban untuk kebahagiaan ibu bapa dan keluarga adalah baik tapi jangan sampai diri terkorban.

9. Taktik kotor dalam menjatuhkan lawan adalah sangat salah di dalam meraih kejayaan peribadi.

10. Persahabatan yang jujur dan ikhlas berkekalan sampai bila-bila.

11. Ada juga filem Hindi yang bagus dan tidak steriotaip.


Kakchik tahu dah ramai teman-teman yang telah menontonnya dan ada banyak kesimpulan yang boleh dibuat. Apa yang penting, kita ada pilihan filem yang mempunyai banyak nilai-nilai moral yang positif jika mahu ditonton bersama anak-anak. 

Ada rasa seronok, kelakar, sedih, bersemangat dan sebagainya dari tontonan filem ini. Bagi kakchik filem ini sesuai ditonton bersama anak-anak dan boleh sama-sama bersembang mengenai nilai yang mereka dapat dan boleh dimanfaatkan buat diri-sendiri.

Satu babak yang membuatkan kakchik ketawa ialah di sini (harap maafkan penterjemahnya, perkataan 'rape' tu sepatutnya 'screwed'). Babak ini mengajar kita agar jangan menghafal semata-mata tapi fahami dan hayati makna di sebalik setiap ucapan kita.





Terjemahan sajak pendek yang disampaikan oleh Chatur:

Uthamam dadatu paadham.
The loudest fart is like a motor vechile.

Madyam paadam tuchuck tuchuck.
The middle fart is like the sound of a train.

Knishtam thud thudiya paadam.
The smallest fart.

Sur suriiee praana kadakam.
Is a silent killer.

25.12.12

BERANI 2013

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum. Salam sejahtera semua.

Dah malam. Dah selesai 2 kali solat yang wajib. Dah selesai uruskan makan minum suami. Dah luangkan masa untuk mengaji Qur'an. Dah luangkan masa beramah-mesra dengan Ummi Ayah dan adik-kakak serta anak-anak saudara. Dah membaca serba-sedikit. 

Alhamdulillah... 

Malam ni saja kakchik nak menulis lagi. Mungkin Allah bagi ilham yang bagus semasa kakchik menulis ni. 

Sekarang ni musim hujan di Kelantan. Negeri-begeri lain di Pantai Timur pun hujan juga. Sejak semalam, banjir pula melanda beberapa kawasan di ketiga-tiga negeri ni. Mungkin Johor pun dilanda banjir juga tapi kakchik belum dengar sebarang berita.

Hari ni kakchik cuti. Selalunya kalau 25 Disember Zahra' tak cuti tapi tahun ni dapat rezeki pula dari orang besar. Alhamdulillah dapatlah kakchik menikmati cuti percuma dengan bersama suami dan keluarga. Sangat-sangatlah bermakna bila ada banyak masa untuk bersama mereka.

Tapi kakchik teringat juga Mak dan Ayah mertua di kampung di Pasir Puteh tu. Agak lama juga kami tak balik menjenguk mereka. Sekarang ni kakchik harapkan khabar berita melalui status di fesbuk adik-adik ipar saja. Alhamdulillah mereka semuanya sihat dan baik-baik saja.

Moga-moga banjir tak melanda di sana. Moga Allah lindungi keluarga mertua kakchik dari mara bahaya. Amin.

Esok nak masuk kerja semula. Sebenarnya ada satu urusan kerja yang kakchik bawa balik ke rumah. Sepatutnya kakchik selesaikan di Zahra' saja tapi entah angin malas mana yang datang, kerja tu kenalah diselesaikan di rumah. InsyaAllah esok nak bentang dalam mesyuarat terakhir Zahra' untuk 2012.

2013

Tinggal kurang lebih 5 hari lagi. Kalau masih panjang umur, merasalah kakchik hidup di tahun 2013 nanti. Allah saja yang Maha Tahu. Apa yang kakchik doakan ialah, Allah panjangkan umur dan limpahkan rezeki buat kakchik, suami dan keluarga. 

Umur yang panjang dan badan yang sihat untuk curahkan tenaga beramal makruf nahi mungkar bersama jemaah dan Kerajaan Islam Kelantan. Umur yang panjang, kakchik manfaatkan sebaik-baiknya untuk kaya dan berjaya di dunia tanpa melupakan amal bakti untuk diri dan orang lain agar kakchik juga kaya dan berjaya di akhirat nanti.

Doa agar Allah limpahkan rezeki dari apa jua aspek. Rezeki tu kan luas maksudnya. Ramai orang ingat bila sebut rezeki maksudnya duit, makan dan peluang. Rezeki ni apa saja yang Allah beri nikmat kepada kita. Apa saja. Rezeki mata, dapat melihat. Rezeki hidung dapat menghidu. Rezeki mulut dapat senyum, berkata yang baik-baik. Macam-macam.

Tiap yang bernyawa sudah ditentukan oleh Allah rezeki masing-masing tapi janganlah pula kita jadi pemalas. Rezeki itu kalau tak diusahakan dia tak akan mudah-mudah datang bergolek. Lebih-lebih lagi kalau nak rezeki yang melimpah. Allah suka hamba-Nya yang tekun berusaha.

Jadi, 1434 Hijrah ni kakchik lebih BERANI. Kakchik yakin, butik Abaya Elegan akan dibuka. MESTI BERANI agar impian menjadi kenyataan. Kalau masih rasa takut-takut, kakchik akan terus ketinggalan. MESTI BERANI bersedia untuk berhenti kerja. Ya, bukan mudah nak meninggalkan 'comfort zone' dan meluangkan 100% masa untuk bisnes.

Banyak yang perlukan DISIPLIN dan KONSISTEN. Sekarang ni masih tidak begitu konsisten.

Umrah

Dalam agenda tahun baru ni, umrah adalah MESTI. Ya Allah, kabulkanlah doa ini. Izinkanlah hamba-Mu ini menunaikan umrah bersama suami dan ummi ayah dalam bulan Mei nanti. Amin. Ini rezeki dari-Mu yang amat-amat diharapkan saat ini. Perkenankanlah Ya Allah.

BERANI meninggalkan sifat-sifat orang yang lambat berjaya. 
BERANI melawan nafsu boros berbelanja.
BERANI setiap hari memasukkan duit ke dalam tabung FFF.
BERANI menyahut cabaran bisnes dengan STRATEGI yang memberi impak yang pantas.
BERANI menamatkan kontrak dengan Syarikat Ego Besar Sdn Bhd.
BERANI melabur untuk ilmu.

Banyak yang perlukan keBERANIan.

Ya, kakchik seorang yang BERANI.

Insya Allah.


KakChik Niza
ps: Blog ditulis spontan

20.12.12

No Family Is Perfect

Bismillah.

Diri kita ini dibentuk oleh sebuah keluarga. Bagi kakchik, keluarga kakchik adalah sangat bermakna dalam hidup ini. Merekalah yang banyak menyumbang ke arah terbentuknya peribadi seorang 'kakchik' pada hari ini.

Keluarga kakchik bukanlah 'perfect' sebagai sebuah keluarga Islam tapi bagi kakchik keluarga inilah keluarga yang terbaik yang Allah takdirkan buat kakchik. Ada Ummi dan Ayah yang begitu bersabar dengan perangai kakchik dari dulu hinggalah ke hari ini.

Syukur alhamdulillah, kakchik dilahirkan dengan mempunyai abang-abang, kakak-kakak, adik-adik perempuan dan adik lelaki (arwah), lengkap sekali untuk mempunyai perasaan yang seimbang sebagai seorang anggota keluarga.

Terima kasih Allah di atas kurniaan ini.



19.12.12

PERKONGSIAN: 12 BARISAN DI AKHIRAT


12 BARISAN DI AKHIRAT~

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah S.A.W. dan bertanya kepada baginda:

“Wahai Rasulullah S.A.W., tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah S.W.T”

Erti firmanNya;

“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris” (Surah al-Naba’)
Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab;“Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepadaku perkara yanag amat besar bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan diri mereka sendiri.”

Maka Rasulullah menyatakan setiap barisan yang sebanyak 12 barisan.

BARISAN PERTAMA

Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA

Diiringi dari kubur dalam berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEEMPAT

Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

“Mereka adalah orang yang berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELIMA

Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu, Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka kerana takut diketahui manusia, tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEENAM

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETUJUH

Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah.

“Mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELAPAN

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

“Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEMBILAN

Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

“Mereka adalah orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEPULUH

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

“Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEBELAS

Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terlanjur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

“Mereka adalah orang yang meminum arak. Maka inilah balsannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan;

“Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.

Disalin dari fesbuk Tanyalah Ustaz


17.12.12

Niqaabi Berakhlak Baik

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para tetamu yang hadir di blog kakchik ni. Lama tak menulis ni memang mengambil masa untuk memulakan. Berperang sikit dengan perasaan mengenai topik yang nak dikongsikan kat sini. Bukan mudah tau nak pilih satu perkara untuk diceritakan. Apatah lagi topik tu kakchik harap membawa manfaat kepada diri-sendiri dan pastinya kepada kalian juga yang membacanya.



NIQAB

Sejak banyak kali menulis tentang pengalaman memakai niqab ni kakchik seolah-olah macam pakar niqab pula bagi sesetengah pembaca. Ada yang mendapat inspirasi untuk berubah penampilan diri hasil dari membaca cerita-cerita kakchik tentang niqab. Banyak mesej dan email berkenaan hukum pemakaian niqab, nak pakai niqab famili halang, nak pakai niqab tapi diri masih belum cukup solehah dan macam-macam lagi. Kakchik sampai tidak kemampuan lagi untuk membalas semua pertanyaan tersebut.

Untuk yang nak tahu, kakchik mula memakai niqab semasa di tahun kedua pengajian di universiti iaitu dalam tahun 1995 iaitu di awal Ramadhan. Pada masa tu kakchik pakai 'on n off' kerana peraturan universiti dan beberapa situasi yang menghalang. Kakchik mula istiqomah memakainya di khalayak umum ialah sebaik saja tamat pengajian. Memang ada situasi yang kurang menyenangkan semasa temuduga tapi akhirnya kakchik diizinkan Allah mendapat pekerjaan di organisasi yang tidak kisah dengan penampilan kita asalkan menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah.

Pada masa tu tak ramai orang yang memakai niqab secara terbuka dan kakchik hanya bertemu rakan yang juga berniqab apabila menghadiri usrah ataupun program-program jemaah. Jarang benar kakchik nampak atau jumpa muslimah lain yang berniqab semasa kakchik keluar ke bandar sama ada di KB atau di KL. Tapi hari ni, masya-Allah... boleh dikatakan memakai niqab adalah satu penampilan yang sangat menarik hati wanita untuk turut beramal dengannya. Niqab mewarnai dunia nyata malah dunia facebook juga menjadi meriah dengan para niqabi.

Kakchik melihat perubahan positif ini secara positif walaupun ada sekelumit sudut negatif yang berlaku tapi bagi kakchik kalau kita mencari yang negatif kita pastinya tak mampu nak melihat atau menghargai yang positif. Hari ni di merata tempat kita boleh jumpa muslimah berniqab yang berjubah lengkap. Niqab menutup segalanya hatta sepasang mata dilengkapi jubah abaya yang longgar dari kepala hingga ke lantai. Kita juga boleh melihat muslimah berjubah biasa dan berniqab sama ada niqab ala Arab ataupun niqab ala Malaysia yang lebih dikenali dengan nama purdah.

Biasa juga kita lihat dan jumpa muslimah berbaju kurung memakai niqab. Oleh kerana kita hidup dalam negara yang ramai berbangsa Melayu dan pakaian tradisional wanitanya ialah baju kurung, maka tidak hairan kalau ada niqabi yang berpakaian tersebut. Bagi kakchik baju kurung masih mampu menutup aurat dengan baik selama mana ianya memenuhi ciri-ciri pakaian wanita Islam yang sebenar.

Kadang-kadang kita jumpa muslimah berseluar panjang dan bert-shirt labuh paras lutut memakai niqab. Sesetengah orang menganggap ini pelik dan tidak sesuai tapi selagi ciri-ciri pakaian wanita Islam itu dipenuhi, tidak salah rasanya. Untuk bersenam kakchik juga berpakaian begitu. Satu masa dulu kakchik pun pernah berpakaian jubah seluar dan berniqab tapi hari ni kakchik lebih selesa berabaya. Rasa lebih yakin dan selamat untuk ke mana-mana.

Apa yang pasti, hari ni niqab dipakai oleh muslimah dengan pelbagai cara berpakaian yang masih menepati kod etika pakaian Islam. Apabila pakaian sudah begitu, ada satu lagi yang amat serasi dengan pemakaian niqab iaitu...

AKHLAK

Alhamdulillah... penampilan sudah cantik dan elok di pandangan kita dan pandangan umum. InsyaAllah di pandangan Allah jua. Sudah tentulah penampilan itu selari dengan kebaikan akhlak yang diamalkan oleh pemakainya. Ya, kakchik akur, akhlak kita tidaklah semulia wanita-wanita contoh teladan yang kita selalu baca tapi kakchik yakin setiap kita saban hari berusaha untuk membina peribadi yang berakhlak mulia. 

Menjaga mata, menjaga mulut dan lidah, menjaga telinga, menjaga segala anggota dan pancaindera kita dari perkara mazmumah seharusnya menjadi satu perjuangan untuk kita. Walaupun kita hidup di alam nyata namun kita juga hidup di alam maya, di dunia siber berupa facebook, twitter, instagram, blog dan sebagainya. Maka, wajiblah untuk kita turut menjaga akhlak kita di kedua-dua alam ini. Jangan biarkan diri kita menjadi talam dua muka dan janganlah bermuka-muka.

Akhlak yang baik di alam nyata dan alam maya boleh diketahui oleh orang lain yang berhubung dengan kita. Lebih-lebih lagi jika kita diberi peluang oleh Allah untuk berhubung juga di alam nyata. Menjaga akhlak ini sangatlah penting. Tulisan-tulisan kita di alam maya, nilai sebaik mungkin sebelum kita publish kepada umum. Bukan sahaja mata manusia yang membacanya tapi dua malaikat di kiri-kanan turut mencatat dan merekod dan Allah SWT Maha Melihat segala sesuatu.

Bila kita berpakaian menutup aurat dengan baik maka usahakanlah agar akhlak kita juga semakin hari semakin baik. Mula-mula kita kena berakhlak mulia dengan diri-sendiri dulu. Dari situlah kita akan mampu membina akhlak mulia dengan orang lain di sekeliling kita. Senyuman, ketawa, kata-kata, tulisan dan sebagainya menjadi talian akhlak kita sama ada baik atau buruk.

Ada pembaca tanya, "Kakchik macamana nak jadi baik sedangkan saya ni seorang yang ketawa pun terbahak-bahak. Orang sindir, pakai niqab tapi perangan kasar macam lelaki!?" Begini... segalanya perlukan tarbiah/didikan dan latihan yang berterusan. Kakchik juga ada fasa dalam hidup yang memalukan jika diingat kembali tapi dengan azam yang kuat, kawan-kawan yang baik, kakchik cuba, cuba dan akan terus cuba untuk menjadi muslimah berniqab yang berakhlak baik. Nak kata mulia tu tak berani dan serahkan aje kepada penilaian Allah.

Kita kasar macam lelaki, kita sendirilah yang kena paksa diri kita menjadi tidak kasar seperti lelaki. Latih sifat-sifat kewanitaan yang ada, kenali ciri-ciri wanita solehah dan beramallah, beramallah dengan hati gembira. Latih dan bentukkan sifat kasar yang ada itu menjadi sifat tegas dan berani untuk Islam. Apabila situasi memerlukan kita menjadi tegas dan berani maka sifat tersebut akan muncul. Di masa-masa lain kita latih diri menjadi muslimah yang tenang, lemah-lembut, penuh senyuman, mesra, pemurah dan seumpamanya sesama kita dan kena pada tempatnya.

InsyaAllah barulah selari antara penampilan dan perlakuan kita. Moga terhindarlah fitnah dan cerca orang terhadap penampilan kita. Allahu'alam.


KakChik Niza
ps: Maafkan salah silap kerana kakchik menulis tanpa merancang. Apa yang ada di minda kakchik tuliskan bersama sedikit pertimbangan.

10.12.12

Clearance Sale di Abaya Elegan

Bismillahirrahman nirrahim.
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Sedikit khabar gembra untuk peminat abaya.
InsyaAllah butik online kakchik, Abaya Elegan akan mengadakan jualan penghabisan stok.
Clearance Sale ni maklumatnya ada di bawah.



Related Posts with Thumbnails