Followers

31.1.12

Ke Kuala Lumpur Untuk Berseminar Lagi.

BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Kuala Lumpur, kakchik datang lagi! Hehehe... tiba-tiba teringatkan iklan MOPIKO. "MOPIKO Lai Lai!" 

Kakchik sebenarnya takde idea nak tulis apa hari ni. Bila banyak tugas nak dilakukan maka idea nak menulis jadi kurang. Kalau ada pun tak tahu nak dikembangkan macamana.

Tapi, oleh kerana esok kakchik akan ke KL, rasanya nak tulis sikitlah tentang tujuan kakchik ke sana.

InsyaAllah kali ni kakchik nak menyertai program Dr. Azizan Osman lagi. Program keempat yang kakchik sertai. Nama ringkas program ni ialah IMKK atau Intensif Mentor Kekayaan & Kejayaan. 

Sebelum ni kakchik dah sertai Seminar Marketing Power (SMP2011), Advance Marketing Power (AMP2011) dan Seminar Kejayaan & Potensi Diri (SKPD2012). Makin sertai kelas, makin nak sertai lagi.

InsyaAllah bulan Mac nanti kakchik akan berkelas dengan DAO lagi di dalam SMP2012 di KB.

Walaupun ilmu yang dikongsikan ialah lebih fokus kepada pembangunan bisnes namun ia tetap amat berguna untuk pembangunan diri dan syaksiah.

Kelihatannya bukan ilmu agama hakikatnya intipati tetap dari didikan Islam kerana bisnes ada di dalam Islam dan bidang bisnes ialah sunnah Nabi Muhammad SAW.

Kakchik mahu jadi orang bisnes yang berdakwah. Boleh gitu?

Sebagai sedikit hiburan mata, ini kakchik reka satu set menggambarkan 'I'm Going to KL'.

Going to Kuala Lumpur

30.1.12

Mari Kita Membanyakkan Selawat

BISMILLAH.

Sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW ini, kakchik ingin mengajak teman-teman semua untuk membanyakkan selawat ke atas baginda.

Jom kita berselawat.

Sumber: Google Images

Kalau di zaman sekolah dulu, pihak sekolah selalu juga buat majlis selawat beramai-ramai. Selalunya selepas solat fardhu tapi kadang-kadang tu semasa 'roll-call' pagi. Kakchik suka ramai-ramai berselawat terasa ingat kat Nabi Muhammad SAW.

Masihkah kita ingat peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW? Kadang-kadang kalau orang tanya, untuk jawab 'on the spot' pun kita tergagap-gagap. Mari kita 'refresh'.




Sebenarnya setiap hari pun kita berselawat cuma tak pasti kita sedar atau tidak. Dalam solat lima waktu kita ada membaca selawat. Kalau tak ingat, ini kakchik kongsikan. Ini kita panggil selawat ke atas nabi selepas kita membaca tasyahud akhir dalam solat:




Maksudnya:

"Ya Allah selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti Engkau kurniakan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti telah yang Engkau berkati ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia".

Banyak pahalanya bila kita selalu berselawat. Tak semestinya nak tunggu solat. Di waktu-waktu lain juga kita boleh berselawat kerana yang melakukannya ialah mulut, lidah dan hati kita. Sambil-sambil kita buat kerja ni pun kita boleh berselawat.

Jom. Jomlah kita berselawat.

29.1.12

PSIKOLOGI RUMAHTANGGA: Berbual-buallah antara suami dan isteri.

BISMILLAH.

Hari ni kakchik nak kongsikan sedikit pandangan berdasarkan tajuk Fungsi Berbual-bual di dalam buku Mengendalikan Hubungan Suami & Isteri tulisan Dr. Nasoha Saabin yang diterbitkan oleh PTS Millenia. Untuk makluman semua, kakchik bukan pakar psikologi rumahtangga ya tapi kakchik suka membaca buku-buku dalam bidang ini kerana pada kakchik ianya satu ilmu yang penting untuk sesiapa sahaja yang bergelar suami atau isteri. Ilmu ini penting untuk keharmonian dan keselesaan hidup berumahtangga.

Baiklah, dalam bab Fungsi Berbual-bual, penulis memulakannya dengan perenggan berikut:
Suami patut memberi masa untuk berbual dengan isteri. Berbual dengan isteri, adalah amalan yang memupukkan perasaan kasih sayang. Kebanyakan isteri menghabiskan masa di rumah, menguruskan rumah tangga dan melayan serta mendidik anak-anak.

Kakchik sangat setuju dengan ayat pertama tu. Sebagai seorang isteri kakchik sangat suka bila suami kakchik bertanyakan khabar, bertanyakan kesihatan, bertanyakan tentang makan-minum, bertanya tentang kerja dan sebagainya. Bila suami bertanya dan memulakan perbualan, kakchik rasa diri kakchik amat diambil-berat oleh suami walaupun suami hanya tanya sepatah dua saja. Itu sudah cukup membahagiakan berbanding suami buka mulut hanya bila mahukan sesuatu dilakukan oleh kakchik. 

Kalau para isteri yang surirumah sepenuh masa pun mengharapkan suami mahu berbual dengan mereka, apatah lagi wanita bekerja. Penat di pejabat kadangkala boleh membuatkan jiwa kita turut menjadi penat. Bila pulang ke rumah, tiada pula tegur-sapa atau senyum mesra kerana masing-masing kepenatan. Lepas itu perlu menyediakan makan-minum, mengemas rumah dan sebagainya. Jika dalam keadaan itu suami hanya pentingkan diri sendiri seperti lepas salin baju, mandi, terus menghadap tv, suratkhabar atau internet dalam masa yang sama meminta itu dan ini, isteri mungkin merasa makin penat jiwanya.

Apa salahnya sambil membelek suratkhabar mulut itu diringankan untuk berbual dengan isteri? Berbuallah tentang anak-anak, berbuallah tentang apa-apa saja tak kira remeh atau tidak, yang penting ialah berbual-bual. Mungkin suami merasakan isteri ini mulutnya macam 'mulut murai' sebab suka sangat bercakap. Pada pengalaman kakchik, kakchik akan banyak bercakap apabila ada orang yang sudi bercakap dengan kakchik. Kalau tidak, secara automatik kakchik juga akan mendiamkan diri. Rumah jadi sunyi sepi... seronokkah begitu?

Isteri yang bekerja dalam masa yang sama menguruskan rumah, suami dan anak-anak, perasaannya mudah tersinggung kerana tekanan yang banyak dipikul. Untuk melegakan tekanan itu isteri mahukan perhatian, mahu berbual-bual dengan suami untuk meluahkan perasaannya. Kakchik tidak tahu kalian bagaimana tapi kakchik sendiri sangat suka kalau suami kakchik tanya tentang apa-apa saja yang berkaitan dengan kakchik. Tanya bagaimana kerja hari ni, teruk atau tidak? Bagaimana bisnes bulan ni, makin maju hendaknya? Ke mana kita nak pergi kalau kita dapat cuti sama-sama? Dan sebagainya.

