Followers

28.4.12

BERSIH 3.0

4 comments
BISMILLAH.

Hari ni 28 April 2012, ialah kali ketiga gerakan BERSIH diadakan. Jadi ia dipanggil BERSIH 3.0. Kakchik tak join tapi kakchik menyokong apa yang dituntut di dalam BERSIH. 

Ini pun mau BERSIH juga ya.


Apa sebenarnya yang dituntut oleh BERSIH? Oleh kerana kakchik dah makin lupa, maka kakchik Google untuk mendapatkan maklumat yang berkenaan. Kakchik tak suka mengikut orang, lebih suka mencari, membaca, mengkaji dan memahami.

Inilah hasil carian kakchik: Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0 

(Kali ni dah 3.0 harap-harap takde yang seterusnya jika Kerajaan buat perubahan dan ambil kira tuntutan rakyat ini.)

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding. (berita berat sebelah saja yang ditayangkan, yang buruk semuanya dilakukan di negeri Pakatan Rakyat - benci betul.)

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

  • Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
  • Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
  • Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
  • Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.


7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Sumber: http://bm.bersih.org/?page_id=2673

Semoga Allah membantu mereka yang membantu agama-Nya, membantu hamba-hamba-Nya yang lain dalam mendapatkan hak kehidupan yang adil dan saksama. Bumi Malaysia ini nampak aman tapi diskriminasi amatlah kuat terutama dari Kerajaan Pusat kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat. Walaupun majoriti seagama Islam tapi sikap 'gentleman' jarang diamalkan.

Kakchik rakyat Kelantan, sudah hidup di negeri ini hampir 40 tahun, rasanya kakchik layak mengatakan apa yang anda selalu tonton, dengar dan baca dalam suratkhabar perdana dan stesyen tv2 yang ada, banyak berita yang tidak adil. Allahu Akbar!

Apapun, kakchik doakan perhimpunan hari ni yang diharamkan oleh mahkamah manusia, akan berjalan lancar tanpa sebarang provosi dan Allah menjaga hati-hati setiap yang menyertai agar sentiasa mengingatiNya, sabar dan ikhlas dalam perjuangan. Segala amalan bermula dengan niat kan? Semoga usaha kita dalam menegakkan keadilan tidak sia-sia.


25.4.12

Kuliah Bulanan Kakitangan Wanita Kelantan: Bidadari Dunia

0 comments
BISMILLAH.

InsyaAllah kakchik akan cuba masukkan serba-sedikit ulasan tentang apa yang kakchik perolehi semasa menghadiri kuliah bulanan kali ni. Sebelum tu kalian tengok gambar-gambar ajelah dulu kerana kakchik ada banyak kerja.








Kakchik akan cuba kemaskini dengan ulasan sedikit masa lagi.

23.4.12

Hijabista, Apa Pandangan Kalian?

13 comments
BISMILLAH.


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar? Pagi-pagi buka blog dah ternampak gambar ini. Kakchik saja nak tanya, "apa pandangan kalian ya?"

22.4.12

Merekalah Anak-Anakku Ketika Ini

7 comments
BISMILLAH.

Isu zuriat tak pernah padam. Selalu saja ada yang bertanya dan selalu juga ada yang membuat hati tersentap. Kadang kakchik tabah tapi ada kalanya air mata jatuh juga.

Sepuluh tahun lebih melayari bahtera perkahwinan tanpa zuriat sendiri, hati wanita mana yang lupa untuk mendoakan agar satu hari ada 'berita baik' yang sentiasa dinanti. 

Tapi mulut manusia, cabulnya, lasernya tak sempat dah nak fikirkan hati dan perasaan kita. Takpelah... Allah tahu isi hati ini. Kalian siapa?

Usahlah bertanya lagi kalau sudah sekian lama anda tahu. Kakchik sedang berusaha untuk mengekalkan kebahagiaan diri, secara spiritual dan mental. Akan sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah.

Biarlah mereka menjadi cahaya mataku sementara menanti khabar dari Allah SWT.





21.4.12

Persiapan Untuk Pertunangan Adik

5 comments
BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah syukur, akhirnya adik kami semakin dekat jodohnya. 

Petang nanti insyaAllah Adik akan ditunangkan dengan seorang pemuda yang dikirakan oleh abang ipar kakchik. Khabarnya beliau seorang lelaki yang punya kerjaya yang tetap tapi kakchik sendiri tidka sempat ahu bertanya lanjut tentang latar belakang agamanya. Moga-moga Allah jodohkan Adik dengan pemuda beriman yang cintakan ilmu dan taat beragama.

Sudah hampir seminggu hidup kami sekeluarga agak sibuk dengan segala persiapan untuk kenduri pertunangan petang nanti. Maklum saja anak yang terakhir akan bertunang, Umi pastinya mahu buat kenduri besar sikit. Kakchik ni nak masak-memasak untuk kenduri, tidaklah pandai jadi kerja kakchik ialah menolong Umi membeli-belah dan memotong-motong bahan untuk gulai kawah dan lain-lain.

Nampaknya para pelanggan kakchik ramai juga yang tak dapat bersabar bila sehari-dua kakchik lambat membalas mesej dan menghantar email untuk borang tempahan mereka. Kakchik faham... tentu mereka risau takut kakchik tak mau layan permintaan mereka. Harap sabar ya, insyaAllah selepas majlis selesai, kakchik akan pastikan urusan dengan kalian akan berjalan lancar.

Ok, tak boleh nak mencatat panjang, nak mandi sekali lagi sebab nak ke pejabat untuk pos bungkusan pelanggan dan kemudian mengambil cheesetart yang telah ditempah dengan seorang kawan. Semuanya nak kena cepat sebab majlis dah tinggal beberapa jam saja lagi.

Hingga itu, jumpa lagi.

18.4.12

Teguran Allah Datang Dalam Pelbagai Cara

4 comments
BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kakchik nak berhenti kerja.

Itulah apa yang kakchik rasa sejak beberapa waktu tapi hari ini perasaan itu sungguh memuncak. 

Semuanya gara-gara sebuah kritikan yang sungguh menyayat perasaan dan kepercayaan serta keikhlasan.

Ada juga tergetus, adakah ada niat tak baik di sebaliknya?

Atau memang ia disertai niat yang ikhlas hasil pemerhatian yang tidak berat sebelah.

Sedetik hati berdetak, terasa amat sedih dan pilu hinggakan segala jari jemari yang ada bergetaran.

Ya Allah, aku tahu ini teguran dari-Mu.

Walaupun aku boleh menafikannya tapi pandangan manusia tidak akan sama.

Pandangan yang disertai keikhlasan atau iri hati, kakchik pun tak pasti. Moga-moga jujur ikhlaslah kritikan itu.

Iya, kakchik masih hamba-Nya yang sangat lemah. 

Masih terlalu banyak yang perlu dibaiki dan ditingkatkan terutama dalam amalan kakchik sendiri.

Bekerja ini satu ibadah jika disertai dengan niat kerana Allah.

Terima kasih Allah atas teguran itu. Aku menerimanya dengan hati terbuka walau aku terpana dan sedih.

InsyaAllah aku akan baiki dengan sebaik mungkin.

Kalau boleh aku mahu tiada lagi kritikan dan buruk sangka.

Aku letih mahu menafikan dan jika aku sekadar diam, banyak lagi yang buruk dan berpanjangan akan berlaku.

Tidak betah, tidak enak sekali perasaannya.

Pekerjaan ini amat kusuka. Aku memilih untuk bekerja kerana ia mendekatkan diriku dengan masyarakat.

Mohon Engkau terus menegurku ya Allah agar aku akan lebih teliti dalam setiap pekerjaan yang kubuat.

Tidur Tak Lena Bila Nak Mesyuarat

0 comments
BISMILLAH.


Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua. Apa khabar hari ni? Kakchik doakan iman kita semua masih dalam keadaan tinggi apatah lagi kita baru saja sejam yang lalu melaksanakan solat Subuh. Begitu juga dengan kesihatan kalian semua, semoga sihat sentiasa. Amin.

Hari ni, kakchik sebenarnya terasa macam tak cukup tidur kerana malam tadi memang tidur kurang lena. Begitulah selalunya jika siang esoknya kakchik ada mesyuarat. Ya, hari ni dalam jam 10 pagi kakchik ada mesyuarat pengurusan di perpustakaan. 

Dalam pekerjaan kakchik ni, agenda yang paling kakchik tidak gemar ialah mesyuarat. Nak tahu kenapa? Tentulah ada seba-sebabnya kan? Oklah, kakchik share dengan kalian sebab-sebab kakchik jadi tak lena tidur bila nak mesyuarat.

Satu, mesyuarat ni kakchik yang jadi pengerusinya. Tak best la... Dah lama sangat kakchik jadi pengerusi ni. Pernah nak rotate dengan staf lain tapi... entah macamana orang lain pun tak nak. Memang pun... kalau bagi pilihan kepada kakchik, kakchik nak jadi ahli mesyuarat je.

Kedua, kakchik kena buat laporan kewangan. Fuh, satu tugas yang sangatlah kakchik tidak minat. Urusan kewangan yang melibatkan akaun dan sebagainya ni kakchik rasa memang ramai orang tak minat. Dalam organisasi yang kecik seperti kami ni nak tak nak, kenalah juga sandang tugas ni sekali-sekala.

Ketiga, kakchik sudah mula rasa tidak selesa. Tak tahu nak hurai macamana tapi ... itulah, tak selesa.

Apapun, ada juga yang BEST bila ada mesyuarat ni. Ehhhhh takkanlah semua mesyuarat membosankan. Apatah lagi mesyuarat yang kakchik sendiri pengerusikan, betul tak? Hehehe... mestilah kakchik nak ianya ada unsur-unsur humor juga.

InsyaAllah mesyuarat pengurusan kali ni akan berjalan dengan lancar dan mungkin ada sedikit jamuan ringan selepas tamat. Selalunya begitu. Agaknya kalau tak bawa bekalan nasi tengahari, ok jugak kan?

16.4.12

Bercuti Panjang Dari Blogging

2 comments
BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada teman-teman semua terutama kepada yang sering singgah menjenguk kakchik di sini. Makin lama makin jarang kakchik dapat menulis. Kalau kalian perasan dan 11 hari kakchik meninggalkan blog Keluargaku Sayang tanpa sebarang khabar berita. Mungkin bagi yang selalu follow kakchik di facebook tak begitu terasa tapi bagi yang masih setia dengan blog, pastinya sedikit tertanya-tanya, kakchik ni nak berhenti blogging dah ke?

Sesekali cik abe tiba-tiba ajak makan angin ke pantai. Alhamdulillah.

Itulah, kakchik pun takde alasan yang munasabah nak dikongsikan. Mungkin alasan paling munasabah ialah jadual hidup kakchik hari ni jauh lebih padat dari beberapa bulan yang lalu. Makin hari makin banyak tugasan dan amanah yang tersandang ke bahu dan memerlukan perhatian yang serius. Jika tidak diambil berat mungkin hidup akan tunggang-langgang. Nak kata sibuk setiap jam tu tidaklah tapi sedikit masa luang yang ada amatlah memerlukan kakchik dinamik sedangkan untuk menulis blog kakchik perlu berada dalam keadaan statik kecuali jari-jemari yang digerakkan.

Saban hari kotak inbox di dalam yahoomail dan facebook kakchik makin banyak mesej yang masuk sedangkan kakchik tidak mampu untuk melunaskan segala pertanyaan, permintaan, permohonan, dan seumpamanya kecuali yang benar-benar penting seperti yang berkaitan dengan jemaah, bisnes dan pekerjaan kakchik. Pada saat ini masih ada 48 mesej di facebook yang kakchik belum sempat baca dan balas. Mungkin dan berbulan mereka menantikan respon tapi sayangnya setiap kali kakchik sedang membalas sesatu mesej, yang lain pula masuk.

Dua orang si comel yang sentiasa dekat di hati.

Jika di rumah pula, sekarang ni anak-anak saudara kakchik selalu mengisi masa lapang yang ada. Bukan mudah nak selesaikan menaip sesatu entri. Fuh, kena banyak sabar sebab asyik tak siap je. Selalu je entri kakchik terbengkalai di tengah jalan hehehe... nak buat macamana kan? Anak-anak kecil seperti Eqbal dan Adelia ni perlukan perhatian. Mana boleh kita main-main aje dalam mendidik mereka. Jadi selalunya kakchik akan kalah dengan telatah mereka.

Selain itu, hujung minggu lepas kami ke KL untuk Advance Marketing Power dan hujung minggu yang baru lepas ni kami ke KL lagi.... kali ni kakchik temankan cik abe yang ada kursus Advance Internet Power selama 3 hari. Kebetulan pula kakchik nak menghadiri Seminar Wang Power pada hari Ahad yang lalu. Macam sambil berenang minum air lah ni. Tapi kita merancang Allah yang menentukan. Kakchik tak jadi ke seminar dan cik abe tak habis berkursus. Ini kerana cik abe demam kuat sejak hari Sabtu hinggalah ke hari Ahad.

Hari pertama kami di KL sempat kami ronda sekitar KLCC Park.

Berkampunglah kami di bilik hotel sepanjang hari hinggalah kami bertolak balik malam tadi dan sampai subuh tadi ke rumah. Tanpa sebarang rehat, kakchik dah kena kembali bekerja hari ni. Banyak kerja pejabat yang menanti untuk dibereskan kerana hari Rabu nak mesyuarat pengurusan pula. Penat tapi seronoknya ada kerana kakchik melakukan perkara-perkara yang kakchik suka. Dan paling penting, ke mana saja kakchik pergi, bisnes kakchik dapat berjalan dengan baik. Alhamdulillah.

Ikutkan hati, nak je setiap hari menulis tapi apakan daya.

5.4.12

Selamat Makan Tengahari

3 comments
BISMILLAH.

Jangan lupa baca doa makan ya.




<3 KakChik Niza

Laporan Ringkas

1 comments
BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Terasa sangat lama kakchik tidak mengemaskini blog Keluargaku Sayang ni. Saban hari hati ini teringat-ingat dan merancang apa yang ingin dituliskan tapi sayangnya kakchik selalu kesempitan masa akhir-akhir ni.

Yaya dah mula minat menulis.
Kadang-kadang nak tulis pasal keluarga kakchik terutama anak-anak saudara kakchik yang makin membesar dengan segala macam gelagat mereka. Yang ada di rumah sekarang ni ialah 8 orang dan akan bertambah menjadi 11 di hujung minggu jika kakak yang no 2 balik dari Perak. Kisah mereka terlalu banyak yang menarik tapi sayangnya tak kesempatan.

Ada masanya kakchik mahu menulis sesuatu tentang purdah, tentang pakaian dan pastinya tentang aurat. Idea datang memang banyak dan bila kakchik mula saja menulis, panggilan tugas dan bisnes pula terpaksa diberikan laluan utama. Itu belum termasuk dengan kerja-kerja jemaah yang semakin banyak kerana PRU13 dah makin hampir.

Kisah-kisah bisnes kakchik yang semakin berkembang juga ingin kakchik kongsikan namun dengan kesibukan (huru-hara) yang makin menjadi-jadi, ianya juga belum memnjadi kenyataan. Teruk kakchik ni kan? Agaknya kalau setiap hari kakchik tulis pendek-pendek dan upload gambar kalian boleh terima ke?

Ketenangan dan keseronokan melakukan kerja-kerja jemaah juga mahu saja kakchik ceritakan kepada kalian. Bagaimana indahnya perasaan apabila dapat hadir ke usrah atau dapat menyertai mana-mana kuliah agama, ceramah politik Islam atau rapat umum. Susah nak ceritakan kepada orang lain melainkan pengalaman itu dilalui sendiri dengan rela dan redha.

Banyak sekali yang ingin diceritakan namun Allah tidak izinkan maka tidaklah segala idea tersebut tertulis di kanvas blog ini. Apapun, syukur alhamdulillah kerana hari ni ada kelapangan yang diizinkan Allah untuk menuliskan hal ini.

Sebelum kakchik akhiri, kakchik doakan kalian semua sihat,bahagia, tenang, gembira, kaya dan berjaya dunia dan akhirat. Amin.
Related Posts with Thumbnails