Followers

30.6.11

Cadang nak pakai esok.

Bismillah.


Kasut tu, takdelah sampai setinggi yang macam dalam gambar. Kena pakai yang tumitnya rendah separuh dari itu barulah selesa dan bertapak penuh dan rata. Kalau yang macam ni kakchik rasa nak terpeleot.

Tenang Dalam Gundah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, selepas ke sana sini menguruskan pelbagai hal dan akhir sekali makan tengahari bersama adik Jie Nazirah (kenalan di facebook), kakchik selamat kembali ke rumah. Rumah yang tenang dan mendamaikan. Di bandar tu jalan raya kebanyakannya penuh sesak sejak semalam, mungkin kerana esok Perdana Menteri nak datang ke Kelantan. Kakchik tengok tadi di perkarangan Wisma Persekutuan sudah penuh dipasang khemah hinggakan beribu kakitangan awam yang bekerja di situ terpaksa parkir kereta di luar, jauh dari situ. Jalan yang sesak menambahkan lagi sesak dalam dada.

Hati kini sedikit gundah dan bimbang. Ada sesuatu yang berlaku dan kakchik belum pernah melaluinya sebelum ini. Namun kakchik tenang dan sedang cuba mencari jalan untuk menghadapinya. Sesuatu ujian yang datang ke atas kita sudah pasti sebab musababnya dan penawarnya ada pada diri sendiri juga. Ujian ini adalah kerana kelemahan kakchik juga. Takut memang ada tapi kakchik akan cuba hadapi dengan hati yang lapang dan bersangka baik dengan segala takdir Allah. Tentu kalian tertanya-tanya apa yang sedang melanda kakchik sebenarnya. Malu nak diucapkan dan cukuplah hanya beberapa orang saja yang mengetahuinya.

Kakchik belum mampu nak menceritakannya di sini. InsyaAllah bila kakchik dan bincangkan dengan cik abe dan beberapa orang kenalan rapat, jika berita itu tidak mengaibkan, insyaAllah kakchik akan ceritakan serba-sedikit di sini. Buat masa ini kakchik mahu mencari jalan terbaik menyelesaikannya. Di kala ini terasa bertuahnya kalau kakchik ini orang yang kaya-raya. Mungkin masalah ini akan lekas selesai. Tapi nak buat macamana, hakikatnya kakchik hanyalah orang berpendapatan sederhana dan turut berniaga untuk menampung hidup sekeluarga.

Semoga Allah murahkan rezeki suami kakchik dan kakchik. Bila rezeki suami murah dari segi kewangan, insyaAllah legalah sikit kehidupan ini. Memang wang bukan segala-galanya dalam hidup ini tapi sebahagian besar hidup ini memerlukan wang. Wahai hati, bertenanglah agar mudah melihat jalan penyelesaian bagi masalah ini. Siapa yang mahu sengaja mencari masalah kan? Tapi masalah tetap akan datang tanpa diundang. Itulah namanya hidup yang sentiasa ada pro dan kontranya.

Semoga Allah permudahkan. Amin.

29.6.11

Pilihan di Tangan Kita

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih mengizinkan kita hidup lagi di hari ini. Semoga kehidupan yang Allah berikan ini akan berjaya kita manfaatkan sebaik-baiknya untuk beramal makruf nahi mungkar. Syukur juga kerana Allah menetapkan hati kita di atas nikmat hidup yang paling utama iaitu nikmat menjadi seorang Islam yang beriman kepada-Nya dan 5 rukun iman yang lain. Harapan kakchik agar Allah tetapkan hati-hati kita sepanjang saat di atas keimanan ini.

Belajar melihat kematian sebagai sesuatu yang dinanti-nanti.

Sebelum kakchik sambung lebih panjang tulisan kakchik di pagi ini, ada sedikit sedutan menarik dari buku yang sedang kakchik baca iaitu, INDAHNYA KEMATIAN. Sedutan ini mengenai MEMBUAT PILIHAN.
“Perjalanan hidup sentiasa mengetengahkan pilihan-pilihan. Sebagai manusia berakal dan beragama, kita dituntut memilih sebaiknya. Kematian sepatutnya mengingatkan kita pentingnya memilih dengan betul. Kemampuan memilih dengan baik membentuk peribadi yang sentiasa berfikir panjang. Dalam hal ini, agama menjadi jambatan untuk kita memahami hakikat kehidupan dan kematian.” [Bisri M.Djaelani, Indahnya Kematian]

Itulah hidup kita setiap hari, hidup dengan membuat pilihan. Nak bangun awal atau nak bangun lewat, terserah kepada pilihan kita. Jika bangun awal, kita dapat bersihkan diri lebih awal, badan lebih cepat cergas, solat Subuh juga insyaAllah tidak terlepas. Jika bangun lewat, bersiap pun lambat, diri jadi malas dan kemungkinan besar solat Subuh akan terbabas.

Bila nak bersiap untuk meninggalkan rumah sudah pasti kita memilih pakaian untuk disarungkan ke badan kita. Pakaian menjadi keperluan yang wajib demi untuk menjaga maruah diri kita. Kita diberi pilihan untuk memilih bentuk pakaian yang kita mahu sarungkan malah ianya bermula semasa membeli di kedai lagi. Pilihan terletak di tangan kita untuk beli atau pilih pakaian untuk diri kita.

Pakaian di dalam almari, kita yang tentukan bagaimana ia melindungi diri kita.

Sebagai orang yang cerdik dan bijak (jika tak cerdik dan bijak masakan dapat menggunakan internet, berblog dan sebagainya kan?) sudah tentu kita biasa membaca, melihat , mendengar, menonton dan sebagainya tentang isu PAKAIAN ISLAM YANG MENUTUP AURAT. Biasa kan? Kalau tak biasa, kena tambah ilmu lagi biar lebih cerdik dan bijak. Kita yang tentukan nak tutup aurat atau nak tutup sikit-sikit atau nak buka aurat. Kalau terasa nak pahala, tutuplah dengan sempurna. Kalau terasa pahala itu tak penting, takde makna, ikut suka hatilah nak buka aurat pun.

Tapi esok-esok di Padang Mahsyar, jangan pula tuduh orang lain tak nasihatkan atau tak tegur ya, salahkan diri sendiri yang suka bertanggung-tangguh dari berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Tolong jangan nak cari kakchik atau orang lain yang sering menegur dan menasihatkan, tanggungjawab kami insyaAllah sudah selesai di atas dunia, maka di Mahsyar nanti jangan cuba nak cari kami. Kami pun sibuk nak cari Nabi Muhammad SAW.

Contoh lagi, berkawan di laman sosial. Sekali lagi pilihan di tangan kita. Dah tahu hukum muamalat dalam Islam kan? Kalau tak tahu, biar kakchik beritahu. Antara lelaki dengan perempuan bukan mahram yakni yang sah berkahwin, tidak boleh mudah-mudah untuk berhubungan kecuali atas urusan rasmi atau darurat. Itu bahasa kakchik, tapi bahasa orang agama begini:

Hukum Liqa (pertemuan) antara lelaki dan wanita)
Hukum asal: harus
Ia adalah dituntut jika untuk tujuan menuntut ilmu, menjayakan dakwah dan tarbiyah, jihad, atau apa saja yang memerlukan penggembilan penggembelingan tenaga antara wanita dan lelaki.
Liqa' itu memenuhi adab-adab Islam seperti mana yang digariskan oleh syara'
• menjaga pandangan (lihat Nur: 30-31)
• memakai pakaian yang menutup aurat(Nur:31)
• Adab bercakap: jauhi nada menggoda (ahzab:32)
• adab berjalan, tertib dan sopan (Nur:31)
• adab bila melakukan gerakan; jauhi gerakan yang seksi, manja dan ghairah..
• jauhi daripada mengguna sebarang unsur yang menggoda: make-up dan wangian yang bermotifkan untuk menggoda.
• jauhi bersunyi-sunyian tanpa ada muhrim
• Liqa' dalam perkara yang benar-benar perlu...

Sumber: http://perjuangan4ever.blogspot.com/2011/04/permasalahan-fiqh-bab-muamalat-4.html

Menjaga pandangan – elakkan menerima permintaan untuk berkawan dari lelaki-lelaki asing yang tidak dikenali. Di laman sosial seperti facebook, manusia menjadi berani melakukan sesuatu yang tidak berani dibuat secara terbuka di alam nyata seperti berkawan dengan ramai bukan mahram. Yang lelaki suka nak berkawan dengan yang perempuan begitulah juga sebaliknya. Kalau di alam nyata pasti tidak seberani dan semesra itu. Untuk menjaga pandangan, sila kawal keinginan untuk bergaul mesra.

Memakai pakaian menutup aurat – jika di alam nyata telah ok berpakaian menutup aurat maka gambar-gambar di laman sosial juga mestilah menutup aurat. Jangan fikir ianya gambar, tidak bernyawa maka tidak berkait dengan sebarang hukum, anda silap. Gambar adalah cerminan fizikal diri kita yang sepatutnya dijaga dari mata-mata bukan mahram. Ini tidak, sekejap pakai tudung, sekejap buka. Hipokritkah anda? Lepas tu pastikan gambar-gambar itu dalam keadaan beradab. Tiada unsur gerakan atau lengguk badan yang menggoda, gedik, seksi, manja dan seumpamanya.

Selebihnya fikirkan sendiri. 

Pilihan di tangan kita. Kalau kita nak cari kebaikan, kita akan pilih untuk mencarinya sampai kita berjaya mendapatkan kebaikan yang kita mahu. Misalnya kita nak ubah penampilan kita dari pakai baju ketat tapi bertudung kepada pakaia baju longgar dan bertudung lebih labuh. Kita yang tentukan bila kita nak ubah. Satu sikap yang perlu ditolak ke tepi ialah BERTANGGUH. Amalan baik yang sohih, semua orang kata ianya baik, janganlah kita tangguh-tangguhkan untuk melakukannya. Jika tangguh dan tangguh, maka lambatlah nak menjadi atau mungkin terus tak menjadi.

Kakchik selalu juga dapat ayat yang begini, "Seronok saya tengok kakchik, tutup aurat dengan baik. Saya ni bilalah lagi. Entahlah. Iman tak cukup kuat. Seru belum sampai kot." Ayat ni kakchik dah editlah sikit ya sebab nak gabungkan beberapa ayat dari orang yang berlainan. Pertamanya, kakchik masih dalam perjalanan juga dan walau mungkin penampilan kakchik kelihatan baik di mata kalian hakikatnya kelemahan kakchik masih terlalu banyak terutama dari sudut ilmu dan amal ibadah. Terlalu kurang. Tapi bila nak buat perubahan pakaian, kakchik tolak ke tepi pandangan orang dan hanya fikirkan pandangan Allah.

Kalau difikirkan pandangan orang, banyaklah yang Islam suka, orang tak suka. Sebab orang ni adalah makhluk yang ada nafsu yang sukakan keseronokan. Umur makin hari makin meningkat, itupun kalau Allah tidka tiba-tiba cabut nyawa kita. Kalau tidak tak sempat nak mengecapi 63 tahun (umur Nabi Muhammad SAW) kita mungkin sudah dikuburkan sedangkan kita tak sempat menyesal, tak sempat nak ubah diri kita, tak sempat nak jadi hamba Allah yang lebih soleh/solehah, tak sempat nak jadi pejuang agama Allah, tak sempat nak jadi anak yang soleh, dan banyak lagi yang kita tak sempat yang mana semuanya menjadi bekalan di akhirat.

Kembali kepada kuasa memilih. Pilihan di tangan kita. Hidup untuk menjadi penggerak atau sekadar pemerhati, silakan. Pilihan masing-masing. Jika kita penggerak agama, insyaAllah mengikut pengetahuan kakchik, dengan keikhlasan, penggerak agama lebih disayangi Allah dan Nabi. Kalau kita sekadar pemerhati, sekadar menunggu dan lihat, sekadar mengatakan, "mana-mana pun sama saja", sekadar ikut saja... Allahua'lam, bagi kakchik hidup begitu tidak 'interesting' tapi PILIHAN DI TANGAN MASING-MASING. Terserah, semoga pilihan kita menepati kehendak Allah SWT.

Allahua'lam.

28.6.11

Bagi kakchik yang suka makan ikan, ini satu berita buruk.

Cuaca tak menentu termasuk ombak besar halang nelayan ke laut

Sumber: Cerita Tentang Kami

KUALA KEDAH: Faktor cuaca tidak menentu termasuk ribut dan ombak besar sejak seminggu lalu menyebabkan harga ikan kembung dan hasil tangkapan laut di negeri ini meningkat hampir sekali ganda berbanding harga biasa.

Difahamkan, harga borong ikan kembung naik daripada RM2 hingga RM3 sekilogram sebelum ini kepada RM4 hingga RM5, manakala harga pasaran mencecah sehingga RM7 hingga RM8 sekilogram.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohd Noor Had berkata, masalah kekurangan hasil tangkapan yang berlaku ketika ini menyebabkan harga ikan meningkat sejak seminggu lalu.

“Harga pasaran ikan di pasar besar dan pasar di sekitar negeri ini meningkat berikutan nelayan sukar memperoleh hasil tangkapan yang banyak seperti biasa,” katanya sambil menjangkakan harga ikan akan stabil dan pulih seperti sedia kala apabila keadaan cuaca beransur baik.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari berkata, hanya bot pesisir pantai di kawasan itu tidak turun ke laut, manakala bot laut dalam seperti Zon B dan C serta C2 turun seperti biasa.

Katanya, walaupun bot besar turun ke laut menangkap ikan, hasil tangkapan tetap berkurangan sehingga menyebabkan berlaku kekurangan ikan di kawasan itu.
“Jika keadaan cuaca baik sekalipun, kita percaya hasil tangkapan tetap kurang daripada biasa kerana musim ini ialah musim ikan kurang dan berharap keadaan kembali pulih dalam waktu terdekat ini," katanya.

Tinjauan Berita Harian di pelantar ikan Seberang Kota dan Tandop Kubang Rotan di sini mendapati, kawasan itu yang sebelum ini sibuk dengan aktiviti nelayan mengasingkan hasil ikan yang baru ditangkap, kini lengang sejak seminggu lalu, malah banyak bot pesisir pantai tersadai di tepi kuala.

Nelayan, Che Omar Osman, 54, berkata, faktor cuaca dan ribut yang berlaku di tengah laut menyebabkan nelayan terpaksa berpatah balik dengan membawa hasil pulang yang tidak sampai 10kg sejak seminggu lalu.

“Walaupun terpaksa membeli petrol sendiri kerana tidak memiliki lesen sah dari Jabatan Perikanan, kami bersama beberapa rakan yang lain tetap turun ke laut untuk menyara keluarga dengan hasil pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari,” katanya.

Peniaga ikan, Salmiah Ramli, berkata sebelum ini mereka menjual antara 300 hingga 400kg ikan tetapi sekarang hanya kira-kira 10kg sehari.

“Kami tidak boleh menurunkan harga lebih rendah berbanding biasa untuk mengelak rugi kerana kebanyakan nelayan pantai di sini tidak dapat membeli minyak subsidi dan terpaksa menggunakan wang sendiri," katanya.

Sumber berita: BH Online

Tak dapat nak bayangkan banyaknya RM49 juta

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Salam pagi ceria kepada semua teman-teman di mana saja berada. Hari ni alhamdulillah, terasa syukur kerana Allah masih izinkan kakchik hidup di atas dunia milikNya dan betapa terasa bertuahnya dengan nikmat Iman, Islam dan Ihsan yang Allah berikan dalam hidup ini. Alhamdulillah.

Seperti biasa, pagi-pagi ni kakchik perlu cek suratkhabar untuk melihat berita-berita penting yang berkenaan. Punya terkejut bila membaca berita ini:

Sumber: Harakahdaily.net

MashaAllah... RM1 juta pun sudah terlalu besar jumlahnya pada kakchik, inikan pula RM49 juta! Apa yang diselenggarakan di kedua-dua buah rumah atau mungkin boleh saja kita panggil 'istana' PM dan TPM itu hinggakan perlu RM49 juta? 

Memang betullah 'rakyat diutamakan', utamakan dalam kesusahan diri demi kesenangan pemimpin negara. Pak-pak menteri hidup senang-lenang tanpa perlu fikir nak bayar itu-ini. Kita jugalah rakyat marhaen ni yang terpaksa menangung terutama sejak bulan ini tarif elektrik juga sudah naik hampir sekali ganda.

Sebelum ini bil bangunan pentadbiran perpustakaan kami hanya sekitar RM150 - RM180 sahaja tapi bulan ini pada kadar penggunaan yang sama, bil telah menjadi hampir RM250. Itu insyaAllah kami masih mampu membayarnya. 

Bagaimana dengan nasib orang-orang kampung yang bil sejumlah RM50 sebulan pun susah-payah mereka cari duit untuk membayarnya tiba-tiba kena bayar RM100. Pemimpin negara kita mana nak rasa semua tu... mereka bukannya perlu pergi sendiri untuk membayar bil. Isyk, RM49 juta.... kalau beri kat sebuah negeri pun sudah terlalu banyak yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat.

27.6.11

Sehari Tanpa Facebook

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Apa khabar teman-teman semua di hari Isnin ni? Kakchik hari ni alhamdulillah... sudah sihat dari keracunan dan kini kembali bekerja seperti biasa. Semalam masalah keracunan makanan kakchik sangat teruk hinggakan kakchik tidak larat untuk melakukan banyak kerja termasuklah untuk 'online'. Banyak masa dihabiskan dengan berulang-alik ke bilik air, berbaring, tidur dan mengelamun. Letih, hilang selera makan dan sunyi. 

Syukur alhamdulillah, hari ini kakchik sihat walaupun selera makan masih belum begitu pulih. Dalam kepala ni dok terfikirkan email dan mesej yang tentunya amat banyak kerana sehari lebih kakchik tidak membuka dan memeriksa kedua-duanya. Semoga kawan-kawan faham keadaan kakchik. Dalam keadaan begini paling gembira jika orang lain memahami keadaan kita. Oleh kerana kakchik semalam MC, jadi hari ni ada banyak kerja di atas meja. Hajat nak membaca email dan login di facebook pun terpaksa tunda sebentar.

Sebenarnya kakchik lega dapat cuti sakit. Walaupun badan tak sihat tapi secara tak langsung kakchik anggap Allah yang beri kakchik cuti. Bukan senang nak duduk saja di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan yang berat. Bosan tu memanglah bosan juga tapi kakchik boleh bermain-main dengan Adelia. Sunyi memanglah sunyi sebab sendirian saja dalam rumah tapi kakchik boleh lebih ingat yang Allah itu ada. Malaikat-malaikatNya menemani kakchik, insyaAllah.

Kakchik rindukan teman-teman semua terutama teman-teman di facebook. InsyaAllah apa-apa urusan yang tertangguh sejak Sabtu malam terutama dengan ahli-ahli Usrah Keluargaku Sayang, WKTI, Mothers dan yang lain-lain akan kakchik uruskan secepat mungkin. Terasa bersalah pula bila tak dapat online dan berhubung dengan mereka semua. InsyaAllah sikit masa lagi ya.

Wassalam.

26.6.11

Sudah berhati-hati terkena juga

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dari malam tadi asyik berulang-alik ke bilik air.
Nampaknya kakchik terkena keracunan makanan lagi.
Penyebabnya tidak lain tidak bukan, nasi pemberian kenalan tengahari semalam.
Balik ke rumah kakchik tak makan makanan lain kecuali minum segelas kopi.
Hari ni terpaksa ambil cuti sebab sangat letih, kehilangan banyak air.
Sekarang mahu berehat, terasa mahu ke tandas lagi.

Wassalam.

25.6.11

Nafsu Orang Perempuan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni kakchik bersiaran dari perpustakaan. Sekarang ni ada ramai orang di dalam bangunan perpustakaan kami ni sebab ada program sedang berlangsung di Dewan Seminar di tingkat paling atas. Pengunjung-pengunjung lain pun semakin ramai yang datang. Hari Sabtu, beginilah situasi biasanya. Alhamdulillah, satu perkara yang membangkitkan semangat kami sebenarnya bila melihat perpustakaan ini begitu makmur dengan pengunjung.

Tapi pagi ni kakchik bukan nak bercerita tentang pengunjung perpustakaan. Pagi ni nak cerita pasal nafsu orang perempuan aka nafsu kakchik lah tu. Nafsu kebendaan yang ada masanya sukar nak dibendung. Kelemahan kakchik ialah minat yang mendalam pada abaya, beg tangan dan kasut. Kalau kalian perasan, sudah acap kali kakchik menyentuh tentang 3 perkara ini di dalam blog Keluargaku Sayang ini.

Sebagai anak perempuan ke-4 dari enam beradik perempuan sederet, ada abang-abang di atas dan adik bongsu lelaki di bawah, kakchik tak dapat lari dari terpengaruh juga dengan tabiat adik-beradik perempuan kakchik yang sukakan beg tangan dan kasut. Buat masa ni mereka tak terpengaruh sangat dan abaya dan kakchik tak terpengaruh dengan minat kakak-kakak dan adik-adik yang suka membeli kain pasang.

Kasut Comfit Scholl beli di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Nafsu kebendaan ni jika duit ada memang mudah sangat nak kalah. Tapi sejak awal tahun ini kakchik telah berazam untuk mengurangkan pembelian kasut dan beg tangan. Abaya masih tak dapat nak dikawal sepenuhnya kerana setiap hari kakchik pakai abaya jadi ada yang cepat lusuh. Tambahan pula kakchik agak lasak ke sana ke mari. Namun, itu pun sedang kakchik kawal. Melawan godaan nafsu ini memerlukan hati yang kuat dan benar-benar ingat pada janji atau azam. Jika tidak, janji hanya tinggal janji. 

Tahun ini kakchik berjaya sekat kehendak untuk membeli kasut yang sentiasa tergoda dengan pelbagai jualan murah di pusat membeli-belah dan juga kedai-kedai online yang berlambak. Alhamdulillah hanya membeli 2 pasang kasut sahaja kemudian sepasang sudah sedekah kat adik. Yang sepasang lagi tu kakchik beli semasa bercuti di KL baru-baru ni kerana tapak kasut yang sedia dipakai, pecah sebelah kiri belum sempat dibaiki. Kiranya jauh berjaya berbanding tempoh 6 bulan pertama 2010.

Cerita pasal beg tangan pula, sejak 2009 kakchik jatuh hati kepada sebuah beg DKNY yang pernah kakchik tulis entrinya di sini: Jatuh Hati. Pada masa tu harganya sudah agak hampir kepada RM1 ribu jadi kakchik hanya mencuci mata saja. Simpan keinginan dalam hati sebab tahu harganya keterlaluan dan tidak padan untuk kakchik bawa. Tapi kakchik tahu harga beg itu pastinya akan turun juga tidak lama lagi. Apa yang kakchik jangkakan menjadi kenyataan.

Beg DKNY yang diidamkan sejak 2009.

Nak punya pasal, kakchik simpan sebahagian dari duit bajet buku setiap bulan untuk mencapai target kakchik iaitu beg DKNY tu. Beberapa bulan yang lepas kakchik lihat harga beg itu telah turun hampir separuh harga tapi masih agak mahal. Pada masa tu simpanan kakchik sudah melebih harga beg cuma masih agak mahal bagi kakchik. Seorang kawan kebetulan mempunyai kenalan yang tinggal di US dan beliau boleh mendapatkan beg itu pada harga yang jauh lebih murah dan kakchik boleh menjimatkan simpanan kakchik lebih dari separuh. Apa lagi, masanya tiba juga.

Beg idaman kini menjadi kenyataan. Sebenarnya kalau tak dapat beg ini pun tak mengapa dan kakchik boleh simpan terus duit tu dan guna untuk keperluan bukan kehendak. Tapi, dah namanya impian jadi kenyataan, kakchik beli juga sebagai motivasi yang kakchik boleh mencapai hasrat jika kakchik konsisten dalam usaha (menyimpan) dan tidak berbelanja 'impulsively'. Nafsu membeli-belah ni jadi satu jihad buat kakchik yang memang kaki 'shopping'. Kakchik bangga kalau dengar ada kawan-kawan yang memang tidak suka 'shopping'. Bertuah mereka dan terasa cemburu juga. Cemburu yang elok-elok je.

Alhamdulillah setakat ini kakchik rasa diri agak berjaya melawan godaan nafsu nak 'shopping'. Kalau dulu kakchik suka ke KB Mall, sekarang ni kakchik sibukkan diri ke program-program. Kalau ke KB Mall sudah tentu mata tak boleh lari dari melihat-lihat apa yang sedang 'sale'. Bahaya. elok menjauhkan diri dari kalah dengan kehendak. Duit pun kakchik jarang bawa banyak dalam beg duit. Bukan apa... kalau duit ada, barang depan mata tu mudah je terasa nak beli. Bahaya. 

Kakchik tak tahu orang lain tapi inilah cerita diri kakchik yang sedang berjuang melawan nafsu.


24.6.11

Usrahku Sayang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam Jumaat untuk semua.

Apa khabar kalian semua hari ni? Kakchik doakan semuanya dalam keadaan sihat walafiat. Kakchik sedang berehat-rehat sebentar ni sebab baru saja selesai makan tengahari. Hari Jumaat memang selalu makan tengahari lewat sikit sebab kena tunggu cik abe dan ayah balik dari solat Jumaat. Kakchik sebenarnya bercadang mahu ke ceramah Israk Mikraj di Kemumin tapi ada pelanggan telefon nak datang ke rumah mengambil abayanya, jadi kakchik terpaksa batalkan hasrat hati. Kalau dia belum bertolak kakchik tentunya akan 'reschedule' kunjungan dia ke hari lain. Dah lama sangat tak hadir ke kuliah agama terasa rugi pula.

Apapun, kakchik nak cerita sikit tentang usrah kakchik pagi tadi di Kg. Demit iaitu di rumah salah seorang ahli usrah iaitu Kak Nor. Syukur alhamdulillah sebab dapat juga menghadirkan diri ke usrah. Bulan lepas rasanya kakchik tak dapat hadir kerana usrah dibuat pada hari Sabtu, kakchik kerja. Gembira sangat hari ni walaupun kakchik datang lambat dan tersesat pula walhal rumah yang dituju amatlah mudah untuk dicari. Terlalu mudah hehehe tapi bila kita tak biasa di tempat itu, tersesatlah juga beberapa minit.

Usrah ni seronok.

Hari ni ahli usrah yang dapat datang cuma 5 orang termasuk kakchik. Tak mengapa kerana yang penting matlamat usrah kami tercapai. Kami tahu ada ahli yang punya urusan masing-masing. Ada yang sedang menguruskan ayah yang sedang sakit akibat kemalangan bulan lepas, ada yang telah kembali ke Bangi kerana cutinya sudah habis, ada yang berada di luar negara kerana mengikut suami menyambung pelajaran, ada yang pergi kursus dan sebagainya. Hakikatnya kami meraikan segala macam urusan sahabat-sahabat lain yang tidak dapat datang kerana kami juga kadang-kadang begitu.

Itulah buku usrah kami untuk hari ni.
Habis usrah kita makan-makan.

Hari ni Ni'mah membentangkan topik ketiga dari buku 'Apa Ertinya Aku Menganut Islam' tulisan Allahyarham Ustaz Fathi Yakan bekas pimpinan Ikhwanul Muslimin. Kami bincanig tentang AKHLAK hari ni. Walaupun yang membentangnya adalah Ni'mah tapi Kak Ina, Doc Raz, Kak Nor dan kakchik turut memberikan input masing-masing untuk sama-sama menjadikan perkongsian ilmu pada hari ni menarik, difahami, menjejak ke bumi dan relevan dengan kehidupan kita menuju Allah SWT. Betapa bagusnya perjalanan hidup kita, dakwah kita bila akhlak kita, keluarga kita, sahabat kita dan masyarakat kita ialah akhlak Islam yang selari dengan apa yang Nabi Muhammad SAW contohkan.

Terima kasih kat tuan rumah untuk hidangan yang lazat ni.

Akhlak Islam itu sungguh indah kerana ia menjadikan peribadi kita sentiasa mengingati kematian maka kita sedaya upaya mungkin cuba menjaga akhlak kita sebaik-baiknya sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasul junjungan kita. Kakchik taknaklah ceritakan apa itu akhlak dan sebagainya tapi kalian bolehlah rajinkan diri untuk mencari mengenainya. Itupun jika kalian berkehendak. Kalau rasa diri sudah cukup baik, tak perlulah kot. Kalau rasa diri belum cukup baik, jomlah sama-sama memiliki buku 'Apa Ertinya Aku Menganut Islam" dan boleh dibaca. Jika tak faham boleh kita bertanya kepada ramai ustaz dan ustazah. InsyaAllah mereka tidak lokek ilmu.
Sahabat seusrah yang disayangi fillah.
Kakchik pun ada jugak gambar sekeping dengan Kak Ina dan Ni'mah.

Setiap perjumpaan pastinya ada makan-makan. Terima kasih banyak kepada Kak Nor selaku tuan rumah yang telah menghidangkan kami juadah yang enak-enak, bihun goreng (habis taugehnya kakchik buang :D ), murtabak raja yang saaaaaaangat sedap, pelbagai jenis tamar, air zamzam yang kakchik lupa nak minum, air sarsi dan bekalan air suam yang tak putus untuk kakchik yang masih batuk. Tuan rumah pun batuk juga. "Shafakillah ya Kak Nor. InsyaAllah lepas ni kita buat usrah kat rumah akak lagi ya." Hehehe. 


Sebelum balik sempat bergambar sedikit untuk tatapan teman-teman lain yang tidak dapat hadir terutama yang jauh di mata. InsyaAllah jauh di mata tapi dekat di hati. Usrah dari jam 9.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari amat menaikkan semangat perjuangan Islam dalam diri kakchik. Rasanya pergi usrah ni seperti pergi servis iman diri je. Dapat lihat wajah-wajah ahli usrah yang lain terasa amat bahagia dan mengujakan sekali. Itu belum lagi berbincang topik-topik usrah. Semoga Allah terus ikat hati-hati kami di atas jalan dakwah ini agar kami sama-sama dapat melaksanakan amal makruf nahi mungkar sepanjang hayat yang ada ini.

Wassalam.

ABC

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Dah masuk hari baru, baru kakchik ada peluang untuk update blog. Sebenarnya kakchik tertidur dalam jangkamasa yang agak lama dan baru dibangunkan semula oleh Allah SWT. Mungkin ianya kesan keletihan akibat banyak berurusan di luar rumah siang tadi. Tambahan pula dahi kakchik sedikit bengkak terkena pintu kereta semasa nak masuk ke dalamnya selepas selesai urusan di Wisma Persekutuan pagi tadi.

ABC (Allah Bagi Cuti), jadi kakchik masih tidak dapat melakukan ibadah wajib seperti biasa. Namun begitu, insyaAllah masih boleh melakukan pelbagai ibadah lain lagipun apa yang kakchik faham, setiap amalan baik jika dibuat dengan nama Allah insyaAllah akan menjadi satu ibadah. Boleh baca maksud Ibadah Dalam Islam di sini.

Namun, bila tidak dapat melakukan ibadah wajib ni terasa diri seperti mudah sikit terdedah kepada gangguan syaitan. Nak mengaji Qur'an macam biasa tak boleh, nak solat tak boleh, nak puasa tak boleh tapi masih boleh berzikir. Cuma itulah, bukannya mampu nak berzikir setiap masa kerana lemahnya iman diri. Sebab itulah kakchik suka sibukkan diri dengan melakukan banyak kerja terutama menolong orang lain seperti umi dan ayah.

InsyaAllah hari baru, Jumaat ni akan kakchik manfaatkan sebaik-baiknya. Pagi ada usrah bersama sahabat-sahabat Mothers, tengahari ada jemputan kenduri kesyukuran (belum pasti dapat hadir atau tidak) dan sebelah petang ada ceramah Israk Mikraj. Ada kemungkinan pelanggan nak datang ke rumah untuk membeli abaya, juga di sebelah petang. InsyaAllah cuti yang ada ini akan banyak pengisian yang bagus. 

Semoga semuanya dipandang sebagai ibadah oleh Allah SWT.

22.6.11

Gerai Pisang Goreng di jalan menuju ke Penambang






Petang-petang begini siapa tak terliur nak makan semua ni. Minyak banyak pun bukan nak kira sangat asalkan boleh makan. Kakchik pun kadang-kadang sampai mengidam nak makan pisang goreng. Hari tu masa nak ke Sungai Keladi mengambil kek yang kakchik tempah, mata terpaku pada gerai ini. Dua kali lalu akhirnya kakchik berhenti dan membeli RM5 pisang goreng pelbagai jenis dan RM1 keropok. Bawa balik ke rumah makan beramai-ramai sambil minum teh panas. Alhamdulillah.

Pst... siapa tahu apa nama jalan tu?

Pakai Purdah Nak Makan di Luar, Apa Susahnya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua.

Syukur alhamdulillah, hari ni kita masih diberi izin oleh Allah SWT untuk hidup lagi di atas dunia milik-Nya ini. Allah masih bagi kita peluang untuk memperbaiki diri pada mana-mana kelemahan yang masih kita buat dan menambahkan amalan baik agar bekalan kita di hari akhirat lebih banyak. Jadi, marilah kita sama-sama manfaatkan usia yang ada pada hari ini dengan sebaik-baiknya seolah-olah kita akan mata bila-bila masa saja, tanpa sebarang amaran.

Baiklah. Nampaknya hari ni entri kakchik lebih kurang entri semalam iaitu jenis menjawap pertanyaan pembaca. Kali ni kakchik nak menjawab pertanyaan dari annur yang masih belum dibalas di kotak jerit kakchik kat 'sidebar' kanan tu. Annur, kiranya inilah jawapan kakchik ya. Sebagaimana soalan mengenai beza antara jubah dan abaya yang sering ditanya orang, soalan hari ini juga sering ditanya orang. Kadang yang bertanya tu wanita yang tidak berpurdah dan ada juga yang bertanya tu wanita yang baru nak mula memakai purdah.

Kalau dilihat pada tajuk tu, kakchik rasa kalian sudah boleh agak apa jawapan kakchik kan? Ya, takde sebarang masalah untuk para muslimah yang berniqab untuk makan di luar yakni makan di khalayak ramai. Kami makan sama je macam orang lain makan, cuma ada sedikit berbeza kerana di wajah kami ada penutupnya. Ramai yang terfikir, tentu susahlah nak makan. Ada juga yang sibuk nak tunggu dan intai (pinjam kata-kata seorang kawan) bagaimana muslimah berpurdah ni menyuapkan makanannya ke mulut.

Beginilah, memang ada sedikit susah bila nak makan tapi ia akan mudah dan cepat diatasi bila kita telah tahu tekniknya. Orang pakai purdah ni insyaAllah bijak ya sebab mereka punya idea yang membolehkan mereka makan dengan selesa dan kenyang tanpa orang sekitar boleh nampak wajah mereka. Kakchik tak tahu orang lain tapi ini ialah pengalaman kakchik apabila mahu makan di luar tanpa membuka niqab. Kalau dibuka bila nak makan, terasa seperti hilang makna pula dalam praktik pemakaian purdah tu. Ini perasaan kakchik seorang ya. Niqabi lain mungkin punya pendirian berbeza.

Jeng! Jeng! Jeng....! Bagaimana kakchik makan kat luar?

Tak susah pun... insyaAllah tak susah. Bila dah tahu kaedahnya dan seeloknya praktislah dulu di rumah, maka bila nak makan di tempat kenduri ke.... di restoran ke... atau di mana saja, insyaAllah tak susahkan diri atau orang lain. Mari kakchik ceritakan bagaimana cara kakchik makan di luar. Lain orang mungkin lain caranya jadi terserah kepada keselesaan masing-masing. Kakchik ada beberapa cara bergantung juga kepada gaya tudung dan purdah yang kakchik pakai.

Cara 1: Shayla + Niqab Arab


Gambar sekadar contoh.

Niqab arab ni biasanya agak besar jadi bila nak makan, tangan kiri kakchik gunakan untuk angkat sedikit niqab agak-agak orang sekitar tak nampak muka bila tangan kanan nak suapkan makanan. Kalau makan dengan sudu pun macam tu juga. Masa makan tu kenalah jaga pandangan mata, jangan asyik nak melilau melihat orang di sekeliling. Kalau mata suka nak tengok orang tentu mata orang lain pun sibuk nak tengok kita makan. Supaya kita dapat makan dengan selesa, buat tak tahu saja pada mereka yang tidak berkenaan. Kalau nak minum air panas pun kakchik buat begitu juga. Kalau air sejuk lebih mudah kerana menggunakan 'straw'.

Cara 2: Tudung labuh biasa + purdah Melayu

Gambar sebagai contoh.

Purdah Melayu ni sebagaimana yang boleh dilihat dari gambar, kakchik pinkan ianya di luar tudung. Sesetengah muslimat suka memakai yang jenis bergetah yakni dipakai di dalam tudung dan ditarik keluar. Kakchik kurang gemar yang jenis tu sebab asyik sakit kepala dengan getahnya. Jadi bila pakai purdah begini selalunya kakchik makan menggunakan Cara 1 di atas juga atau kakchik makan di meja yang agak jauh dari pandangan awam dan makan membelakangi orang ramai. Misalnya menghadap suami atau kawan, kadang-kadang duduk sebelah suami atau kawan dan kakchik buka niqab, mereka akan tolong 'cover line' hehehe. Dan... kakchik makan ajelah seperti biasa.

Cara 3: Shayla/Tudung labuh biasa + Niqab bergetah/bertali spandex

Purdah jenis spandex bertali, boleh ditarik ke bawah.

Kakchik paling banyak makan di luar semasa kakchik memakai shayla dan purdah begini. Biasanya kakchik pakai shayla bertindan dua lapis. Bila nak makan, kakchik akan tarik lapisan shayla paling atas dari belakang dan lepaskan ke hadapan muka hingga ke paras dagu. Umpama ghasywa (purdah tutup seluruh wajah tanpa nampak mata), dan kakchik tarik purdah ke bawah dagu. InsyaAllah dapat makan dengan lebih selesa. Kalau angkat muka pun orang tak nampak sangat wajah kita kerana kain shayla yang hitam tu masih melindungi. Cumanya... janganlah duduk di bawah cahaya yang terang, kain yang nipis tu pasti menampakkan wajah kita.

Kesimpulannya,

Orang yang pakai purdah masih boleh makan di khalayak ramai tanpa perlu membuka purdahnya. Ini cara kakchik untuk istiqomah agar orang tak berkenaan tak dapat lihat wajah kita. Tapi sekiranya semua yang makan di kiri, kanan dan depan kita adalah perempuan dan kawasan tempat kita makan itu takde orang lelaki yang makan atau lalu-lalang, insyaAllah selamat jika nak buka purdah bila nak makan. Sebenarnya bila pakai purdah ni kita akan jadi orang yang sangat menitik-beratkan suasana tempat kita nak makan. Kita akan kurang gemar ke tempat yang terlalu ramai orang yang bercampur lelaki perempuan. Bukankah itu satu kebaikan? Mata dapat dijaga, maksiat dapat dielakkan.

Tapi tidak semua tempat yang kita hadir misalnya tempat kenduri yang memahami akan kaedah hijab dan pengasingan tempat makan lelaki dan perempuan kan? Maka ketika itulah kita perlu menggunakan teknik atau kaedah-kaedah di atas. Kalau kita asyik mengelakkan diri dari menghadiri program sosial bermasyarakat ini bimbang pulak matlamat kita untuk berdakwah akan terbantut. Lagipun memenuhi jemputan kenduri itu adalah wajib jika takde uzur syari'e da kendurinya bukan kenduri maksiat. Kalau salah, tolong betulkan kakchik ya.

Selamat makan dengan aman dan selesa.

21.6.11

Apa beza antara abaya dengan jubah?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT sebab hari ni awal pagi lagi dah ada kesempatan untuk mengemaskini blog. Itu pun selepas kakchik membaca komen terbaru dari ukhti syikin yang juga turut bertanyakan soalan di atas. Sebenarnya soalan ini sudah acap kali kakchik terima daripada pembaca blog, pelanggan Abaya Elegan dan juga teman-teman di facebook. Rasanya elok kakchik tulis satu entri menyediakan jawapannya (berdasarkan pengetahuan kakchik yang sedikit dan pengalaman kakchik memakai jubah sejak 1990 hingga 2007 selebihnya kakchik memakai abaya) agar di lain kali sesiapa saja boleh merujuk kepada entri ini.

Baiklah, jom kita tengok apakah perbezaannya.

Jubah

Contoh jubah seperti yang kakchik punya.

Perkataan jubah ini ialah panggilan orang Malaysia kepada jilbab iaitu sehelai baju labuh yang longgar dipakai oleh para wanita Islam sebagai pakaian luar untuk menutup aurat. Kalau 20 tahun dulu jubah ini biasanya dipakai oleh wanita-wanita yang terlibat dalam gerakan Islam seperti PAS, Al-Arqam (sebelum diharamkan) dan Tabligh, kini jubah telah mengalami transformasi yang amat besar dan dipakai oleh semua golongan wanita Islam. Dulu-dulu susah nak jumpa jubah yang berwarna selain dari warna hitam atau warna-warna gelap yang lain. Hari ni kita boleh melihat jubah direka dalam pelbagai warna dan corak.

Ini ialah makna Jilbab mengikut wikipedia:
The term jilbāb or jilbaab (Arabic جلباب) is the plural of the word jilaabah which refers to any long and loose-fit coat or garment worn by some Muslim women. They believe that this definition of jilbab fulfills the Quranic demand for a Hijab. Jilbab or Jilaabah is also known as Jubbah or Manteau (which is the French word for coat or mantle).
The modern jilbāb covers the entire body, except for hands, face, and head. The head and neck are then covered by a scarf or wrap (khimar). Some women will also cover the hands and face (niqab).

Sepanjang memakai jubah kakchik langsung tidak suka pakai yang berwarna gelap kecuali sehelai iaitu jubah pertama yang dijahit oleh mak kawan baik kakchik semasa di tingkatan 4 dulu, warna coklat tua. Selebihnya adalah jubah-jubah berwarna pastel. Memang masa di sekolah menengah dulu kakchik tak suka warna gelap terutama hitam hehe tapi sekarang sebaliknya pula. Wanita gerakan Islam dulu memakai jubah berwarna gelap dan materialnya agak tebal, biasanya jenis kain seluar lelaki. Tapi kini sudah jauh bezanya. Cuba tengok contoh di bawah.

Contoh jubah moden.

Contoh jubah moden.

Kakchik memakai jubah sebagai pakaian luar atau umpama kot iaitu masih memakai pakaian lain di dalamnya seperti sepasang baju kurung, skirt labuh mahupun seluar panjang. Sebenarnya terserah kepada individulah nak pakai apa di sebalik jubah tu kan hehe. Material jubah pula ialah jenis yang agak tebal kerana untuk memenuhi fungsinya menutup aurat dengan sempurna. Pilih yang jarang kan tak penuh syarat pulak terutama kalau kat dalam tu tak pakai apa-apa. Huhu bahaya. Itu masa kakchik pakailah... orang sekarang ramai yang pakai jubah begitu saja tanpa sebarang alas kecuali 'petticoat' atau seluar kerana potongan jubah kini semakin mengikut bentuk badan, tidak selonggar zaman dulu.

Entahlah, ini juga terserah kepada pilihan masing-masing. Kalau kita memilih jubah yang longgar maka insyaAllah terjagalah bentuk badan kita tu tapi jika sengaja memilih yang potongannya ada 'shape', ada 'dart' di belakang, maka nampaklah jubah itu mengikut bentuk badan kita. Bila sengaja ni tak dapatlah 'den nak menolong' kata sesetengah orang. Kena tanya niat masing-masinglah kan. Apa yang penting pakailah apa saja asalkan memenuhi syarat pakaian wanita Islam iaitu menutup aurat dengan sempurna. Kena faham konsep hijab insyaAllah kita akan faham konsep menutup aurat ni.

Mari kita tengok apa pulak makna abaya mengikut ilmu dan pengalaman kakchik.

Abaya

Pada pandangan kakchik abaya ni ialah secara fizikalnya sama saja dengan jubah ialah sehelai baju labuh yang longgar umpama sehelai gebar yang dipakai di atas pakaian lain bagi menutupi badan apabila keluar dari rumah. Abaya majoritinya berwarna hitam tapi ada juga yang berwarna-warni cuma tidak begitu digemari. Apa yang kakchik tahu abaya ni ada dua jenis iaitu 'overhead abaya' seperti yang dipakai oleh wanita-wanita Iran yang juga dipanggil 'chador' dan satu jenis lagi ialah 'shoulder abaya' iaitu jenis abaya yang nampak seperti jubah. Inilah yang biasa kakchik pakai.

Contoh 'overhead abaya'.

Contoh 'shoulder abaya' moden.

Contoh abaya 'butterfly' juga sejenis 'shoulder abaya'.

Mengikut Wikipedia, makna abaya ialah:
The abaya "cloak" (Arabic: عبايةʿabāyah or عباءة ʿabā'ah, plural عبايات ʿabāyāt) is long over garment essentially a robe-like dress, worn by some women in parts of the Islamic world.
It is considered an Arabic cultural dress integrated into the hijab, or Islamic dress, for many countries of the Arabian peninsula such as Saudi Arabia or United Arab Emirates, where it is the national dress.
Traditional abayat are black and may be either a large square of fabric draped from the shoulders or head or a long caftan. The abaya covers the whole body except the face, feet, and hands. It can be worn with the niqāb, a face veil covering all but the eyes. Some women choose to wear long black gloves, so their hands are covered as well.

Memanglah dulu hanya wanita Arab yang pakai abaya ni sebab ia menjadi pakaian tradisi mereka seperti baju kurung bagi kita. Tapi hari ni abaya telah menjadi pakaian wanita Islam di seluruh dunia kerana makin ramai Muslimah suka memakainya kerana sebab-sebab agama bukan kerana adat atau tradisi. Ini kerana abaya itu berwarna hitam dan hitam ialah satu warna pakaian sunnah. Selain itu abaya juga adalah longgar dan dipakai di atas pakaian sedia ada sebab itu ia dipanggil 'cloak' atau gebar/selimut yakni bila kita nak ke mana-mana hanya perlu menyarungkannya tanpa perlu menukar pakaian kita.

Perubahan masa, perbezaan kerjaya, pilihan pakaian, fesyen dan sebagainya telah membuatkan kakchik kini lebih selesa memakai abaya walau ke mana saja. Tambahan pula kakchik tahu abaya yang berwarna hitam ni ialah pakaian sunnah, pakaian yang dipakai oleh Ummahatul Mukminin, pakaian wanita solehah. Jadi, apa salahnya kan jika kakchik suka nak pakai abaya ni setiap hari. Semoga niat memakainya ialah untuk ibadah semata-mata bukan untuk menunjuk-nunjuk. Abaya yang nak dipakai pun kena pilih-pilih juga sebab takut menjadi tabarruj pula kerana abaya zaman moden pun makin hilang fungsinya yang sebenar.


Oleh kerana abaya ni warnanya hitam, pilihan materialnya adalah sangat penting. Kakchik memilih untuk memakai abaya yang dijahit di Dubai, Qatar dan Arab Saudi kerana jenis materialnya yang selesa dipakai di dalam cuaca panas negara kita. Kita tahulah warna hitam ni menyerap haba tapi material seperti crepe internet, nida, saloona, lexus, dan cobra (sekadar menyebut beberapa contoh kain) sangat selesa dipakai. Ianya tidak terlalu tebal atau nipis kerana sifatnya sebagai pakaian luar jadi takde masalah untuk dipakai hari-hari.

Selain itu, potongan abaya Dubai (negara teluk) ni ialah jenis bentuk A dan 'princess cut' yang mana ia kembang ke bawah. Itulah yang menyelesakan bila berjalan. Potongan ini juga lebih berjaya mengelakkan bentuk punggung kelihatan. Nak tahu betul atau tidak kenalah tanya orang yang biasa memakainya. Ia berbeza dengan abaya yang dihasilkan di KSA, Indonesia dan Vietnam kerana potongannya lebih kepada lurus sebab itu ada abaya yang mempunyai belahan di kiri dan kanan kerana agak sempit.

Begitulah lebih kurang apa yang kakchik tahu tentang beza antara jubah dan abaya. Semoga sedikit-sebanyak dapat membantu menjawab pertanyaan teman-teman semua. Allahua'lam.

20.6.11

Perkongsian: Mengumpat dan gosip mana lebih bahaya?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sehari dua ni kakchik agak keletihan dengan tugas di pejabat dan juga pengemaskinian stok buku dan stok abaya. Bila bermain dengan nombor dan angka, kepala memang akan mudah pening. Apatah lagi kalau ada beberapa kiraan yang sering silap atau ada rekod yang tidak lengkap. Memang penat fizikal dan mental. Beginilah nasib orang yang berniaga sambil bekerja. Nak tak nak kenalah uruskan juga. Oleh kerana kakchik tak sempat nak menulis, malam ni kakchik cuma nak kongsikan artikel dari Ust. Ahmad Baei Jaafar yang disalin dari blog beliau Fikrah Islamiah. Selamat membaca.

Sumber: Afis Islamic World

Mengumpat seperti yang diperjelaskan sebelum ini adalah dosa besar dan dibenci Allah. Namun sebahagian masyarakat kita masih menjadikannya satu tabiat yang menyeronokkan. Hukum haram hanya dipandang kecil. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Jelas di sini, mereka yang terlibat dengan mengumpat ini tidak takut kepada Allah dan tidak takut kepada ancaman Allah. Hal ini kerana iman mereka kepada Allah terlalu tipis atau tiada iman, lalu sanggup melakukan apa sahaja.

Sebenarnya orang yang mengumpat ialah orang yang melanggar amanah dan menyalahgunakan kurniaan Allah iaitu lidah. Anggota lidah diberikan kepada manusia untuk membolehkan manusia merasai makanan, bercakap memberi nasihat dan melarang amalan yang keji. Tetapi sebaliknya manusia menggunakan lidah untuk mengumpat manusia lain.

Jika manusia sedar bahawa dengan mengumpat itu mereka telah melakukan dua dosa iaitu menjatuhkan maruah orang dan menyalahgunakan amanah Allah pasti mereka berfikir dua kali untuk mengumpat. Tetapi semua itu tidak pernah difikirkan oleh mereka.

Selain mengumpat, gosip adalah satu lagi bentuk dosa di alaf ini. Malah gelanggang gosip lebih luas kerana diterajui oleh media sama ada elektonik mahu media cetak. Sesuatu yang menjadi rahsia seseorang habis dibongkar kepada umum.

Ramai yang berminat untuk mengetahui gosip itu kerana dapat mengetahu rahsia orang. Sama ada cerita yang dibawa itu betul atau tidak, mereka tetap akan terimanya sebagai bahan berita malah ada yang sanggup memanjangkannya.

Sebenarnya dengan gosip ini tiada rahsia yang boleh disimpan lagi, semuanya akan terdedah secara pantas. Walaupun pihak yang teraniaya boleh membuat penafian tetapi penerima orang ramai masih tidak pasti. Begitulah bahayanya gosip.

Lazimnya artis digosipkan dengan cerita percintaan, pertunangan, perkahwinan, bercerai, dan pelbagai lagi yang semuanya diperoleh dari sumber yang tidak sahih. Kadang-kadang gosip ini dilakukan secara serkap jarang. Tetapi kesannya adalah sama, boleh menjatuhkan maruah artis berkenaan.

Tidak dinafikan ada juga gosip yang sengaja dicipta oleh ampunya diri sendiri bagi tujuan mempromosi dirinya. Gosip seperti ini tidak mungkin boleh menjatuhkan maruahnya kerana dia sendiri sudah bersedia dengan jawapannya bagi menaikkan imejnya semula.

Tetapi gosip yang dicipta oleh wartawan dan kemudiannya diperpanjangkan oleh orang ramai itu boleh mencemarkan maruah artis terbabit. Hal ini kerana berita yang dibawa itu berkemungkinan termasuk dalam mengumpat atau menyebar fitnah.

Orang politik juga tidak terlepas daripada digosip oleh wartawan. Kadang-kadang digosipkan dengan wujudnya perempuan simpanan, melakukan hubungan terlarang dengan setiausahanya atau bercerai.

Berdasarkan keterangan di atas, gosip dan mengumpat dibina atas tujuan atau niat untuk menjatuhkan maruah seseorang. Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa gosip adalah untuk menyedarkan artis atau ahli politik yang sombong, tetapi kesannya tetap memalukan.

Jadi, apa bezanya gosip dengan mengumpat dalam hal ini? Sepintas lalu kedua-duanya tiada beza, tetapi kadang-kadang gosip boleh jadi fitnah jika semua itu tidak betul. Berdasarkan kedudukan itu, maka gosip lebih bahaya daripada mengumpat.

Walau bagaimanapun mengumpat dalam keadaan tertentu boleh dimaafkan malah pada enam tempat berikut adalah diharuskan dalam Islam. Demikian seperti yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abul Samad Palimbangi, iaitu:

1. Menyebutkan kejahatan orang zalim kepada kadi supaya dihukumkannya dengan yang setimpal.

2. Menyatakan seseorang itu membuat kejahatan berdasarkan perbuatan mungkarnya supaya dengan cara itu dia boleh meninggalkan perbuatan maksiatnya.

3. Oleh sebab hendak meminta fatwa daripada mufti dia mengadu tentang seseorang yang menzaliminya apakah hukumnya dan apakah jalan penyelesaian.

4. Bertindak untuk menakutkan orang yang berkemungkinan hendak bersahabat dengan orang fasik atau zalim.

5. Untuk memberi tahu tentang orang yang tidak dikenal namanya lalu dia menyebut sifatnya.

6. Menyebut kejahatan orang yang sudah masyhur dengan kejahatannya supaya orang lain tidak menjadi mangsanya.


Supaya lebih jelas perhatikan beberapa contoh berikut:

Seorang pemuda telah mengambil barang milik bapanya. Lelaki lain yang melihatnya segera ke pejabat polis dan tanpa berselindung menyebut perbuatan jahat pemuda itu. Menyebut kejahatan orang lain adalah mengumpat tetapi dalam hal ini, dibenarkan supaya dengan itu pemuda itu boleh ditangkap.

Begitu juga dengan seorang pemimpin yang sering melakukan tabiat buruk seperti merokok. Hendak tegur sikapnya, tiada siapa yang sanggup berhadapan dengannya. Maka tabiat buruknya disebut di hadapan umum dengan harapan apabila dia dengar boleh timbul kesedaran dan berubah.

Dalam contoh yang lain, seorang wanita pernah ditipu oleh seorang lelaki dan berjaya memperdaya perasaannya malah hampir dirogol. Pada suatu hari dia ternampak lelaki itu sedang berbual dengan seorang gadis lain. Demi menyelamatkan maruah gadis itu, dia menceritakan kejahatan lelaki itu dengan harapan gadis itu tidak terpedaya dan menjauhkannya. Pada dasarnya ia juga mengumpat tetapi dibenarkan.

Dalam kes yang lain, seorang lelaki atau wanita yang sudah masyhur dengan kejahatannya. Namanya sudah dikenali umum malah menjadi bualan orang ramai. Menyebut keburukannya tidak lagi dikira mengumpat.

Empat contoh ini lazim berlaku dalam masyarakat kini dan inilah yang dibenarkan dalam Islam. Maka selain senarai di atas, tetap dikategorikan sebagai mengumpat dan berdosa besar.

18.6.11

Selaraskan Perbuatan Dengan Kata-Kata Kita.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dapat juga menuliskan sesuatu di kanvas blog ni walaupun dalam keadaan capaian internet yang sangat bermasalah sekarang ini. Ibarat iklan biskut chipsmore pula, sekejap boleh online sekejap putus. Begitulah hakikatnya kelemahan alat ciptaan manusia. Pasti akan ada cacat-celanya.

Tidak mengapalah, asalkan kakchik masih berpeluang menulis seperti biasa. Menulis sesuatu untuk peringatan diri bagi memastikan apa yang kakchik perkatakan selama ini adalah selari dengan apa yang kakchik lakukan. Kalau tak menulis terasa ada sedikit kepincangan pula pada diri-sendiri. Bila dapat menulis, semangat Islam kembali subur dan kakchik lebih berhati-hati dalam amalan pada hari tersebut.

Baiklah. Cerita pasal menyelaraskan perbuatan dengan kata-kata ni, kakchik selalu saja teringat Surah As-Saff  ayat 2 yang terkenal dalam dunia gerakan Islam iaitu,

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!" [Surah As-Saff: 2]

Ayat ini mengikut Muqaddimah Surah As-Saff dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Mushaf Malaysia Rasm Uthmani, ialah teguran Allah Ta'ala ke atas sebahagian orang Islam yang memperkatakan sesuatu sedang mereka tidak melakukannya.  Oleh kerana ini bukan bidang kakchik jadi kakchik nak salin terus dari Muqaddimah tersebut.

"Teguran ini pada mulanya ditujukan kepada setengah pemuda-pemuda Islam dalam zaman Nabi yang pernah menyatakan: Kalaulah mereka mengetahui apakah sesuatu amalan yang disukai oleh Allah Ta'ala nescaya mereka akan kerjakan. Tetapi apabila mereka diberitahu bahawa amalan itu ialah berjuang untuk menegakkan Islam, maka ada di antaranya yang tidak mengotakan apa yang mereka telah katakan. 


Kemudian Allah Ta'ala menerangkan, bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang (kafir musyrik enyembah berhala, kaum Yahudi dan kaum Nasrani) yang telah diajak oleh Nabi Muhammad SAW supaya memeluk Islam tetapi mereka tetap mengingkarinya: "Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".


Pada bahagian akhir surah ini, Allah Ta'ala menunjukkan kepada orang-orang yang beriman 'sejenis perniagaan" yang tidak akan mengalami kerugian selama-lamanya, bahkan akan menyelamatkan mereka dan memberi sepenuh-penuh kebahagiaan: iaitu hendaklah mereka tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang dalam membela dan menegakkan Islam dengan harta benda dan jiwa mereka sendiri."

Selepas Allah tegur dalm ayat ke-2, Allah kemudian memberi kita peringatan di dalam ayat yang ke-3,

 "Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." [Surah As-Saff: 3]


Bimbang, kakchik bimbang ada banyak yang lidah kakchik sebut, tangan kakchik tulis tentang Islam, cara hidup Islam, akhlak orang Islam, muamalah cara Islam dan sebagainya TAPI kakchik sendiri tidak buat pun dengan sebaik-baiknya apa yang telah kakchik kata itu. Nau'zubillah.

Ada orang kata, 'kalau macam tu baiklah berdiam diri saja, pasti tidak akan dibenci Allah kerana kita tak kata dan kita tak buat.". Masalahnya bila kita Islam, mengaku sebagai hamba Allah, kita pula diberi amanah menyampaikan seruan Islam kepada masyarakat, pastinya mulut kita akan berkata-kata, tangan kita akan menulis.

Segalanya berkait. Iya, diam itu lebih baik dari berkata-kata dalam keadaan tertentu. Misalnya jika kata-kata kita boleh memburukkan lagi keadaan, maka lebih baik kita diam. Tapi jika kata-kata kita mungkin boleh mengubah keadaan menjadi lebih baik maka, perlulak kita perkatakan.

Jadi, teman-teman semua, marilah kita saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati agar kita dapat menyelaraskan perbuatan yakni akhlak kita dengan kata-kata kita. Sama ada kata-kata melalui percakapan kita, penulisan kita mahupun pandangan mata kita. Biarlah semuanya selaras dengan kehendak Allah dan kita tidak dicop sebagai hipokrit.

Na'uzubillah.

Seronoknya kalau dapat bekerja dari rumah seperti mereka.

Jana pendapatan dari rumah
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

RUTIN harian Siti Sumera Deyana Sukri, 26, sama seperti wanita bekerjaya yang lain. Seawal pukul 6 pagi dia mula sibuk menguruskan anak-anak dan menyediakan sarapan pagi.

Selepas menghantar anak sulungnya, Adam El-Badri Suhaidi Badri, 6, ke tadika dia bergegas pulang ke rumah kerana perlu bersiap-siap untuk ke pejabat.

SALAH satu bilik di kediaman Mea yang dijadikan tempat menyimpan koleksi pengantin jualannya.

“Tetapi perjalanan ke pejabat hanya mengambil masa tak sampai seminit pun memandangkan pejabat saya terletak di luar kamar saja (ketawa),” terang Siti Sumera Deyana atau mesra dengan panggilan Mea sambil menunjukkan pejabat mininya yang kemas dan menempatkan para-para kayu yang dipenuhi koleksi fabrik serta pakaian jualannya.

Jelas Mea, meskipun pejabatnya di dalam rumah, tetapi itu tidak bermakna dia bebas melakukan apa saja terutamanya dari aspek masa. Dia menyifatkan setiap detik begitu berharga dalam menentukan untung dan rugi penjualan produknya.

“Setiap hari tepat pukul 8 pagi saya mula bekerja. Tugasan pertama saya memeriksa senarai tempahan produk daripada pelanggan dan mengemaskini stok-stok terbaharu dalam blog.

“Kemudian saya beralih pula pada proses pembungkusan sebelum ke pejabat pos untuk proses penghantaran menggunakan perkhidmatan pos laju,” tutur Mea yang sempat melayan telatah dua permata hatinya walaupun sibuk mencatat senarai tempahan.

Selain ketepatan masa, Mea yang mengasaskan Mea Sukri Shoppe yang menjual pakaian secara dalam talian turut menitikberatkan soal penampilan diri dan pemakaian. Jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut: “Jika di pejabat pekerja berdisiplin mematuhi etika berpakaian, mengapa etika ini perlu dihapuskan apabila kita bertugas di rumah? Lagipun imej yang kemas dan cantik menyuntik semangat bekerja yang tinggi.

Berbicara tentang keputusannya bekerja di rumah, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu memberitahu segala-segalanya selepas dia melahirkan anak pertama.

Tambah graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL): “Sewaktu menamatkan pengajian, usia anak saya baru saja mencecah setahun. Jadi, saya tak sampai hati keluar bekerja dan membiarkan si kecil dijaga pengasuh.

“Namun, saya akui duduk di rumah saja mengundang kebosanan. Sebab itu, saya meminta izin suami untuk berniaga menerusi internet dan segala perihal perniagaan dijalankan di rumah. Ini bermakna selain berniaga untuk membantu menjana pendapatan peribadi, saya juga dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada anak-anak.

Dalam pada itu, Mea turut menyatakan idea bekerja di rumah timbul hasil pembacaannya di internet mengenai topik konsep pejabat ringkas di rumah atau SOHO (Small Office Home Office). Dia mendapati kebanyakan wanita di negara-negara maju memperoleh pendapatan lumayan menerusi konsep kerja SOHO.

“Lagipun sekitar 2009, peluang pekerjaan di luar amat terhad gara-gara krisis ekonomi,” terang Mea yang merujuk kepada kegawatan ekonomi dunia yang mengakibatkan seramai 17,126 pekerja wanita di Malaysia hilang dan berhenti kerja.

SOHO 30 tahun

Tahun ini hampir tiga dekad terma SOHO digunakan. Sejak kehadiran teknologi canggih seperti komputer dan internet lewat 1990-an, negara maju dilihat semakin rancak mempraktikkan konsep SOHO. Kebiasaannya trend kerja itu menjadi pilihan individu atau syarikat yang menjalankan bisnes kecil-kecilan.

Lazimnya, konsep SOHO dipraktikkan kelompok individu yang menjalankan bidang perkhidmatan seperti perakaunan, perhubungan awam, penulisan, penterjemah atau pun konsultasi berkaitan kertas kerja bagi sesebuah syarikat.

Konsep SOHO dilihat bukan saja menjimatkan kos pengangkutan malah, turut mengurangkan pencemaran udara dan bunyi di jalan raya. Secara tidak langsung mengalakkan orang ramai menjana ekonomi negara tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), setakat ini di negara berkenaan sebanyak 75 peratus rakyat tempatan selesa bekerja di rumah.

Ekoran daripada itu, pihak kerajaan menjangkakan pada tahun 2013, jumlah individu yang bekerja di rumah akan mencecah 119.7 juta orang, manakala 1.19 bilion di serata dunia.

Jimat perbelanjaan harian

Bagi Fatmawati Abdullah, 30, dalam tempoh enam bulan bekerja dari rumah dia tidak terlepas berhadapan dengan cabaran-cabaran tertentu.

Dia yang bertugas sebagai perunding perhubungan awam di sebuah agensi perhubungan awam swasta mengakui pada dua bulan pertama, dia berasa janggal dan sunyi kerana melakukan tugasan tanpa dikelilingi rakan sepejabat. Akui Fatmawati ia sedikit sebanyak menyukarkan dirinya melakukan tugasan dengan baik.

SELAIN boleh memasak di rumah, Bee juga berjaya menjimatkan sehingga RM800 sebulan untuk caj parkir dan minyak kereta.

“Bayangkan selama sedekad saya sudah terbiasa bekerja di pejabat dan dikelilingi rakan sekerja. Jika tertekan atau pun kepenatan menyelesaikan kerja menimbun, rakan-rakan menjadi tempat mengadu. Tetapi situasi ini sukar didapati apabila bersendirian bekerja di rumah. Semuanya perlu diuruskan sendiri tanpa bantuan teman-teman.

Enggan membiarkan situasi berkenaan berterusan maka Fatmawati atau mesra disapa Bee, mengambil keputusan bekerja di luar rumah untuk sementara waktu.

“Namun, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kini, rutin kerja harian kembali normal. Setiap hari selepas bersiap, saya akan duduk di pejabat yang diletakkan berhampiran meja makan. Selain mengemaskini e-mel, saya akan menghubungi majikan untuk bertanyakan tugasan terbaharu dan mengurusnkan temu janji bersama pelanggan,” ujar Bee kepada Kosmo!.

Tambah graduan Ijazah Hiasan Dalaman, Universiti Sains Malaysia (USM), biarpun konsep kerja sebegitu masih baru dilaksanakan oleh warga tempatan, tetapi Bee menyifatkan SOHO membantu mengurangkan kos perbelanjaan bulanan dan masa.

Bukan itu saja, kini anak kelahiran Kuala Terengganu tersebut gembira kerana tidak perlu lagi tertekan dengan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke pejabat. Pada masa yang sama berjimat RM800 sebulan daripada membayar caj parkir, minyak kereta dan tol.

“Saya keluar rumah sekali-sekala itupun berjumpa pelanggan, menguruskan acara dan menghadiri mesyuarat bulanan bersama majikan.

“Hakikatnya, tidak sukar untuk bekerja di rumah, asalkan pejabat mini dilengkapi komputer, mesin faksimili, mesin cetak, internet dan telefon. Kelengkapan ini memudahkan urusan komunikasi,” ujar Bee.

16.6.11

Review Bahulu Berinti

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman semua.

Sekarang ni kakchik sedang menulis dari dalam kereta, di tepi jalan sambil menunggu cik abe habis kerja. Kat lorong sebelah tu kereta sedang sibuk bertali-arus kerana ramai orang sudah pun balik dari tempat kerja masing-masing. Masing-masing seperti tidak sabar-sabar lagi mahu sampai ke destinasi masing-masing apabila kakchik tengok kelajuan pemanduan mereka tu menggambarkan sedemikian.

Sabar... tak lari gunung dikejar. Memandulah dengan berhemah hehe.

Sementara itu kakchik nak buat review untuk kuih Bahulu Berinti yang kakchik beli dari Kak Mainun, seorang Pegawai Armalah DUN pada Sabtu lepas. Sebelum tu, inilah dia 2 paket Bahulu Berinti yang kakchik beli. Satu paket untuk kami berdua manakala yang satu lagi untuk Umi dan Ayah kakchik.

Inilah dia 2 paket Bahulu Inti yang kakchik beli.

Baiklah, ini apa yang kakchik boleh kata tentang bahulu berinti ni.

1. Sedap.
2. Gebu.
3. Kurang manis - tu yang kakchik suka.
4. Ada pelbagai inti - jem strawberry, nenas, blackberry dan kaya.
5. Berbaloi - RM5 sepaket, puas hati menikmatinya.
6. Makan sekali pasti nak lagi.
7. Sesuai di makan seisi keluarga hehe.

Sebelum ni kakchik tak gemar sangat makan bahulu. Zaman kecil dulu Umi ada juga menjual bahulu yang dibakar sendiri menggunakan acuan loyang tembaga dan dibakar arang di atasnya. Umi buat perisa pandan (guna daun pandan), gula melaka dan telur. Ada juga makan yang perisa gula melaka tu tapi lepas Umi berhenti buat kakchik tak cari sangat sebab bukannya suka sangat nak makan.

Tapi minggu lepas adalah kali pertama kakchik makan bahulu berbentuk kecil umpama buah cermai ini. Ada kawan kata kat negerinya orang panggil Bahulu Cermai. Dari pandangan pertama semasa bahulu masih di dalam paket kakchik ingatkan ianya keras rupanya adalah sebaliknya bila disentuh. MashaAllah lembut sekali. Dan makanlah kakchik 4 biji bahulu itu menggantikan nasi untuk makan tengahari.

Alhamdulillah, sedap, mengenyangkan.

Jika ada sesiapa berminat nak membeli Bahulu Berinti ni, bolehlah menghubungi Puan Mainun sebagaimana maklumat yang tertera di dalam gambar di bawah.



Itu saja ulasan kakchik. Selamat minum petang!
Related Posts with Thumbnails

KakChik's bookshelf: read

Twilight
Prinsip-prinsip Gerakan Islam
Travelog Impian Abadi: Itu Yang Tertulis
The Power of Focus
To The Moon and Back
Terapi Solat Tahajud
Slumdog Millionaire
Telaga Budi: Himpunan Kata-Kata Hikmah Nik Abdul Aziz Nik Mat
Insan, Ingatlah: Sebuah Panduan Menuju Hati yang Tenang
Parenting Skills: Based on The Qur'an and Sunnah
Indahnya Hidup Bersyariat
Raising Boys: Why Boys Are Different-And How to Help Them Become Happy and Well-Balanced Men
Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World
The Secret of Happy Children
Positive Parenting: The Importance of Communication in Family Life
Islam & Demokrasi
The Leader in You
Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya...
Senyumlah, Apa pun Masalahmu Ia pasti akan berlalu
How To Enjoy Your Life And Your Job
}

Networkblogs