Sumber: ISLAM, World's Greatest Religion

Kalau suami tak tanya langsung kemudian asyik buat kerja dia sahaja pastu nak itu nak ini, hati isteri akan  mudah tersinggung tapi malu nak beritahu suami takut dicop, tak taat kepada suami. Maka isteri akan simpan dalam hati, makin lama makin banyak, makin lama makan sensitif, muka makin lama makin masam, makin kelat, makin tawar tutur katanya dan mulalah terasa seperti rumah itu bukan lagi 'rumahku syurgaku'. Berbuallah dengan isteri anda duhai para suami. Berbuallah tentang perkara yang menggembirakan isteri anda. Adakah anda tahu perkara apa yang menggembirakan isteri anda?

Kakchik tahu di luar sana ramai sekali suami yang bagus, yang suka berbual dengan isteri masing-masing. Suami yang suka mengambil berat, suami yang 'caring', suami yang pengasih, suami yang lemah-lembut bicara dan akhlaknya terhadap isteri. Alhamdulillah.. syukurlah jika suami kita termasuk dalam kategori ini. InsyaAllah sikap suami akan mempengaruhi sikap isteri juga terutama para isteri yang berkahwin demi mengharapkan suami membimbingnya mencari redha Allah dunia dan akhirat.

Dalam perenggan kelima penulis menyebut,
Kita menganggap tugas isteri hanyalah untuk berkhidmat kepada suami, menyediakan makanan dan memuaskan nafsu lelaki. Menganggap isteri seperti ini, menurunkan kedudukan isteri anda kepada orang suruhan. Isteri adalah teman, rakan dan pembantu kepada suami. Isteri adalah teman dalam perjuangan menegakkan agama. Teman dalam menguruskan keperluan keluarga dan mudah-mudahan teman di syurga.

Kakchik rasa tulisan Dr. Nasoha di dalam perenggan di atas cukup mudah untuk difahami tanpa perlu kakchik huraikan lagi.

Ada kenalan mengadu kepada kakchik, suaminya bila balik ke rumah hanya tahu mengarah itu ini, semuanya nak cepat tapi mashaAllah berat tulang sungguh. Apa yang isteri buat ada saja yang tak betul. Yang betul dalam rumahtangga itulah hanyalah dia seorang. Cuba kalian fikirkan, bahagiakah rumahtangga begini? Isteri selalu saja makan hati tapi memendam perasaan, takut nak luahkan kepada suami kerana bila diluahkan suami laju je naik angin dan mengherdik isteri. Merajuklah si isteri memanjang... tapi masih juga melakukan amanahnya sebagai isteri, takut Allah murka bila dikata melawan suami.

Kakchik kasihan kepada kenalan ini. Bukan baru kahwin tapi sudah lebih dari 5 tahun hidup bersama. Dia mengadu meminta pertolongan dan pandangan kakchik kerana dia mahu membaiki hubungannya dengan suami. Dia mencari jalan agar suaminya berubah menjadi suami yang mencontohi Nabi Muhammad SAW yang tahu menghargai isteri. Kakchik hanya punya ilmu yang sedikit, pengalaman juga sedikit, jadi kakchik hanya mampu nasihatkan agar dia lakukan beberapa perkara sepertimana yang disebutkan dalam buku Mengendalikan Hubungan Suami & Isteri ini.

Moga-moga rumahtangga kenalan tadi, rumahtangga kita semua sentiasa dirahmati Allah dengan penuh kasih-sayang dan diberkati-Nya dengan hubungan suami-isteri yang membahagiakan. Masalah dan konflik memang akan berlaku tapi suami dan isterilah yang perlu bijak mengatasinya agar hubungan kembali pulih dan semakin erat. Sebagai ketua keluarga, peranan suami adalah lebih besar namun tidak bermakna suami perlu menggunakan kuasa veto. Bukankah perkahwinan ini selain mahu mencari keseronokan hidup di dunia, kita juga mahu menegakkan agama demi hidup di akhirat? Maka, dengarlah bicara isteri anda dengan berbual dengannya.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'
5 Rabiul Awwal 1433H
29 Jan 2012

28.1.12

Tidakkah purdah itu menjauhkan diri kita dari orang lain?

BISMILLAH.

Seorang kawan telah mula menjinak-jinakkan diri dengan memakai purdah. Katanya sudah lama dia memasang niat cuma belum punya kekuatan untuk memulakannya. Akhirnya Allah kurniakan dia keberanian untuk mencubanya dan dia telah mendapat pelbagai komen dari kawan-kawan yang lain. Kebanyakannya berunsur gembira dan menyokong tapi ada juga yang berupa pertanyaan. Misalnya, "Tidakkah tindakan menutup muka akan menjauhkan dirinya dari orang lain?". Pertanyaan itu menyebabkan kakchik terasa ingin menulis tentang hal ini.

Kakchik menulis hanya dari pengalaman sendiri sebagai seorang muslimah berpurdah. Dah berbelas tahun memakainya secara sepenuh masa sudah pasti ada pelbagai kenangan yang indah dan kurang indah. Suami kakchik pun mengenali kakchik ketika kakchik sudah hampir 7 tahun memakai purdah. Masih ada yang bertanya sama ada memakai purdah ini pilihan sendiri atau permintaan suami. Alhamdulillah suami kakchik menerima kakchik seadanya. Ini ialah pilihan sendiri kerana Allah SWT.

Berbalik kepada soalan yang diperkatakan di atas. Benarkah memakai purdah ini menjauhkan diri kakchik dari orang lain? Adakah kakchik sengaja memakainya kerana mahu menjauhkan diri? Bagaimana mahu berdakwah kalau diri ada benteng dari orang lain (mad'u)? Tidakkah susah nanti untuk menunjukkan muka manis kita, senyuman kita kepada sesiapa saja yang kita berhadapan terutamanya mad'u kita? Bukankah purdah itu tidak wajib? Dan soalan itu kalian boleh tambah sendiri...

Dari pengalaman kakchik, purdah inilah yang menjadi alat memudahkan kakchik mendekatkan diri dengan orang lain. Sebagai hamba Allah yang memikul amanah menyampaikan yang makruf dan mencegah kemungkaran, kakchik meletakkan diri kakchik sebagai orang yang pertama dalam mendekatkan diri kepada orang lain bukan menunggu orang lain mendekatkan diri kepada kakchik. Orang lain di sini keutamaannya ialah kaum wanita. Walau muka telah ditutupi sehelai kain, kerja dakwah perlu diteruskan. Walaupun ruang dakwah kita tidaklah seluas kaum lelaki, namun, ada baiknya kita manfaatkan sepenuhnya segenap ruang ada. Purdah langsung bukan alasan untuk mendiamkan diri di rumah atau menjauhkan diri dari orang.

Setiap orang yang memakai purdah pastinya punya cita-cita mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam keadaan diri yang paling alim, paling warak, paling berakhlak, paling beriman dan sebagainya. Walaupun pada pandangan orang lain dan diri sendiri pun tahu yang kita bukanlah alim sangat atau warak sangat, atau berakhlak mulia sangat atau iman sentiasa tinggi, apa yang penting ialah NIAT kita. Setiap amalan adalah bermula dengan niat (rujuk hadis no 1 dalam Riyadhus Solihin, Imam Nawawi).

