Followers

30.11.11

Seni bercakap-cakap antara suami isteri

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Hari ni kakchik autopublish saja entri ni sebab terlalu banyak kerja nak diselesaikan.



Dari: Puan Ainon, PTS

Kebanyakan lelaki tidak tahu bahawa bagi perempuan, aktiviti bercakap-cakap adalah amat penting, ia seerti dengan berkasih mesra.

Bagi perempuan, berkasih sayang adalah bercakap-cakap. Tidak mahu bercakap-cakap bermakna tidak berkasih dan tidak bersayang.

Tetapi lelaki tidak tahu bahawa persepsi yang begitulah punca yang mendorong perempuan sangat memerlukan aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual dengan suami mereka.

Bagi perempuan, bercakap-cakap tentang perkara-perkara yang tidak penting adalah amat penting!

Bagi lelaki pula, banyak bercakap-cakap tentang perkara yang tidak penting cuma membuang masa sahaja, oleh itu tidaklah perlu dilayan.

Kebanyakan perempuan tidak tahu bahawa lelaki bukannya tidak suka bercakap-cakap. Sebenarnya, lelaki lebih menghargai kedamaian dan ketenangan daripada bercakap-cakap perkara yang bagi mereka tidak penting.

Lelaki sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka boleh mendapatkan kedamaian dan ketenangan.

Itulah sebabnya lelaki suka perempuan yang membenarkan mereka duduk diam-diam sahaja sambil membaca surat khabar ataupun menonton tv di rumah, tak perlu bercakap-cakap.

Tetapi bagi perempuan, apabila suami mereka tidak mahu bercakap-cakap dengannya, mereka menganggap suaminya tidak peduli akan dirinya.

Jadi, adakah kalian setuju dengan artikel yang kakchik kongsikan hari ni?

Wordless Wednesday: Pemasangan Tapak Flyover


Lokasi: Depan Al-Quds Travel Sdn Bhd, Simpang 4, Wakaf Siku, KB

29.11.11

Jubah Bling-Bling, Purdah, Celak Mata & Contact Lense

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semoga teman-teman semua dalam keadaan sihat sejahtera. Kakchik, alhamdulillah sihat-sihat saja begitu juga Cik Abe. Alhamdulillah.

Malam ni kakchik nak kongsikan sesuatu yang menarik perhatian agak ramai teman fb. Asalnya kakchik membaca 'status update' seorang kenalan yang juga seorang ustaz yang terkenal juga. Kemudian kakchik kongsikan 'status' beliau di wall kakchik untuk perbincangan umum.

Oleh kerana talian internet di pejabat kakchik mengalami gangguan sejak semalam, kakchik tidak dapat untuk mengikuti setiap komen yang ditinggalkan mahupun membalasnya hinggalah lewat pagi. Itupun kakchik ada banyak urusan pejabat jadi kakchik hanya sempat tulis satu komen terbuka.

Apapun, mari kita lihat dulu 'thread' perbincangan yang terkumpul dari pagi tadi hinggalah beberapa minit yang lepas.

Klik untuk besarkan imej. Baca yang ini dulu ya.

Status ini telah mengundang 79 LIKES dan kalau tak silap kira, 27 komen tak termasuk satu yang kakchik punya. Dalam status ustaz ni ada bahagian yang kakchik setuju dan ada yang kakchik kurang setuju tapi biarlah dulu pandangan kakchik tu, mari kita tengok dulu pandangan teman-teman fb kakchik. Nanti kalian juga boleh memberikan pandangan yang ikhlas juga.






Kakchik amat berterima kasih kepada semua teman-teman fb yang telah menyertai perbincangan di atas. Dalam hampir 4 ribu orang teman, mereka telah sudi maju ke depan mengutarakan pendirian masing-masing. Syabas kerana berani dan sudi. InsyaAllah setiap pandangan dan komen yang teman-teman berikan amat kakchik hargai.

Pastinya setiap komen itu didasari oleh fikrah, ilmu dan kefahaman agama masing-masing. Tentunya ada yang pro, ada yang kontra dan ada juga yang 'boleh belaka'. Kakchik juga punya respon tersendiri kepada status Ust. Hasrizal ini. Ok, kakchik akan beri respon yang sewajarnya berdasarkan sedikit ilmu dan kefahaman kakchik dalam hal berpakaian menurut Islam ni. Moga-moga respon kakchik ini menepati kehendak syariat.

Pertama: Jubah fancy berlabuci dan bermanik atau kakchik simpulkan sebagai jubah/abaya bling-bling

Sebagai seorang penjual abaya, sebaik saja membaca ayat ini hati kakchik terus terdetik, "adakah abaya yang dijual tu termasuk dalam kategori ini?". Memang benar, ada sebahagian abaya yang kakchik jual termasuk dalam kategori 'fancy' yang kakchik kumpulkan dalam album EKSKLUSIF. Dalam masa yang sama pengertian 'fancy' ini agak subjektif bergantung kepada persekitaran dan gaya hidup seseorang.


Abaya di atas ialah contoh abaya eksklusif yang pernah kakchik jual. Pada sesetengah orang abaya ini tersangatlah lawanya dan 'fancy' manakala ada pula sebahagian yang lain merasakan abaya ini hanya biasa-biasa saja. Tiada sebarang labuci atau manik pada abaya ini, cuma ia ada 'border' kain satin berwarna maroon. Ia eksklusif kerana kualiti pembuatannya, dan mungkin ada bling-bling dari kain satin yang digunakan.



Abaya di atas pula ada manik-manik kristal di hujung lengan dan dada tapi kakchik ajarkan si pembeli memakai tudung yang labuh melebihi paras dada, insyaAllah bahagian dada akan terlindung. Kakchik lihat pelanggan kakchik yang memakai abaya ini yang juga berniqab, insyaAllah dengan akhlak yang baik.

Pada kakchik, pilihlah jubah atau abaya yang sesuai dengan keadaan. Jika mahu keluar bekerja, pakailah yang ada hiasan paling minima, ringkas tapi elegan. Tujuannya agar pakaian kita tidak menarik syahwat kaum lelaki yang kadang-kadang tidak mampu menahan pandangan mereka. 

Kedua: Berpurdah, Mata Bercelak/Maskara

Dalam hal ni, teguran Ustaz di atas kakchik juga setuju. Buat apa kita pakai purdah kemudian kita solekkan mata kita hingga jadi begitu sekali? Yelah, kita nak buat yang sunat dengan memakai purdah, tapi kenapa ada pula yang menyolekkan mata hingga menjadi seperti ini?


Kakchik tak pasti apa tujuan sebenarnya. Pada kakchik, sebagai muslimah yang mahu melakukan sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan iaitu dengan memakai niqab sedangkan ianya bukanlah wajib, dalam masa yang sama kita solekkan mata sebegini? Macam sia-sia pula usaha kita kan? Kalau macam ni, kakchik pun akan rasa nak tengok je matanya.

Memanglah cantik. Kalau tak orang tak tegur pulak kan? Minta dijauhkan Allah dari segala sikap atau perbuatan negatif sepertimana yang disebutkan dalam status ust di atas.



Entahlah. Kakchik tak kata apa yang kakchik buat dan apa yang kakchik tulis ni semuanya betul. Allahu'alam. Kakchik cuma cuba sebaik mungkin untuk tidak memakai pakaian yang bertabaruj dalam masa yang sama kakchik cuba elakkan pelanggan kakchik bertabaruj. Bukan mudah, susah tapi sedang diusahakan sebaik-baiknya. Masih belum sempurna.

Ketiga: Koordinasi pakaian, purdah dan make-up.

1. TAHU. Langkah pertama ialah ilmu. Penting bagi Muslimah mengetahui batasan aurat, ciri-ciri pakaian yang menutup aurat, siapa mahram dan siapa ajnabi, hukum hakam berkenaan aurat dll.

2. SEDAR bahawa tuntutan syariah ini amat perlu dan penting untuk dilaksanakan sesempurna mungkin. Jangan sambil lewa dan acuh tak acuh. Soal halal haram adalah perkara besar.

3. SYIAR. Setiap agama ada imejnya. Imej wanita Muslimah dapat dikenali melalui ciri-ciri pakaian yang menutup aurat.

4. FUNGSI CERMIN. Sebelum melangkah keluar rumah dengan yakin, tanyalah cermin, "Wahai cermin, adakah hari ini aku berpakaian menutup aurat.?"

5. ASINGKAN pakaian kepada dua kriteria; sesuai atau tidak dipakai di hadapan ajnabi. Pakaian yang seksi misalnya masih boleh dipakai tetapi hanya apabila bersendirian atau di hadapan suami.

6. MALU. Wanita yang tidak biasa mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi akan berasa malu, takut, gelisah dan sebagainya walau sekadar bermimpi tidak bertudung.

7. Bersahabat dengan WANITA yang SOLEHAH boleh menguatkan pendirian dan langkah seseorang wanita yang ingin berusaha mengubah penampilan.

8. EKSKLUSIF. Semua wanita itu cantik. Jika tidak manakan wanita menjadi senjata iblis melemahkan kaum lelaki. Namun kecantikan dan keindahan tersebut Allah kurniakan sebagai milik eksklusif wanita itu dan suaminya sahaja. Jadi usah dipertontonkan aurat dan perhiasan secara percuma jika suami pun perlu membayar mahar untuk memilikinya.

9. BANYAK MANFAAT. Wanita yang menutup aurat hakikatnya akan melangkah keluar rumah dengan selamat. Mereka tidak perlu merisaukan mata liar yang memandang.

10. SEDERHANA & SOPAN. Jubah yang longgar, hiasan sederhana, berpurdah sudah bagus, jika mahu bercelak kerana nak ambil sunat, cukuplah dengan celak Mekah sekadar satu garis di sekeliling mata. Kanta mata pula, seeloknya kekallah dengan mata asal kita. Bukankah itu jauh lebih baik?

(1 - 9 disalin dari SOLUSI #26)

Kurang senang

- dengan ayat ustaz yang penghabisan tu. 
- mungkin kerana ada kebenarannya, walaupun kakchik tidak pernah buat gaya-gaya sebagaimana yang disebutkan tapi sebagai seorang niqabi, kakchik tetap terasa.
- mungkin ustaz sudah lihat semakin ramai yang menunjukkan gambar-gambar sebegitu di dalam internet terutama di facebook. kakchik ada juga terjumpa tapi tak banyak sangat, mungkin kerana niqabi yang berkawan dengan kakchik, semuanya baik dan solehah.

Oleh itu, marilah kita semua sama-sama beringat, saling mengingatkan, sentiasa tegur-menegur tanpa rasa mencebik atau prasangka. Kita semua mahu menuju Allah di atas jalan yang terbaik tapi kita ini manusia lemah yang punya hawa nafsu yang kadang mampu dikawal, kadang kita yang kena kawal. Buang yang keruh ambil yang jernih. 

Kakchik ambil berat teguran ustaz ni kerana kakchik mahu apa yang kakchik cakap, kakchik laksanakan juga dalam amal perbuatan kakchik termasuklah bisnes abaya yang kakchik lakukan. Redha Allah kita sama-sama cari.

Wassalam.

KakChik Niza
Baiti Jannati

ps: Tulisan kakchik tidak teratur kerana kakchik menulis terus dari hati tanpa sebarang perancangan. Jika ada salah-silap, minta ditegur dengan baik. Terima kasih.

27.11.11

JUALAN ISTIMEWA di Abaya Elegan

BISMILLAH. Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah 1433 kepada semua teman-teman di mana saja kalian berada. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT yang masih mengizinkan kita hidup di atas bumiNya ini. Segalanya hanya pinjaman kepada kita agar kita manfaatkan sebaik-baiknya untuk negeri akhirat nanti.

InsyaAllah pagi ni kakchik sekadar ingin maklumkan kepada kalian bahawa butik abaya kakchik sedang mengadakan JUALAN ISTIMEWA atau SALE sempena tahun baru 1433 Hijrah selama 7 hari. InsyaAllah diskaun khas 50% untuk item-item terpilih. Jika kalian mencari sesuatu dari butik abaya kakchik, inilah masanya untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah.

Rasanya tak perlu kakchik bercakap panjang, jemput ke ABAYA ELEGAN sekarang juga!




Wassalam.

26.11.11

Salam MaaL Hijrah 1433.


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1433. 

Semoga Allah sentiasa menetapkan hati-hati kita di atas jalan iman dan Islam. Amin.

Dari: KakChik dan Ust. Wan

Video: Kak Nafisah Tahir

25.11.11

Idea Bergaya Dengan Abaya atau Jubah.

BISMILLAH.

Pernah tak ada satu hari kita terasa seperti tak ada idea nak pakai baju apa bila mahu ke mana-mana? Apakata kalian cuba pakai abaya atau jubah dan nak menggayakannya adalah mudah saja. Ini antara contoh-contohnya.

Eid Mubarak!

Once in a While

Once in a While by hanniaziz featuring drawstring handbags

Jangan fikirkan MAHAL, fikirkan bahawa kita boleh mencari item-item di atas yang JIMAT BAJET ataupun yang sesuai dengan bajet kita. Baju murah pun kalau pandai disuai-padan dengan tudung, beg tangan dan kasut akan tetap menampakkan kita elegan dalam sopan.

Kenapa orang selalu fikirkan abaya itu mahal padahal abaya ni ianya bergantung kepada kualiti. Kain baju kurung pun kalau kain batik tu boleh mencecah ratusan malah ribuan ringgit sepasang. Abaya ni kalau beli sehelai saja yang berharga RM200 lah katakan, lepas tu hanya jenis 'plain' dan 'all black' ia sudah cukup sebagai pelaburan kita dalam menjaga aurat. 

Apapun, dalam berpakaian, bersederhanalah sesuai dengan diri kita wanita muslimah. Asalkan memenuhi kehendak syariat, pakailah. Jangan membazir sudah.

Hiburan di petang Jumaat


Pada masa dahulu, ada sebuah kampung di mana semua rakyatnya amat rajin belaka tidak ada yang malas. 

Jadi pada suatu hari, rajanya membuat pengumuman hendak mencari seorang yang malas. 

Semasa perhimpunan itu, adalah seorang lelaki mengaku, katanya, “Patik adalah yang paling malas.” 

Raja pun bertanya, “Apa tahap malas tuan hamba?” 

Lalu jawab lelaki tersebut, “Kalau patik hendak makan, ada orang yang suapkan patik.” 

Tiba-tiba datang seorang lelaki lagi lalu berkata, “Patik lebih malas lagi daripada dia tuanku.” 

Tuanku pun bertanya kepadanya, “Sampai mana pulak tahap malas tuan hamba?” 

Maka jawabnya, “Kalau patik makanpun, sampai ada orang tolong kunyahkan.” 

Maka raja pun terdiam seketika. 

Tanpa disangka² datang seorang budak lelaki kepadanya sambil berkata, “Patik adalah yang paling malas tuanku.” 

Raja pun bertanya, “Bagaimana pula tahap kemalasan kamu si budak?”....... 

Budak itu pun menjawab, “Nak cite pun malas........."




Sumber: Insyirah Soleha

24.11.11

Semua Orang Pun Sibuk

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar? Sejuk kan? Maklum saja sekarang ni musim tengkujuh. Hujan turun siang dan malam hingga sudah banyak tempat yang dilanda banjir. Semoga mereka yang ditimpa musibah ini dapat bersabar dengan ujian Allah. Kakchik sekeluarga, alhamdulillah semuanya dalam keadaan sihat dan kawasan kami pun tidak banjir.

Sudah beberapa hari kakchik tidak update blog. Bukan malas ke apa tapi terlalu kesuntukan masa. Di pejabat, nak kemaskini akaun dan bersiap-sedia dengan segala macam laporan untuk dibentangkan dalam mesyuarat terakhir bulan depan, penat. Di rumah pula selain menguruskan hal-hal rumahtangga, tentunya urusan bisnes pula mengambil-alih masa kakchik. Memang tak cukup energi dengan banyaknya urusan yang perlu dibuat bersendirian, enjoy tapi meletihkan.

Dalam masa yang sama mak dan ayah mertua kakchik pulang dari menunaikan haji. Mereka tiba dengan selamat di bumi Kelantan jam 11.50 pagi semalam. Asalnya dimaklumkan akan sampai hari Selasa, kemudian malam Rabu dan akhirnya semalam mereka sampai. Kalut juga kakchik terpaksa mengubahsuai jadual waktu kerja dan seumpamanya kerana semestinya kakchik nak ke lapangan terbang menyambut mereka. Sayu sekali hingga menitis airmata tatkala melihat mak dan ayah yang masih ada bau-bau Makkah.

Bila diri kepenatan dengan pelbagai urusan ni, mesyuarat, kursus dan seminar pula datang menyelit-nyelit di hujung minggu. Sepatutnya di petang ini kakchik hadir di dalam satu mesyuarat IT tapi kerana tidak mendapat makluman awal, kakchik telah tidak menghadirkan diri. Macamana nak hadir bila diri terikat dengan janji dengan orang lain. Anak-anak saudara kakchik ramai di rumah ni dan ibu mereka bekerja. Nak dibiarkan ummi kakchik dan bibik saja menguruskan mereka memang kesian. Budak tengah membesar sangatlah aktif dan memerlukan stamina untuk menguruskan mereka.

Dalam segala kesibukan dan kepenatan itu, kakchik amat-amat bersyukur kerana kakchik sentiasa sihat walafiat. Cuma semalam saja ada sakit kepala sikit mungkin kesan dari memakan banyak sangat kurma yang dibawa pulang dari Makkah. Alhamdulillah... Allah bagi kakchik sihat. Alhamdulillah sangat sebab kakchik mampu melakukan banyak perkara dalam keadaan sihat. Syukur alhamdulillah. Moga-moga Allah kekalkan tahap kesihatan kakchik sebegini lebih panjang.

Rasanya inilah masanya untuk kakchik berehat sementara menunggu suami kakchik habis waktu kerjanya. Kakchik update blog dari ruang legar pejabat dialah ni. Nasib baik kat sini ada wifi, dapatlah juga kakchik online. Kalau tak online biasanya kakchik membaca. Manfaatkan masa yang terluang dengan sebaik-baiknya. Bukankah itu yang terbaik kan? Oklah... rasanya cukuplah dulu setakat ini. InsyaAllah bila lapang lagi kakchik akan update lagi.

Oh, hari ni hujan renyai-renyai saja. Sekarang ni cerah sekali. Tapi kan... selalunya bila cerah begini dengan cuaca berangin, ini tandanya air sedang naik. Air dari hulu sedang mengalir turun ke hilir. Mungkin malam nanti hujan akan bersambung lagi. Allahua'lam. Yang penting, sediakan payung sebelum hujan.

Wassalam.

Kakchik Niza
Al-Quds Travel Sdn Bhd
24 Nov 2011

21.11.11

PERKONGSIAN: Isu Air di Kelantan


KL, 21 Nov 11: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia membuat satu lagi pembohongan - mengenai isu air semalam - untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Hakikatnya apa yang disebut oleh Utusan Malaysia (Mingguan Malaysia) ini hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta,” kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook sebentar tadi.

Sehubungan itu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, “nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal oleh-Nya di akhirat kelak.”

“Janganlah sampai fitnah yang ditabur ini menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah.

“Ini kerana, doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT,” kata beliau lagi mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia, akhbar edisi keluaran Kumpulan Utusan semalam.

Nik Aziz menulis, “saya telah ditanya pagi tadi selepas mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 (semalam) yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’.

“Saya pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respons terhadap laporan akhbar Mingguan Malaysia yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan,” katanya.

Nik Aziz berkata beliau menganggap masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu ‘Kristian Agama Rasmi Negara’ satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata.

Namun, tegas Nik Aziz, dibimbangi isu yang dimainkan ini menimbulkan polemik yang berpanjangan, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar.

Sambil berkata akhbar tersebut telah menyorok beberapa fakta sebenar, Nik Aziz menambah,

“pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.”


“Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.


“Berdasarkan lampiran yang diberikan, kandungan e-coli yang terdapat dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88 peratus. Ia lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12 peratus), Perak (0.90 peratus), Perlis (1.21 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01 peratus),” katanya lagi.

Selain itu kata Nik Aziz, beliau sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi empat peratus, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi e-coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.

“Saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemuakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011.


“Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?” kata beliau lagi.

---------------------------------------
NOTA KAKCHIK:
Alhamdulillah rumah kakchik jarang ada masalah air. Hanya sekali-sekala saja air ada karat.

20.11.11

Mengasah Kemahiran Yang Makin Tumpul

BISMILLAH.

Sudah lama rasanya kakchik tidak mereka sebarang set fesyen di Polyvore. Malam ni terasa macam tak mahu langsung buat benda lain secara online ni kecuali nak menyelongkar Polyvore yang kini berwajah baru. Malas juga nak print screen wajah baru Polyvore. Kalau dah biasa guna tentu tahu apa yang telah berubah.

Facebook pun sekejap-sekejap saja sebab sambil-sambil tu kakchik membalas mesej dan email yang berderet.

Jadi inilah hasil main-main di Polyvore malam ni.
Elegant In Abaya With Beautiful Boots


dan..

Be Who You Are



Itu saja. Selamat malam. Assalamualaikum

19.11.11

BUSANA MUSLIMAH

Abaya ialah busana muslimah yang terbaik buat kakchik.

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua, semoga kalian sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT dari segala bahaya di mana saja kalian berada.

BUSANA MUSLIMAH

Pagi Sabtu ni Perpustakaan agak lengang berbanding pagi Sabtu sebelum-sebelum ini. Mungkin kerana cuti sekolah sudahpun bermula jadi ramai pelajar dan orang dewasa mengambil peluang untuk berehat-rehat dulu di rumah. Kebetulan pula hari ini cuti hujung minggu kepada sesetengah orang. Dalam keadaan tidak sibuk ini kakchik mahu menulis sedikit tentang tajuk yang biasa dibicarakan orang iaitu 'BUSANA MUSLIMAH'.

Tulisan kakchik ini banyak berpandukan pemahaman kakchik sendiri tentang busana muslimah berpandukan Al-Qur'an dan Hadis. Bila bercerita tentang busana muslimah pastinya isu AURAT juga akan disentuh kerana keperluan berpakaian ialah satu kewajipan ke atas setiap umat Islam yang akil baligh. Dalam hal berpakaian ini MENUTUP AURAT adalah satu kewajiban sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka keseluruhan tubuh badan mereka, kerana dengan itu mereka mudah untuk dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Ahzab: 59)

Apa Itu Busana Muslimah?

Pada pendapat kakchik busana muslimah ini terdiri dari gabungan dua perkataan iaitu 'busana' dan 'muslimah'. Busana ialah pakaian manakala muslimah ialah wanita Islam. Busana muslimah membawa maksud pakaian yang dipakai oleh wanita Islam yang mempunyai ciri-ciri pakaian menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syariat. Semestinya ia tidak haram dilihat oleh orang awam bila dipakai.

Sebagai contoh:
Berbaju kurung.

Memakai abaya hitam pun bagus juga.

Salwar Kameez pun ok jika segalanya longgar dan labuh.

Ada banyak contoh sebenarnya tapi apa sahaja yang dipakai untuk menjadikan ianya busana muslimah, ia mestilah menepati 8 syarat utama ciri-ciri pakaian Islam sebagaimana yang kakchik pernah kongsikan di dalam entri yang ini: 8 Sifat Pakaian Wanita Islam. InsyaAllah mudah nak faham kan?

Untungnya Berbusana Muslimah

Bila ita memakai busana muslimah yang menepati syariat, kita adalah antara orang yang beruntung. Kenapa? Tak susah untuk kita jawab kan? Ini ialah antara KEUNTUNGAN yang diperolehi oleh sesiapa saja wanita Islam yang memakai busana muslimah yang kena dengan ciri-ciri yang digariskan oleh hukum-hakam Islam. Mari kita tengok apa antara keuntungannya yang dapat kakchik kongsikan.
  • Dapat PAHALA - sebagaimana yang kita tahu bila kita berbuat sesuatu yang disuruh agama, kita akan diberi ganjaran pahala dengan syarat kita melakukannya kerana Allah SWT. Nampak mudah kan? Yang mudah macam ni lah yang kita kena selalu kejar.
  • Dihormati - penampilan biasanya selari dengan kefahaman dalam agama. Penampilan juga mencerminkan akhlak kita. Bila kita menjaga penampilan kita sebagai seorang muslimah, insyaAllah akhlak juga kita kena jaga. Bila kedua-duanya seimbang, secara sendirinya kita akan dihormati oleh lawan atau kawan. Cuba tanya diri sendiri betul atau tidak.
  • Keanggunan Terserlah - kakchik melihat, wanita-wanita Islam yang memakai pakaian Islam dengan penuh bangga yakni yakin dengan pakaian mereka kelihatan sangat anggun. Walau wajah mereka tidak bersalut make-up namun pakaian mereka yang kemas, bersih dan menutup aurat serta pembawaan diri mereka yang elegan, menjadikan imej Islam itu terserlah.
  • Orang lain bangga dengan mereka - maksud kakchik, sebagai wanita Islam, kakchik bangga melihat wanita Islam yang lain memakai busana muslimah. Perasaan bangga ini hadir dan menjadikan kakchik makin semangat dengan dakwah Islam. Kakchik bangga kerana wanita muslimah yang istiqomah berbusana muslimah ke mana saja walaupun kehidupan duniawi diasak oleh pelbagai fesyen pakaian yang merosakkan imej muslimah.
  • Jauh dari api Neraka - ini jelas. Bila kita buat suruhan Allah dengan hati yang ikhlas, maknanya kita taat kepada perintah Allah SWT. Orang yang taat kepada perintah Allah tanpa dalih, insyaAllah akan terjauh dari api neraka. Setuju?


Itulah antara kebaikan kita berbusana muslimah yang sebenar. Sebenarnya ramai yang masih salah faham tentang maksud busana muslimah ni. Ada yang hanya mengenakan busana muslimah di tempat-tempat tertentu saja. Misalnya jika menghadiri program di masjid, program berbentuk keagamaan seperti usrah dan halaqah, mengambil dan menghantar anak di sekolah agama, menyertai aktiviti kebajikan dan seumpamanya. Pada waktu itu mereka memakai pakaian menutup aurat tapi tidaklah begitu lengkap.

Mungkin pada ukuran mereka, busana muslimah itu lengkap apabila mereka memakai tudung sedangkan pada masa itu baju mereka ketat, baju mereka jarang, baju mereka lengannya pendek, kain mereka terbelah, kain mereka nipis, kain mereka ketat, tudung mereka singkat atas paras dada, tudung mereka nampak 'ramos', tudung mereka diletakkan atas bahu saja, tudung mereka sekadar nak tutup malu kepada para ustaz dan ustazah dan sebagainya. Allahu'alam.

Bagi kakchik mudah saja nak labelkan pakaian itu busana muslimah atau tidak. Jika ianya menepati 8 syarat pakaian wanita Islam itu maka ianya busana muslimah. Selama mana ianya tidak menepati ciri-ciri yang digariskan maka selama itulah ianya belum menepati dan perlu dibaiki lagi. Ramai yang pakaiannya seperti baju dan seluar sudah memenuhi syarat tapi sayangnya tudung pula kecil saja, sekadar menutup rambut dan leher sedangkan bentuk dada boleh dilihat dengan nyata. Sayang.

Kesimpulannya

Sebagai hamba Allah, sebagai makhluk yang hidupnya bergantung kepada nyawa yang Allah pinjamkan, marilah kita buat suruhan Allah tanpa banyak soal. Menutup aurat dengan sempurna ini satu kewajipan ke atas kita, maka janganlah kita menangguhkannya. Bila Allah nak ambil balik nyawa kita, kita tidak tahu. Bimbang kalau diambilNya di saat kita belum lagi memakai busana muslimah yang terbaik sebagaimana yang Dia suruh. Alangkah ruginya kita nanti.

Sebelum segalanya terlambat dan kita menyesal tidak sudah di dalam kubur dan di akhirat nanti, marilah kita ubah pakaian kita kepada busana muslimah yang terbaik. Janganlah kita tunggu, tunggu dan tunggu hingga 'sampai seru'. Seru apa yang kita tunggu tu? Seru Sangkakala ke? Atau seruan Malaikat Izrael? Buatlah tindakan sekarang, FAST ACTION FAST RESULT kalau ikut kata Dr Azizan Osman. Dalam hal nak buat kebajikan agama ke atas diri kita pun kenalah bertindak cepat juga. 

Supaya kita tidak TERLAMBAT.



KakChik Niza
Perpustakaan dar Nur al-Zahra'
Telipot, KB.
19 November 2011.

16.11.11

WORDLESS WEDNESDAY

BISMILLAH.


Suasana Pagi Di Rumah


Bismillah. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar kalian semua pagi ni? Kakchik doakan semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Dalam musim hujan ni, penyakit mudah berjangkit jadi sama-samalah kita berhati-hati dengan memberi lebih perhatian kepada aspek kesihatan sama ada di rumah atau di mana-mana saja.

Yaya memang suka membaca.

Anak-anak saudara kakchik yang empat beradik tu baru saja meninggalkan rumah dengan ibu mereka. 3 orang ke sekolah dan seorang ke rumah nenek sebelah abahnya. Tinggallah yang bongsu, Adelia bersama Bibik Wati dan Ummi. Kakchik dengan cik abe pun sejam dua lagi akan ke tempat kerja juga. Kasihan pula melihat Adelia yang sedang demam tu.

Ummi pula pagi-pagi hari lagi sudah sibuk di dapur menyediakan makanan untuk cucu-cucunya yang punya banyak kerenah. Walaupun mulutnya bising tapi kakchik tahu Ummi amat sayangkan kesemua cucu-cucunya sama ada yang tinggal bersamanya ataupun yang tinggal di rumah masing-masing. Rumah Ummi/Ayah tu memang kesukaan anak-anak buah kakchik.

Rutin harian anak-anak saudara kakchik yang tinggal bersama Ummi tu, selepas bangun pagi sebelum Subuh, mereka mandi, bersiap dengan pakaian sekolah kemudian sarapan. Sementara ibu mereka bersiap, masa itulah mereka suka naik ke atas rumah kakchik. Aktiviti biasa ialah membaca, memilih buku untuk dipinjam dan dibawa ke sekolah, saja-saja datang untuk bersembang dengan kakchik atau cik abe.

Masuk saja jam 7 pagi, kedua-dua rumah akan menjadi sedikit sunyi kerana mereka semua telah ke sekolah. Namun Adelia yang bermain sendirian sangat becok mulutnya. Sebelum umur setahun dah boleh memanggil nama kakchik dengan jelas, memang rasa geram nak cium-cium bila dipanggil, “chik ja....”, “chik ja....”, berulang-ulang. Kini dah pun setahun vocab dia sudah sangat banyak. Adelia ni perkembangannya lebih advance berbanding abang-abang dan kakak-kakaknya.

Sementara nak ke pejabat, kakchik dan cik abe memang suka sangat melayan Adelia (Yaya) ni. Yang dia suka bila naik ke rumah kakchik ialah membaca buku. Naik je terus menuju ke rak buku di bawah tangga, pilih buku dan bawa ke tempat cik abe bekerja. Ayat biasa dari mulut comelnya, “Baca!”. Pasti cik abe akan gelak sebab yang Yaya maksudkan ialah dia mahu membaca dengan cik abe. Sama ada dia diangkat naik ke atas riba atau pakciknya tu turun bersila di lantai bersamanya.

Cerdik sungguh di comel Yaya ni.

Dah dua hari Yaya demam tapi dalam demam pun dia masih nak bermain bola dan membaca buku. Bila terasa lemah, dia mula cari bibiknya dan nak susu tapi sekejap-sekejap saja. Alhamdulillah... Allah bagi anak saudara kakchik ni tubuhnya kuat dan semangatnya juga kuat. Dia tidak manja atau mudah menangis merengek walaupun demam. Kalau kakchik kata, “Kesian adik Yaya tak sihat...”, dia jawab,”Demeay (demam dalam loghat Kelantan).”

Semoga Allah lekas sembuhkan Yaya dari demamnya dan kembali sihat seperti biasa.

15.11.11

Ubahsuai Susunatur Pejabat

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Hari ni nak ubahsuai susunatur dalam pejabat.

Selepas bertugas di kaunter perpustakaan dari pagi hingga jam 11 kerana menggantikan Dila yang ke klinik, kakchik masuk ke dalam pejabat dengan satu misi - nak ubahsuai susunatur pejabat kakchik. Sudah beberapa bulan tanam niat tapi motivasi tahap lemah maka ubahsuai susunatur pejabat tak menjadi-jadi.

Kalau kalian boleh tengok keadaan dalam pejabat kakchik yang penuh dengan buku, majalah, fail, rak buku, meja dan sebagainya, tentu tak percaya kakchik telah mengubahsuai susunatur secara sendirian. Bila niat sudah ditanam dan azam telah kuat maka kakchik taknak tangguh-tangguh lagi. Kakchik pun taknak menyusahkan kakitangan lain walaupun ada perabot berat yang perlu diubah kedudukannya. 

Dengan lafaz BISMILLAH, segalanya mampu dibuat. Bak kata Dr Azizan Osman, FAST ACTION, FAST RESULT. Memang benar sekali falsafah beliau kerana kakchik telah mengalaminya. Dalam masa satu jam kakchik berjaya mengubahsuai kedudukan dalam pejabat dan kakchik sangat berpuashati. 

Alhamdulillah.

Inilah keadaan terkini di dalam pejabat kakchik.





Harap maaf takde gambar keadaan sebelumnya kerana sudah siap mengemas baru teringat nak ambil gambar. "Lagu tu... lah kalu doh lama", kata Pakcik Aziz hehehe. sesiapa yang tak faham maksudnya harap bertanya ya. InsyaAllah kakchik bagitau maknanya.

Sekarang ni dah mula terasa sengal-sengal di bahu. Biasalah kan bila buat kerja berat :) Apapun, insyaAllah kakchik syukur Allah bagi kakchik badan yang sihat. Kalau tidak, tak mampu kakchik nak buat semuanya. Bukannya ringan buku-buku ni bila perlu dialih ke sana ke mari. Alhamdulillah... Allah bagi kudrat.

14.11.11

PIC OF THE DAY: My new biz card.


Biz card yang baru selepas yang lama kehabisan stok.

Jika ada yang mahu tempah biz card boleh hubungi Mat Dz di facebook.


13.11.11

Tutorial Cara Nak Pakai Shayla atau Selendang Arab

BISMILLAH.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Malam ni kakchik nak kongsikan video tutorial cara nak pakai shayla atau selendang arab yang selalu diperolehi setiap kali kita membeli abaya dubai atau mana-mana abaya dari timur tengah.

Pastikan ringkas, labuh dan sopan.

Video tutorial cara pakai shayla ni sebenarnya kakchik buat sehari sebelum raya haji atas permintaan beberapa orang pelanggan Abaya Elegan Lovers. Jadi selepas meminta izin suami, kakchik telah buat satu video yang boleh membantu kalian memakai shayla agar lebih labuh dan menutup aurat atas kita dengan lebih sempurna.

Untuk melihat video-videonya sila KLIK link di bawah. Sebenarnya ada 2 video jadi kakchik kongsikan kedua-duanya di sini.


dan


Jika shayla yang diperolehi itu nipis maka kakchik nasihatkan kalian memakai INNER atau melapiskan shayla itu dengan shayla lain sehelai lagi agar ianya menjadi tebal. Selain itu jika ianya bersaiz kecil maka lapiskan dengan shayla atau pashmina atau shawl yang bersaiz lebih besar agar bila dililit ia akan menjadi labuh.

Video-video ini adalah khidmat pelanggan Abaya Elegan Lovers untuk semua wanita muslimah yang tidak mahu membazirkan shayla mereka. Cara yang mudah, hanya perlukan 1 kerongsang dan satu jarum peniti. Masa pun tidak lama untuk melilitnya. Tak sampai 5 minit.

Semoga alternatif dalam bertudung ini membantu anda terutama muslimah bekerjaya. Selamat mencuba tutorial cara memakai shayla ini.

KakChik
Baiti Jannati, Kg Pulau Melaka
13 Nov 2011

Revolusi Media Sosial Dr Irfan Khairi

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. 

Revolusi Media Sosial bersama Dr. Irfan Khairi di Primula Beach Resort.

Salam jutawan untuk semua jutawan yang beriman. (Mentor kata, perkataan yang disebut amat mempengaruhi minda dan psikologi kita, maka nak jadi orang kaya beriman, kena selalu sebut dan sekalikan dengan usaha.)

Irfan Khairi menerima kad bisnes cik abe.

Alhamdulillah hari ni kakchik sudah kembali berada di bumi Kelantan (sejak jam 9 lebih malam tadi) dan sekarang ni sedang 'ke udara' dari perpustakaan. Sehari di KT, kakchik dan cik abe pulang dengan minda yang sarat dengan ilmu tentang rahsia bisnes internet. Kalau sebelum ini kakchik ke Advance Marketing Power Dr. Azizan Osman (DAO), kali ni program Dr. Irfan Khairi (DIK) pulak.

Syukur dan terima kasih banyak kepada cik abe yang telah sudi sponsor kakchik menyertai program RMS ini. Makin bertambah ilmu kakchik tentang pemasaran melalui internet. Walaupun kelihatannya macam ilmu untuk buat duit semata, hakikatnya bagi kakchik, banyak tips dan kaedah yang dikongsikan sama ada oleh DAO sebelum ini dan juga DIK, banyak yang boleh PENDAKWAH aplikasikan dalam medan dakwah.

Peserta Revolusi Media Sosial
Berdakwah juga satu perniagaan iaitu menjual ilmu, masa, tenaga dan harta di jalan Islam dan hasilnya ialah ganjaran Allah di akhirat kelak. Kalau berniaga menjual barang atau perkhidmatan kita rasakan susah maka begitu juga dengan berdakwah, banyak ujian dan halangannya. Antara keduanya, mana satu adalah IBADAH? Tentulah kedua-duanya boleh menjadi ibadah asalkan NIATnya kerana Allah SWT.

Sebagai orang berniaga, ilmu amat penting agar perniagaan dapat dikekalkan dan dikembangkan. Selain itu matlamat perniagaan pastinya mahu keuntungan dunia dan akhirat. Untung di dunia ialah pada kehidupan yang bebas hutang, keselesaan fizikal dan kemampuan membayar zakat serta menderma kepada yang memerlukan. Untung di akhirat kita harapkan Allah beri balasan yang setimpal kepada harta benda yang telah kita manfaatkan di jalan-Nya.

Cik Abe bersama Khai TV9

Revolusi Media Sosial DIK ialah ilmu tentang penggunaan pelbagai media sosial yang digunakan oleh masyarakat dunia zaman ini iaitu blog, facebook, twitter dan website. Orang yang ada bisnes jika tidak memanfaatkan keempat-empat media sosial ini dengan sebaiknya mungkin amat rugi kerana perubahan zaman kini adalah jualan dan belian secara online. Hari ni apa saja boleh dijual secara online. Peluang perniagaan secara online terbuka luas tanpa sempadan.

Konsep 9 : 1 adalah satu konsep yang kakchik suka dan setuju. Dalam memasarkan produk kita pada zaman ini, kita mesti ingat, orang semakin terpelajar, mereka dahagakan INFORMASI atau maklumat. Maka, banyakkan PERKONGSIAN dan kurangkan PROMOSI. Bukan promosi tak penting, amat penting, cuma dalam dunia maya, BERKONGSI INFO adalah satu cara terjalinya ikatan antara kita dan PROSPEK. Rasanya konsep ini juga sesuai dalam berdakwah. Kalian SETUJU?

Cik Abe bersama Abg Zek Astro Awani.

Kalau nak kira apa yang DIK kongsikan semalam adalah apa yang kakchik pernah dengar daripada DAO sebelum ini. Tapi semalam ianya menambahkan kefahaman kakchik kerana kumpulan peserta yang kecil, penyertaan dalam perbincangan lebih mudah, lebih terbuka dan tidak perlu berebut sangat untuk bertanya itu-ini. Kebetulan pula kali ni berseminar bersama cik abe, lagi... lah lain perasaannya. Alhamdulillah.

Seronok, sudah semestinya. Dalam get-personal dengan DIK, bukan mudah nak chit-chat dengan JUTAWAN! Nanti kakchik nak sertai kelas DAO yang kumpulan kecik juga tapi tahun depan. Tahun ni tarikh-tarikh yang ada tu bertindan dengan program kakchik di Kelantan yang tak dapat nak dibatalkan. Hujung minggu ni dan hujung minggu depan ada kelas DIK di KL jenis personal coaching, kedua-duanya bertindan dengan hari bekerja kakchik. Kalau cik abe seorang dapat pergi pun amat bagus. Kakchik sangat suka bila kami dua-dua dapat ilmu tentang pemasaran ni dari para jutawan.

Mesti ada Mentor Jutawan untuk jadi Jutawan Beriman.

KakChik bersama Wan

Apa yang pasti, kakchik sudah memulakan langkah revolusi sejak mengikuti SMP dan AMP bersama DAO dan kini ilmu kakchik makin lengkap dari program DIK. Alhamdulillah... insyaAllah kakchik tak akan sia-siakan segala ilmu yang mereka telah kongsikan. Mereka kini jutawan dan mereka turut menggunakan harta mereka untuk melakukan kebajikan. InsyaAllah kakchik akan BERTINDAK segera untuk mendapat hasil yang segera juga. Bak kata DAO, "Fast Action Fast Result".

Semoga Allah izinkan antara kami berdua dapat pergi program Revolusi Coaching pula lepas ni. Perniagaan internet kami akan kami lonjakkan hasil dari penggunaan ilmu dari Revolusi Media Sosial Dr. Irfan Khairi.


Alhamdulillah.


Kakchik Niza
Perpustakaan Dar Nur al-Zahra'
13 Nov 2011



10.11.11

Saya ada niat mahu berpurdah.

BISMILLAH.

Petang ni sambil kakchik menunggu cik abe pulang dari kerja, kakchik mendapat satu ilham untuk menuliskan entri berkenaan tajuk di atas. Sebenarnya tajuk ni kakchik ambil dari beberapa email dan mesej fb yang dihantarkan oleh sama ada pembaca blog ini ataupun kenalan di fb. Bila mesej yang hampir sama selalu diterima kakchik rasa ada baiknya kakchik tulis satu entri khusus untuk menjawab mana-mana persoalan yang ditimbulkan oleh para pengirim email dan mesej.

Fenomena Baru

Akhir-akhir ini kakchik melihat satu fenomena baru yang begitu ketara pada pengamatan kakchik. Secara peribadi kakchik gembira dengan fenomena ini tapi dari satu sudut timbullah suara-suara negatif yang turut berpunca dari fenomena ini. Fenomena semakin ramainya wanita berpurdah. Alhamdulillah... syukur kerana makin ramailah muslimah yang turut melangkah setahap lagi dalam amalan sunat mereka dalam berpakaian secara Islam.

Bila makin ramai yang pakai purdah/niqab ni bagi kakchik itu antara tanda-tanda makin ramai orang yang mempunyai ilmu agama, lebih memahami hukum-hakam, lebih mahu mengamalkan cara hidup Islam, lebih mahu berpakaian secara Islam dan seumpamanya. Syiar Islam makin terserlah sekarang ni. Paling terasa ialah bila berada dalam fb. Dari hari ke hari makin ramai gadis/wanita berpurdah yang menghulurkan salam perkenalan tak kurang juga yang kakchik sendiri 'add' mereka atas sebab-sebab tertentu.

Hati rasa gembira, kuat dan jauh lebih yakin dengan niat sendiri bila makin ramai muslimah lain turut mengambil langkah yang sama. Hampir 16 tahun memakai purdah, awalnya sekejap on sekejap off, kini kakchik rasa kakchik sudah istiqomah sebaik-baiknya. Jika kakchik menjadi wanita lain yang berkawan dengan para niqabi atau sentiasa melihat muslimah berpurdah di merata tempat, dari sehari ke sehari pastinya kakchik akan turut rasa ingin menjadi seperti mereka.

Setuju ke dengan apa yang kakchik katakan tu?

Saya Ada Niat...

Sudah acapkali kakchik melihat dan membaca ayat di atas dengan sambungan "... mahu memakai purdah suatu hari nanti." Selepas ayat ini selalunya ada perkataan TAPI dan disebutkan beberapa alasan terutama berkaitan halangan keluarga, pandangan masyarakat, undang-undang kampus dan yang PALING BANYAK ialah soalan, "Adakah saya perlu mahir/banyak ilmu agama dulu baru saya boleh pakai purdah?". Itu lebih kurang summary yang dapat kakchik ambil dari isi kandungan email/mesej berkenaan.

Ok, sebelum kakchik tambah pasal hal ini, mari kita sama-sama baca ayat-ayat di bawah ni:

Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang mempunyai keinginan (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan keinginan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya. (37) - Qaf 
Umar al-Khattab pernah kata: “Hisablah (muhasabahlah) dirimu (saat ini) sebelum kamu dihisab (diperiksa/dihitung amal perbuatanmu pada hari kiamat), dan timbanglah dirimu (saat ini) sebelum (amal perbuatan) mu ditimbang (pada hari kiamat), kerana sesungguhnya akan mudah bagimu (menghadapi) hisab besok (hari kiamat) jika kamu (selalu) menghisab dirimu saat ini, dan hiasilah dirimu (dengan amal soleh) untuk menghadapi (hari) yang besar (ketika manusia) dihadapkan (kepada Allah Ta’ala) 
Abdullah bin Umar r.a. berkata: “Jika kamu berada di waktu petang maka janganlah tunggu datangnya waktu pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi maka janganlah tunggu datangnya waktu petang, serta gunakanlah masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, dan masa hidupmu sebelum kematian menjemputmu”

Ketiga-tiganya menyentuh tentang SIKAP SUKA BERTANGGUH. Jika kita ada niat untuk melakukan sesuatu kebaikan/kebajikan maka usahakanlah agar ia dapat dipercepatkan. Jangan tunggu ilmu penuh di dada baru kita nak buat. Jangan fikir apa pandangan orang lain, fikirkan pandangan Allah. Jika niat kita itu SEMATA-MATA hanya kerana ALLAH maka, janganlah ditangguh lagi. Bila sekali hati berkata, "Tunggulah dulu..." maka ada kemungkinan niat itu tak akan terlaksana lebih-lebih lagi bila ia suatu tindakan yang kita sudah tahu akan mengundang banyak persepsi negatif dari masyarakat setempat WALAUPUN diterima dalam Islam.

Fikirkan Dalam-Dalam

Kakchik amat gembira bila ada orang lain mahu memakai purdah. Syabas untuk kalian! Inilah perjuangan setahap lagi dalam hidup kalian. Nasihat kakchik bila timbul rasa kurang yakin dalam diri kalian, banyakkanlah solat taubat dan mohon petunjuk dari Allah melalui solat-solat hajat. Luahkanlah segala isi hati kalian di hadapan-Nya. Mohon Allah berkati dan redhai tindakan yang bakal diambil iaitu memakai purdah.

Sentiasalah mohon agar Allah tetapkan hati kalian agar mampu menghadapi apa juga ujian yang mungkin datang selepas kalian memakai purdah itu. Seingat kakchik, tiada satu amalan kebaikan yang kita buat yang tidak akan diuji oleh Allah. Bentuk ujian pula terlalu bervariasi tapi mungkin pengalaman orang lain boleh dijadikan panduan agar diri lebih bersedia untuk menghadapinya dengan SABAR dan TENANG.

Jika masih di bawah tanggungan ibu bapa, cubalah sedaya mungkin untuk mendapatkan restu mereka. Jika mereka menghalang, toleransilah dahulu semasa berada di rumah agar kalian tidak menimbulkan regangan di kalangan ahli keluarga terutama dengan mak ayah. Bersabar dalam masa yang sama tingkatkan akhlak dan layanlah mak ayah dengan layanan terbaik dan berdoalah agar hati mereka dilembutkan Allah. 

Bagi bersuami pula, jika suami yang mendorong itu satu bonus, jika suami tak kata apa, berbincang dan tanyalah pandangannya. Izin, restu dan sokongan suami amatlah penting dalam memastikan semangat kita untuk mengamalkan sunnah ini berterusan. Ada yang bertanya, "Kakchik pakai niqab ni, suami ke yang suruh?". Jawapannya, "Tidak... kakchik telah lama berniqab sebelum jodoh kami ditemukan." Alhamdulillah suami (cik abe) menyuruh tidak, menghalang pun tidak. Dia terima kakchik seadanya.

Pakailah Dengan Niat Mencari Redha-Nya


Kakchik tak mahu sentuh tentang pandangan-pandangan sinis tentang purdah kini menjadi satu 'fashion trend' di kalangan muslimah di negara kita. Isu itu sudah ramai yang menulis untuk mengingatkan kita agar tidak tersasar dari matlamat sebenar. Apa yang kakchik nak tekankan ialah, NIAT YANG PALING TULUS IKHLAS di DALAM HATI KALIAN itu. Hanya kalian dan Allah saja yang lebih tahu.

Jadi, tiada upaya kakchik untuk membuat sebarang 'judgement' terhadap pilihan kalian untuk memakai purdah. Kakchik pun kena selalu bertanya pada diri sendiri apakah kakchik jujur dalam pemakaian purdah ini? Soalan-soalan itu bagi kakchik umpama satu peringatan atau hisab agar kakchik tidak dilalaikan oleh dunia fesyen dan trend semasa. Maklum saja sekarang ni pengaruh fesyen dari Timur Tengah makin ketara. Mungkin orang akan kata kakchik juga terpengaruh kerana suka memakai abaya dan shayla.

Bagi kakchik insyaAllah pakaian kakchik dipilih kerana hitam itu salah satu dari warna kesukaan Nabi Muhammad SAW dan hitam juga dikatakan antara pakaian wanita muslimah di zaman baginda. Bukan tidak boleh memakai pakaian berwarna tapi warna hitam insyaAllah bila dipakai secara sederhana mengikut garis panduan berpakaian yang disyariatkan, akan dapat menjaga aurat dan maruah kita. Semuanya terletak pada niat. Ingat hadis nombor 1 dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi? Segala amal adalah bermula dengan niat...

Akhir sekali, doa kakchik untuk diri sendiri, para muslimah berpurdah dan semua yang di saat ini ada suara kecil dalam hatinya yang selalu berkata, "Aku ingin berpurdah kerana-Mu ya Allah." semoga niat dan tindakan kita akan sentiasa diberkati dan diredhai Allah SWT. Semoga amalan kita ini diterima oleh-Nya sebagai satu amalan kebajikan yang boleh dijadikan saksi penyelamat kita di akhirat kelak. Amin.


KakChik
Baiti Jannati
Kg. Pulau Melaka
10 Nov 2011

9.11.11

Macam-Macam Perasaan Sepanjang Raya.

BISMILLAH. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Terasa semacam je bila sehari tak update blog. Kakchik ni bukannya malas ke apa. Idea nak tulis tu punyalah banyak tapi bila dah sibuk di Abaya Elegan Lovers, maka tak kesempatanlah pula nak beri perhatian kepada blog sendiri. Sejak balik dari AMP bulan lepas, bisnes menjadi-jadi. Alhamdulillah... semuanya dengan izin Allah jua. Moga-moga Allah sentiasa pelihara diri kakchik dari kejahatan, dari bencana dan semupamanya. Mohon Allah izinkan badan ni maintain sihat setiap masa.

Dah malam ni orang pun dah nak tidur terutama yang esok nak masuk kerja semula tu. Kakchik masih bercuti raya. Rezeki setiap tahun macam ni, dapat cuti raya haji 4 hari dan kebetulan pula hujung minggu ni Hari Keputeraan Al-Sultan Kelantan, maka jadi panjanglah cuti kakchik. Peluang yang ada ni memang kakchik manfaatkan sepenuhnya untuk keluarga, bisnes dan aktiviti sosial. Kalau dok saja di rumah memang cepat bosan.

Perasaan bosan ni kalau kakchik senang saja nak hilangkan. Shopping! Sejam pun ok sebab lepas tu akan terus rasa bertenaga. Minda yang gembira disusuli juga dengan hati yang tenang, girang maka jadilah bertenaga nak buat kerja-kerja lain. Betul ke? Entah... tanyalah diri masing-masing. Lain orang lain caranya kan? Kakchik suka shopping tapi kena ada planning. Tak suka main rembat begitu saja. Pastu kakchik tak suka sangat window shopping, takde makna. 


Dua hari lepas, kakchik pergi shopping dengan Adik di Parkson, KBTC. Orang tak ramai sangat sebab masih hari raya. Kakchik tak pergi tempat lain, hanya tuju ke bahagian beg dan kasut saja. Itu je benda yang berkenaan dengan kakchik hehe. Pakaian tak minat beli sebab memang dah jual abaya dan pakai abaya. Baju yang kat dalam pun masih ada banyak yang boleh dipakai, tak perlu dibeli. Dah tu, selalu sangat dapat kain pasang percuma bila kakchik terlibat dengan apa-apa aktiviti sosial. Sama asa jahit buat baju kurung, maxi atau sedekah saja kat sapa-sapa.

Kenduri kahwin pun ada juga beberapa tempat. Penat sungguh perut kakchik nak menerima segala macam masakan lebih-lebih lagi semuanya daging lembu. Jarang sekali dapat makan daging kambing atau kerbau. Singgang ada, gulai kari ada, goreng cara kampung ada, sup ada dan macam-macam lagi. Jadi rojak dalam perut pastu mulalah nak memulas. Tapi adatlah bila musim raya haji dan kenduri ni kan. Kenalah bersedia untuk mengawal makan sebelum badan yang dapat penyakit.

Raya kali ni kakchik agak sedih sebab adik bongsu kakchik yang baru menerima rawatan kemoterapi sangat tidak sihat. Sejak menerima rawatan di HKL, badannya telah banyak susut. Dari berisi dan bulat, hari ni sudah jelas nampak tulang pipi. Dalam keadaan tidak sihat begitu dia gagahkan diri memandu kereta dari KL pulang ke KB kerana tiada tiket bas. Hati kakchik sedih sangat tengok dia tapi apa sangat daya kakchik. Hanya mampu bertanya khabar dan menyuruh dia selalu ingat untuk makan ubat. Sekarang ni masih ada di rumah Ummi Ayah asyik berbaring saja dan batuk berturutan.

Kakchik risau tengok keadaan dia. Anak-anaknya kini di Sungai Petani di rumah Mak mereka. Nampaknya Ummilah yang akan terpaksa menjaga dia lepas ni. InsyaAllah kami kakak-kakak ni akan sentiasa ambil berat. Dia seorang saja adik lelaki kami dan adik bongsu pula tu. Semoga Allah ringankan beban penyakit adik kakchik kerana dia punya tiga orang anak yang perlu ditanggung. Adik kakchik ni asalnya mendapat penyakit beguk di leher kirinya, pernah dibedah beberapa kali untuk membuang beguk, ingatkan dah tiada, tiba-tiba dapat khabar sudah merebak ke paru-paru. Mungkin barah. Allah.

Sementara kakchik bercuti ni insyaAllah setiap hari kakchik tengok-tengokkan dia cuma orang dah dewasa ni, walaupun sedang sakit, keras kepalanya tetap juga ada. Nasihat kakaknya ni bukan dia nak dengar sangat. Rasanya kakak kakchik yang doktor tu dah memeriksa tahap kesihatan dia sebab itu nampak dia ada beli ubat berkenaan. Bulan depan perlu ke HKL sekali lagi untuk rawatan susulan. Harap-harap dia lembut hati untuk pergi. 

Oklah, kakchik makin letih ni dan rasa mengantuk pula. Moga-moga ada serba sedikit pengajaran yang boleh diambil dari coretan kakchik malam ni. Kakchik main tulis je apa yang terlintas di fikiran jadi takde susunanlah cerita kakchik ni. Maaf ya. Dalam blog peribadi ni kakchik tulis santai-santai saja. Tak mampu nak tulis secara lebih ilmiah. Kurang ilmu dan kurang mahir. Lagipun, kakchik taknak pembaca rasa tertekan membacanya. Santai-santai saja.

Kakchik
Baiti Jannati
Kg. Pulau Melaka
9 Nov 2011
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs