Followers

31.3.10

Menukar template, cepat dah mudah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Bertemu lagi kita malam ni kan. Hari ni kakchik asyik cerita pasal makan aje kan. Jadi malam ni kakchik nak membantu seorang kawan, Nurhuda yang mahu tahu bagaimana nak tukar template blog. Ini hanya untuk yang menggunakan Blogger/blogspot sahaja. Untuk pengguna Wordpress dan lain-lain tu kena tanya orang lain la ya. Bagi yang sudah pandai mungkin entri kakchik ini tidak menarik untuk dibaca. Tidak mengapa, kalian boleh baca entri yang lepas-lepas, itupun kalau sudi :)

Baiklah Huda (dan sesiapa saja yang berminat), ini salah satu caranya untuk menukar template blog anda. Kalau imej kurang jelas, sila klik untuk besarkan.

Langkah 1: Andaikan ini blog asal anda.

- biasanya menggunakan default template yang disediakan oleh blogger ataupun sudah menggunakan template blog percuma yang lain.

Langkah 2: Cari dan muat turun template yang anda suka
- boleh cari di sini http://btemplates.com/ atau http://www.deluxetemplates.net/ atau dalam senarai yang kakchik pernah buat dalam entri ini http://keluargakusayang.blogspot.com/2009/02/template-menarik-untuk-blogger.html
- untuk tutorial ini kakchik pilih dari http://www.deluxetemplates.net/
- dan ini pilihan template percuma yang baru
- klik download
- satu pop up menu akan keluar, klik download lagi, fail dalam bentuk ZIP, bila dah selesai download, UNZIP kan fail dalam FOLDER yang sesuai (kena ingat kat folder mana).

Langkah 3: Login ke Dashboard

Langkah 4: Masuk ke LAYOUT blog anda.
- klik tab EDIT HTML
- di bawah Backup / Restore Template, klik Download Full Template untuk download salinan kod asal blog anda

Langkah 5: Upload template baru
- di bawah Backup / Restore Template, klik CHOOSE FILE
- satu pop up menu akan keluar
- cari di mana fail template yang anda telah UNZIP tadi, (edit: biasanya nama fail ada .xml, .html dan sbgnya) pilih fail dan OPEN
- klik UPLOAD

Langkah 6: Lihat EDIT TEMPLATE
- klik KEEP WIDGETS untuk save semua widgets yang telah anda letakkan dalam blog
- mesej ini akan dipaparkan

Your changes have been saved. View Blog


- klik VIEW BLOG untuk lihat rupa terbaru blog anda
- TAHNIAH! Anda telah berjaya.

Langkah 7: Mengemaskini PAGE ELEMENTS
- kini langkah menyusun atur semula widgets yang ada dan elemen-elemen dalam blog anda
- klik tabs LAYOUT - PAGE ELEMENTS
- susunlah elemen yang ada mengikut sukahati anda.

Bila selesai EDIT, jangan lupa SAVE. InsyaAllah blog anda kini sudah punya wajah baru.
SELAMAT MENCUBA HUDA!

Memang Enak Sekali

Assalamualaikum dan salam petang semua. Huhu, panas terik hari ni. Kalau ada buah tembikai tentu sekali sedap dapat menghilangkan dahaga. Teman-teman sudah makan tengahari atau belum? Kalau sibuk dengan kerja pejabat pun jangan sampai lupa nak bagi makanan kepada badan ya. Untuk cergas dan sihat badan mesti dapat input yang cukup dan menyihatkan.

Tengahari ni kakchik tolong-tolong Ummi masak di dapur. Kononnya kakchik nak tolong Ummi masakkan lauk ayam tu tapi Ummi memang cekap, dia dah siapkan sup ayam untuk keluarga. Memang tak terlawanlah kakchik. Kita ni amatur sangat bab masak memasak ni.

Jadi, lepas Zohor, inilah hidangan yang kami sekeluarga makan. Enak menyelerakan sekali.

Ulam mentimun, pegaga dan bayam praksi untuk dicicah dengan budu.


Sup ayam kegemaran seisi keluarga.


Ikan selar digoreng pedas.


Ikan selar kuning goreng rangup.

Dan pencuci mulutnya ialah buah tembikai.

Nampak je tak merah sangat tapi manis sekali serta rangup.

Syukr alhamdulillah atas kurnian rezeki dari Allah ini. Semoga saudara kita seIslam di mana saja berada terutama mereka yang susah akan turut mendapat rezeki untuk mengalas perut di hari ini. Setiap yang kita makan, makanlah dengan penuh keinsafan dan rasa syukur kerana kita masih diizinkan Allah menikmati semua ini. Alhamdulillah.

Sarapan Paling Senang, Penkek La...

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Kakchik doakan teman-teman semua dalam keadaan ceria dan berbahagia sentiasa. Dah jam 11 lebih ni baru ada masa untuk update blog. Bila cuti ni banyak buat urusan rumahtangga la kan.

Dah lama kakchik tak sediakan sarapan untuk keluarga sebab selalunya Ummi pagi-pagi balik dari masjid terus ke dapur sediakan hidangan. Kakchik selalunya tolong hidangkan saja. Tapi kalau hari tak kerja kakchik akan ke dapur tolong sediakan masakan yang simple saja. Sekarang ni masa tak banyak sebab nak tumpukan pada pelajaran. Jadi masak-masak pun jarang sekali. Teruk kan.

Hari ni kakchik lebih dulu ke dapur sebelum Ummi balik dari masjid. Hari ni nak sediakan sarapan ringkas, penkek dimakan bersama jejari ayam dan juga mee goreng. Sayur dah kehabisan bekalan jadi yang mana ada tu semua digunakan untuk menggoreng mee. 

Penkek Isi Jejari Ayam

Alhamdulillah, kenyang juga dapat makan sarapan walau ringkas saja. Ingat nak pesan kat cik abe singgah kat pasar basah belikan sayur dan ulam-ulaman. Dia suka makan nasi dengan budu dan ulam, begitu juga ayah dan ipar kakchik. Kami adik-beradik tak makan budu, hehe. Harap-harap cik abe belikan mana yang dia suka.

Rancangnya sekejap lagi nak naik ke rumah baru kami yang hampir siap tu untuk melihat orang memasang pintu dan tingkap kayu. Sekarang ni hanya tunggu semua tu selesai bolehlah kami mula membasuh rumah tu dan bersiap untuk pindah. Segalanya jadi lambat disebabkan masalah orang yang membuat tingkap tu. Memang lembab betul la kerja diorang. Rumah kami tu semua dah lengkap tapi mana boleh masuk untuk tinggal kalau masih ada tingkap yang terlopong kan.

Kakchik benar-benar berharap mereka dapat siapkan dalam tempoh beberapa hari saja lagi. Dah tak sabar nak selesaikan kerja-kerja membersih dan berpindah. Dah la masuk bulan April ni kakchik dah nak exam, nak lah susun waktu awal-awal untuk siap berpindah, mengemas, buat solat hajat, kenduri sikit dan mulakan hidup baru di rumah baru.

Dah cukup kesian kat Ummi kakchik yang terpaksa menguruskan makan minum kami. Ye lah, mak kita dia dok di rumah, belum sempat kita balik, dia dah siapkan segala makan minum kita. Tak kan kakchik nak masak lagi, membazir. Jadi kalau sempat kakchik selalu belikan barang dapur sebab ahli keluarga besar. Tapi hati kakchik tak senang sebab macam dah tua-tua ni masih lagi nak susahkan mak ayah. Tambah-tambah kat rumah besar ni adik-adik dengan keluarga pun tinggal bersama. Isyk, cepat laaa... rumah kami tu sempurna.

Baiklah, sebagai anak yang bertanggungjawab, kakchik akan bersihkan rumah kami tu dari segala sampah sarap peninggalan para pekerja sebelum Ummi atau bibik bersihkan. Tak boleh biar tu, Ummi tu walau kaki dia sakit, dia akan buat kalau kakchik lambat. Nasib baik dia tak larat nak panjat tangga ke tingkat atas, kalau tidak tentu Ummi naik ke atas menyapu sampah.

Dengan itu, kakchik pen off di sini. Jangan lupa sarapan ya!

30.3.10

Bercuti panjang lagi...

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah, hari ni dapat lagi kakchik menulis di blog ini. Ingatkan hari ni takde update baru sebab terlalu banyak urusan yang nak diselesaikan. Tapi, alhamdulillah... sempatlah sebentar nak kemaskini dengan sedikit perkongsian.

Sebahagian kain baju yang siap dilipat.

Bulan ni setiap minggu kakchik bercuti lebih dari dua hari. Minggu kedua Mac, kakchik cuti sakit 3 hari, minggu ketiga pula cuti ke Kuala Lumpur 3 hari juga dan masuk minggu keempat ni dapat lagi cuti 2 hari sempena cuti keputeraan Sultan Kelantan kemudian bersambung dengan cuti hujung minggu. Huh, boleh isytihar bulan Mac 2010, bulan paling banyak cuti.

Kakchik ni memang suka kalau dapat cuti terutama kalau setiap hari tu penuh dengan pelbagai aktiviti menarik. Tapi... kalaulah sepanjang masa duduk di rumah, kakchik hanya tahan sehari. Masuk hari kedua kakchik akan naik bosan. Jadual kakchik mesti nak kena padatkan dengan pergerakan. Tidak betah duduk di rumah, patutlah kakchik belum diizin Allah menjadi surirumah sepenuh masa.

 Pasar Raya Besar Mydin yang baru dibuka di Kubang Kerian.

Hari ni, sejak pagi kakchik bersihkan bilik, membasuh sebahagian dengan mesin basuh dan sebaldi dengan cucian tangan, melayan kerenah anak-anak saudara yang ingin read aloud kemudian bermain dengan bongkah-bongkah blog kognitif, menjemur kain yang sangat banyak, licin tiada langsung kain kotor di dalam bakul, alhamdulillah, malam ni aktiviti melipat kain, tadi keluar kejap ke bank lepas tu singgah di Ten Ten belikan tudung Kakak dan Nana, ingat nak jenguk Mydin baru kat Kubang Kerian tu tapi orang terlalu ramai, tak sanggup.

 Istana Balai Besar Kelantan

Sekarang baru ada masa nak menulis. Cik abe pagi-pagi lagi dah keluar ke Istana Balai Besar untuk buat liputan majlis penganugerahan pingat sempena keputeraan. Jadi kakchik tinggal di rumah menyibukkan diri. Hari ni tak jadi memasak sebab Ummi dah siapkan banyak lauk-pauk sejak awal pagi lagi. Ikan goreng pedas, sup sayur, ikan goreng celup tepung dan beberapa hidangan sampingan. Anaknya ni jadi tukang makan dan tukang mengemas dapur.

Itu ajelah perkongsiannya. Tak bosan pun sebab jadual penuh pagi sampai malam. Selepas jam 9 malam ni masa untuk bersama cik abe melayari internet hehe. Dia kat sebelah tu sedang kemaskini berita sukan. Malam ni ada perlawanan bolasepak antara Selangor lawan Negeri Sembilan. Ada dekat 100 orang pengunjung blog bola cik abe. Baru sebulan lebih dia letak iklan nuffnang dah dapat 9 buffered, cayalah cik abe.

Kakchik dah mati idea nak sambung. InsyaAllah kita jumpa esok pula ya.

Etika letak gambar di facebook

Tazkirah Buat Teman di Facebook
Catatan: Mama ‘Iffah, 29hb Mac 2010.


SALING INGAT MEMPERINGATI KE ARAH KEBAIKAN DAN DENGAN KESABARAN.

SALAM. Sekarang era FB, dulu kita cuma ada group aje, sekarang bertambah canggih. Seronoknya apabila terjumpa semula kekawan lama di alam maya, bertanya khabar & bertukar cerita terkini, mengimbau kenangan silam, zaman remaja & students yang indah n tak mungkin berulang kembali. Boleh pula tengok foto terkini dengan anak2nya, rumahnya n segala aktiviti yang ingin dikongsi.

Zaman globalisasi menguasai hidup kita kini, semuanya ada positif n negative,  AWASLAH,  jangan lupa batasan hukum Syariah dan adab susila. Sebelum ini permulaan tentang apa yang ingin diluahkan, “mangsa tagging”, semua orang bercakap tentang keburukan “tagging photos” sehingga terbuka segala aurat n rahsia, hasil kerajinan kawan/lawan. Sila lihat:

FACEBOOK: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa

Sila ke; http://abuumair1.wordpress.com/2010/03/04/facebook-photos-tagging-yang-mengundang-dosa/#more-2486
Dan; http://muzir.wordpress.com/2010/03/05/bahaya-fungsi-tagging-di-facebook/#more-1555


Itu kerja orang, tetapi apa yang lebih mendukacitakan, dan ingin sekali dikongsi dengan saudara/ri semua ialah “pendedahan” hasil buah tangan diri kita sendiri yang tidak segan silu membuka pekong di dada!! Ini reality bukan lagi fantasy, pasti adik-adik ku, kakak-kakak ku, my sisters in Islam, bukan SIS yang itu ye.. mengakulah, apabila tengok buka Fb kekawan yang lama tak tengok pasti ini terjadi…..

1-     Terkejut sungguh bila buka tengok gmbar kekawan (not all, but mostly la..) “Ya Allah, bukankah si A ni dulu begini, tak sangka pula dah bertukar sarung, alamak ni betul ke si B yang bukan main sopan pakaiannya dulu…”

Gambar separa menutup aurat yang tak sepatutnya dipublishkan untuk umum, janganlah dibubuh wahai akhawat!. Mungkin gambar itu sekadar suka-suka semasa bersantai bersama keluarga n rakan terdekat, okay tak terlepas hudud, tapi yang malangnya tangan kita sendiri pula yang “gatal” postkannya di Fb yang boleh menjadi tatapan ribuan bahkan jutaan mata termasuk lelaki yang bukan mahram! Ini bukan lagi tak sengaja n tanpa niat namanya.

Nabi SAW pernah bersabda:

((مَا مِنْ امْرَأَةٍ تَضَعُ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا، إِلا هَتَكَتْ السِّتْرَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ رَبِّهَا))
Ertinya: Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di luar rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya dan Tuhannya” (Riwayat Imam Ahmad, At-Tirmizi; Katanya: “Hadis Hasan”)

2-    Taraf kita sebagai pelajar sekolah agama yang berasaskan pendidikan Islam (terus terang ditujukan kepada semua kawan2ku, adik kakak ex MMP, UIA, juga dari seluruh sek men agama berprestij dari seluruh MSIA (malas nak sebut nama satu persatu), UM dengan Pendidikan Islamnya…..hatta dari Azhar n Jordan, Juga untuk semua saudari Islam, tak kira apa pendidikan (persekolahan) anda, tapi yang penting kamu adalah seorang Islam yang sedar dan tahu hukum-hakamnya. Don’t try to make any excuse…

3-    Zaman sek rendah ada di antara kita yang terawal bertudung pada zaman 70an yang masyarakatnya masih agak jahil dalam bertudung; tak caya tengok dalam foto facebook tu juga, betapa hebatnya transformasi yang berlaku!!

4-    After that sek men, dengan tudung bulat matako dan jersinya, setengahnya berdagu lagi, stokin tebal yang panjang, zaman ni mungkin paling perfect n sempurna pakaian muslimah solehah kita, masya’Allah! Then bila dah masuk univ, agak longgar n mula bertambah ‘Mo-den’ n up-to date, tapi masih terkawal dengan rules n regulations kolej, akhirnya grad n bercareer, anda bebas tapi mungkin tak secanggih today selepas bersuami yang hebat n memahami jiwa yang sama2 inginkan kebebasan n keluar dari label golongan “sek agama” atau ustaz/ustazah!!! Bukan nk suruh masih ber’jersey’ or ber’matako’, tapi yang sewajarnya lah, tepuk dada tanya  iman masing-masing.

5-    Jangan kata suka-suka sahaja sesama FEMALE FRENS, boleh kata semua orang ada kawan FB lelaki yang bukan mahram, tak termasuk lagi, kawan suami, suami kawan dlll….  Astaghfirullahal ‘Azim. Di mana asas ilmu dan iman yang ditanamkan oleh ibu bapa kita sejak kita kecil lagi? Bukan lagi salah ibu bapa yang telah memberikan kita didikan AGAMA sejak dari kecil, tapi salah Fb kot!

6-    Untuk golongan lelaki pula si suami2, tak kira apa career anda sekarang, ustaz/loyar atau apa2 professional, pantaulah anak isteri, bertanggung jawablah dengan amanah yang dipikul… Jangan hanya berdengung: Benda yang kecik2 my wife yang decide, I masalah2 yang besar2 shj putuskan!

Apakah menjaga Syariah Allah itu kecik?
Pakaian, mekap n lifestyle kita n isteri tak perlu diambil tahu n dipedulikan?? Bebas nak pakai apa asal masih “menutup rambut”, aurat yang lain terdedah atau hanya dibungkus sahaja? Sedih hati n sakit mata melihat kekawanku ustzah-ustazah kita (gelaran ini not just by profession ye) berseluar ketat (BAHKAN BER’JEANS’ u!), berbaju ketat n singkat, ber t-shirt lengan pendek, ada yang bungkus tangan dengan ‘setongan’ sahaja, tak kurang juga yang togel begitu sahaja! Fesyen baju tak usah kiralah, mungkin waktu itu bersama keluarga, TETAPI YANG MENYEDIHKANNYA KENAPA SANGGUP MENGAIBKAN DIRI DAN MENJATUHKAN MARUAH diri n Islam DENGAN MEM-PUBLISHNYA UNTUK TATAPAN UMUM, OPEN TO PUBLIC??? JGN KATA TAK TAHU BATASAN N BAGAIMANA PAKAIAN WANITA ISLAM, BATASAN AURAT YANG TELAH DIJELASKAN Allah SWT?

7-   Okaylah untuk si suami kekawanku yang tiada asas pendididikan agama, kononnya (sebenarnya asas agama semua dah ada, alhmdulillah semua Islam dan tahu hukum). Bukankah kamu berkenan n jatuh hati kepada si dia itu kerana tudungnya dulu, kerana sopannya pakaian muslimahnya? Berkenan untuk dijadikan suri membimbing anak2 n diri, membina keluarga mukmin?? Tetapi sekarang nampaknya semua dah sama2 hanyut dalam arus modenisasi n globalisasi, bukan lagi yang mempunyai basic agama memberi kesan positif kepada pasangannya tetapi seolah-olah sebaliknya….

Ingatlah: maksud hadis: Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya tentang org2 di bawah jagaannya. Isteri dan keluarga adalah di bawah tangungjawab suami!!! Mustahil tak tahu hukum kalau dah Melayu n Islam sejak lahir. Muallaf pun tahu n di ajar semuanya sekarang ni. Kalau tak tahu, belajarlah…

8-     Wallahi, rasa nak ‘teriyak’ tengok gambr dulu n kini, tak rasa malu pula bubuh gambar zaman sek rendah n men yang begitu sopan, lepas tu gambar terkini yang WOW!!! Faham-faham sendirilah… mungkin kalian bangga n megah dengan transformasi itu, tapi pada hakikatnya ia adalah sesuatu yang merendahkan taraf n diri sendiri.

9-  Lepas ni moga boleh cek gmbar masing2, mana2 yang rasa tak lulus guidelines Syariah, silalah buang n simpan untuk tatapan n kenangan peribadi. Jangan gambar aje, ubahlah penampilan n pakaian kita, tak kira apa saja anda sekarang, kalau ustazah lebih2 lagi, kalau bukan ustazah by profession atau sijil pun, by nature n basically kita semua ni boleh dikatakan ustazah, ayah2 kita kebanyakannya, ustaz2, tok2 imam, tok2 lebai dan yang sejenis dengan nya.

10-   Juga jangan kita terlalu ghairah, memuatkan semua foto2, apa saja aktivti hidup dishare umum, ingatlah fb inipun namanya “Laman Sosial”, kita bukan lagi remaja belasan tahun yang masih belum jelas halatuju hidupnya, usia kita ini dh nak masuk group warga …. Pun.

11-      Maaflah jika terasa, memang nak suruh muhasabah pun, bukan juga merasakan diri ini lebih baik n sempurna, tetapi sebagai peringatan untuk diri sendiri juga agar sentiasa lebih-lebih berhati dan tidak melangkaui batasan yang telah ditetapkan-NYA!

Akhirnya, ingatlah firman Allah yang bermaksud:

“Dan apakah kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan?” [Fathir: 37].

Sebahagian ahli tafsir mengatakan panjang umur itu ialah apabila telah sampai “40 tahun”, manakala tanda peringatan itu pula ialah “uban”.  Wallahu a’lam.

Disalin dari: 29 Mac, 2010  |  Written by Abu Anas Madani  |  under Artikel - Makalah

Jatuh Cinta Lagi

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salam dinihari.

Alhamdulillah setelah seharian, masuk jam 11.59 malam barulah kakchik boleh mula menaip sesuatu di sini. Hari ini adalah satu hari yang sangat sibuk hinggakan kakchik tiada masa untuk mengemaskini blog. Bila dah ada idea, tak dapat pulak nak mengarang. Otak sudah tepu.

Tapi kan, malam ni kakchik nak bercerita pasal CINTA.

Bukan cinta luar biasa tapi cinta pada ABAYA, hehe. Cik Abe itu cinta hati yang suci murni tapi yang ini cinta kerana ianya menutupi aurat kakchik.

Hari ni sebahagian dari jadual kakchik selepas waktu kerja ialah mencari abaya-abaya rekaan terbaru yang modest tapi elegan untuk dipasarkan di ABAYA ELEGAN. Pencarian kakchik sangat lama kerana kakchik punya beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dalam memilih abaya.

Nak tahu apa kriterianya?

Ok, kalau taknak tahu pun tak kisah la kan sebab kakchik tetap nak tulis juga. Manalah tahu ada yang berminat dan turut JATUH CINTA hehe.

Kriterianya macam ni:

  • warna mesti hitam
  • harga tidak lebih RM300
  • hiasannya tidak sarat
  • potongannya ringkas tapi elegan
  • dari bahan yang tidak panas, tidak jarang, lembut, jatuh terletak
  • tiada bentuk badan, straight cut

Dalam mencari-cari tu kakchik telah FELL IN LOVE AT FIRST SIGHT dengan abaya di sebelah tu. Cantik kan? Teringat bulan depan dah nak BIRTHDAY kakchik. Apa salahnya beli hadiah untuk diri sendiri kan? Cek duit, bajet buku ada lebih sebab dah dua bulan tak beli buku baru, kakchik buat keputusan nak guna separuh dari bajet tu untuk beli abaya itu. "Buku, jangan marah no... insyaAllah bulan depan kakchik beli ya."

InsyaAllah bayaran sudah dibuat dan kata penjualnya (junior di USM) abaya akan sampai hujung bulan April. Boleh la... asalkan sampai ke tangan kakchik dan dapatlah kakchik pakai abaya baru gi dating mana-mana dengan cik abe. Tentu seronok.

Hingga itu, kenalah bersabar menanti ia sampai.

28.3.10

Jamuan Sup Belut

Assalamualaikum dan salam sejahtera sekali lagi untuk hari ini.

Malam ni kakchik bersiaran dari teratak Sri Aman, Limbongan, Pasir Puteh. Sekali lagi menemankan cik abe menjalankan tugasnya. Hehe semenjak dua menjak ni kakchik asyik mengekori cik abe aje kan. Entah macamana boleh jadi macam tu kakchik pun tidak pernah merancang. Semuanya dengan takdir Allah jua.

Sumber imej di sini.

Baru sebentar tadi kami dijamu nasi berlaukkan sup belut, telur dadar dan tembikai, hidangan ringkas tapi cukup enak dan mengenyangkan sekali. Kakchik tak makan nasi sebab sebelum Maghrib tadi sudah makan nasi kerabu jadi perut masih kenyang. Tapi... kakchik dipujuk agar mencuba sup belut. Huhu, tak pernah makan lagi sup belut ni. Bukan apa... belut ni semua tau kan bagaimana fizikalnya.

Naluri advencer kakchik memujuk agar kakchik mencubanya. Kakchik cuma ambil semangkuk kecil dengan 4 ketulan daging belut potongan sebesar telur puyuh. Mula-mula baca bismillah, hirup kuahnya, mmm.... sedap lepas tu baru beranikan diri untuk makan daging belutnya. Buat tak tahu sajalah dengan warna kulitnya yang hitam berkilat tu.

Alhamdulillah... takde apa-apa yang pelik melainkan rasanya yang agak sedap. Boleh tahan juga sup belut ni. Patutlah ramai orang yang menggemarinya. Untuk makan lagi mungkin kakchik kena tunggu lama sikit hehe. Sedap memang la sedap... tapi ada tapinya tu... biarlah rahsia hehe.

Gambar-gambar ada kakchik ambil beberapa keping, sayangnya terlupa bawa card reader, jadi tak boleh nak upload ke sini. Kakchik pinjam gambar dari google la dulu. Nanti balik rumah kakchik ganti dengan gambar sendiri.

Ok, hingga jumpa lagi, mohon diizinkan Allah dipanjangkan umur untuk meneruskan perjuangan di esok hari. Wassalam.

Entri Terakhir Pasal Jomheboh Kelantan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Selamat bertemu kembali di hari Ahad yang cerah, ceria dan panas ini. Tapi kakchik tak rasa panas sangat sebab duduk dalam bilik hawa dingin hehe. Apa khabar teman-teman semua hari ni? Semoga hari ini kita semua dapat mengisi masa yang ada dengan lebih banyak aktiviti bermanfaat untuk iman dan diri kita. Jangan asyik membuang masa sebab tiada PAHALA yang dapat malah jadi SIA-SIA atau DOSA pula.

Baiklah, sebagaimana tajuk kat atas tu, buat terakhir kalinya kakchik akan menulis pasal Jomheboh kat blog Keluargaku Sayang ni. Maklum... ia sudah pun tamat malam tadi dan kita punya banyak lagi aktiviti yang menarik untuk dikongsikan di sini, lebih berfaedah dan membangun minda dan iman, insyaAllah.

Jadi, malam tadi nak tak nak kakchik terpaksa temankan cik abe ke stadium negeri untuk membuat liputan Konsert Jomheboh. Sepanjang hayat ini, pergi konsert sebegini adalah kali pertama dan tidak pernah pun teringin nak pergi. Kerana tugas, kakchik sampai juga di dalam stadium selepas berhempas berhimpit di pintu masuk stadium.

Balik dari kerja dan singgah di MariBaca sudah pun jam 6 lebih. Cik Abe kata baik mandi cepat sebab kami nak turun dari rumah sebelum Maghrib dan akan singgah solat Maghrib di mana-mana masjid dalam perjalanan nanti. Tak sempat nak makan malam, kami berdua sudah keluar dari rumah dan memulakan perjalanan meredah kenderaan yang semakin berpusu menuju ke pusat bandar. Alhamdulillah sedang elok sampai di Jln. Paya Rambai, waktu Maghrib masuk dan kami singgah solat di masjid ini.

Usai solat kami terus ke stadium melalui Jln. Dusun Muda - Jln Pengkalan Chepa - Jln Mahmud dan minta dengan polis trafik untuk masuk melalui Kamdar menuju ke Klinik Pergigian Besar. Alhamdulillah, dengan tiket wartawan BBCKelantan.com kami dibenarkan masuk melalui jalan yang ditutup dan dapat parking depan HSL Electrics. Jalan kaki tidaklah jauh sangat.

Sekitar simpang empat depan Klinik Pergigian Besar penuh sesak dengan deretan kereta dan motorsikal. Cik Abe sempat merakamkan suasana di situ. Ramainya anak muda tak usah nak cerita. Macam-macam gaya penampilan, akhlak dan bahasa. Memang hiburan terlalu dekat dengan jiwa orang muda, tak dapat nak dinafikan. Cuma bentuk hiburannya saja yang masih perlukan perubahan.

Kami redah ombak manusia mencari pintu masuk khas untuk KELUARGA selepas dua pintu yang kami jumpa ialah untuk WANITA SAHAJA. Kakchik tak mahu terpisah dari cik abe sebab nanti susah pula nak buat liputan dan ambil gambar. MashaAllah... kakchik tak tahulah macamana ibu bapa sanggup membawa anak-anak kecil, bayi terutamanya dan atuk nenek yang sudah tua ke konsert malam tadi. Berhimpitan mencari ruang untuk menerobos pintu masuk. Cik abe peluk dan pegang kuat-kuat sebab kakchik pun tak mahu terlanggar ajnabi. Kena pandai cari tempat yang ramai kaum ibu kalau tidak...

Budak-budak muda pula sengaja-sengaja menolak orang. Jenis yang tak tahu akhlak. Kesian makcik-makcik dengan anak-anak kecil ditolak diorang. Memang di program begitu, golongan yang tengah jiwa panas itulah yang suka sangat datang. Terpaksa... terpaksa... sabar dan mohon Allah cepat buka jalan untuk masuk ke dalam dengan selamat.

Selamat sampai di dalam terus cari jalan untuk ke stage utama. Polis yang jaga pagar izinkan kami masuk, lega. Barulah dapat ambil gambar dengan lebih mudah dan dekat tanpa gangguan penonton. Tak sempat pun nak pay attention kat orang di pentas sebab sibuk nak memantau penonton dan persekitarannya. Kakchik berdiri berhampiran sekumpulan FRU yang setengahnya begitu asyik menonton artis di pentas.

Inilah hasil berada di sekitar pentas malam tadi.
Cik Abe bersama Jamal Abdillah dan Jay Jay

Megat Nordin, pendikir dan Cik Abe jumpa kawan lamanya di Nilam Puri, Yasin Sulaiman

Kakchik hanya bergambar dengan isteri Jay Jay. Peramah orangnya.

Cik Abe bersama Raihan, memang ramah-tamah terutama Che Am.

Boleh ucap tahniah la sebab TV3 berjaya mematuhi syarat Kerajaan Negeri semasa menganjurkan konsert. Pintu masuk berasingan, tempat duduk berasingan, tiada artis wanita, petugas dan kakitangan tak disuruh bertudung tapi semua pakat pakai tudung walau nipis berbayang :) , artis lelaki yang nyanyi semuanya senonoh, penonton pun berdisiplin dan menepati masa yang diberikan. Tahniah!
bahagian penonton wanita

bahagian penonton lelaki

ini yang memisahkan mereka

Selepas tamat konsert jam 11 malam, ada acara bunga api yang cantik. Terkejut kakchik dibuatnya, sebab bunga api terlalu dekat dengan tempat kakchik berdiri di tepi stage. Kalau nak lihat rakaman videonya, ada di facebook. Kakchik gagal upload ke youtube.

Untuk membenarkan sesebuah badan penganjur membuat program sebegini di Kelantan bukanlah mudah kerana Kerajaan PAS Kelantan sebaiknya cuba untuk memastikan iman rakyatnya terpelihara walaupun rakyat sendiri ada yang tak tahu dan tak mahu. Tapi tanggungjawab memimpin ini berat, sebab di akhirat hisabnya lebih susah berbanding rakyat. Makanya, kesanggupan TV3 selaku penganjur untuk mematuhi Akta Kawalan Hiburan, amatlah kita hargai. Berlangsunglah Jom Heboh Edisi Kelantan...

Bagi kakchik, sekali-sekala ada program begini boleh la... asalkan sentiasa dipantau dan dikawal agar tidak melanggar batas syarak dan sebaik-baiknya mencapai matlamat dakwah. Orang boleh buat pelbagai spekulasi terutama bagi yang prejudis terhadap parti politik Islam yang memerintah. Tapi bagi kita yang berada di medan, hanya kita dan Allah saja yang tahu sejauh mana keikhlasan perjuangan ini, sejauh mana keikhlasan Membangun Bersama Islam itu. Kita sudah cuba yang termampu untuk membawa rakyat ke arah kebaikan Islam, cara hidup Islam, berpakaian Islam, berakhlak Islam. TAPI kita kena ingat HIDAYAH dan PETUNJUK adalah kerja ALLAH, kerja kita berkerja untuk sebarkan Islam. Ada kuasa kita guna sebaik-baiknya untuk Islam.

Dengan itu laporan Jom Heboh tamat di sini.

Konsert Jom Heboh di Kelantan cipta sejarah

Konsert Jom Heboh di Kelantan cipta sejarah
Posted by admin on March 28th, 2010

Pagar yang memisahkan antara penonton lelaki (kanan) dan wanita (kiri).

KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan oleh artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Konsert Jom Heboh di Kota Bharu berjaya mengasingkan antara penonton lelaki dan wanita serta pasangan berkeluarga.

Sebahagian penonton wanita yang memenuhi Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh TV3.


Sumber berita: BBCKelantan.com

27.3.10

Template Baru Lagi

Assalamualaikum dan salam petang semua.

Hari ni kakchik bereksperimen dengan template baru lagi menjadikan ini kali ke-4 kakchik menukar template untuk tahun ini.

Jadi janganlah terkejut kalau beberapa hari lagi akan bertukar lagi. Semuanya gara-gara kakchik tak puas hati dengan presentation blog sedia ada.

Entah bila nak jumpa template yang betul-betul puas hati. Paling tidak pun yang memenuhi hampir 80% ke atas permintaan kakchik.

Jadi, buat sementara ni kakchik akan guna templeta yang ini dulu.

Kalian bersabar ajelah dengan kerenah kakchik.

Sekarang ni terlalu banyak pilihan template blog yang percuma. Itu yang susah nak buat keputusan muktamad tu.

Jadi, setakat ini beradaptasilah dengan yang ini.

Jom Heboh Edisi Kelantan dari kacamata kakchik

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Semoga hari ini kita semua sama-sama dapat meningkatkan amalan kebaikan kita dan mengurangkan perbuatan yang buruk, sia-sia dan tidak berfaedah.

Alhamdulillah, sekarang ni kakchik menulis dari meja di pejabat kakchik di Zahra'. Hari ni macam biasa, hari bekerja untuk kami warga Perpustakaan Awam Dar Nur al-Zahra', KB. Ini waktu minum pagi kakchik selepas menggantikan CikMat bertugas di Kaunter selama 2 jam. CikMat kena EL hari ni sebab ibu mertuanya dimasukkan ke hospital kerana komplikasi saluran darahnya. Kesian Mak CikMat. Dah la diri tua dan uzur, badannya tak dapat nak betul-betul berehat, asyik kena bedah sana-sini. Semoga Allah mengurangkan kesakitan yang beliau tanggung.

Baiklah, hari ni kakchik nak ceritakan pengalaman ke Jom Heboh semalam. Tentu ramai yang tertunggu-tunggu apa cerita kakchik berkenaan program yang begitu glamor tapi belum pernah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri sebelum ni. Macam-macam spekulasi yang orang buat atas tindakan Kerajaan Negeri kali ini. Tapi rajin-rajinlah membaca kenapa Jomheboh TV3 boleh dilangsungkan di KB. Dalam blog kakchik inipun ada kakchik tuliskan sebab-sebabnya sebelum ini.

Kakchik ingat malam tadi nak cepat kemaskini blog dengan cerita ini tapi bila sampai rumah, badan dah terlalu letih jadi kakchik tangguh ke hari ini. Sebelum nak cerita panjang, kakchik kongsikan gambar-gambar ini dulu. Tanpa sebarang edit dan hampir semua gambar yang kakchik ambil sendiri ini kakchik kongsikan di sini kecuali gambar-gambar yang nampak double atau kesan gegaran tangan. Jom, tengok gambar dulu.

Jalan sesak teruk bermula di Berek 12 (Jln Hospital), kalau ikut laluan dari rumah kakchik.
Polis trafik agak ramai tapi mereka pun macam dah tak boleh nak buat apa.


Antara khemah-khemah syarikat yang mengambil bahagian.
Kakchik tak masuk dekatlah sebab terlalu sesak. Selesai ambil gambar terus belah.


Beribu-ribu manusia di segenap ceruk ruang Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Sempat jumpa Ust. Fauzi (Al-Kuliyyah) di Kota Ilmu selepas siaran langsung al-Kuliyyah.
Di sinilah tempat solat terbuka dan selesa disediakan penganjur selepas menerima syarat Kerajaan Negeri.

Selepas Isyak pula kakchik ke Padang Perdana berhadapan Stadium untuk membuat liputan perlawanan bolasepak persahabatan antara VVIP Kelantan vs Team TV3. VVIP Kelantan berjersi kuning dan Team TV3 jersi putih. Semasa rehat separuh masa pertama, pengadil tu datang letak bola betul-betul depan kakchik.

Pandangan kakchik:

1. Program ini berjaya bagi pihak TV3 kerana beribu-ribu orang yang berkunjung ke gerai-gerai yang ada. Tapi sayangnya orang terlalu ramai, sukar untuk dikawal sama ada dari segi percampuran (segala macam orang boleh dilihat), dan kebersihan (sampah dibuang sesuka hati di merata-rata tempat).

2. Penyediaan tempat solat terbuka adalah satu langkah yang bagus kerana semua tempat solat yang ada di sekitar Stadium penuh membuak-buak. Kakchik sempat melihat solat berjemaah Maghrib diimamkan oleh Uzt. Roslan (TV3) kalau tak silap selepas beliau memberikan tazkirah di Kota Ilmu. Cik Abe pun turut sama bersolat jemaah di situ. Untung orang lelaki sebab mereka senang nak mengambil wudhu' di belakang khemah sedangkan kami orang perempuan kena menggunakan bilik air di Medan Usahawan dan di suraunya yang padat dengan manusia. Mungkin tempat solat kena besarkan lagi dan tempat wudhu' khas untuk wanita yang bertutup perlu diadakan juga.

3. Program ini memang meriah bagi mereka yang sukakan hiburan dan keseronokan. Ramai orang datang dengan keluarga - kakchik rasa paling ramai datang sekeluarga sebab ini pengalaman baru. Lebih kepada nak melihat-lihat tak kurang juga berebut-rebut membeli barangan di dalam shopping bag berharga RM10. Masa lalu kat depan khemah Mamee, siap ada jurujual tunggu kat bawah pokok. Dia kata, "kak, beli dengan saya pun sama jugak kak. Kalau nak masuk bawah khemah orang ramai kak..." tapi kakchik ucap terima kasih je sebab kakchik bukan ke sana untuk shopping :)

4. Banyak lagi kerja kami untuk mendidik soal aurat di kalangan kaum wanita Islam. Sungguh ramai yang bertudung, muda atau tua tapi masih ramai juga yang belum lengkap menutup aurat. Dugaan sungguh untuk usaha-usaha kami mendidik kaum sejenis ni. Insyaallah kita akan terus berusaha, yang memberi kesedaran hanyalah Allah. Jangan kita putus asa sudahlah.

5. Kakchik tak nampak seorang pun artis, mungkin sebab kakchik langsung tak masuk dekat ke dalam khemah-khemah yang ada. Huhu tak sanggup nak berselisih badan dengan segala jenis orang lelaki mahupun perempuan. Kerana tugas, kakchik ke sana untuk memantau dan membuat penilaian. Setakat yang kakchik dengar, malam tadi ada juga artis yang buat persembahan tapi semuanya lelaki. Katanya malam ini ada konsert dan artis-artisnya semua lelaki. Selama inipun kalau konsert terbuka hanya artis lelaki yang dibenarkan. Lagu-lagu pun ditapis.

6. Semalam kakchik tak betul-betul buat penilaian sebaiknya. Insyaallah jika tiada aral hari ni kakchik akan ke bandar untuk urusan lain tapi mungkin boleh singgah sebentar untuk buat pemerhatian lebih terperinci. Mana tau kot dapat jumpa artis-artis kegemaran ramai, boleh kakchik ambil gambar mereka untuk tatapan di sini.

Malam tadi di Padang Perdana.

Hingga itu, jumpa lagi.

Kuliah Jumaat 26 Mac 2010.

bersama Ustaz Hj. Ismail Noh untuk sesi pertama kemudian Tok Guru untuk sesi kedua. Hanya sempat ambil gambar Ustaz Hj. Ismail Noh tapi gambar Tok Guru tak dapat diambil sebab pandangan kakchik dihalang oleh orang yang ramai.


InsyaAllah kalau cik abe sempat editkan video kuliah kakchik akan upload ke sini.

26.3.10

Berjaya dapat RM20 untuk Advertorial Nuffnang

Assalamualaikum dan salam Jumaat yang mulia untuk semua.

Alhamdulillah hari ini kita bersyukur sebab masih lagi diizinkan Allah SWT untuk menghirup udaraNya di muka bumi ini. Kakchik doakan teman-teman berada dalam keadaan sihat sejahtera dan hari ini walau mungkin cuaca akan panas seperti beberapa hari yang lalu, kita semua masih dapat menunaikan tanggungjawab kita terhadap diri, keluarga, masyarakat dan agama terutamanya dengan sebaik yang mampu.

Insyaallah sebentar lagi kakchik dan cik abe akan ke kuliah Jumaat di pusat bandar. Seperti biasa kalau kakchik tiada kelas di OUM kakchik akan bersama cik abe ke sana. Sebenarnya ada kawan baik yang mengajak kakchik membuka gerai sempena Hari Terbuka Kolej Teknologi Darulnaim di Pengkalan Chepa tapi atas sebab tertentu kakchik terpaksa menarik diri walaupun awalnya kakchik bersetuju. Alhamdulillah kawan baik memaafkan kakchik.

Dan sekadar perkongsian ringkas pagi ni, kakchik nak kongsikan berita ini:

Klik untuk besarkan.

Tak sangka penyertaan kakchik di saat akhir juga diterima oleh Nuffnang. Advertorial untuk Instant Cash ini kakchik buat di dalam KakChik's Wardrobe. Sebab tajuknya sesuai dengan jiwa maka kakchik pun cubalah. Kalau nak tengok, sila klik KakChik's Wardrobe. Terima kasih kerana Nuffnang mengotakan janji. Nampaknya bertambah RM20 dalam earnings kakchik. Alhamdulillah... sambil tulis blog ada juga elaunnya.

OK, itu saja untuk pagi ni. Oh, kalau sempat lepas habis kuliah kakchik akan cuba curi peluang jengok tapak Jom Heboh Edisi Kelantan sebab hari ni sudah bermula.

Wassalam.

25.3.10

Pengalaman Berharga 2 Hari 2 Malam

Assalamualaikum dan salam sayang kepada semua teman-teman blogger yang diingati.
Terasa agak lama kakchik tidak benar-benar kembali bersiaran di blog sendiri. Rindu pada blog dan juga pada kalian yang setiap hari mewarnai sebahagian dari kehidupan kakchik.

Pagi Isnin 22 Mac, bergambar bersama suami di hadapan sebuah masjid di Gombak sebelum bersarapan. Lupa nak tengok namanya.

Selepas sehari pulang dari suasana yang serius tapi menyeronokkan, kakchik jadi agak kaku untuk menulis seperti biasa di blog ini. Memang terasa sedikit kesukaran bila bertukar angin dari penulisan santai kepada penulisan yang agak serius. Sepanjang berada di KL kerja-kerja yang kakchik lakukan di samping cik abe adalah berbentuk serius jadi intonasi bahasa pun susah sikit nak balik kepada kebiasaan. Harap teman-teman semua tidak rasa sangat. Kakchik lebih sukakan pemulisan yang santai, lebih dekat dengan jiwa kakchik.

Kakchik di luar dewan persidangan.

Banyak rakaman gambar sepanjang kakchik bermusafir ke KL tapi tak semuanya ada dengan kakchik. Ini kerana tukang ambik gambarnya ada 2 orang lagi selain kakchik sendiri. Jadi ada banyak juga gambar kakchik yang ada dalam kamera mereka. Ingin sekali nak melihat semuanya dan memilih yang mana sesuai dengan cerita kakchik untuk diletakkan di sini.

Kami berdua sama-sama jadi wartawan untuk BBCKelantan.com. Kakchik cuma bidan terjun.

Sambil-sambil bermusafir ni kakchik dan cik abe sempatlah juga mengutip kenangan indah bersama ala-ala bulan madu gitu tapi kerana pemergian kami kerana tugas maka tugaslah yang lebih utama. Sebab itu kakchik tak berpeluang pun untuk ke PWTC melihat pesta buku. Tidak mengapalah. InsyaAllah jika panjang umur murah rezeki, tahun depan boleh ke sana lagi.

Cik Abe sedang membaca suratkhabar sambil menanti kedatangan MP ke Bilik Pembangkang.

Melalui musafir ini kakchik merasakan diri cik abe memang hebat. Sebelum kakchik rasa dia berkaliber. Melihat dia bekerja bersungguh-sungguh dalam pakaian yang segak, terasa ada satu aura tersendiri. Mungkin ujian yang Allah timpakan sebelum ini telah membawa cik abe ke kedudukan sekarang. Kakchik rasa bangga punya seorang suami yang hebat dalam membuat kerja-kerja untuk memudahkan mesej Islam sampai kepada masyarakat. Semoga PROnya juga semakin bagus untuk masa depan kami bersama yang lebih baik. Pejuang Islam PRO kena bagus kan.

YB Cikgu Din (berkot) bersama sahabatnya yang menumpangkan kami bermalam, Tn. Hj. Mukarram.

Perjalanan ini juga membuat kakchik lebih mengenali salah seorang pemimpin masyarakat yang begitu bersungguh-sungguh dalam usahanya menyampaikan misi dakwah Islam. Lebih-lebih lagi beliau ialah seorang wakil rakyat. Dari penilaian kakchik yang dalam tempoh yang pendek cuma, kakchik yakin perjuangan beliau ikhlas untuk melihat Islam dijadikan cara hidup. Semoga pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain juga adalah seperti beliau. Kakchik dapat melihat keserasian bekerja antara beliau dan cik abe. Semoga mereka boleh jadi satu team yang bagus.

Bangunan Parlimen di awal pagi. Gambar diambil dari tempat parking tetamu.

Memasuki Parlimen dan menjadi perhatian kerana perbezaan penampilan diri, adalah juga satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Kakchik ingatkan akan timbul masalah kerana sebelum ini ada muslimah berpurdah telah dihalang memasukinya tapi YB Cikgu memberi keyakinan, insyaallah kakchik akan lepas. Alhamdulillah... memang dapat masuk tanpa sebarang halangan hanya dengan meninggalkan IC dan mengambil Pas Khas. Dapatlah melihat suasana di dalam bangunan Parlimen. Wartawan yang ramai, berkeliaran di bahagian ruang lobi memenuhi kerusi-kerusi yang ada, menanti Menteri masuk, mengambil gambar atau video, menemuramah MP2 yang hangat bersuara di dalam dewan. Begitu rupanya...

Bertemu YB Nurul Izzah yang lawa, tinggi dan peramah di kaunter pendaftaran masuk.

Sekelilingnya sangat cantik juga. Ada air pancut dan kolam yang menyegarkan tapi sayangnya kakchik tak sempat pun nak ambil gambar sebab selalu rushing je. Dan ramainya orang Kelantan yang bekerja di sana. Jumpa di kaunter pendaftaran, pengawal keselamatannya, jumpa staf dari Putrajaya di dalam suaru, orang Tumpat bekerja di Kementerian Dalam Negeri, jumpa semasa menunggu lif untuk ke tigkat 14. Tak sangka pulak. Ramah mesra seperti di negeri sendiri.

Dari bilik hotel di tingkat 14, pemandangan pagi Kuala Lumpur.

Melalui pengalaman ini, kakchik rasa macam diri lebih yakin dengan apa yang kakchik perjuangkan selama ini. Semoga Allah bantu kakchik, cik abe dan semua insan yang berusaha untuk meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya. 

Balik ke rumah dengan minda yang lebih cekal tambah-tambah gembira melihat ahli keluarga semuanya sihat sejahtera. Terasa ada satu perasaan yang membuak-buak di dalam dada untuk Islam.

Salam sayang, kakchik.
Related Posts with Thumbnails