Ada yang kata, susahlah nak tengok memek muka bila dah bertutup dengan purdah. Dari pengalaman kakchik, pandangan mata memainkan peranan. Orang yang melihat insyaAllah dapat membaca apa yang berlaku pada muka kita apabila mereka melihat mata kita. Anak mata, bukaan mata, kerutan mata sentiasa selari dengan perubahan memek muka kita. Bila kita senyum, secara automatik orang nampak bentuk mata kita yang sedikit mengecil dan anak mata nampak bercahaya. Tak percaya, cuba 'test'.

Pakai purdah insyaAllah tak menghilangkan senyuman kita. Bila kita senyum dan kita pandang ke muka orang yang dihalakan senyuman itu, insyaAllah orang berkenaan akan balas balik dengan senyuman juga. Lainlah kalau orang itu tengah marah atau mood tidak elok. Bagi keadaan normal, senyuman di bibir, matalah yang menyampaikan maksudnya dan mata yang melihat akan pasti melantunkan balasan yang sama. Jadi, takde masalah untuk mendekatkan diri dengan orang lain, bergaul dengan orang lain walaupun telah berpurdah. Biasa yang kakchik tengok, orang lain yang mula menjauhkann diri bukannya orang yang berpurdah.

Itu pengalaman kakchik. Secara peribadi, kakchik belum alami pengalaman orang menjauhkan diri. Yang kakchik tahu, kakchik kena sentiasa menyediakan diri kakchik untuk berkawan kerana Allah. Melalui persahabatan, maka akan terjalinlah persaudaraan. Dari situ pastinya ada perkongsian ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran. Dalam keadaan tertentu, purdah menjadi daya tarikan kepada orang lain untuk mengenali Islam. Kitalah yang menjadi penyampainya. Diri yang berpurdah ini kenalah bersedia untuk menjadi duta Islam.

Sebab itulah bila berpurdah, ia menjadi motivasi untuk sentiasa membaiki diri dalam segenap aspek. Kakchik jadikan purdah ini sebagai lonjakan peribadi untuk jadi lebih berilmu, lebih beradab serta berakhlak, lebih teliti dalam bicara, lebih fikirkan "Allah suka atau Allah tak suka.", lebih risaukan, "Kalau Nabi Muhammad tengok, baginda ok atau tak ok." dan sebagainya. Memanglah diri ini tidak sempurna. Memanglah tak pakai purdah tapi memakai pakaian yang menepati syarat menutup aurat dengan sempurna itu sudah cukup. Tapi, purdah ialah langkah peribadi yang punya matlamat tersendiri.

Yang penting, Allah tahu dan diri ini tahu.

Kakchik nak tanya teman-teman semua terutama kaum wanita, adakah kalian rasa wanita berpurdah ini menjauhkan diri dari kalian? Adakah wanita berpurdah ini sukar didekati? Adakah wanita berpurdah ini umpama 'holier than thou'? Adakah wanita berpurdah ini mengasingkan diri dari orang lain? Minta teman-teman semua berikan jawapan yang jujur dari lubuk hati. Kakchik amat-amat menghargainya.


KakChik
Dar nur al-Zahra'
28 Jan 2012

27.1.12

PESAN TOK GURU: Tukang Buat Manusia



‎"Tujuan manusia hidup perlu dirujuk kepada tukang buat manusia iaitu Allah SWT. Itulah tukang yang sebenar. Ibubapa bukan tukang. Ibubapa hanya perkakas untuk buat manusia. Umpama periuk belanga dan rempah ratus, peralatan untuk memasak, benda-benda ini tidak berguna tanpa adanya tukang masak. Tukang manusia ialah Allah SWT. Bila Allah SWT kata tujuan hidup manusia ialah mengabdikan diri padaNya, kita perlu patuh kerana Dialah tukang buat manusia."

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kota Bharu, 20 Julai 2010.


Sumber: FB TGNA

23.1.12

Biasakan mereka dengan suasana ilmu.

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Hari ni Tahun Baru Cina. Sebahagian dari kawan dan kenalan kakchik sedang menyambutnya bersama keluarga mereka kerana mereka berbangsa Cina. Ada yang beragama Islam dan ada juga beragama Buddha dan Kristian. Mereka sambut tahun baru, kita juga dapat nikmat cuti untuk dua hari.

Hari ni kakchik belum tahu nak kongsikan cerita apa dengan kalian tapi kakchik nak kongsi kenangan semalam bersama anak-anak saudara kakchik, Ikhwan, Iffah, Amierah dan Amriena. Semalam kakchik bawa mereka ke Perpustakaan Dar Nur al-Zahra' sebab dah banyak kali mereka minta kakchik bawa. Kesian pula.

Sebenarnya Ikhwan ialah anak saudara kakchik yang pertama kakchik bawa ke Zahra'. Sejak dia berusia setahun lebih, kakchik sudah membawanya. Dulu Zahra' dibuka juga pada waktu malam jadi kakchik selalu minta kakak izinkan kakchik bawa Ikhwan menemani kakchik bertugas malam. Lagipun dia sangat rapat dengan kakchik.

Selepas Ikhwan, adiknya dan adik-adik sepupunya juga menjadi peneman kakchik ke Zahra' cuma mereka bukanlah lagi temankan kakchik kerja tapi datang untuk membaca. Kini Ikhwan sudahpun masuk umur 13 tahun dan dia punya kenangan yang lama dengan kakchik di Zahra'.

Alhamdulillah, bila melihat Ikhwan dan adik-adiknya termasuk sepupu-sepupunya, hati kakchik cukup gembira kerana usaha untuk membiasakan mereka dengan suasana ilmu menampakkan hasil. Mereka semua sukakan buku sama ada di rumah, dalam kereta atau di Zahra'. Alhamdulillah.

Semalam kakchik rakamkan kenangan mereka di hadapan rak buku yang baru dipasang di Sudut Kanak-Kanak, Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'. Seronok sekali.










22.1.12

Kelantan International Islamic Creative Industry Trade Exhibition 2012 (KITE 2012)

BISMILLAH.

Entri ini sekadar makluman kakchik kepada para pembaca tentang satu program besar yang sedang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.

Jika kalian berkesempatan ke Kelantan, jangan lupa singgah di KITE 2012.







21.1.12

RENCAH KEHIDUPAN: Kanak-kanak di tapak pembinaan.

BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua teman-teman dan sesiapa saja yang singgah di blog Keluargaku Sayang pada hari ni.

Alhamdulillah... syukur kerana Allah beri kesempatan untuk kakchik menaipkan sesuatu di blog kesayangan ni. Takde apa sangat sebenarnya yang kakchik mahu kongsikan cuma sedikit refleksi diri berdasarkan pengalaman pagi tadi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: Blog Ahmad Tarmizi
Pagi tadi ketika memandu melalui satu kawasan pembinaan rumah kedai, kakchik nampak 2 buah motosikal yang masing-masing membawa 3 orang penumpang masuk ke kawasan pembinaan dan berhenti di hadapannya.Pemandu-pemandunya orang dewasa manakala semua pembonceng ialah kanak-kanak.

Oleh kerana kakchik sedang berhenti sementara menanti lampu trafik bertukar hijau, kakchik memerhatikan mereka. Yang menarik perhatian kakchik ialah keempat-empat kanak-kanak tersebut. Kelihatannya mereka datang untuk turut sama bekerja membuat 'rumah batu'. Kakchik agak, kedua-dua orang dewasa yang membawa mereka ialah bapa mereka.

Dalam hati kakchik terdetik, "Ya Allah, kecil lagi dah tolong ayah buat 'rumah batu'. Agaknya keluarga mereka orang susah." Berdasarkan ketinggian dan susuk tubuh yang kecil kemungkinan usia mereka di antara 10 - 14 tahun. Kalau kanak-kanak lain, di hari cuti begini tentu ramai yang masih belum bangun tidur, sedang menonton tv, sedang bermain 'video game' dan sebagainya. Kakchik rasa, ramai yang sebaya mereka tidak akan melakukan apa yang mereka akan lakukan di kawasan pembinaan itu.

Kakchik jadi insaf. Pelbagai kemungkinan yang kakchik fikirkan tentang nasib mereka. Apakah hakikat kehidupan mereka hinggakan mereka perlu membantu bapa mereka untuk bekerja sebagai buruh binaan? Kalau nak kira dari segi undang-undang, kakchik rasa ianya satu kesalahan tapi kita pun tidak tahu apa sebab sebenarnya mereka begitu.

Ikutkan hati mahu saja menghalang mereka dari melakukan kerja buruh (kakchik tak pasti apa yang mereka akan buat di situ, ini hanya andaian saja) kerana pada waktu usia semuda mereka, tempat mereka ialah belajar, bermain dan menikmati dunia kanak-kanak yang sepatutnya. Namun, hakikat hidup mereka mungkin tidak seperti yang kakchik bayangkan.

Ya Allah... kita memang patut bersyukur di atas segala nikmat hidup yang Allah turunkan kepada kita dari segenap sudut yang tidak mampu kita bilang dengan sepuluh jari kaki dan tangan. Dalam beberapa saat memerhatikan mereka, kakchik terasa amat insaf dan berdoa agar Allah tambahkan rezeki mereka dengan memberi peluang kehidupan yang lebih baik di samping mendekatkan mereka kepada agama.

Kakchik bimbang, ramai orang yang miskin hidupnya, miskin juga agamanya. Lagi kakchik bimbang ialah ramai orang yang kaya tapi miskin jiwanya dan miskin juga agamanya. Kakchik sangat ingat, setiap hari kakchik keluar bekerja bukan sekadar mahu mencari wang untuk menampung keperluan hidup kami tapi lebih kepada mahu memberi pulangan kepada orang yang memerlukan.

Dalam Rukun Islam yang lima ada disebut tentang zakat jadi kakchik yakin hanya orang yang kaya, berduit, berkemampuan sahaja yang layak mengeluarkan zakat. Dan zakat itu ialah umpama pembersihan harta dan pembersihan jiwa melalui memudahkan kehidupan orang yang susah dan memerlukan. 

Makin kakchik ingatkan empat orang kanak-kanak itu, makin kakchik mahu menjadi orang yang kaya, beriman dan pemurah. Ini kerana matlamat kakchik ialah mahu berjaya di dunia sebagai hamba Allah yang berguna, yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

Demi kejayaan di akhirat nanti.

20.1.12

Anak kecil yang makin pintar.

BISMILLAH.






Semoga Allah sentiasa menjagamu sekarang hingga seterusnya.

PESAN TOK GURU: Kudrat Kita Terbatas

BISMILLAH.


‎"Sebagai manusia, perlu kita sedar bahawa kudrat kita terbatas. Mata kita ada batas untuk melihat, lalu kita guna teropong dan cermin mata. Telinga kita ada batas untuk mendengar, lalu kita guna telefon untuk mendengar suara yang jauh. Tenaga kita ada batas, kita gunakan alat-alat tertentu untuk mengangkat barangan yang berat. Demikianlah juga alam akhirat yang tidak dapat kita lihat dan rasai, lalu kita gunakan al-Quran sebagai alat bantu untuk kita lihat, dengar dan rasa alam akhirat."

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Medan Ilmu, 4 Febuari 2011.

19.1.12

TIPS: Bagaimana nak bina kekayaan?

BISMILLAH.

Kakchik agak kesempitan masa sikit minggu ni. Banyak mesyuarat dan kesihatan pula terganggu. Tapi malam ni kakchik masih mengikuti 'update' terkini dari Mentor kakchik, Dr Azizan Osman.

Untuk manfaat bersama, kakchik nak kongsikan juga Tips4Kaya yang dikongsikan oleh AbangAbu di dalam grup di fb. Semoga kita berjaya mendapat manfaat darinya.

Sumber: Buzzle.com


Tips4Kaya dari AbangAbu: Bagaimana nak bina kekayaan? 

1. Bangun awal sebelum suboh 

2. Pastikan pendapatan sentiasa melebihi apa yang dibelanjakan 

3. Pastikan anda mempunyai satu kepakaran yang anda boleh kuasai yang boleh dijadikan duit 

4. Mempunyai network atau lingkungan kenalan yang ada resources atau sumber yang boleh membantu atau menyokong kekayaan & kejayaan anda 

5. Mesti belajar bagaimana untuk melaburkan duit anda di tempat yang boleh memberikan nilai berkali-kali ganda seperti melabur dalam ilmu 

6. Menyumbang atau charity sebahagian daripada apa yang kita dapat kepada yang layak kerana itu bukan hak kita 

7. Senyum dalam apa sahaja keadaan


18.1.12

Pitam: Satu pengalaman yang berharga.


BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semoga teman-teman semua sentiasa dilindungi Allah SWT dari apa juga mara bahaya dan diberi petunjuk dan hidayah setiap masa. Amin.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Ta’ala yang masih mengizinkan kita semua hidup lagi pada hari ni. Andaikata kita tidak memanfaatkan nyawa yang dipinjamkan ini dengan sebaik mungkin pada hari ini, alamatnya rugilah kita dunia mahupun akhirat. Na’uzubillah. Mati itu pasti Cuma kita tidak tahu bila tibanya ajal kita.

Sebut pasal mati ni kakchik teringat kembali kepada pengalaman pitam di pejabat dua hari lepas.  Allahu Rabbi Ya Karim. Itulah pengalaman yang mungkin kakchik boleh kata umpama bayangan nyawa kakchik hendak diambil balik oleh Allah. Allahu’alam pengalaman sebenar kerana kita tidak mampu membayangkannya.

Source: realmagick.com
Pitam, ia datang tanpa sebarang ‘warning’. Tahap kesihatan kakchik adalah baik secara fizikalnya cuma kakchik ada sedikit tekanan di dalam jiwa namun tekanan itu sangat terkawal kerana kakchik tahu cara mengawalnya. Kakchik syukur kerana dapat bertenang walau dalam keadaan tertekan atau ditekan. Namun di luar sedar mungkin fizikal kakchik tidak mampu bertahan.

Itu satu kemungkinan saja. Masih ada kemungkinan yang kedua yang menjadi punca kakchik pitam. Kakchik andaikan ianya berpunca dari tindakan kakchik tidak makan nasi sama ada untuk sarapan atau makan tengahari pada hari tu. Kakchik makan makanan lain yang agak ringan pada ukuran menu kakchik iaitu roti dengan gulai untuk sarapan manakala kuih karipap dan buah-buahan untuk ‘lunch’.

Agaknya perut kakchik yang asli Kelantan ni tak boleh tahan dengan menu yang begitu ‘ringan’ walaupun kakchik cukup kenyang. Entahlah... kadang-kadang makanan juga boleh menjadi faktor kan? Lewat makan perut masuk angin. Lepas tu diisi pula dengan makanan selain daripada nasi. Fuh, pitam kakchik dibuatnya.

Itu ialah dua andaian yang kakchik rasa menjadi asbab kakchik pitam.

Namun, ada juga kawan yang tahu akan masalah itu membuat andaian yang kakchik ini mungkin mengandung. Ya Allah... kalaulah andaian itu benar, kakchik pasti akan sujud syukur. Kawan-kawan pun tahu kan sudah lama kakchik dan cik abe menunggu kehadiran zuriat sendiri.  Saban hari melayan kerenah anak-anak saudara yang cerdik, pintar, ‘berjurus’, comel-comel semuanya pastinya sering mencuit perasaan.

Namun, kakchik tidak berani untuk mengiyakan andaian ini kerana bimbang kakchik akan dikecewakan lagi. Biarlah Allah yang menentukannya. Jika kami berdua ditakdirkan menjadi ibu bapa, betapa besarnya kesyukuran kami kepada Allah Ta’ala walau kakchik tahu tugas mendidik anak bukanlah tugas yang mudah. Kakchik serahkan harapan kepada Allah jua. Impian itu sentiasa disampaikan kepada-Nya dan kakchik yakin Allah dengar cuma ada sebabnya Dia belum mahu mengkabulkannya.

Apapun, ada satu lagi kebarangkalian, kakchik mungkin menghadapi tekanan darah rendah atau tekanan darah tinggi. Mohonlah dijauhkan Allah. Kakchik mohon sangat tidak mempunyai penyakit-penyakit ini. Banyak lagi tugas dan amanah yang kakchik belum laksanakan dengan sebaik-baiknya untuk diri, suami, keluarga, masyarakat dan agama. Jika ada penyakit bahaya, sukarlah untuk kakchik melakukannya. InsyaAllah... InsyaAllah ini bukan puncanya.

Esok insyaAllah kakchik mahu ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh. Kakchik tidak mahu menangguhkan proses ini demi untuk memastikan diri kakchik bebas penyakit dan mempunyai tahap kesihatan yang normal. Jika sakit, pastinya kakchik akan menyebabkan cik abe susah, keluarga kakchik susah dan orang lain juga susah terutama rakan sekerja dan para pelanggan kakchik. Mohon sangat agar kakchik sihat sepenuhnya.

15.1.12

Nasi Kerabu O.... Nasi Kerabu

BISMILLAH.

Dalam keluarga kakchik, Nasi Kerabu ialah makanan paling digemari oleh setiap ahli keluarga. Ayah, Ummi, abanng-abang, kakak-kakak, adik-adik bahkan anak-anak saudara, semuanya sukakan Nasi Kerabu. Kalau orang lain mungkin sekali seminggu tu padanlah... tapi kami, kalau setiap hari pun tak apa. 

Hidangan Nasi Kerabu Kuning untuk suami.
Kakchik punya takde taugeh.

Sarapan nasi kerabu, makan tengahari nasi kerabu dan makan malam pun nasi kerabu. Takde yang akan komplen. Alhamdulillah... senang hati Ummi kakchik bila dia buat Nasi Kerabu, satu keluarga makan dengan bersemangat. Tak percaya, kenalah tanya kami adik-beradik.

Abang-abang kakchik kalau balik bercuti ke kampung, hidangan wajib yang Ummi sediakan untuk mereka ialah Nasi Kerabu. Abang Long yang menjaga diet pun pasti makan bertambah menggunakan pinggan besar yang leper tu. Bukan saja Abang Long, malah Along dan anak-anak juga berselera makan Nasi Kerabu.

Sebab itulah Ummi cukup suka sediakan Nasi Kerabu ni bila mereka balik.

Nasi Kerabu yang Ummi buat memang sedap. Satu masa dulu kakchik pernah bawa kawan-kawan luar Kelantan datang bercuti di rumah dan kami hidangkan Nasi Kerabu. Salah seorang kawan baik kakchik ialah orang Besut, bila dia tengok hidangan di hadapan terus dia kata, "Beradong sungguh Nasi Kerabu Mokcik." 

Faham ke? Hehehe...

Maksud dia lebih kurang beginilah... "Nasi Kerabu Makcik ni sangatlah serba lengkap."

Ini pula Nasi Kerabu Hitam yang kami makan pada 3 Jan lepas.

Tapi, bukanlah setiap kali Ummi buat Nasi Kerabu bahan-bahannya serba lengkap, ada masanya ada juga yang tak ada misalnya Ikan Goreng Celup Tepung atau Keropok. Tapi, bila dah suka, asalkan ada makanan yang utama, ianya sudah amat mencukupi buat kami.

Malam tadi kami makan Nasi Kerabu lagi. Kali ni Nasi Kerabu Kuning. Alhamdulillah.... memang sedap. Cukup segala rempah-ratusnya dan... pedas. Bila pedas, itulah yang ngam makan Nasi Kerabu ni. Pagi ni, insyaAllah kakchik nak sarapan pun dengan Nasi Kerabu juga. Ummi sediakan bahan-bahan dalam kuantiti yang banyak sebab dia tahu kegemaran anak-anaknya.

Terima kasih banyak Ummi.... Ummi yang sentiasa suka membantu kami yang sibuk bekerja. Semoga Allah kurniakan Ummi kesihatan yang baik dan stabil setiap masa. Kakchik kena ambil kesempatan belajar buat Nasi Kerabu dengan Ummi. Basic tu kakchik taulah tapi nak kena buat banyak kali barulah mahir kan?

Baiklah, cukuplah dulu cerita pasal Nasi Kerabu. Nak pergi sarapan dulu sebab setengah jam lagi nak pergi kerja. InsyaAllah jika ada masa terluang kita jumpa lagi di alam maya ini. 

Wassalam.

13.1.12

PESAN TOK GURU: Apa Yang Disebut Dalam Masjid Mesti Sama Dengan Di Luar Masjid


[Tazkirah] "Khutbah di masjid dengan khutbah di luar masjid perlulah sama inti kandungannya. Kalau di masjid, khutbah menyeru supaya bertakwa kepada Allah, kenapa khutbah atau ceramah di luar tidak begitu? Kalau di masjid, yang ada ialah Allahuakbar, kenapa di luar tidak disebut begitu, tetapi dilaungkan hidup Melayu?"

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa ceramah umum di Kampung Panji, Kuala Terengganu, 24 Julai 2010.


Foto oleh : Sham Khaleefa

10.1.12

Akui Kesilapan, Bangkit Dengan Penuh Semangat

BISMILLAH.

Hari ni ada satu kata-kata motivasi yang sangat terkesan di hati kakchik. Semoga ianya juga menjadi momentum buat cik abe. Kita mesti berani untuk gagal dan gagah untuk bangkit semula selepas kegagalan itu dengan penuh semangat dan cita-cita.

Berani untuk punya impian.

Sebagai manusia, kita tidak lepas daripada melakukan kesilapan samada kepada diri sendiri, kepada Dia Yang Maha Kuasa serta kepada orang lain samada sedar atau tidak! Apa yang penting adalah kita sentiasa: 

1) Muhasabah/audit diri kita sendiri, menyesali kesilapan kita, sentiasa bertaubat dan yakini bahawa Allah SWT Yang Maha Pengampun serta dengan rahman dan rahimNya akan memberikan keampunanNya kepada kita. 

2) Mencari jalan untuk memperbaiki diri kita. 

3) Memohon maaf kepada semua orang yang berurusan dengan kita jika ada salah silap yang terguris dalam hati mereka.

[Dr. Azizan Osman]

La Tahzan!

Kata Billi Lim, penulis buku BERANI GAGAL atau versi Inggerisnya DARE TO FAIL,

Pada ketika anda berhenti membuat kesilapan, anda sebenarnya telah berhenti belajar. Kadang-kadang kita harus belajar dari kesilapan orang lain. Kita tidak berpeluang untuk hidup lama bagi melakukan semua kesilapan tersebut. Kegagalan hanyalah suatu peluang untuk anda mencuba lagi. Semua manusia gagal. Hanya yang hebat mampu bangun kembali.

La Tahzan! La Tahzan!

Mari kita jujur dengan diri kita, lepas tu jujur pula dengan orang sekeliling kita terutama orang-orang yang menyayangi kita, InsyaAllah kita mampu bangkit menghadapi setiap dugaan dengan hati yang sentiasa mengingati Allah walau ianya begitu pahit untuk ditelan.

Every cloud has a silver lining.

Mari kita hayati maksud bacaan antara dua sujud yang kita sentiasa baca di dalam solat kita.

Sumber: FB Ust Zahazan Mohamed



Rabbighfirli.. (Tuhanku, ampuni aku..)
Diamlah sejenak, buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah.  Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan. 
Kemudian sampaikanlah permintaan kedua, 

Warhamni.. (Sayangi aku..) 
Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya.  Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima.  Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup. Berturut-turut sampaikanlah permintaan2 berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu. 

Wajburnii..  (Tutuplah aib-aibku..) 
Warfa'nii..   (Angkatlah darjatku..) 
Warzuqnii.. (Berilah aku rezeki..) 
Wahdinii..    (Berilah aku petunjuk..) 
Wa'Aafinii.. (Sihatkan aku..) 
Wa'fuannii..(Maafkan aku..) 

Mohon Allah mendengar isi hati kita dan membantu kita menempuhi segala ujian yang datang dengan berjaya.


Rujukan:
1. halaqah.net : http://halaqah.net/v10/index.php?topic=12766.0
2. fb Alumni atau Bakal Alumni Program DrAzizanOsman : https://www.facebook.com/AlumniDrAzizan

7.1.12

Seminar Kuasai Potensi Diri (SKPD) Transformasi Hidup 2012

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar kalian semua? Kakchik doakan iman kita semua masih di tahap yang tinggi dan kesihatan juga di tahap yang baik. Malam ni kakchik agak kurang sihat, mungkin terjangkit demam selsema dari Adelia yang hampir setiap hari kakchik peluk-cium hehehe. Cik abe juga selsema yang masih bersisa selepas keluar dari hospital. Apapun, syukur alhamdulillah kerana masih punya kemampuan untuk menulis.

Rancangan kakchik untuk menulis entri ni malam tadi ataupun siang tadi tapi bila kondisi badan kurang stabil, kakchik jadi kurang bermaya untuk memulakan penulisan. Malam ni selepas mengambil ubat, dan badan agak kebah, kakchik rasa baiklah kakchik buat komentar sikit sebelum cerita ini menjadi basi. Orang lain mungkin sudah ramai yang buat komentar tapi ini ialah komentar peribadi hasil dari pengalaman kakchik sendiri.

Kita kaya dan berjaya!

Itulah tagline yang selalu disebut oleh Dr. Azizan Osman (DAO) di dalam setiap program beliau yang telah kakchik sertai. Bermula dengan Seminar Marketing Power (SMP) di KTC pada 21 Okt 2011 kemudian ke Advance Marketing Power (AMP) di Wisma MCA dari 28 - 30 Okt 2011 dan semalam di Seminar Kuasai Potensi Diri (SKPD) 2012, kakchik selalu mendengar tagline tersebut. Betul kata DAO, bila selalu disebut ia akan terpahat di minda.

Sumber: www.skpd2012.com

Memang betul apa yang DAO kata, fikirkan yang positif barulah kita akan sentiasa menjadi orang yang positif. Jika kita mahu berjaya, kita selalu fokuskan minda kita kepada perkara-perkara yang berjaya. Kalau kita selalu fokuskan minda kepada perkara negatif, misalnya otak kita selalu fikir, "janganlah aku jadi miskin" ia sebenarnya satu peruntuh semangat yang mana kita melazimkan perkataan miskin di dalam minda kita. Kita mesti menjadi kaya kerana kaya ialah sebahagian dari Islam. Jika tidak, bagaimana Islam boleh menganjurkan umatnya agar berzakat? Siapakah yang wajib membayar zakat kalau bukan orang kaya kan?

Baiklah, sebelum kakchik pergi jauh, kakchik nak kongsikan 2 dari 10 Prinsip Kejayaan yang telah dikongsikan oleh DAO dalam Seminar Kuasai Potensi Diri (SKPD) di Hotel Grand Riverview, KB, semalam. Jom kita tengok dan refresh sama-sama. Nak kongsikan semua tapi kakchik rasa tak kemampuan nak menulis sekaligus dalam entri ini. InsyaAllah kakchik akan cuba kongsikan lagi dalam entri akan datang.

1. The Power of GRATITUDE (Kuasa Bersyukur)

Dalam surah Fathir ayat 3 Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْ كُرُوْا نِعْمَتَ اللهِ عَلَيْكُمْ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللهِ يَرْزُقُكُمْ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ فَأَنَّى تُؤْفَكُوْنَ

Ertinya:

Hai Manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezki kepada kamu dari langit dan bumi ? tidak ada Tuhan selain dia; Maka Mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?


Tiga dimensi Syukur

Syukur boleh dikatakan sempurna apabila telah memenuhi 3 kriteria, iaitu:

1. Mengetahui semua nikmat yang Allah berikan, seperti nikmat Iman, Islam dan ketaatan dalam menjalankan perintah-Nya sehingga benar-benar menjadikan Allah sebagai pelindung dan senantiasa hadir dalam hatinya, dengan meyakini bahawa kesuksesan dan segala bentuk kemewahan semua berasal dari Allah, kita hanya diberi pinjaman sementara di dunia.

2. Mengungkapkan rasa syukurnya dalam bentuk puji-pujian seperti alhamdulillah, asy-Syukrulillah atau ucapan lainnya yang mempunyai erti yang sama.

3. Nikmat Allah yang ada, bukan untuk dirasakan sendiri melainkan untuk berkongsi dengan orang lain, seperti sedekah, infaq dan menolong fakir miskin, itu semua kita lakukan supaya kita selamat dari ujian dan amanah yang kita hadapi di dunia sehingga kelak harta, takhta dan kekayaan kita menjadi penolong pada hari perhitungan amal di yaum mahsyar nanti.

Hakikatnya, sebagai seorang Islam yang mahu menjadi kaya dan berjaya perlulah memahami konsep bersyukur dalam segenap aspek kehidupan. Kata DAO, "Sihat pun syukur, sakit pun syukur, senang pun syukur, susah pun syukur ...". Untuk memahami konsep ini kita memerlukan Ilmu, Mentor dan Sistem agar kita dapat mencapai matlamat kejayaan yang kita impikan.

Para peserta selepas sesi pemanasan badan.
Penuh satu dewan hinggakan ramai yang terpaksa duduk atas lantai.


2. The Power of GIVING/RECIPROCAL (Kuasa Memberi)

Hidup adalah untuk memberi sebanyak-banyak, kata Pengetua sekolah di dalam filem penuh pengajaran, Laskar Pelangi. Bahkan memang benar, kita sebagai seorang Islam yang dilantik sebagai Khalifah Allah di mukabumi mestilah sentiasa suka memberi. Pernah dengar kan, "Sharing Is Caring"? Itulah yang telah sebati dengan kita semua dalam dunia media sosial. Dalam konsep dakwah pula, "Sampaikanlah ilmu walaupun dengan sepotong ayat." Semuanya membawa maksud yang sama iaitu, untuk maju jaya dalam hidup di dunia dan akhirat, kita mestilah suka memberi.

The more you give, the more you get.

Satu lagi tagline yang sering diwar-warkan oleh DAO. Makin banyak kita berkongsi ilmu, makin banyak kita berkongsi kemahiran, ilmu dan kemahiran kita akan makin bertambah. Ini ialah ajaran Islam. Konsep memberi ini kakchik rasa berkait rapat dengan konsep bersedekah. Mari kita tengok beberapa ayat Al-Qur'an dan Hadis yang menyebut tentang sedekah.

Tidak akan pernah berkurang harta yang disedekahkan kecuali ia bertambah... bertambah... bertambah (HR.At-tirmidzi) 


Siapa yang memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan balasannya dan baginya pahala yg mulia
(QS. Al-hadiid 57:58) 


Janganlah kamu takut kepada kemiskinan karena membelanjakan harta di jalan Allah
(QS.Al-Baqarah 2:245) 


Kamu tidak akan memperoleh kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap diri sendiri. Dan Allah lah yang Maha Kaya sedangkan kamu orang-orang yang membutuhkan Nya
(QS.Muhammad :38) 


Dan Allah senantiasa memberi pertolongan kepada hambanya selama ia menolong saudaranya 
(HR.Muslim) 

Perbanyaklah SEDEKAH, kerana di dalamnya terdapat KHASIAT :
- Menyembuhkan berbagai penyakit.
- Menjauhkan dari segala macam kesulitan & masalah.
- Diselamatkan dari segala keburukan.
- Menenangkan hati dan jiwa.
- Melapangkan rezeki.


Jelas sekali, makin banyak kita memberi makin banyak Allah berikan kepada kita. Untung sangat-sangat. Tak rugi langsung. Dan... DAO kata, untuk memberi (mungkin wang atau harta) jangan tunggu kita kaya, mulakan sekarang, semasa kita belum kaya, semasa kita sedang menuju impian kita. Kalau kita tak mulakan sekarang, kemungkinan besar, bila kita kaya nanti, kita makin susah untuk memberi. Kakchik setuju.

Itulah 2 dari 10 kuasa kejayaan yang perlu kita ada dalam kita menuju impian kejayaan kita. InsyaAllah masih ada 8 dan kakchik akan kongsikan dengan kalian dalam entri-entri akan datang. Kena ingatlah, makin banyak yang kita beri, makin banyak yang kita dapat. Semoga apa yang kakchik kongsikan ada manfaat untuk kita bersama. Marilah kita sama-sama menuju kejayaan. 

Hayya Alal Falah!

Mari menuju kejayaan. Setiap hari kita mendengarnya dalam seruan azan dan pernahkah kita bertanya pada diri, adakah hidup kita setiap hari ini menuju kejayaan sebagaimana yang diseru dalam azan? Fikir-fikirkanlah.



Rujukan:

6.1.12

PESAN TOK GURU: Jika Ada Penyakit, Rujuklah Pakarnya


[Tazkirah] "Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya, jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah.."

Tazkirah ringkas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pejabat MB pada 24 Mei 2010

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berucap dalam satu majlis Kerajaan Negeri.
Sumber: FB Nik Abdul Aziz Nik Mat

4.1.12

IMPIAN 2012

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam kenalah kepada para follower baru. Terima aksih banyak kerana kalian berminat untuk mengikuti perkembangan di blog keluargaku Sayang ni. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada setiap entri yang kakchik mampu kongsikan. Amin.

Baru sebentar kakchik membaca status update di page Alumni & Bakal Alumni Program Dr Azizan Osman di facebook dan status Tips4Sukses itu telah membuatkan kakchik mengambil tindakan untuk menuliskan Impian 2012 kakchik di sini. Ianya sebagai motivasi peribadi dan mungkin boleh membuatkan para pembaca juga teruja untuk mencontohi.

Tips4Sukses: Impian hanya menjadi matlamat setelah ditulis dan diletakkan dateline! Jgn takut utk tuliskan ia, walaupun suara budak kecil dalam diri kita & org keliling kita akan ada cuba utk "merendah-rendahkan"nya! Di situlah KUASA anda diperlukan! KUASA BERTINDAK! -DAO-

Baiklah. Kakchik nak sahut cabaran DAO ni. Kita kena belajar dari orang yang telah berjaya dan DAO ialah seorang pakar morivasi pemasaran yang berjaya, beliau juga Mentor Kejayaan bagi kakchik. Apa salahnya kakchik dengar cakap beliau dalam hal ini kan? Bukannya salah apa-apa, lagipun cabaran ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai matlamat hidup agar sukses.

Sumber: latifalshamsi.com

Ya, memang selalu sangat dengar suara-suara sumbang yang boleh membuatkan kakchik lemah semangat sama ada suara-suara dari orang sekeliling atau suara 'budak kecik' dari dalam diri kakchik. Takpe... kakchik punya keyakinan diri dan kakchik akan pastikan IMPIAN kakchik akan tercapai. Dalam menggapai impian, risiko ada banyak. Situasi pun banyak tapi sebagai seorang 'pejuang' kakchik punya Allah yang akan sentiasa membantu. Kakchik yakin tu.

Baiklah, tak perlu banyak cakap, kakchik nak senaraikan IMPIAN 2012 yang telahpun bermula sejak Muharram 1433Hijrah sebulan yang lalu. Maknanya impian ini telah pun bermula prosesnya.

1. Membeli Kereta Baru

Sekarang ni kakchik menggunakan kereta Perodua Kenari tapi sejak 2 minggu lepas kakchik dan suami telah berpakat untuk meningkatkan taraf kereta kami kepada Perodua Alza. Masa mula-mula pakai kereta iaitu 2001, kakchik membeli Perodua Kancil kemudian menukarnya kepada Kenari dalam tahun 2007. Kalau pada mulanya kakchik membeli kereta bertujuan untuk memudahkan kakchik berulang-alik ke pejabat tapi 'gradually' fungsi kereta telah bertambah iaitu sebagai alat memudahkan kakchik ke program-program agama, ke program-program kemasyarakatan dan kebajikan, membawa keluarga dan kawan-kawan yang perlukan bantuan kenderaan, dan sebagainya dengan harapan kereta ini boleh menjadi 'saksi' kakchik di akhirat nanti. 


Apabila kakchik mula berniaga buku, kereta menjadi alat pengangkutan membaca kotak-kotak buku ke pelbagai lokasi untuk mempromosikan amalan membaca kepada masyarakat setempat. Bonet Kancil makin tidak muat, maka setelah difikir-fikir, bonet Kenari lebih luas dan mampu memuatkan muatan yang lebih banyak bukan sekadar kotak bahkan rak buku, meja lipat, kerusi dan sebagainya. Kakchik bukan tak suka kereta yang cantik tapi kakchik membeli kereta kerana keperluan dan bersesuaian dengan bajet.

Toyota Fortuner idaman kalbu.

Kini, walaupun masih berdua, perniagaan kakchik makin memerlukan ruang dan untuk pergerakan yang lebih tuntas serta imej yang lebih bagus, kakchik menukar kereta kepada Alza. Ini impian jangkapendek kerana kakchik juga punya impian lebih besar untuk kenderaan bisnes/peribadi iaitu Toyota Fortuner. InsyaAllah 2012 kami berdua akan berusaha dengan 'smart' dan terancang agar impian ini akan dapat dicapai dengan membanggakan. InsyaAllah.

2. Membuka Butik Abaya

Sebagaimana sebahagian dari kalian tahu, kakchik menjalankan dua bisnes iaitu buku dan abaya. Kedua-duanya kini dijalankan secara 'online'. Bisnes buku kakchik selepas 7 tahun dijalankan di kedai nyata akhirnya terpaksa kembali fokus kepada jualan 'online' kerana beberapa sebab yang kakchik maklum. Kakchik belum punya kekuatan untuk berkongsi dengan kalian mengenainya. Jangan risau, bisnes buku kakchik masih berjalan seperti biasa cuma kini tiada lagi kedai yang boleh dikunjungi melainkan melalui kedai maya. 

'Home boutique' kakchik.

Ops, maaf. Subtopik ni nak cerita tentang impian kakchik yang kedua iaitu membuka sebuah butik abaya. Selepas 2 tahun dan masih lagi menjalankan bisnes abaya secara 'online' kakchik makin memikirkan untuk merealisasikan impian kakchik agar menjadi butik nyata yang mempunyai premis untuk kemudahan pelanggan berkunjung. Buat masa ini butik abaya kakchik ialah 'home boutique' yang diusahakan secara separuh masa sahaja kerana kakchik masih lagi 'makan gaji' di Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'. 

Dalam fikiran kakchik dan telah dicatatkan dalam buku perancangan, sudah ada lokasinya, rekabentuk dalamannya, 'layout'nya, papantandanya, 'presentation'nya kepada masyarakat, matlamat utamanya, pendekatannya... semua telah ada kecuali satu saja yang tidak ada iaitu MODAL kewangan. Modal selain itu insyaAllah kakchik sudah ada. Kakchik ingin sekali mendapatkan bantuan DAO dalam memastikan impian ini menjadi kenyataan. Moga-moga DAO sudi membantu.

3. Melunaskan Hutang Yang Ada

Hutang wajib dibayar maka kakchik akan usahakan sebaik-baiknya untuk membayar segala hutang 2011 yang masih ada dengan sesiapa saja yang telah kakchik catatkan dalam buku hutang. Perkara hutang ni memang satu gangguan kepada hidup tapi bila mampu dibayar walaupun sedikit demi sedikit, terasa ringan kehidupan. Kakchik tidak pernah lupa untuk mencatatkan hutang tapi kakchik ada kelemahan iaitu terlupa untuk mencatatkan berapa jumlah yang telah dibayar dan kepada siapa. Dengan itu, sepanjang minggu ini kakchik berusaha untuk mengemaskini rekod-rekod hutang yang ada agar proses melunaskannya lebih kemas dan teliti. Apa yang penting, orang yang memberi hutang gembira kerana mendapat kembali hak mereka.

4. Menyiapkan Susun Atur Perpustakaan Mini Di Rumah

Alasan 'sibuk' memang mudah untuk diberikan bila ada yang bertanya, bila nak siap perpustakaan kat tingkat atas tu? Sebahagian rak buku dan kotak-kotak buku masih lagi bersusun di tingkat bawah dan di depan pintu rumah hinggakan sesiapa saja yang berkunjung akan terasa betapa sempitnya rumah kami walhal jika semuanya berjaya dipindahkan ke bilik yang dikhususkan, maka luaslah sedikit ruang 'porch' dan ruang tamu kami.

Kakchik terfikir untuk menggajikan pekerja sementara yang boleh datang pada hari Khamis atau Jumaat untuk membantu kakchik mengalihkan kesemua rak dan kotak-kotak tersebut ke tingkat atas. Akan dilakukan juga jika tiada tenaga lelaki yang mampu melakukannya. Nak harapkan cik abe seorang tak boleh, dia bukan sihat sangat. Untuk menyusun buku itu tak jadi hal, kakchik boleh buat sendiri lagipun kakchik lebih tahu bagaimana kaedahnya. Apapun, tahun ini Perpustakaan Mini kami akan siap.

5. Melakukan Ibadah Umrah

Bulan Jun - Jul rasanya sempat kami buat persediaan untuk menunaikan umrah. Kakchik tengok dalam pakej umrah yang ditawarkan oleh Al Quds Travel yang berharga RM5990 tu ada pakej untuk tarikh 28 Jun - 11 Jul, amat berminat dengan pakej ini. Untuk impian ini menjadi kenyataan, sudah tentu kakchik perlukan bantuan suami dan juga dana yang cukup malah mesti lebih dari bajet yang diperlukan. Sudah lama kakchik berharap untuk ke Tanah Suci kerana kakchik ada beberapa hajat yang ingin dilakukan di sana. Moga-moga kami berdua adalah insan terpilih yang akan dipanggil ke Rumah Allah tahun ini.

Masih banyak impian kakchik untuk tahun ini tapi dalam entri ini cukuplah dulu sekadar 5. Kakchik ada senarai lain yang kakchik buat dan akan tampal di depan meja kerja kakchik. InsyaAllah setiap hari kakchik akan lihat agar kakchik tidak lupa akan cita-cita kakchik. Apa guna menulis impian malah kongsikan pula dengan para pembaca sedangkan satu apa pun tidak berjaya dicapai. Tahun 1433 Hijrah ini atau jika nak ikut tahun 2012, kakchik nak usahakan dengan sebaik-baiknya untuk jadikan segala impian yang tercatat berjaya dicapai.

Kita kaya dan berjaya! Sudah tentu kaya beriman dna berjaya dunia akhirat.

3.1.12

PERKONGSIAN: Politik Sebahagian Daripada Islam


Politik Islam Ada Feqahnya.

Bismillah.
Firman Allah :
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.
Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.
Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain. 

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.
Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).
Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqhmaqasid syariat dan siyasah syari’yyah.
Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya  sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman  dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.
Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.
Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.
Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib  menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.
PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ
(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.
Khadam Perjuangan Islam
Presiden PAS
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs