Followers

30.12.11

RENCAH KEHIDUPAN: Suami Masuk Wad

BISMILLAH.


Dalam linangan air mata kakchik memandu kereta untuk pulang ke rumah. Perasaan sedih menyelubungi apabila terpaksa meninggalkan cik abe sendirian di bilik hospital. Kakchik perlu balik kerana ada urusan rumahtangga yang harus diselesaikan. Tambahn pula cik abe mahu kakchik bawakan baju melayunya untuk dipakai ke solat jumaat nanti.

Suami kakchik dimasukkan ke wad petang semalam. Tekanan darah tinggi dan demam yang bermula sejak petang rabu lagi. Sebenarnya cik abe ada beritahu kakchik pada khamis minggu lepas yang dia tidak sihat. Diam-diam di pagi Khamis tu dia ke klinik sendirian dan pulang dalam keadaan letih, pucat dan dibekalkan beberapa paket ubat.

Katanya, tekanan darahnya agak tinggi dan doktor bagi MC sehari. Hampir sepanjang hari dia tidur saja. Alhamdulillah ubat-ubatan semuanya dia makan dengan baik w/pun suami kakchik ni agak sukar nak makan ubat. Dia jarang sakit dan kalau sakit pun deman sikit-skit saja. Tapi kali ni, dengan bebanan kerja di pejabat dan t/jawab sebagai pemilik portal sukan yang menggunakan sebahagian besar waktu malamnya selain amanah mengajar agama di masjid, tekanan darahnya naik.

Hari jumaat tu kami ke Tok Aman Bali Beach Resort sebab cik abe kata dia dah ok. Alhamdulillah dengan bekalan ubat dan cuaca yang elok, dia sihat-sihat saja hinggalah ke hari selasa. Esoknya cik abe demam dan MC lagi. Suami kakchik ni berat mulut sikit nak beritahu isterinya yang dia tak sihat tapi melihatkan dia asyik berbungkus dalam selimut, kakchik tahu dia tak sihat. Hari khamis macam biasa kakchik hantar dia ke pejabat dan petang baru kakchik tahu yang dia kena masuk wad. 

Kali pertama dalam sejarah perkahwinan kami. Kali pertama kakchik bermalam di hospital untuk menjaga suami. Ianya kenangan penting kerana kakchik dapat berbakti tapi kakchik maat berharap tempohnya tidak lama.

Berat sungguh kaki kakchik semasa nak meninggalkan bilik hospital tadi. Cik abe memang boleh bergerak ke sana-sini w/pun agak lemah tapi kakchik tahu sesiapa saja yang sedang sakit, amat mengharapkan ada orang menemani terutama orang yang paling dekat. Kalau kakchik sakit, dialah yang kakchik harapkan ada berdekatan tapi pastikan kakchik tak akan cakap, segan, takut dikata manja sangat.

Kakchik sangat bimbang sebenarnya dengan tahap kesihatan suami kakchik ni. Bebanan kerjanya di pejabat dan di rumah ni menyebabkan waktu rehatnya amat sedikit. Kerja pula banyak menghadap komputer/internet, malam dan siang. Tidurnya lambat, bangunnya pula awal. Sejak setahun ni memang begitulah rutinnya dan kakchik sudah acapkali juga suarakan kerisauan kakchik pasal kesihatannya.

Sakit itu satu ujian. Sakit itu penghapus dosa. Sakit itu cuti rehat yang Allah berikan. Sakit itu peluang untuk kita berfikir tentang Allah. Di waktu kita sakitlah kita lebih banyak mengingati Allah. Semasa sihat, banyak kali kita lupa akan Allah. Kalau beramal-ibadah pun kita tidak begitu tertib tapi di waktu sakitlah kita mahu melakukannya dengan tertib w/pun payah. Kenapa? Kerana kita tahu, hanya Allah yang Maha Menyembuhkan. Doktor dan ubat hanyalah alat saluran untuk menyembuhkan dan mungkin juga tidak. Hanya Allah Maha Menyembuhkan.

Sebentar lagi kakchik akan kembali ke hospital. Tak mahu lama sangat meninggalkan cik abe sendirian lagipun hari ni ujian x-ray akan dibuat. Kakchik nak selesaikan membasuh kain-baju dan mengemaskan sedikit keperluan untuk di bawa ke hospital. Malam ni mungkin sekali lagi tidur di sana. Tak mengapa tidur bertilamkan toto dan lantai yang sejuk asalkan kakchik boleh temankan suami kakchik di sana.

Hanya di atas dunia ini saja mampu menemankan, di sana nanti sudah tentu susah. Selagi hayat masih ada, selagi itu kakchik akan pastikan suami kakchik dapat hidup selesa beristerikan kakchik.


Rindu kerana Allah.

PESAN TOK GURU: Ilmu Membezakan Kita Daripada Haiwan


[Tazkirah] "Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangan dengan lebih meluas.."

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Majlis Penyerahan Sijil MSC Malaysia Status Inkubator Kepada ICT Inkubator Centre Sdn Bhd, 23 Mac 2010.

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang memberikan kuliah agama.
Sumber: FB Nik Abdul Aziz Nik Mat

29.12.11

MUSLIMAH: Berpakaian Tetapi Telanjang

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar? Kakchik doakan kalian semua sihat-sihat saja. Hari ni kakchik kurang sihat. Sejak pagi tadi perut ini asyik memulas-mulas saja. Agaknya malam tadi kakchik telah makan sesuatu yang tidak dapat diproses dengan elok oleh perut kakchik. Kesian perut, maaf ya tapi tolong cepat sembuh sebab kakchik ada banyak tugas untuk diselesaikan.

Sambil berehat ni kakchik teringat akan hajat kakchik petang semalam yang tercetus semasa kakchik singgah membeli burger di pasar malam. Idea nak menulis topik ini tercetus sebaik sahaja kakchik melihat sepasang suami isteri bersama anak gadis remaja mereka sedang membeli makanan di gerai bersebelahan. Ianya berkaitan hal di bawah ini.
This is not hijab.
This is not hijab. by hanniaziz featuring a black shirt


Kakchik berfikir panjang juga untuk meletakkan gambar ini kerana tidak enak sekali melihat bahagian tubuh wanita yang dibalut dengan seluar ketat yang sekulit ataupun dipanggil 'leggings'. Terasa seperti salah pula bila meletakkan gambar itu di sini kerana takut kakchik salah kerana menunjukkan aurat orang. Kalau ada kawan-kawan yang tahu cara kakchik ni salah dari segi hukum, TOLONG segera beritahu kakchik ya. Kakchik akan padamkan gambarnya.

Ok, balik kepada tajuk.

Tentu kalian sudah boleh agak apa yang kakchik lihat semalam kan? Ya, inilah gambaran visual pakaian yang dipakai oleh anak gadis pasangan tersebut. Kakchik beristighfar panjang melihatnya dan beristighfar juga kerana ketidakmampuan kakchik untuk menegurnya. Ramai sekali lelaki yang lalu-lalang melihat dengan pandangan 'satu macam' kepada gadis tersebut yang sentiasa tersenyum sambil berbual dengan ibunya.

Dari pandangan mata kasar kakchik, ayahnya kelihatan seperti seorang pegawai di mana-mana syarikat manakala ibunya berpakaian menutup aurat dengan agak baik walaupun berseluar. Mereka berdua seperti baru pulang dari kerja dan membawa anak gadis bersama ke pasar malam itu. Semuanya baik kecuali pakaian anak gadis itu.

Hati kakchik rasa sangat tidak selesa dan bersalah kerana membiarkan remaja itu ditonton oleh begitu banyak pandangan mata sama ada dari lelaki atau perempuan. Siapa yang tak akan rasa pelik melihat seorang perempuan berseluat habis ketat, nampak segala bentuk dari pinggang hingga ke buku lali. Bajunya singkat di atas paras punggung tapi tudungnya begitu bagus, besar dan labuh hingga hampir menutupi bajunya.

Pakaian itu sudah hampir sempurna tapi dirosakkan oleh 'leggings' yang membalut anggota badan di bawah. Ini kali pertama kakchik melihatnya di depan mata dalam jarak yang begitu dekat namun terlalu lemah untuk menasihatinya. Faktor iman yang lemah, faktor persekitaran yang tidak sesuai, faktor maruah adik itu dan ibu bapanya, semuanya menjadi alasan kenapa kakchik tidak menegurnya.

Hakikatnya, cara berpakaian seperti di atas semakin biasa dilihat di mana-mana di negara ini.

MALU sudah hilang dari jiwa kita.

Itu juga tandanya usaha dakwah perlu sentiasa dilakukan, berterusan, kreatif dalam pendekatan dan strategi, kena turun ke medan masyarakat dengan pelbagai cara. Pentas ceramah bukan tempatnya untuk mendekati remaja. Kita kena gali cara lain yang lebih mendekati mereka. Kakchik rasa tak sanggup lagi nak lihat kaum wanita muslimah kita berpakaian begini di khalayak ramai. Berpakaian tetapi telanjang.

TIP BISNES: Berbisnes Adalah Bersahabat

BISMILLAH.

Tip bisnes ini ialah dari salinan asal tulisan Pn. Ainon Mohd. PTS.

Ada orang menyangka, cogan kata 'berbisnes adalah bersahabat' bermakna bisnes yang mudah adalah menjual produk kepada kawan-kawan sendiri, dan saudara-mara sendiri. 
Tidak. Jangan jual apa-apa kepada kawan-kawan dan saudara-mara sendiri sebab perbuatan seperti itu bukan cara menjalankan bisnes yang betul. 
Kalau kawan-kawan dan saudara-mara kita mahu membeli produk kita, itu bonus, kalau tidak, tidak jadi apa-apa sebab bisnes kita tidak memerlukan pembelian mereka bagi survival kerana kita mempunyai kelompok pelanggan yang lebih daripada cukup. 
Berbisnes adalah bersahabat bermakna kita pandai menjalin dan mengekalkan hubungan persahabatan dengan semua pihak yang kait-mengait dengan kepentingan bisnes kita. 
Pada masa ini kita dapat menjalin persahabatan baru dengan bantuan internet. Sebagai contoh, kita perlu belajar seni memancing rakan-rakan yang hanya kita kenal dalam FaceBook supaya mahu menjadi pendukung bisnes kita.
Sebagai pendukung, mereka dapat menceritakan kepada kelompok rakan masing-masing akan perihal siapa kita, apa bisnes kita dan senarai produk-produk kita.

Tip bisnes Pn. Ainon ni sangat sesuai buat kakchik. Kalian bagaimana?

28.12.11

Wordless Wednesday: Positive Change




MASALAH

BISMILLAH.

Masalah. Siapa yang tak ada masalah? Semua orang pun ada masalah cuma ada masalah kecil, sederhana dan ada masalah yang besar. 

Masalah dengan manusia ni boleh saja berlaku setiap hari. Kita tak mencari masalah, masalah yang cari kita. Misalnya kita rasa apa yang kita buat semuanya sudah betul, semuanya sudah elok tapi ada orang lain pula yang kata apa yang kita buat tu salah. Apa perasaan kita pada masa tu? 

Kalau kita dapat terima dengan tenang dan baik, insyaAllah kita ok je. Tapi jika kita tak boleh terima, maka, masalah pun tiba.

Satu lagi, ada orang berjanji akan menelefon kita atas satu urusan yang penting. Misalnya kita sedang menguruskan pembelian sebuah kereta secara pinjaman bank melalui skim Islamik. Orang yang menguruskan tu kata, pihak bank akan telefon kita untuk menjelaskan beberapa isu yang mungkin berkait. Kita kata, ok, kita bersedia dan akan menunggu panggilan telefon dari pihak bank.

Tunggu punya tunggu, tak ada satu pun panggilan yang berkenaan masuk. Masalah sungguh.

Kita ni sangat sayangkan orang yang paling dekat dengan kita sama ada suami, anak-anak atau mak ayah kita. Katakan suami ialah orang yang paling kita sayang selepas Allah dan Rasul. Suami kita dah pesan, malam-malam jangan tidur lambat, asyik dok mengadap internet, nanti tak cukup tidur esok payah nak bangun. Kalau kita dengar dan taat, insyaAllah takde masalah tapi kalau kita engkar, haaa.... tanggunglah sendiri.

Masalah ni ada yang mudah nak selesai, ada juga yang mengambil masa untuk diselesaikan. Kalau diri-sendiri tak ambil berat akan masalah yang menimpa, hanya buat deeek je, maka kemungkinan besar masalah yang kecil boleh menjadi besar. Masa tu tentu ada yang akan kata, "padan muka".

Kalau ada masalah, janganlah bertangguh untuk menyelesaikannya. Susah hidup nanti. Kalau kita seorang saja yang susah, oklah juga tapi kalau masalah tu melibatkan orang lain pula, kan ke menyusahkan? Orang lain ni ada yang murah hati dan sedia membantu tapi ada juga orang yang akan menambahkan lagi masalah kita. Makinlah bermasalah.

Bila masalah dah makin besar, otak makin susah nak cari jalan penyelesaian, kita mudah jadi buntu dan hidup jadi tertekan. Kalau pertolongan manusia pun tak dapat membantu, jangan kita lupa... setiap saat, setiap detik ALLAH ada untuk kita. Kita aje yang suka lupakan ALLAH. 

Jangan putus harap, jangan putus doa kepada ALLAH. Segala apa yang berlaku ke atas diri kita di dunia ini ALLAH tahu semuanya sama ada yang telah berlaku, sedang berlaku atau yang akan berlaku. Semuanya dalam perancangan Dia. Jadi... banyakkanlah mengingati ALLAH agar ALLAH tidak lupakan kita.

Hanya ALLAH yang boleh memudahkan kita menyelesaikan setiap masalah. Hanya Dia.

26.12.11

Filem Begini Yang Harus Kita Tonton

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sudah lama kakchik tidak membicarakan sesuatu tentang filem di blog Keluargaku Sayang ni. Tahun lepas ada beberapa kali kakchik menulis entri tentang filem seperti Laskar Pelangi dan Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2. Iyalah, bukan tak ada filem yang ditayangkan di seluruh negara tapi tak ada yang benar-benar menarik minat kakchik untuk menonton kemudiannya menulis komentar peribadi di sini.

Mahu berkongsi pandangan tentang filem pun kenalah pilih yang sesuai dan mempunyai nilai-nilai moral yang bagus. Sebagai orang Islam, hanya yang baik sesuai dikongsikan dengan orang lain, yang tidak baik atau sia-sia, lupakan saja. Bukan begitu?

Malam ini kakchik ada keinginan untuk bercerita sedikit tentang filem-filem yang kakchik ingin tontoni pada tahun 2012. Kenapa tidak tahun ini saja? Iya tak iya jugak. Hehehe... sebenarnya filem-filem itu masih belum ditayang secara rasmi di Malaysia malahan bukan juga filem terbitan negara kita. Mohon maaf... kerana keinginan kakchik terhadap filem Malaysia masih belum ada yang mampu membuat kakchik mahu menulis tentangnya.

Baiklah. Filem pertama mungkin HAFALAN SHALAT DELISA terbitan negara jiran, Indonesia. Wah... bagaimana ya mereka begitu bagus sekali menggarap karya-karya novela menjadi filem-filem penuh pengajaran? Hairan, begitu banyak buku novela di negara ini tapi belum ada penerbit filem yang mampu menjadikannya bahan tonton yang menarik setanding negara jiran ini.




Filem ini dihasilkan dari novel tajuk yang sama dan kini ada terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors. Kisah yang dihasilkan dari kenangan sebuah ujian Allah iaitu TSUNAMI 2004. Melihat trailer-nya saja sudah terasa mahu menangis lebih-lebih lagi bila kita sudah membaca novelnya.

Sebentar tadi kakchik ditakdirkan Allah melihat pula sedutan sebuah filem penuh inspirasi terutama kepada kakchik dan mungkin sesiapa saja yang terlibat dan bisnes. Tapi kakchik rasa filemnya boleh saja dijadikan inspirasi oleh sesiapa saja yang sedang menghadapi ujian keperitan hidup. Dari senang menjadi susah atau sebaliknya.

Itulah dia filem THE BILLIONAIRE yang dihasilkan berdasarkan sebuah kisah benar seorang jutawan muda. Kali ini filemnya terbitan negara jiran juga tapi bukan di Selatan, kali ini di Utara negara kita iaitu Thailand. Huhu, kenapalah filem mereka boleh menarik hati kakchik begini sekali?



Pada kakchik, filem-filem sebeginilah yang sepatutnya banyak dihasilkan oleh karyawan-karyawan filem di negara kita. Selain dari ada kesan mendalam dari segi pendidikan nilai-nilai hidup yang positif, nilai-nilai agama, nilai-nilai kekeluargaan, orang seperti kakchik akan mudah tertarik untuk menontonnya malah akan membeli DVD atau VCD ORI yang diterbitkan.

Tapi... entahlah, setakat ini kakchik belum jumpa filem yang mencapai permintaan kakchik ini dari penerbit filem negara kita. Kakchik ni bukanlah ahli dalam bidang perfileman tapi kakchik ni konsumer yang mementingkan nilai-nilai Islam, yang mengutamakan nilai pendidikan moral yang positif, maka kakchik berhak untuk menyuarakan hak ini.

With that, I rest my case.

25.12.11

Bercuti di Tok Aman Bali Beach Resort

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua. Apa khabar? Kakchik doakan kalian semua dalam keadaan sihat sejahtera dan berbahagia dengan keluarga masing-masing.

Sudah dua hari kakchik tidak mengemaskini blog dan juga facebook. Bukan tak mahu mengemaskini kedua-duanya tapi kakchik sebenarnya pergi bercuti bersama cik abe selama hampir 2 hari 1 malam sejak pagi Jumaat lagi.

Ingatkan kat tempat percutian tu kakchik dapat online tapi Allah memang nak kakchik rehat sungguh-sungguh termasuk dari dunia siber, maka ditiadakan talian internet di resort itu. Syukurlah ... kalau tidak, takde makna sangat kot percutian kami.

Cuti ni adalah sempena Hari Keluarga Al Quds Travel iaitu syarikat cik abe bekerja. Alhamdulillah... walaupun tidak pergi jauh macam tahun lepas (Hatyai) tapi masih sangat berbaloi. Tempat percutian ini ialah sebuah resort yang baru dibuka, belum dirasmikan pun tapi khabarnya bertaraf 5 bintang.

Alhamdulillah... rezeki terpijak orang kata. Suami yang bekerja, kita yang dapat tumpang dua kaki hehehe.

Jomlah kakchik perkenalkan resort percutian kami ni. Mana tahu selepas ini ada yang mahu bercuti di sana juga. Tempatnya sangat menarik, di depannya pantai dan di sekelilingnya tasik buatan manusia. Dekat dengan jalanraya, mendamaikan dan seronok sekali terutama untuk anak-anak.

Inilah sebahagian gambar yang kakchik sempat rakam sebelum kamera kehabisan bateri.

Tok Aman Bali Beach Resort, sebelum bertolak pulang petang semalam.

Dari sudut berbeza diambil pada pagi Jumaat sebaik saja sampai.


Sayap kanan, kalau ke kanan lagi akan nampak playground.

Pandangan bangunan utama resort dari dalam.

Kolam renang terbuka yang luas, tak sesuai untuk muslimah mandi-manda.

Dari beranda bilik hotel di tingkat 2, nampak kolam renang.

Deretan bilik hotel dalam banguna dua tingkat.

Tasik di belakang bilik penginapan kami.

Boleh nampak resort bersebelahan iaitu Green Spa Resort.

Ada cermin besar dan kerusi rehat di beranda bilik.

Memang selesa untuk honeymoon lagi :)

Pandangan dari kerusi cleopatra menuju pintu masuk.

Sofa cleopatra di tepi sliding door  menuju ke beranda.

King size yang empuk tapi masih bangun subuh awal ya.

Pandangan bilik air dari luar.

Almari yang berpadanan.

Kolam ikan koi yang dihiasi pasu air pancut di sebelah restoran.

Bangunan pusat rekreasi. Pelbagai indoor games.

Hajat nak ke gim tak sampai.

Salah sebuah kerusi rehat di tepi kolam.

Meja studi juga disediakan untuk yang masih nak guna komputer.
Sayangnya takde line internet.

Cuba mencari internet dengan P1Wimax pun tak berjaya.

Sungguh romantik :)

Melihat air pasang di sebelah petang.

Suasana dalam restoran.

Maaflah gambarnya tak begitu tersusun, kakchik upload je mana yang sesuai. Semasa kami sampai, resort ini kelihatannya mendapat sambutan yang begitu hangat kerana ramai pelanggan kelihatan di sana-sini. Oleh kerana ia masih baru, segalanya masih 'memancar' dan kayu ukiran pun masih kuat berbau varnis.

Inilah salah satu resort yang bertambah di Negeri Kelantan ini. Walaupun harganya mahal namun permintaan sangat tinggi. Tak rugi kalian bercuti ke sini. InsyaAllah.

23.12.11

PESAN TOK GURU: Dibayar Hanya Bila Kerja Ikut Pelan


[Tazkirah] "Allah SWT telah gariskan segala peraturan untuk kita patuhi di dunia dan ganjarannya akan diberikan di akhirat hanya jika peraturan itu dipatuhi. Sebagaimana kita mengupah tukang rumah untuk bina rumah, kita sudah sediakan pelan seperti yang kita kehendaki. Jika tukang rumah tidak buat sebagaimana pelan yang disediakan, kita tidak akan bayar. Begitu juga Allah SWT, bagaimana Allah nak 'bayar' kita dengan ganjaran jika kita tidak patuh pada pelan Allah?"

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Medan Ilmu, 4 Mac 2011.

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang memberikan kuliah agama.
Sumber: FB Nik Abdul Aziz Nik Mat

21.12.11

IDEA: Rak buku takung air hujan (raingutter).

BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua. Pernah dengar tak 'raingutter bookshelves'? Tentu ada yang pernah dengar dan ada juga yang baru kali pertama mendengarnya. 'Raingutter bookshelves' ni atau kakchik terjemahkan kepada 'rak buku takung air hujan' ialah satu cara untuk menyusun dan mempamerkan buku yang sangat efektif dalam usaha menanam minat membaca anak-anak.

Kepada mereka yang sudah tahu, kalian dialu-alukan untuk memberikan pandangan atau komen mengenai pengalaman anda. Manakala bagi kalian yang tidak tahu, hari ni kakchik akan kongsikan sedikit ilmu kakchik berkaitan dengan 'rak buku takung air hujan' ini.

Sejarahnya...

Kakchik mengetahui tentang idea rak buku ini ialah melalui penulis buku The Readaloud Handbook iaitu Mr. Jim Trealease di dalam website dia. Pengalaman ini berlaku dalam tahun 2004 kalau tak silap kakchik. Di waktu itu kakchik sedang membuat research tentang penjimatan wang dalam menguruskan sebuah perpustakaan. Alhamdulillah Allah takdirkan kakchik terjumpa website Mr. Trealease.

Gambar-gambar seperti di bawah ini telah membuatkan semangat kakchik untuk melaksanakannya naik dengan mendadak dan hampir termimpi-mimpi hehehe. Sayangnya bajet kami di perpustakaan wakaf ini amat terhad dan kos pembelian takung air hujan juga agak besar pada masa tu maka hasrat hati itu terpaksa ditangguhkan hingga ke hari ini. Lama kan?






Kelebihannya

1. Daya tarikan yang tinggi
Cuba kalian tengok gambar di atas tu. Menarik sangat kan? Kakchik tak tahu orang lain tapi kakchik sangat teruja melihat rak-rak buku yang boleh DIY ini. InsyaAllah di rumah kakchik pun akan ada rak begini nanti. Sekarang ni masih dalam pelan, bila perpustakaan kami siap dikemaskan, kakchik memang nak pasang rak 'rain gutters' ni kat lokasi yang strategik.

Kita yang dewasa ini boleh teruja, apatah lagi kanak-kanak yang sukakan benda berwarna-warni. Bila dipamer dan disusun begini, dengan cepat kanak-kanak boleh nampak kulit buku yang pelbagai rupa dan warna. Dan kebanyakan buku kanak-kanak memang kulitnya menarik.

Jika disusun menegak, bagaimana kanak-kanak nak nampak kulitnya kan? Minat nak pegang, nak ambil, nak belek buka itu amat kurang. Tapi kakchik sudah buat eksperimen dalam penyusunan buku ni. Bila kita susun buku seperti dalam gambar, kanak-kanak lebih cepat mengambil buku itu untuk dibawa ke kerusi dan membelek/membacanya. Sangat efektif.

2. Jimat ruang
Maksud kakchik, kita boleh pasang rak buku takung air hujan ni kat mana-mana ruang dinding kosong yang kita ada. Kalau rak buku biasa, pastinya kita nak menggunakan ruang dinding dan juga ruang lantai kan? Tapi dengan 'raingutters' kita hanya perlukan ruang dinding yang kosong tak kira luas atau sempit. Jom tengok contoh di bawah.

'Raingutter bookshelves' di dalam bilik tidur.

Ruang di bawah tingkap boleh dimanfaatkan juga.
Kemas, cantik dan menarik.

Selain dari idea penggunaan ruang yang ada dalam contoh-contoh di atas, kakchik yakin kalian sendiri lebih kreatif untuk memasangnya di mana yang bersesuaian.

3. Jimat belanja
Sebenarnya kakchik sudah lupa harga 'rain gutter' yang kakchik tanya di Syarikat Polyedar hari tu tapi secara relatifnya ia lebih murah berbanding kayu. Kawan kakchik, gurubesar di sebuah sekolah rendah Islam telah memasang rak begini di sekolahnya. Kalau tak silap ingatan kakchik, dia kata modalnya tidaklah besar.

Di luar negara juga semua guru dan ibu bapa yang memasang rak buku 'rain gutter' ini memberikan maklum balas positif iaitu rak buku ini amat menjimatkan bajet.

4. Mudah untuk dipasang.
Cuba baca perkongsian di blog ini tentang cara untuk memasang rak 'rain gutter' ni di dinding rumah.



Atau kalian boleh juga cuba cara yang dikongsikan oleh tuan blog ini: Raising Olive.


Kesimpulannya

Pihak perpustakaan akhirnya bersetuju untuk menjadikan impian kakchik ini satu kenyataan. Alhamdulillah... InsyaAllah tahun depan Sudut Kanak-Kanak kami akan mendapat beberapa perubahan yang positif. Ia akan diberi wajah baru dengan cat baru berwarna-warni (Alhamdulillah... dah lama bawa dalam mesyuarat), ada ruang akan dilukis mural menarik (Alhamdulillah... ini idea CikMat) dan sebagai menggantikan rak-rak buku yang rosak akibat air hujan, 'raingutter bookshelves' akan dipasang. Alhamdulillah summa Alhamdulillah.

Berkat kesabaran dan usaha yang tidak pernah puas. Alhamdulillah.

Rujukan:
1. http://raisingolives.com/
2. http://satorismiles.com/
3. http://www.trelease-on-reading.com/index.html

20.12.11

TAKDE TAJUK SESUAI HARI NI.

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua.

Terasa lama kakchik tidak menulis dari hati kat sini. Maafkan kakchik ya. Akhir-akhir ni tugas agak banyak di pejabat dan bisnes pula amat-amat memerlukan perhatian daripada kakchik. Natijahnya kakchik seperti kehilangan semangat sikit untuk menulis. Sudah beberapa kali asyik menulis BISMILLAH saja lepas tu tak tahu nak disambung dengan ayat apa.

Baiklah, oleh kerana kakchik tak ada sebarang isi penting untuk ditulis secara serius, kakchik akan tulis apa saja yang terlintas di minda kakchik ketika ini. Jadi, jika kalian terasa seperti "kakchik ni tulis entah apa-apa.", harap maafkan kakchik ya. Agaknya ini sindrom akhir tahun hehehe.

Di saat ini kakchik menulis dari Lobi syarikat pelancongan Al Quds Travel Sdn Bhd. Memang kebiasaan inilah yang kakchik lakukan sejak cik abe mula bekerja di sini lebih setahun yang lalu. Kadang-kala kakchik tunggu saja dia di dalam kereta yang kakchik parking kat depan bangunan ni misalnya bila hari hujan atau hari kakchik terlalu penat.

Seronok juga dapat online dari sini. Selain dari dapat menjalin ukhuwwah dengan rakan sekerja cik abe dan pasangan suami-isteri yang menjadi pemilik syarikat ini, kakchik dapat menaikkan semangat untuk makin kuat berusaha menuju kehidupan yang lebih selesa. Poster-poster pelancongan ke merata negara dan silih berganti pelanggan yang masuk untuk menempah tiket melancong, sentiasa menjadikan azam kakchik makin jitu.

Antara impian pelancongan yang mahu kakchik penuhi pada tahun 2012 (dengan izin Allah) ialah menunaikan Umrah/Haji. InsyaAllah umrah dulu. Mungkin kakchik akan dapat pakej istimewa jika kakchik pergi dengan cik abe kan? Mana tahu kot-kot syarikat ini menawarkan diskaun istimewa kepada kakitangan dan ahli keluarga mereka untuk menunaikan umrah atau melancong ke mana-mana saja. Best kan?

Satu perkara lagi yang kakchik boleh lakukan sambil menunggu suami ni ialah melihat kehidupan di sekitar kakchik. Dari sofa di lobi ini, kakchik sesekali suka melontarkan pandangan terus ke luar. Di luar tu ialah jalan utama yang agak sibuk kerana ianya adalah simpang empat berhadapan pusat membeli-belah paling maju di Kelantan iaitu KB Mall. Tambahan pula sekarang ni ada pembinaan jalan flyover di hadapan pejabat ini. Setiap hari kakchik melihat perkembangannya.

Nampaknya para pekerja sedang sibuk berkemas untuk pulang tu. Sebentar lagi suami kakchik akan keluar. Rasanya cukuplah dulu kakchik berceloteh kat sini. Sambil jemari rancak menaip, mata asyik melihat ke arah Restoran Mamak Spicy kat seberang jalan tu. Hai... teringin la pulak tapi dalam keadaan jalan yang sibuk dan susah nak u-turn ni, memang sahih kami tak akan ke situ. 

Nak makan/masak apa ya untuk dinner malam ni?

18.12.11

MAKLUMAN: Karnival Kerjaya & Keusahawanan Kreatif Kelantan 2011

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua.

Pagi ni kakchik nak kongsikan satu makluman tentang program terkini di Kelantan yang akan berlangsung beberapa hari saja lagi.



Ini ialah jadual penuh program yang akan berlangsung.


HARI PERTAMA : 20HB. DISEMBER 2011 (SELASA)
MASA / AKTIVITI
8.00 pg : Pameran Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif
9.30 pg : Majlis Perasmian oleh YAB. Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b. Nik Mat,  Menteri Besar Kelantan
10.30 pg : Rehat /Persegaran
10.45 pg : Taklimat Kerjaya & Keusahawanan Kreatif 1 :  “Keusahawanan Industri Kreatif” oleh Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, Zentrum Futures Studies
12.15 t/hari : Taklimat Kerjaya & Keusahawanan Kreatif 2 : “Inovasi dan Kreativiti  ; Suatu perkongsian pengalaman “ oleh Zulkifli b. Haron, Zull Design Autotronic
1.00 ptg : Makan Tengahari dan Solat Zohor
2.00 ptg : Taklimat Kerjaya & Keusahawanan Kreatif 3 :  “Inovasi dan Kreativiti ; Menyerlahkan Potensi Insan” oleh LimKokWing University of Creative Technology
3.00 ptg : Taklimat Kerjaya & Keusahawanan Kreatif  4 : “Program Pembangunan Industri Kreatif Islam Kelantan ; Peluang dan cabaran” oleh YB. Haji Zulkifli bin Mamat, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan & Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan
4.30 ptg : Minum Petang dan Solat Asar
5.00 ptg : Pertunjukan Anak Muda Kreatif
9.00 mlm : Persembahan Pentas Kreatif

HARI KEDUA : 21HB. DISEMBER 2011 (RABU)
MASA / AKTIVITI
9.00 pg : Pameran Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif
10.30 pg : Demonstrasi Kulinari/Masakan Kreatif oleh Dato’ Chef Ismail
2.00 ptg : Pertandingan Melukis/Mewarna Kanak-Kanak Kreatif
5.00 ptg : Pertunjukan Anak Muda Kreatif
9.00 mlm : Persembahan Pentas Kreatif

Sumber: Tuan Azura Raja Ismail, UPWKK

17.12.11

Jangan kita berlagak pandai.


BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar teman-teman blogger dan facebook  semua? Kakchik doakan kalian semua sentiasa di bawah lindungan rahmat dan kasih-sayang Allah SWT. Alhamdulillah, kakchik dan cik abe sihat-sihat saja. Syukur...

Sebenarnya kakchik tidak berhajat untuk menulis blog pagi ni kerana banyaknya tugasan yang menanti di atas meja pejabat ni. Tapi setelah membaca beberapa tulisan di blog dan juga di facebook kakchik rasa tidak boleh ditangguhkan penulisan kakchik ni.  Takut nanti kakchik terlupa dan terus tak menulisnya.


Isunya ialah mengenai sikap kita yang SEOLAH-OLAH tahu semuanya dalam hal agama. ‘KITA’ yang kakchik maksudkan di sini ialah orang seperti kakchik yang belajar agama secara tidak formal yakni belajar agama melalui siri-siri kuliah umum, usrah, kelas-kelas pengajian yang tidak tetap, mendengar rakaman audi/video seperti di youtube, vcd dan seumpamanya.

Kakchik menulis ini sebagai peringatan kepada diri-sendiri agar berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang berkaitan dengan:
v  hukum-hakam agama dalam hal-hal yang kakchik tidak mampu huraikan secara ilmiah bersandarkan Al-Qur’an, Hadis, Ijmak dan Qias.
v  kisah-kisah para nabi, para sahabat  dan ahli keluarga mereka, terutama berkaitan latar belakang terperinci peribadi mereka, kehidupan mereka, sikap mereka dan kecenderungan mereka.
v  Tafsiran Al-Qur’an dan Hadis yang kakchik sendiri tidak pernah belajar secara jelas.

Sebentar tadi kakchik telah meluangkan masa sebentar untuk membaca. Jika tidak diperuntukkan masa dan asyik mengemaskini status di facebook atau membalas mesej/email saja, kakchik tak akan tahu isu-isu semasa dan pelbagai perkembangan ilmu yang berlaku di sekitar kakchik.

Dalam pembacaan kakchik ada beberapa kali kakchik merasai perasaan ini, “Ahli agamakah orang yang menulis ni? Cara dia menulis seolah-olah dia tahu semua perkara. Bila ada orang yang beri pandangan yang kontra tapi ramai yang bersetuju, dia tidak pula meraikan pandangan tersebut malah membalasnya seperti orang lain itu semua tidak pandai sepertinya.”

Bila hati kakchik berkata-kata begitu, kakchik cepat-cepat istighfar dan kembali melihat kepada diri-sendiri. Pertanyaan demi pertanyaan kakchik ajukan kepada diri kakchik. Mungkinkah para pembaca blog kakchik ada yang beranggapan begitu apabila mereka membaca tulisan-tulisan kakchik yang berkaitan dengan aurat dan pakaian wanita Islam? Tahu sajalah dalam blog ini banyak tulisan kakchik yang popular adalah berkisar tentang aurat, pakaian wanita Islam dan niqab.

Allahu Allah... moga-moga Engkau peliharalah diriku ini dari berbahas tentang sesuatu yang di luar pengetahuan dan kemahiran ilmuku yang terhad ini. Kakchik amat berharap Allah melindungi tulisan-tulisan kakchik daripada sebarang unsur riak, ujub, sombong atau bongkak dengan sekelumit ilmu yang Allah campakkan ke dalam hati. Janganlah hendaknya kakchik dianggap berlagak pandai sedangkan kakchik sebenarnya bukan ahli agama.

Nau’zubillahiminzalik.

KakChik Niza
Perpustakaan Dar Nur al-Zahra’
21 Muharram 1433H (17 Disember 2011)

16.12.11

Bezakan Antara Dua

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua. Hari ni kakchik nak cuti sungguh tapi petang nanti ingat nak ke satu program di KB. Sebelum menyambung rehat, kakchik nak ajak kalian tengok 2 video dan mohon kalian buat perbandingan yang mana benar-benar jujur untuk Islam dan yang mana semata-mata untuk kepentingan politik. Nilailah dengan ilmu dan kebijaksanaan akal yang Allah pinjamkan kepada kita. Silakan.
 


Semoga Allah sentiasa memelihara iman kita dan membimbing kita dalam setiap tutur kata, perbuatan tangan kita, jari-jemari yang menulis apatah lagi sokongan kita terhadap perjuangan Islam. Kalau tiada ilmu tanyalah kepada yang PAKAR nanti kerana mulut badan binasa.

PESAN TOK GURU: Brek Dalam Kehidupan Kita


[Tazkirah] "Bila kita berugama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya yakin seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka.."

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di sidang media, 30 Jun 2010.

Sumber: FB Nik Abdul Aziz Nik Mat

12.12.11

Perkongsian: Jenis Mengumpat Yang Dibolehkan.

Ghibah (mengumpat) yang dibenarkan

Ghibah (mengumpat) adalah salah satu perbuatan yang tercela dan memiliki kesan negatif yang cukup besar. Ghibah dapat mencerai-beraikan ikatan kasih sayang dan ukhuwah sesama manusia. Seseorang yang berbuat ghibah bererti dia telah menebarkan kedengkian dan kejahatan dalam masyarakat. Walaupun telah jelas besarnya bahaya ghibah, tapi masih banyak saja orang yang melakukannya dan menganggap remeh bahaya ghibah (mengumpat/menggunjing).

Akan tetapi ternyata ada beberapa hal yang mengakibatkan seseorang diperbolehkan untuk mengumpat. Namun sebelum mengetahui kriteria masalah apa saja yang membolehkan seseorang untuk melakukan ghibah, ada baiknya kita mengetahui dahulu apa itu ghibah.

Definisi Ghibah

Definisi ghibah dapat kita lihat dalam hadits Rasulullah SAW yang berikut:

“Ghibah ialah engkau menceritakan saudaramu tentang sesuatu yang ia benci.” Si penanya kembali bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu bila apa yang diceritakan itu benar ada padanya ?” Rasulullah e menjawab, “kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat buhtan (mengada-ada).” (HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad).

Berdasarkan hadits di atas telah jelas bahawa definisi ghibah iaitu menceritakan tentang diri saudara kita sesuatu yang ia benci meskipun hal itu benar. Ini bererti kita menceritakan dan menyebarluaskan keburukan dan aib saudara kita kepada orang lain. Allah sangat membenci perbuatan ini dan mengibaratkan pelaku ghibah seperti seseorang yang memakan bangkai saudaranya sendiri. Allah S.w.t berfirman:

”Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (QS. Al-Hujurat: 12)

Imam Nawawi dalam kitab Syarah Shahih Muslim dan Riyadhu As-Shalihin, menyatakan bahawa ghibah hanya diperbolehkan untuk tujuan syara’ iaitu yang disebabkan oleh enam hal, iaitu:

1. Orang yang mazhlum (teraniaya) boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzhaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berwenang memutuskan suatu perkara dalam rangka menuntut haknya.

Hal ini dijelaskan dalam Al-Qur’an surat An-Nisa ayat 148: “Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. An-Nisa’: 148).

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang teraniaya boleh menceritakan keburukan perbuatan orang yang menzhaliminya kepada khalayak ramai. Bahkan jika ia menceritakannya kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan, kekuatan, dan wewenang untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, seperti seorang pemimpin atau hakim, dengan tujuan mengharapkan bantuan atau keadilan, maka sudah jelas boleh hukumnya.

Tetapi walaupun kita boleh mengghibah orang yang menzhalimi kita, pemberian maaf atau menyembunyikan suatu keburukan adalah lebih baik. Hal ini ditegaskan pada ayat berikutnya, iaitu Surat An-Nisa ayat 149: “Jika kamu menyatakan kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (QS. An-Nisa: 149)

2. Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar. Pembolehan ini dalam rangka isti’anah (minta tolong) untuk mencegah kemungkaran dan mengembalikan orang yang bermaksiat ke jalan yang hak. Selain itu ini juga merupakan kewajiban manusia untuk ber-amar ma’ruf nahi munkar. Setiap muslim harus saling bahu membahu menegakkan kebenaran dan meluruskan jalan orang-orang yang menyimpang dari hukum-hukum Allah, hingga nyata garis perbedaan antara yang haq dan yang bathil.

3. Istifta’ (meminta fatwa) akan sesuatu hal.

Walaupun kita diperbolehkan menceritakan keburukan seseorang untuk meminta fatwa, untuk lebih berhati-hati, ada baiknya kita hanya menyebutkan keburukan orang lain sesuai yang ingin kita adukan, tidak lebih.

4. Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan seperti:

a. Apabila ada perawi, saksi, atau pengarang yang cacat sifat atau kelakuannya, menurut ijma’ ulama kita boleh bahkan wajib memberitahukannya kepada kaum muslimin. Hal ini dilakukan untuk memelihara kebersihan syariat. Ghibah dengan tujuan seperti ini jelas diperbolehkan, bahkan diwajibkan untuk menjaga kesucian hadits. Apalagi hadits merupakan sumber hukum kedua bagi kaum muslimin setelah Al-Qur’an.

b. Apabila kita melihat seseorang membeli barang yang cacat atau membeli budak (untuk masa sekarang bisa dianalogikan dengan mencari seorang pembantu rumah tangga) yang pencuri, peminum, dan sejenisnya, sedangkan si pembelinya tidak mengetahui. Ini dilakukan untuk memberi nasihat atau mencegah kejahatan terhadap saudara kita, bukan untuk menyakiti salah satu pihak.

c. Apabila kita melihat seorang penuntut ilmu agama belajar kepada seseorang yang fasik atau ahli bid’ah dan kita khawatir terhadap bahaya yang akan menimpanya. Maka kita wajib menasihati dengan cara menjelaskan sifat dan keadaan guru tersebut dengan tujuan untuk kebaikan semata.

5. Menceritakan kepada khalayak tentang seseorang yang berbuat fasik atau bid’ah seperti, minum-minuman keras, menyita harta orang secara paksa, memungut pajak liar atau perkara-perkara bathil lainnya. Ketika menceritakan keburukan itu kita tidak boleh menambah-nambahinya dan sepanjang niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.

6. Bila seseorang telah dikenal dengan julukan si pincang, si pendek, si bisu, si buta, atau sebagainya, maka kita boleh memanggilnya dengan julukan di atas agar orang lain langsung mengerti. Tetapi jika tujuannya untuk menghina, maka haram hukumnya. Jika ia mempunyai nama lain yang lebih baik, maka lebih baik memanggilnya dengan nama lain tersebut. Wallahu a’lam bishshawab


Sumber: Ibnu Taimiyah, Imam Syuyuthi, Imam Syaukani,, Maktabah Al-Manar, Yordania.

11.12.11

KUDAPAN: Putu Mayam

BISMILLAH.

Sejuknya petang ni. Hujan masih tak berhenti dari malam tadi hinggalah ke saat ini. Nampaknya banjir siri kedua akan datang lagi ke Kelantan ni. Pagi tadi kakchik tengok air di Sungai Pulau Melaka tu dah sampai ke gigi sungai dan warnanya sangat keruh. Selalunya itu tanda air dari hulu telah turun ke hilir. Harap-harap tidaklah banjir cuma hujan lebat saja.

Bercerita pasal hujan ni semalam kakchik ada beli Putu Mayam untuk cik abe. Petang-petang hari dapat makan Putu Mayam yang panas dan minum teh panas juga, sangatlah seronok. Tapi, mungkin Putu Mayam tu nak jadi rezeki kakchik, sampai di rumah, cik abe taknak makan pula sebab dia dah kenyang. Jadi, kakchiklah yang makan.

Putu Mayam

Alhamdulillah. Selalunya kuahnya sangatlah manis tapi yang semalam tu kuahnya sedang-sedang elok dengan selera kakchik. Tak manis sangat. Bila lama tak makan ni, dapat makan semangkuk pun dah terlalu nikmat tapi kalau hari ni nak makan lagi, tak mungkin. Muak.

InsyaAllah petang ni kudapan kami ialah Cekodok Pisang. Kurang rajin untuk ambil gambar sebab kalian pun dah biasa tengok cekodok kan? 

Adab-Sopan Yang Makin Menipis

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. 

Alhamdulillah di hari Ahad ni kakchik masih lagi ada di sini, masih mampu bangkit dari tidur pagi tadi, masih lagi berupaya menyiapkan makan-pakai suami sebelum kami sama-sama ke pejabat, masih mampu sampai ke tempat kerja dan melaksanakan amanah orang dan kini mampu menaip ayat-ayat yang sedang kakchik luahkan ini. Alhamdulillah.... berbanyak-banyak Alhamdulillah atas nikmat nyawa yang Allah pinjamkan ini.

Oleh kerana besarnya nikmat yang Allah berikan ini maka sebaik mungkin kakchik sebagai hamba-Nya, makhluk ciptaan-Nya, kakchik kenalah berusaha sedaya-upaya untuk melakukan apa juga perkara yang Allah suka. Jika di pejabat kakchik boleh melakukan amanah kerja dengan sebaik-baiknya agar urusan dengan manusia lain akan lancar maka lebih-lebih lagilah kakchik perlu lakukan amanah Allah kerana hujung hidup kakchik nanti Dialah yang wajib kakchik hadapi dan bertanggungjawab atas segala tingkah-laku kakchik semasa hidup ini.

Maka, kakchik akan cuba menahan sabar dengan sikap kurang ajar sesetangah orang yang tidak tahu adab dan tiada adab dalam berurusan dengan kakchik. Ini bukanlah bermakna kakchik ni tahu dan buat semua adab-adab yang Islam ajar tapi insyaAllah kakchik cuba untuk sentiasa beradab dalam berurusan dengan orang lain. Menjaga bahasa dan tutur-kata, menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang lebih muda, itulah antara ilmu adab yang telah sekian lama dipahat masuk ke dalam diri kakchik. Jadi, bila ada orang yang kurang adab dengan kakchik, kakchik bersabar dulu, senyum dan respon dengan nada yang paling 'cool' yang mampu kakchik lakukan.

Kakchik tahu, itulah ujian dari Allah melalui orang lain suku-sakat yang tidak kakchik kenali siapa dia. 

Bercerita pasal adab ni, sebenarnya hati kakchik telah terguris sebentar tadi. Kakchik ada menerima satu panggilan telefon yang tersalah nombor. Dari suara di hujung talian kakchik mengagak orangnya seorang wanita yang sedikit berusia daripada kakchik. Tapi sedihnya tanpa salam, tanpa memperkenalkan diri, terus dengan kasarnya bertanyakan tentang seseorang yang kakchik tak kenali. Kakchik bagi salam dan perkenalkan diri kemudian kakchik cakaplah, "maaf, saya tak kenal siapa H ni. Akak nak telefon ke mana?" dalam nada paling sopan.

Takde minta maaf ke apa, terus dia kata, "Habis tu, tu... kat mana tu?"

Kakchik bagitau dia yang kakchik dari Pulau Melaka dan tentu dia telah tersalah nombor. Kalau kakchik di tempat pemanggil, bila dah tahu kita tersalah nombor, dengan cepat kakchik akan minta maaf sebab telah menganggu orang apatah pula dengan cara tanpa mukaddimah semasa awal perbualan tu. Tapi, pemanggil itu, jangankan nak minta maaf, hmm.... tak mengapalah. Moga-moga belum terlambat untuk kakak tu menambah ilmu tentang adab berbicara selepas ini. Kalau dia seoorang ibu, entah bagaimana agaknya cara dia berkomunikasi dengan anak-anak semasa mendidik mereka. 

Moga-moga dia tidak menggunakan intonasi dan pendekatan yang sama. Kesihan anak-anak.

Selepas perbualan tamat, kakchik terfikir-fikir, mungkinkan di hari ini, orang kita sedang mengalami KRISIS ADAB dan SOPAN-SANTUN? Bukan sekali-dua kakchik mengalami dan melihat perkara sebegini berlaku di persekitaran kakchik. Adakah mereka tidak tahu betapa Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa beradab-dopan? Nabi Muhammad SAW ialah seorang insan yang patut dijadikan contoh teladan dalam hal adab-sopan ni. Ingat tak kisah seorang wanita yahudi yang meludah kepada Rasulullah SAW setiap kali melintasi rumahnya? 

Sekali imbas, wanita itu sungguh tidak beradab manakala Rasulullah SAW pula sangat sopan dan sabar dalam menangani kerenah wanita itu. Kalaulah kita di tempat Rasulullah, agaknya ... kalian dapat bayangkan sendirilah ya. Anyway, kita perlu teruskan usaha dakwah kita agar masyarakat Islam terutamanya orang Melayu Islam agar sentiasa memelihara adab sopan dalam kehidupan. Sebagai orang Islam, sepatutnya kitalah mendahului orang lain dalam urusan menjaga akhlak ini. 

Rasanya cukuplah dulu celoteh kakchik pagi ni. Semoga kita sama-sama beringat untuk menjaga adab-sopan kita dalam urusan hidup sehari-hari. Allahua'lam.

KakChik Niza
Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'
11 Disember 2011

9.12.11

RENCAH KEHIDUPAN: Maggi Mee dan Murtabak

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. 

Salam petang Jumaat yang sejuk, nyaman kerana redup dan berangin. Tadi hujan turun sekejap tapi renyai-renyai saja kat kampung kakchik ni. Mungkin kat tempat lain yang dapat hujan lebat hari ni. Petang-petang macam ni tiba-tiba saja terasa nak sangat makan Maggi Mee. Dah lama benar tak makan mee segera ni.

Jadi, bila tekak dah tak boleh tahan nak makan, otak pulak asyik terbayang-bayang aje rupa Maggi Mee yang telah siap dimasak, hidung pun macam terbau-bau je keharumannya, maka ke dapurlah kita. Dan... inilah hasilnya.

Maggi Mee cepat dimasak sedap dimakan.

Berbulan-bulan baru makan sekali jadi InsyaAllah takdelah bahaya kepada kesihatan ya. InsyaAllah HALAL. Sedang menunggu mee menjadi sedikit sejuk, kakchik ambil peluang berfacebook sebentar. Nampak sejuk sikit, kakchik makanlah dua suap pastu biarkan kat tepi sambil tunggu cik abe balik dari Kubang Kerian.

MashaAllah.... suami tersayang dah balik dan dibawa balik buah tangan pulak tu. Makanan juga dan ianya sejenis makanan kudapan yang kakchik sangat suka. Paling suka kalau makan di bulan Ramadhan, memang sedap. Syukur alhamdulillah dengan rezeki petang ini. Kira makan malam dah ni, tak perlu lagi makan nasi malam nanti.

Murtabak yang harum.

Sos pencicah murtabak.

I love you Yang. Terima kasih :)

PESAN TOK GURU: Temujanji Dengan Allah


‎[Tazkirah] "Jika kita ingin membuat pertemuan dengan seseorang yang mempunyai pangkat, ia bukan kerja yang mudah. Pertamanya mungkin kerana kerja yang banyak dan kedua ialah ego. Jikapun kita berpeluang untuk jumpa, ada had masa dan perkara-perkara yang dilarang untuk diberitahu. Namun bertemu dengan Allah SWT yang Maha Besar, Maha Hebat amat mudah. Tanpa syarat, tanpa had masa, siang dan malam kita boleh berbicara denganNya. Pertemuan dengan Allah SWT ini kita lakukan di dalam solat kita.."

Tazkirah ringkas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabat Menteri Besar pada 10 Jun 2010.


7.12.11

TIPS BISNES: Bisnes Abaya Dari Rumah

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Butik Abaya Haniza @ Abaya Elegan Lovers

Ada sesiapa yang berminat nak buat bisnes abaya ke? Tentu ada kan? Apakata malam ni kita kongsikan sedikit tips bisnes abaya? Menarik kan?

Baiklah, oleh kerana kakchik ni baru masuk 2 tahun membuat bisnes abaya ni kakchik tidaklah begitu layak untuk memberikan tips yang menarik. Tapi, kakchik akan kongsikan tips berdasarkan pengalaman yang telah kakchik lalui sepanjang 2 tahun ini.

TIPS 1: Pakai abaya sekerap mungkin

Untuk mengenali, memahami dan menyesuaikan sesuatu abaya dari mana-mana negara, maka kita hendaklah membiasakan diri memakainya sekerap mungkin. Dengan itu kita akan dapat membezakan mana yang sesuai dengan cuaca negara kita, mana yang sesuai untuk majlis-majlis tertentu, mana yang sesuai dipakai ke pejabat, mana yang sesuai untuk bersantai dan sebagainya. Selain itu kita juga akan dapat mengenali perbezaan kualiti kain yang digunakan untuk membuat sehelai abaya. Bila selalu dipakai, kita juga dengan sendirinya menjadi model abaya yang kita pasarkan. Bukankah mudah bila orang tanya, "Beli di mana?", jawab saja, "Saya pakar abaya. Saya memasarkan abaya dari...".

TIPS 2: Kenali jenis kain abaya

Ambil peluang bertanya kepada pembekal nama-nama kain yang digunakan untuk membuat abaya. Apabila membeli abaya kita pastinya sudah tahu kodnya apa kan jadi tanyakan aje kepada pembekal, "abaya kod ini apa nama kainnya?" Selepas itu setiap kali kita beli abaya baru, perhatikan mana-mana yang sama dengan abaya-abaya yang telah dibeli sebelum ini maka dengan mudah kita tahu nama kain yang digunakan. Secara tak langsung kita mempelajari nama kain dan mengetahui ciri-cirinya seperti nipis/tebal, ringan/berat, lembut/kasar, panas/sejuk dan sebagainya. Jadi mudahlah untuk kita menentukan abaya dari kain manakah yang paling sesuai dipasarkan di negara kita. Dan bila pelanggan bertanya, insyaAllah kita akan yakin untuk menjawab dan mencadangkan abaya dari kain-kain tertentu untuk keselesaan pelanggan.

TIPS 3: Membeli abaya sampel dari pembekal yang berbeza

Kakchik ni biasanya sebelum mula memasarkan sesuatu abaya, kakchik suka membeli abaya sampel terlebih dahulu. Ianya boleh menjadi koleksi peribadi dan juga koleksi syarikat. Apabila mendapat tawaran dari mana-mana pembekal (biasanya para penjual/pembekal abaya ni akan menghubungi kakchik secara online untuk mempromosikan abaya mereka), kakchik biasanya akan memilih beberapa helai abaya yang ditawarkan untuk dibeli sebagai sampel. Bila membeli, kakchik boleh membuat beberapa penilaian seperti:

  • cara pembekal itu berurusan - ramah pelanggan, strictly business, tolak-ansur, suka berkawan, dll.
  • jumlah diskaun yang diberikan untuk wholesale
  • berapa jumlah minima yang melayakkan kakchik mendapat diskaun wholesale
  • cara pengendalian - tempoh abaya dijahit, kualiti jahitan, kualiti kain, pembungkusan, penghantaran dan kejujuran
  • proses pembayaran - adakah kena bayaran penuh baru barang dihantar atau boleh ansuran
  • pembekal mana paling serasi dengan kakchik - boleh berkawan, sekepala, lagi best kalau sama-sama suka pakai abaya
Koleksi abaya yang ada di Butik Abaya Haniza.

TIPS 4: Jujur dan ramah pelanggan

Pelanggan mempunyai pelbagai kerenah yang ada masanya mudah ditangani dan ada ketikanya menguji kesabaran diri. Bukan kakchik tak tahu.... kakchik pun dalam masa yang sama pelanggan juga jadi ada ketikanya "pelanggan memang tak sabar menanti barangan yang telah ditempah terutama apabila telah membayar penuh". Sudah tentu... kalau kakchik jadi pelanggan pun tentu 'anxious' bila barang lambat sampai. Di sini, yang penting, beritahu pelanggan awal-awal jika membuat tempahan abaya yang dijahit di luar negara (Dubai, Qatar, Arab Saudi, Pakistan) pastinya akan mengambil masa. Ini kerana:
  • Sekali kakchik menghantar tempahan, jumlahnya lebih daripada 10 helai kadang mencecah 30 helai. Pembekal mengambil masa antara seminggu hingga 3 minggu untuk menyiapkan tempahan dalam jumlah yang besar itu kemudian mengambil masa pula untuk dibungkus dan dihantar melalui kapal. ETA ataupun Estimation Time Arrival, jangkaan masa tiba di Malaysia juga adalah antara sebulan hingga 2 bulan dari tarikh penghantaran bergantung kepada apa-apa situasi semasa dalam perjalanan dari negara pembekal ke Malaysia. Kadang-kadang ada masalah semasa transit di mana-mana terutama di Singapura. Kemudian lekat pula di Kastam KLIA atau Pulau Pinang. Tak mampu juga nak jelaskan semua ni kepada pelanggan tapi bila pelanggan bertanya khabar tentang abaya mereka, jujurlah memberi penjelasan agar hati mereka lega.
Seremeh mana sekalipun pertanyaan pelanggan berkaitan abaya, cubalah berikan jawapan yang jujur. Jika kita tidak tahu, kita boleh bertanyakan rakan-rakan bisnes abaya yang lain. Selain itu Internet pun ada untuk kita mencari maklumat yang diperlukan. Dan... kita kan ada pembekal, mereka juga boleh menjadi tempat rujukan kita.

TIPS 5: Berkenalan dan berkawan dengan para peniaga abaya yang lain

Orang Cina mereka sangat mementingkan networking di kalangan peniaga bangsa mereka. Apa salahnya kita meniru sikap ini? Bagi kakchik, berkenalan dan berkawan dengan seramai mungkin peniaga abaya ada beberapa kebaikannya seperti,
  • kakchik dapat semangat dan motivasi - hati jadi seronok bila melihat kawan-kawan menjual abaya. bila bisnes makin maju, kakchik turut berasa gembira kerana itu tandanya makin ramai wanita yang gemar memakai abaya secara tak langsung usaha menggalakkan orang menutup aurat itu semakin berjaya.
  • boleh bertanya jika ada masalah - ada di kalangan mereka ialah orang yang lebih senior dalam bisnes ini maka jika timbul sesuatu masalah yang tidak biasa kakchik hadapi, kakchik boleh merujuk kepada mereka. Mana tahu kan, mereka mungkin sudah ada pengalaman menyelesaikannya.
  • boleh dapatkan stok emergency - kadang-kadang ada pelanggan mahukan sesuatu abaya tapi kakchik telah kehabisan stok, maka kakchik boleh bertanya kepada mana-mana rakan peniaga abaya  yang lain. jika mereka ada stok, kakchik boleh belikan dari mereka walaupun hanya dengan diskaun yang kecil tapi pelanggan tidak kecewa.
  • mudah mendapat maklumat tentang pembekal baru - kadang-kadang rakan peniaga abaya yang lain turut mengambil abaya dari pembekal lain selain dari pembekal yang sama dengan kakchik. bila kakchik berminat untuk berurusan dengan pembekal baru, kakchik boleh dapatkan maklumbalas dari rakan peniaga abaya tentang mereka. Ini sebagai langkah berhati-hati agar pembekal yang baru itu boleh dipercayai.

Itulah antara tips-tips bisnes abaya yang boleh kakchik kongsikan pada hari ini. Tips-tips ini sebagaimana yang kakchik sebutkan di awal artikel, semuanya berdasarkan pengalaman kakchik selama dua tahun membuat bisnes abaya dari timur tengah. Semoga tips yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada anda semua yang berminat untuk menjalankan bisnes yang sama.

Segalanya dengan izin Allah jua.


KakChik Niza
Baiti Jannati @ Butik Abaya Haniza @ Abaya Elegan Lovers
Kg. Pulau Melaka
08 Disember 2011

Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs