Followers

28.8.09

JOM BUKA PUASA!

Waktu berbuka pun dah tak lama kan... masing-masing mungkin dah sibuk di dapur tu. Jom kita bersiap untuk hidangan buka puasa petang ni.


Kita ada BUTIR NANGKA - mmmm sedapnya. SABAR.


Kita juga ada CENDOL BANDUNG - yang ni paling mudah disediakan dan kakchik paling suka.


Yang ini pula PULUT SERAWA - kegemaran ayahanda.

Sebenarnya semua hidangan ni ialah hidangan berbuka beberapa hari yang lepas tapi kakchik tak sempat nak masukkan di sini sebab hal-hal lain.

Untuk hari ni kami berbuka dengan BUBUR KACANG dimakan dengan ROTI. Ringkas sahaja kan. Cukuplah untuk hilangkan lapar dan nak bagi ringan badan untuk berterawikh nanti.

SELAMAT BERBUKA SEMUA!

Dah selesai sahur tadi

Salam subuh kepada semua teman-teman dan tetamu KeluargakuSayang. Kakchik nak cepat ni sebab nak solat subuh pula kejap lagi. Hanya nak kongsikan menu sahur kami. Biasa-biasa je.


Hidangan penuh.


Sambal mangga muda dan sate perut.


Gulai ikan tenggiri dan ayam goreng. (gambar jadi senget)

Selamat berpuasa hari ke 7.

27.8.09

Selamat hari ulang tahun ke-5 Kakak!

Semalam 26 Ogos ialah ulang tahun kelahiran Kakak (Raja Amierah Nabihah Raja Amizan) yang ke-5. Dah 5 tahun rupanya anak sedara Chikja ni ya. Cepat sungguh masa berlalu dan dari merah-merah Kakak lahir di hospital dulu hingga dah besar dan cerdik sekarang ni, Chikja dan Ayah Wae menumpang mencurah kasih-sayang kepada Kakak dan adik-adik.

Kakak dengan kek hadiah Ibu dan Abah untuk meraikan ulang tahunnya semalam, 26 Ogos 2009. Semoga Kakak terus membesar menjadi anak yang solehah, cerdik dan bertanggungjawab kepada ibu bapa, keluarga, agama, masyarakat dan negara.


Kek coklat kegemaran Kakak dan adik-adiknya.


Tiada majlis pun cukup dengan membeli sebiji kek dan dimakan bersama ahli keluarga semasa berbuka semalam.


Gembira sekali Kakak melihat kek yang Ibunya belikan. Nana pun memang tak sabar nak tumpang makan kek Kakak tu.

Chikja dah bagi hadiah buku semalam kan, jadi... cukup;ah ya.

Bahasa meluahkan rasa

Assalamualaikum dan salam Ramadhan untuk semua teman-teman KeluargakuSayang.

Terima kasih banyak kepada yang telah sudi singgah dan membaca kisah dan pengalaman hidup kakchik sama ada yang manis, masam, masin mahu pun pahit.

Sekiranya menyalahi kehendak kalian kakchik MOHON MAAF banyak-banyak.

Kakchik cuma insan biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan atau kesalahan.

Kadang-kadang bahasa yang kakchik guna juga kasar bagi menggambarkan apa yang kakchik rasai berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Kakchik perlu meluahkan, di sini lebih baik daripada kakchik lepaskan kepada orang-orang tertentu, bimbang bahasa yang keluar dari mulut akan lebih pedas dan kasar dari bahasa tulisan di sini.

MAAFkan kakchik.

Sebab itu kakchik mahupun ahli keluarga yang lain lebih suka berterus-terang dengan Ummi dan Ayah jika kami menghadapi masalah yang besar dengan orang lain yang membabitkan urusan penting keluarga kami.

Ayah terutamanya adalah insan yang paling tenang bicaranya walaupun di kala marahnya memuncak.

Selepas masalah itu kami terus-terang dengan kedua orang tersayang yang kami hormati, kakchik nampak cik abe lebih lega dan tenang walaupun beberapa kali ada genangan air mata bila dia melihat nota-nota pelajaran dan gambar-gambar kenangan.

Kakchik tahu tulisan kakchik sebelum ini boleh ditafsirkan macam-macam oleh orang yang membacanya. Selepas sehari barulah cik abe membacanya dan ada beberapa patah perkataan yang dia tidak suka kakchik gunakan tapi kakchik minta dia izinkan sebab di saat kakchik menulis itu begitulah apa yang dilalui oleh kakchik sebagai isterinya.

Maafkan kakchik sekali lagi.

25.8.09

BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL

Assalamualaikum dan salam terawikh untuk para pengunjung KeluargakuSayang.

Hari ini kakchik alami satu peristiwa yang sangat pahit akibat perilaku manusia-manusia keji yang bertopengkan agama. Sebak dalam dada hanya Allah Yang Maha Tahu tapi kakchik gagahkan hati menahan getaran ammarah kerana ini BULAN RAMADHAN.


terasa ada petir dan kilat di dalam hati

Manusia-manusia keji yang TIADA ETIKA dalam bekerja. Mengambil tindakan TANPA BUDI-BICARA mahupun USUL PERIKSA. Perbuatan yang sukar sekali untuk dimaafkan kerana TERLALU TIDAK BERETIKA dilakukan di dalam bulan yang mulia.

Kakchik tahu betapa seorang insan itu begitu bertungkus-lumus memenuhi amanah mendidik yang dipikulnya hinggakan diri susut, demi membentuk anak-anak agar 'menjadi orang'. Apa yang diDENGKI mereka sebenarnya? Bukankah bagus kalau dia dapat membina satu ukhuwwah yang baik di antara pendidik dengan muridnya? Demi sebuah perjuangan menuju matlamat yang akhir? Jangan KAMU tidak tahu yang kakchik ini MENGAMBIL TAHU dan akan SENTIASA MENGAMBIL TAHU segala urusannya di situ kerana kakchik ingat, sebagai INSAN TERHAMPIR kakchik akan cuba memastikan dia tidak lari dari batas-batas ALLAH dan matlamat sebenar urusannya di situ.

Tapi manusia-manusia BERHATI DAN BERMATA BUTA memang tidak profesional langsung dalam bekerja, patutlah... patutlah... TERJADI APA YANG TERJADI sebelum ini. Kita yang bersangka baik selama ini, dengan lapang dada membantu semampu boleh, tapi IBARAT MENOLONG ANJING YANG TERSEPIT, KACANG LUPAKAN KULIT. Dari rasa suka, kalian telah menimbulkan RASA BENCI di hati ini. Walau kakchik cuba tangkis dari ianya menular di dalam diri kerana kakchik tahu, ia sifat MAZMUMAH dan ini BULAN RAMADHAN. Tapi ia sedang membara di saat ini.

Sungguh TIDAK BERTANGGUNGJAWAB sekali!

Terasa ingin kuteriakkan sekuat hati, BETAPA RUGINYA KALIAN KERANA TELAH MENOLAK SEORANG INSAN YANG BERDEDIKASI. MAAF, kami tidak ingin kembali! PADAN MUKA kalian semua. Mungkin hari ini kalian ketawa gembira tapi tunggulah hari dan saatnya kalian pasti MENYESAL.

--------------------------------------------------

UNTUK INSAN TERSAYANG,

Sabarlah Sayangku. Allah bersama orang-orang yang benar dan Allah bersama orang-orang yang sabar. Berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing. Bila kita sama-sama jujur, insyaallah hati kita akan bertaut dengan kukuh. Dan bila ALLAH satu-satunya pergantungan kita, insyaallah KITA KUAT.


Semoga segala doa dari sujud qiammu setiap malam dan luruhnya air mata tulusmu selama ini akan memberimu ketenangan di saat dirimu dizalimi. Aku akan berdoa agar ALLAH ambil kira di kemudian hari. Sabarlah Sayangku.

24.8.09

SELAMAT BERBUKA

Assalamualaikum dan salam petang Ramadhan untuk semua teman-teman di mana saja berada. Sekarang ni dah jam 6.34 petang dan kakchik rasa masing-masing yang di Malaysia ni sedang bersiap-sedia untuk berbuka puasa tak lama lagi.

Masak apa ya hari ni? Tentu banyak yang sedap-sedap ni. Kalau tak masak tentu membeli-belah di pasar Ramadhan kan? Kakchik setakat ni tak singgah di mana-mana pasar Ramadhan lagi sebab takde keperluan sangat. Tengoklah kalau ada keinginan nanti, mungkin bukan untuk membeli lauk-pauk atau kuih-muih tapi sekadar untuk melihat-lihat suasana di sana. Kalau kakchik ambil gambar, bolehlah kakchik kongsikan di sini untuk tatapan semua suasana sambutan Ramadhan di KB.


Pemanis mulut untuk berbuka hari ni, cendol, santan dan gula melaka.

Hari ni kakchik tolong Ummi masak beberapa lauk sebab sepanjang Ramadhan ni kakchik balik awal, waktu kerja dipendekkan 45min berbanding biasa. Kakchik tolong-tolong menyibuk di dapur je sebab kadang-kadang sampai di rumah Ummi dah pun siap memasak. Hmm... hari ni kami akan berbuka dengan cendol kuah santan dan tamar je. Untuk makan pula, ada beberapa lauk yang kami masak, Gulai Lemak Udang, Ikan Kerisi Goreng, Ayam Masak Pedas, Ulam Bayam Praksi dan Budu. Biasalah, gaya orang kampung kan, hehe.


Gulai Lemak Udang, Ikan Kerisi Goreng, Ayam Masak Pedas dan Ulam Bayam Praksi

Biasanya ada dua gaya berbuka kat rumah kakchik ni. Satu gaya ialah makan makanan manis untuk berbuka, solat Maghrib, Isyak dan makan nasi selepas Terawikh. Satu gaya lagi ialah terus berbuka dengan makan nasi macam adik ipar dan abang ipar kakchik. Diorang tak biasa berbuka dengan makanan manis. Gitulah suasana berbuka kami.


Hidangan berbuka untuk adik ipar, mesti ada ulam dan budu.


SELAMAT BERBUKA SEMUA.

23.8.09

Kenangan Khas Ramadhan

Assalamualaikum dan salam tengahari semua. Masing-masing yang di rumah tentu dah mula buat persiapan untuk hidangan berbuka petang nanti kan. Sambil-sambil tu jom layan kad-kad ucapan yang menjadi kenangan khas kakchik Ramadhan kali ni.

Kad pertama datangnya dari SUZI di Adelaide sana. Terima kasih suzi. Semoga Ramadhan kali ini akan lebih mendapat berkat yang berpanjangan.


Kad kedua pula dari HANA, nun jauh di Jepun sana. Semoga Hana sekeluarga sihat selalu.


Kad yang ini dari KAK INTAN yang baru dikenali. Hijau mata memandang. Semangat Islam ni kakintan.


Kad cantik juga kehijauan di bawah ni datangnya dari KAK INA KL. Sukalah kad yang ni...


Kad 'happy family' ini dari CIKMIN yang sedang berbadan dua sekarang ni. Semoga CikMin dapat menjalani ibadah puasa dengan tabah.


Kad yang comel ini pula dari YANMIE yang suka berkreatif di alam maya. Kakchik yakin kad ni Yan buat sendiri sebab Yan memang pandai.


TERIMA KASIH KEPADA SEMUA TEMAN-TEMAN YANG SUDI MEMBERI KAD SEMPENA RAMADHAN INI.

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR


sumber

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. ...kepada- NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku... kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang....bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih.. ..berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti..paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA

dari seorang kenalan: Norain Sulaiman melalui email

22.8.09

Coretan 1 Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan kepada semua teman-teman tersayang walau di mana juga berada. Apa khabar hari ni? Tentu masing-masing seronok sebab berjaya memulakan perjalanan untuk BERPESTA IBADAH (pinjam kata-kata seorang teman) sepanjang bulan yang mulia ini.

Malam tadi kebanyakan dari kita telah pun bersama-sama mendirikan solat terawikh sama ada di masjid, surau atau di rumah masing-masing. Cik Abe, macam biasa akan mula menjadi imam terawikh di sebuah masjid di KB, jadi dia akan berbuka di sana dan balik selepas selesai terawikh. Biasanya dalam pukul 10.40 malam baru dia sampai di rumah.

Tahun ni kakchik takdelah sunyi sangat berbuka puasa sebab ada ahli keluarga lain di rumah ni. Kalau tahun lepas, masa kami masih di rumah sewa, selalulah berbuka sendirian walau ada kadang-kadang Cik Abe temankan bila hari hujan lebat dan dia kurang sihat.

Pagi tadi kami bersahur ala kadar saja, nasi berlaukkan gulai lemak ayam, ikan tenggiri goreng dan sayur campur sotong, cukup untuk mengalas perut masing-masing. Yang kesiannya Ayah yang tidak lalu makan sebab dia memang perlukan makanan manis sebagai pencuci mulut. Ummi keletihan nak menyediakan bubur atau pengat untuk dia, jadi makan pun perlahan je. Mungkin untuk berbuka hari ni Ayah akan dapat makan makanan kegemarannya.

Tentu teman-teman semua pun ada macam-macam cerita di bulan Ramadhan ni. Kakchik akan cuba menjenguk kalian dalam sedikit kesempatan masa yang ada di pejabat ni. Sekarang ni cukup susah untuk menggunakan internet di rumah. Kakchik guna Celcom Broadband tapi kualitinya sangat teruk sekarang ni. Masa menunggu untuk 'loading' sesatu laman sangat lama dan membuang masa. Jadi kakchik hanya hadkan penggunaan untuk laman tertentu saja. Insyaallah kakchik akan cuba menziarahi.

SEMOGA KALIAN SEMUA MENDAPAT BANYAK KEBERKATAN SEPANJANG RAMADHAN INI. KAKCHIK MENYUSUN JARI MEMOHON AMPUN MAAF DI ATAS SEBARANG KESALAHAN ATAU KESILAPAN SELAMA KITA BERSAHABAT. SELAMAT BERPUASA TEMAN-TEMAN SEMUA!

21.8.09

Pra-Ramadhan

Assalamualaikum dan salam pagi Jumaat untuk semua teman-teman tersayang dan kepada para pengunjung KeluargakuSayang. Terima kasih banyak di atas kesudian kalian singgah dan menjenguk kakchik di sini.

Hari ni kita semua pun tahu adalah hari Jumaat terakhir sebelum kita mula berpuasa Ramadhan bermula esok. Ada satu perasaan gembira kerana mungkin kakchik akan sempat juga berpuasa wajib pada kali ini. Harap-harapnya sempat. Kakchik rasa kalian semua pun telah pun mempersiapkan diri masing-masing untuk menyambutnya. Dalam keadaan diri yang kurang bersemangat ni kakchik tetap bersyukur kerana masih diberi peluang oleh ALLAH SWT untuk meneruskan hidup sehari lagi. Cuaca pagi ni pun cukup menggambarkan perasaan kakchik di saat ini. Gembira seadanya.

Oh, untuk pengetahuan teman-teman, kakchik dah memulakan sesi mengurut sejak minggu lepas sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesihatan badan terutama untuk mendapatkan anak. Tolong doakan kakchik ya. Semalam pun kakchik mengurut lagi untuk melegakan aliran darah, memang sedap bila diurut tapi sejak malam tadi dah terasa lenguh-lenguh satu badan. Tambahan pula kakchik baru pakai cermin mata baru yang menyebabkan kepala kakchik di sebelah kanan ni berdenyut sampai ke pagi ni. Tapi janganlah risau ya sebab ia dah makin baik.

Kakchik nak membasuh kain la dulu. Kalau sempat kakchik cuba kemaskini lagi petang ni.
Wassalam.

20.8.09

Berpurdah biarlah kerana sunnah.

Rozita Che Wan pula yang pakai purdah

Assalamualaikum dan salam pagi ceria semua. Apa khabar hari ni? Semoga teman-teman semua sedang menikmati keseronokan beribadah di hari-hari terakhir Ramadhan.

Hari ni kakchik amat terkejut bila rakan sekerja tunjukkan gambar di bawah. Betul ke pelakon/model cantik dan seksi Rozita Che Wan dah berhijrah? Bila kakchik baca betul-betul barulah kakchik tau alkisah sebenar. Berita ni dalam Warta Mingguan Perdana yang dibeli rakan sekerja kerana dia ingatkan ini gambar Pn. Rozita Ibrahim.

Sebenarnya yang ni pakai purdah untuk menunaikan umrah dan bagi mengelakkan H1N1 kata Rozita dia lebih selesa memakai purdah daripada topeng kesihatan. Berbeza dengan tujuan Rozita yang seorang lagi.


Tapi... mashaallah... dia memang nampak sangat cantik. Orangnya dah cantik, pakai apa pun masih juga cantik kan. Mungkin orang akan kata macam-macam kat dia kerana berpurdah kerana nak elak penyakit bukan kerana Islam tapi kakchik tetap nak doakan agar selepas dia balik umrah, dia akan mendapat hidayah untuk berubah menjadi muslimah solehah.


Satu lagi, kakchik memang suka sangat-sangat dengan jubah yang Rozita pakai ni. Semalam kakchik tengok Nora Danish pun ada pakai baju yang agak serupa tapi dia takdelah pakai tudung. Alangkah gembiranya hati kakchik ni kalau artis-artis kita bertaubat dan mengubah imej berpakaian mereka sesuai sebagai wanita Islam.

Semoga Allah memberi hidayah dan taufiqNya kepada kita dan mereka agar hati-hati kita tidak berbolak-balik dari iman dan Islam yang benar.

Wassalam.

17.8.09

Sudah bersedia atau belum?

Assalamualaikum dan salam pagi ceria semua.

Pagi ni boleh dikatakan satu permulaan hari baru yang sungguh kurang baik. Seawal pagi sudah ada angin kencang bertiup sebab sejak malam tadi cuaca yang amat mendung. Terasa seolah-olah TIADA MOOD langsung untuk ke pejabat bila tengok cuaca pagi tadi.

Dalam keadaan macam ni kakchik jadi banyak termenung. Fikir macam-macam. Tambah-tambah bila tak beberapa hari saja lagi bulan Ramadhan yang mulia akan tiba. Itupun kalau umur kakchik panjang, sempatlah lagi berpuasa wajib tahun ini. Kalau dibuatnya Allah panggil pulang dalam suasanan macam ni, kakchik memang akan dihisab teruk di sana nanti.

Kawan-kawan tau tak FORMULA paling mudah dan cepat untuk NAIKKAN MOOD? Kakchik memang agak DOWN sejak beberapa minggu ni. Terlalu banyak sebabnya kakchik jadi kurang bermaya ni tapi malu pula nak ceritakan di sini.

Memang kakchik tahu mengeluh bukanlah sifat yang bagus bagi seorang Islam tapi kakchik rasa macam selalu sangat nak mengeluh, melepaskan satu beban perasaan dan fizikal, biar ia menjadi LEGA. Bila mood begini melanda, kakchik dapat rasa kakchik mula LALAI dalam banyak urusan terutama URUSAN ALLAH dan keluarga.

Entah bagaimana kakchik akan menghadapi Ramadhan tahun ini? Banyak benar mazmumah yang bersarang di hati dan peperangannya memang membuatkan kakchik menjadi LETIH dan rasa TERABAI.

p/s: HARAP MAAF sebab kakchik sedang melepaskan masalah di sini. TIDAK PERLU DIFAHAMI oleh sesiapa. CUKUP sekadar melepaskan lelah di dada.

15.8.09

Sibuk dengan seminar dan kursus

Assalamualaikum dan salam malam semua.
Nampaknya kakchik tak dapat juga nak menulis setiap hari di blog ni.
Sambungan internet di rumah sekarang ni TERAMATLAH perlahannya mengalahkan kualiti DIAL-UP.
Masa yang diambil untuk LOADING sesatu laman sangat lama menyebabkan kakchik amat sukar mengemaskini blog mahupun membuka email untuk membacanya, membalas ataupun menghantarnya.
Di Zahra' pula entah di mana silapnya laptop kakchik ni tidak dapat menerima pancaran wireless dan terpaksa menggunakan broadband yang perlahan ni.
Sedih juga sebab dah terlepas banyak perkara menarik yang sepatutnya dikongsikan lebih awal tapi dah pun basi.
Apapun sekarang ni kakchik di rumah dah sedang cuba menulis entri terbaru, kot-kot boleh di'publish' dengan jayanya.
Sehari dua ni kakchik ada seminar dan baru petang tadi dalam jam 6.30 baru selesai.
Memang padat sangat jadualnya dan kakchik hanya sempat buka internet untuk baca beberapa berita terkini je.
Beginilah ... kalau 'exam' dah selesai, diri kita pun mula dijemput ke sana-sini untuk macam-macam program.
Banyak yang ilmiah dan amat menarik untuk diaplikasikan di tempat kerja mahupun dalam bisnes.
Kalau takde aktiviti, terasa bosan pula kan.
Cik Abe pun jarang di rumah sekarang ni, sibuk dengan urusan di sekolahnya.
Orang kalau dah dedikasi dengan kerjanya, begitulah.
Kami suami-isteri ni pun sama-sama sibuk.
Macam hari ni, dia tak sibuk, kakchik pula yang sibuk.
Kami hanya sempat jumpa sekejap je pagi tadi sebelum kakchik betolak ke KB Trade Center untuk seminar.
Bila kakchik balik dalam jam 7 tadi, dia dah pun ke sekolahnya kerana ada mesyuarat.
Bak kata sebelum jam 12 malam nanti barulah kami jumpa balik.
Hai... entah sampai bilalah kami akan terus begini?

12.8.09

BERITA TERKINI UNTUK PENGUNJUNG KOTA BHARU

ASSALAMUALAIKUM SEMUA. KAKCHIK ADA MASA SEKEJAP SAJA NI TAPI NAK KONGSIKAN JUGA SEDIKIT BERITA TERKINI UNTUK PERHATIAN SESIAPA SAHAJA YANG AKAN KE KOTA BHARU.

BERITA NI KAKCHIK CEDOK DARI HARAKAHDAILY.

Sistem jalan sehala jadikan aliran trafik lebih lancar

Atiff Idris | Foto Rizal Tahir
Tue | Aug 11, 09 | 7:01:38 pm MYT

KOTA BHARU, 11 Ogos (Hrkh) - Aliran lalu lintas di pusat bandar Kota Bharu mulai hari ini nampak lebih lancar biar pun berlaku sedikit kelam kabut ekoran pelaksanaan sistem jalan sehala.

Jalan Hospital di depan mahkamah, Jalan Doktor, Jalan Temenggong dan Jalan Tok Hakim kini menjadi hala sehala.

Dan beberapa lampu isyarat baru diwujudkan iaitu di Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Tok Hakim dan Jalan Sultanah Zainab.

Yang Dipertua�Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Haji Ahmad Mahmood berkata, tempoh sebulan bermula hari ini kajian dilakukan bagi melihat kesesuaian perubahan laluan tersebut.

Oleh itu katanya, pengguna jalan raya diberi peluang untuk memberi komen dan cadangan tentang perubahan laluan tersebut melalui www.MPKB.gov.my.Image

"MPKB-BRI juga mewujudkan satu jawatankuasa pemantau untuk mengkaji serta menilai sejauh mana keberkesanan dan kelancaran trafik di bandar Kota Bharu sekarang," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan rasmi landskap Bulatan Medan Tuan Padang dan menaik taraf Taman Perbandaran Tengku Anis.

Penyerahan tersebut dilakukan Timbalan Pengarah Teknikal Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Che Hassin Che Mud kepada Ahmad.

Ahmad berkata, dengan kerjasama kerajaan Persekutuan banyak lanskap menarik dapat diwujudkan di kawasan bandar Kota Bharu.

Che Hassin berharap MPKB-BRI dapat menguruskan lanskap tersebut dengan sebaik mungkin bagi menjadikan Kota Bharu lebih ceria dan cantik. - mj

HARAP DAPAT MEMBANTU SERBA SEDIKIT. RAMADHAN DAH DEKAT DAN BIASANYA DI BULAN ITU BANDAR KOTA BHARU AKAN MENJADI SESAK DENGAN KENDERAAN KELUAR-MASUK. TAMBAHAN PULA RAMAI JUGA ORANG DARI NEGERI LAIN MENGAMBIL CUTI KHUSUS UNTUK MENJALANI IBADAH PUASA RAMADHAN DI KELANTAN.

10.8.09

BILA UMUR MAKIN MENINGKAT

ASSALAMUALAIKUM semua.

Hari ni kakchik saja-saja nak kongsikan sedikit perkara yang sedang bermain-main di fikiran ni. Terutama bila melihat wajah di cermin setiap pagi. Walaupun kakachik masih rasa wajah kakchik takdelah mencerminkan usia kakchik yang sebenar, hehe (ehem, jangan marah ya...) tapi diri tetap sedar yang usia kini semakin meningkat. Bila membaca doa melihat cermin, selalu terfikir adakah akhlak diri ni secantik atau seceria wajah yang terpancar di cermin tersebut. Bimbang juga maksud di sebalik doa tersebut tidak tercapai.

Kawan-kawan pun tahu kan, kakchik dah pun 35 tahun April lepas. Kalaupun terasa diri masih berjiwa remaja dan gila-gila sikit (dengan cik abe je) tapi kakchik sedar terlalu banyak diri ini kurang dari segi bekalan untuk dibawa menghadap YANG MAHA PENCIPTA di kemudian hari. Bila tengok diri dalam cermin, yang mata kasar nampak ialah bentuk wajah, kulit muka ada jerawat atau tidak, kulit dah berkedut ke belum... muka nampak kusam atau nampak ceria dan tegang... dan macam-macam lagi. Tapi kalau dilihat dengan mata hati, terasalah, "aku ni dah 35 tahu dah... apalah yang aku dah buat sepanjang usia banyak ni?". "Agaknya kalau Allah panggil pulang sekejap lagi, entah apalah sangat yang dapat dijadikan saksi." Hmm... terasalah yang diri ini masih terlalu jauh dari menjadi hambaNYA yang solehah.

Sepanjang 24 jam sehari ni, kakchik boleh jamin, terlalu sedikit masa yang kakchik peruntukkan untuk menolong iman dan agama Allah. Yang banyaknya ialah kerja, kerja, buang masa, shopping, sembang, main-main dan macam-macam lagi. Waktu yang wajib untuk menghadap ALLAH pun rasanya kalau dikumpulkan tidak sampai pun 1 jam sehari. Kenapalah sikit sangat masa diri ini peruntukkan untuk TUAN sendiri? Walhal nanti kakchik akan menghadapi EXAM yang lagi besar dan sukar.

Hari ni, bila sedang bersiap dengan pakaian baru dan bersih, melihat kemasnya diri di dalam cermin untuk keluar melaksanakan amanah, sekali lagi pertanyaan itu datang, "SUDAHKAH AKU CAPAI MATLAMAT SEBENAR HIDUP INI?"

9.8.09

Long time no see...

Assalamualaikum dan salam pagi ceria untuk semua teman-teman dan para pengunjung KeluargakuSayang. Semoga kalian semua di bawah payung rahmat Allah SWT sepanjang masa dan mendapat ni'mat tubuh badan yang sihat dan sejahtera.

Apa khabar semuanya?

Alhamdulillah selepas seminggu ini barulah kakchik ada masa untuk kembali bertemu kalian dia alam maya ini. Maafkan kakchik kerana sepanjang tempoh tersebut langsung tidak membalas mesej atau komen mahupun menziarahi blog teman-teman. Sebenarnya kakchik menghadapi PEPERIKSAAN AKHIR yang agak sukar dan padat jadualnya sepanjang minggu lepas. Walaupun 'exam' tamat pada hari Khamis, tapi kepenatan minda membuatkan seluruh badan turut menjadi penat dan kakchik mengambil masa di hujung minggu untuk betul-betul berehat dari banyak perkara. Niatnya bila 'exam' dah tamat nak terus bersiaran tapi lain pula jadinya.

TERIMA KASIH banyak kepada teman-teman yang masih sudi berkunjung bertanya khabar dan sebagainya. Kakchik sihat cuma mengalihkan tumpuan kepada buku-buku saja. Insya-Allah mulai hari ini kakchik akan kembali menulis blog seperti biasa.

Sepanjang minggu lepas juga kakchik sudah melakukan operasi membasmi tikus yang pernah kakchik ceritakan di sini sebelum ni. Alhamdulillah selepas satu malam memasang perangkap yang berupa nasi dicampur kepala ikan kering dan sedikit serbuk sodiom fosfid, akhirnya tikus-tikus dijumpai bergelimpangan. Syukur sebab ditemui awal sebelum berbau busuk. Kakchik ada mengambil gambar-gambarnya tapi masih dalam kamera dan kalau ada masa nanti kakchik kongsikan. Tapi... takut ada yang tak lalu makan pula nanti, hehe.

Rasanya pagi ini setakat ini dulu sebab kakchik ada kerja nak uruskan. Pagi Ahad di pejabat ni banyak juga tugasan yang nak disiapkan. Beberapa perancangan untuk bulan Ramadhan juga perlu dibuat untuk dimanfaatkan bersama staf dan juga pengunjung Zahra'. Jadi... sampai di sini dulu.

Wassalam.
Related Posts with Thumbnails