Followers

31.7.09

Tak sempat...

Assalamualaikum dan salam Jumaat semua.

Terasa lama pula tak bersiaran di sini. Hehe, maklum aje bila ada si kecil dalam rumah, habis kerja lain tak menjadi. Asyik berkepit dengan si kecil dan melayan yang besar-besar sikit tu.

Dalam sibuk-sibuk dengan urusan hidup seharian ni, kakchik sedang bersedia untuk peperiksaan akhir yang akan bermula minggu depan. Maknanya sepanjang Ogos nanti, mungkin kakchik jarang berlama-lama di blog. Jadi kakchik MOHON MAAF AWAL-AWAL takut tak sempat nak ziarah kawan-kawan atau nak balas komen atau mesej di shoutmix tu. Insya-Allah kakchik pasti membalasnya cuma mengambil masa sikit.

Hari ni ada kelas ganti pagi tadi untuk Professional Ethics, kertas yang kakchik suka belajar. Tutor kakchik tu seorang peguam jadi kelas pun memang seronoklah bila cerita pasal etika ni, terutama etika dalam berorganisasi. Memang sesuai benar dipelajari sebab boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kakchik.

Selain tu sekarang ni kakchik sedang membaca 2 buah buku di atas tu. 'BEST'lah buku-buku ni. Kalau ada kesempatan kakchik akan kongsikan serba-sedikit pasal kandungannya sama ada dalam blog ini atau dalam blog yang lain. Tak janji ya.

Oklah, nak ke dapur sebentar, nak makan KETUPAT SOTONG. Petang macam ni, bila langit mendung dan angin bertiup agak kencang, duduk di dapur sambil minum teh panas dan makan ketupat sotong, memanglah sedap dan seronok kan. Terutama bila di sekeliling kita ialah orang-orang tersayang.

Gambar dari myresepi.com (kakchik malas nak ambil gambar).

Semoga teman-teman semua sentiasa berbahagia hari ini, esok dan seterusnya.

29.7.09

Kelahiran

Assalamualaikum semua. Apa khabar? Semoga semuanya sihat-sihat saja. Kakchik alhamdulillah, baik-baik saja cuma tidak punya banyak masa untuk menghadap komputer tambah-tambah sekarang ni 'broadband' memang teramat-amatlah lambatnya. Untuk 'upload' sekeping gambar pun mengambil masa yang agak lama, jadi bimbang tak terbuat kerja lain pula nanti.

Tapi kakchik tetap juga cuba melawat ke blog-blog kawan yang mana sempat. Semalam pula kami sekeluarga dikejutkan dengan La yang bersalin di luar jangkaan. Senyap-senyap aje dia dan suami ke hospital pada jam 2 pagi dan jam 6.15 pagi dia dah bersalin. Alhamdulillah... adik kakchik yang ni memang orang yang paling mudah mengandung dan bersalin dalam keluarga kami. Kakak-kakak semuanya bersalin secara pembedahan, dia sorang saja yang bersalin normal.

Oleh kerana masanya agak adhoc, maka kakchik tak sampai hati nak ke pejabat kerana nanti tinggallah Ummi seorang menguruskan 3 orang anak-anak La dan dalam pukul 8.30 pagi Chena pula akan datang meninggalkan Amni. Dibuatnya Iffah tak ke tadika, maknanya akan ada 5 orang kanak-kanak di rumah. Oh, tak boleh... teruk Ummi nanti.

Ameerah, Amreena dan Emran sudah pun mendapat adik baru.



Ini pula 2 orang anak-anak Chena, Iffah dan Amni.

Dan... inilah dia ahli baru keluarga kami. Belum ada nama ni. La tak duduk lama di hospital. Dalam pukul 4 petang dia dah pun balik ke rumah bersama 'baby'. Anak lelaki seberat 2.5 kg, paling ringan setakat ni. Kakak (Ameerah) dulu 2.6 kg.

Ini 'baby' dalam pangkuan kakchik. Kakchik ambil cuti la semalam. Tak sanggup biarkan Ummi dengan anak-anak saudara kakchik yang ramai tu. Serba-salah sebenarnya sebab semalam sepatutnya ada mesyuarat bulanan Zahra', terpaksa ditunda kerana kakchik terpaksa cuti.

Harap staf di Zahra' memahami.

27.7.09

Buah tangan dari Scotland

Assalamualaikum dan salam pagi semua. hari ni alhamdulillah cuaca begitu cerah sekali. Mungkin sebab malam tadi hujan turun lebat dan udara sangat sejuk sampai nak mandi pagi tadi pun menggigil dibuatnya.

Oleh kerana cuaca pun elok dan ceria , kakchik rasa mood ceria ni juga akan menambahkan lagi cerianya dengan berita yang ingin kakchik kongsikan di sini. Sebenarnya kakchik dah buat satu entri khas pasal tajuk hari ni di blog satu lagi tapi rasa ingin juga kongsi dengan teman-teman di sini kerana ianya juga datang dari teman blogger.

Dalam ramai-ramai kawan yang kakchik kenali melalui internet ni, kakchik ada seorang kawan yang beragama Kristian Katolik yang amat suka memakai tudung. Pengalaman pertama bagi kakchik mempunyai kawan bukan Islam yang memakai tudung. Walaupun dia tinggal di sebuah ladang di sebuah pulau kecil di utara Scotland, dia tetap memakai tudung. Katanya agamanya juga menggalakkan penganut wanita memakai tudung. Allahu'alam mungkin dia adalah pengikut Katolik yang tidak percaya kepada tuhan yang tiga. Kakchik selalu doakan dia sekeluarga akan mendapat hidayah suatu hari nanti.

Kawan kakchik ini dikenali sebagai Coffee Catholic di alam blog tapi kakchik tahu siapa namanya yang sebenar. Blognya ialah THE FARM HIJABI yang ada kakchik senaraikan di KakChik's Wardrobe tapi dia 'private'kan blog tersebut kerana sudah banyak kali menerima ancaman oleh penduduk sekitar rumahnya kerana pakaiannya. Katanya dia jatuh hati dengan tudung selepas beberapa tahun berkhidmat di Bahrain sebagai paramedik. CC orang Amerika yang bertemu jodoh dengan suaminya orang Scotland. Talian yang menghubungkan kami ialah TUDUNG.

Tiba-tiba sampailah satu bungkusan yang sederhana besar ke rumah kakchik pada 16 Julai lepas. Hari tu kakchik ada 'exam' dan sememangnya balik ke rumah dalam keadaan penat. Penat minda. Terasa nak baring saja sepanjang perjalanan balik. Tapi... bila nampak bungkusan tu, terkejut sungguh, tak sangka namun hati terus berbunga gembira.

Inilah dia segala hadiah yang ada di dalam bungkusan yang dihantar oleh CC. 3 helai tudung, 5 helai purdah, sehelai anak tudung, sekeping kad ucapan, sebiji batu permata yang cantik dipanggil CAT'S EYE dan sekotak pin tudung yang cantik berwarna perak. Begitu banyak sekali pemberiannya. MashaAllah.


Siapa tak gembira kan. Kakchik amat berterima kasih kepada CC dan rasa macam nak peluk je dia kalau dia ada dekat dengan kakchik. Terus ambil gambar sambil tunggu Cik Abe balik untuk berkongsi kegembiraan dengan dia.

Inilah kotaknya dan itu tulisan tangan CC. Sudah sebulan dia pos baru sampai ke tangan kakchik. Iyalah Scotland dengan Malaysia bukannya dekat kan. Apa lagi kena melalui tapisan dulu sebelum sampai. Apapun alhamdulillah... gembira sebab dapat hadiah dan berterima kasih kerana CC yang tak lama sangat dikenali tapi sudi memberi kakchik hadiah sebegini banyak. Pulak tu bukannya dia beli di Scotland semua tu tapi di'order' dari AL-MUJALBABA di Amerika. Banyak juga dia berhabis untuk kakchik. Sangat terharu.


Dan semalam kakchik ke pejabat dengan memakai purdah biru lembut pemberian CC. Alhamdulillah kakchik ada semua tudung yang dapat dipadankan dengan purdah-purdah yang diberi CC. Katanya kalau suaminya izinkan dan masyarakat di pulau itu tidak racis dia pasti memakai purdah. Semoga Allah berinya hidayah.


Terima kasih CC dan kakchik doakan agar CC, suami dan anak-anak (bakal mendapat cahayamata kedua) akan diberi hidayah oleh Allah SWT dan menganut Islam yang indah ini.

26.7.09

إنا لله و إنا إليه راجعون

AL-FATIHAH.

1. Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara.

2. Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak. Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik), Dr. Zurin turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

3. Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan. Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi.

4. Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman. Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu.

5. Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri. Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan. Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

Sumber

24.7.09

BETUL KE NI ???

HANYA KLIK & SAVE UNTUK LEBIH JELAS.

KALAU BETUL, KAKCHIK PUN TAK TAHU NAK KATA.

TERSERAH KEPADA DIRI MASING-MASING UNTUK MEMPERTIMBANGKANNYA.

ALLAHU'ALAM.

SEMOGA KITA DIJAUHKAN DARI BERSEKONGKOL DENGAN YAHUDI LAKNATULLAH.

BACA BISMILLAH DULU SEBELUM BACA SURAT ITU.

22.7.09

Pengganggu Tidur

Assalamualaikum dan salam pagi semua.

SEMPAT SOLAT GERHANA TAK?

Kakchik tadi terpaksa ke KOTA menghantar kain-kain untuk dijahit menjadi langsir. Terlepaslah waktunya. Bertuahlah kalau kalian sempat.

Hari ni cuaca pun mendung saja, hujan renyai-renyai tapi sekarang ni dah berhenti dah pun.

Badan kakchik ni masih lagi letih sebab petang semalam mengemas bilik, mengalih dan menyusun semula kotak-kotak buku dan barang-barang rumah yang masih belum dibuka sejak kami pindah hari tu. Sengaja tak buka sebab nanti nak pindah lagi.

Dengan badan yang sakit-sakit tu ingatkan bolehlah tidur lena tapi akhir-akhir ni ada satu makhluk yang sangat suka bekerja bila orang nak lelapkan mata.

NAMPAK TAK SIAPA SI DIA TU?


Isyk, geram betul dengan tikus seekor ni. Badannya kecik je tapi ligat bukan main. Entah bila dia wujud dalam bilik kakchik pun tak pasti. Yang pasti sejak dia ada, kerja-kerja mengorek kotak TV dan dinding pun bermula.


Malam Ahad lepas, kakchik ternampak dia keluar terlompat-lompat kat tepi kotak TV. Agaknya nak masuk ke dalam kotak melalui lubang kat tepi tapi agak susah sebab kotak tu besar dan tinggi maka jatuhlah dia berulang kali kat atas meja komputer Cik Abe.

Kakchik pun cepat-cepat ambil kamera. Kali ni kakchik nak ambil gambar dia. Nak tangkap sendiri tak pandai, kena panggil Ayah baru boleh. Sebab Ayah dah 'expert' menangkap tikus dengan hanya menggunakan sebatang tongkat, hehe.

Bila kakchik cari-cari kat atas meja, dia dah hilang. Tengok-tengok ... laaaa dok kat celah CPU rupanya. SNAP! SNAP! dapat kakchik ambil gambar. Terkejut agaknya si tikus ni dengan flash kamera sebab tu tak lari. Tapi bila kakchik panggil je Ayah, dia pun ZUP! ZUP! terus lariiiii...

Hmmm... nak umpan apa pula lepas ni? ADA IDEA TAK?

21.7.09

Membaca Terjemahan al-Qur'an

Assalamualaikum semua.

Hari ni cuaca mendung saja. Atau mungkin juga jerebu sebab bila melihat keluar tingkap memang terasa kelam saja pandangannya. Tak seronok la kan kalau cuaca terus begini tapi siapalah kita hendak menolak ketentuan Ilahi kan. Hidup mesti diteruskan. Amanah wajib dilaksanakan sebaik-baiknya.

Pagi tadi kakchik 'jalan-jalan' ke blog kawan-kawan dan dalam banyak-banyak blog yang kakchik ziarahi tu ada yang menyebut tentang usaha mereka membaca, menghafal dan memahami ayat-ayat al-Qur'an. Terasa MALU dan kerdil diri ini bila membaca tulisan kawan-kawan kakchik ni. Terasa malu sebab mereka ialah saudara baru yang hidup di negara bukan Islam tapi begitu rajin dan bersemangat melakukan usaha tersebut. Sedangkan kakchik ni sejak lahir lagi Islam tapi dalam umur semakin menuju ke angka 40 ni masih lagi tidak berusaha seperti mereka. MALU. Malu pada diri sendiri dan malu pada ALLAH.

Pernah tak kita bertanya diri sendiri, berapa kali kita telah habis membaca TERJEMAHAN AL-QUR'AN yang ada di rumah kita?

Atau berapa kalikah kita KHATAM AL-QUR'AN dalam setahun? Kalau dapat khatam sekali pun dah terasa bangga sedangkan orang lain berkali-kali khatam.

Apalah ertinya kita ni ISLAM kan? Kakchik terasa amat malu kerana kakchik sendiri masih terkial-kial melakukannya. Walaupun cuba membaca al-Qur'an sekali sehari secara tetap tapi tetap juga tidak berjaya. Usah dikira waktu UZUR tu... tapi waktu biasa yang kita boleh bersolat. Malukan?

Hari ni seorang kawan, orang Amerika, menceritakan tentang usahanya MENGHAFAL AL-QUR'AN sedangkan baru beberapa tahun dia menjadi MUSLIM. Dari tulisannya kakchik dapat rasa betapa gigih dan tekunnya dia berusaha. Ternyata juga dia amat memahami dan cuba melakukan yang terbaik TANGGUNGJAWAB dia sebagai seorang ISLAM. Bila diukur antara dia dan kakchik, memang terasa amat jauh sekali.

Maka kakchik bermula hari ini mencabar diri sendiri untuk membaca al-Qur'an dan terjemahannya sedikit demi sedikit agar sebelum Syaaban tahun depan, kakchik dapat khatam sepenuhnya. Kalau khatam membaca, insya-Allah... boleh tapi khatam terjemahan belum pernah lagi kakchik cuba.

JOM kawan-kawan kita cuba sama-sama. PAHALA pun dapat, kita pun akan lebih faham agama kita.

19.7.09

Janji

Manalah dia ni?

Kata bulan lepas nak datang 30 haribulan Jun, tapi sekarang dah nak masuk 20 haribulan Julai dah ni.

Selalunya tak macam ni.

Tepat masa mesti dia datang.

Hmmm... kali ni memang letih menunggu tapi yang dinanti tak juga kunjung tiba.

Apa dah jadi sebenarnya ni?

Tak baik tau kalau berjanji tak ditepati.

Kalau bagitau tarikh nak sampai tu tak pasti, tak apalah juga.

Ni... entahlah.

Sebelum-sebelum ni bagus je.

Selalu sampai tepat masa.

Alih-alih kebelakangan ni dia mula buat hal dah.

Kalau lambat lagi kali ni maknanya dah dua kali dia tak lekat janji.

Risau juga dibuatnya.

Yang ditunggu tu benda berharga.

Kalau tak sampai besar benar implikasinya.

Hai... biar betul... nak datang ke tak nak datang...

Bimbang takut kakchik merajuk je...

Tapi rajuk yang ni mungkin senang dipujuk.

Kalau pasti taknak datang, tak payahlah kakchik tunggu.

Senanglah hati sebab kakchik yang akan dapat hasilnya.

Jangan nak kata kakchik tak tunggu pulak lepas ni.

Dah, teknologi kan ada...

hantarlah khabar segera.

16.7.09

Lepas habis periksa sambung baca ini...



Assalamualaikum semua.
Malam-malam baru ada peluang untuk kemaskini blog.
Siang tadi ada periksa, esok dan lusa pun ada lagi.
Apapun sekadar nak isi juga kekosongan entri untuk 16 Julai ni.

Ops, nak tanya.... petang tadi ada kalian mengukur arah Kiblat?
Ada beberapa blog yang mengajak kita mengukur arah Kiblat pada jam 5.28 petang tadi.
Tak sempat nak baca habis maklumatnya sebab sibuk nak tengok buku.

Hmmm... buku di atas tu kakchik dah mula baca sebelum minggu periksa ni tapi ditangguhkan sementara waktu.
Mungkin akan disambung bila ada masa selepas tamat periksa.
Itu pun kalau kakchik tak ke KL.
Tapi kenalah ada azam kan, kalau tidak tak membacalah gamaknya.

Wassalam.

15.7.09

Terlalu Menggoda


Sumber

Godaan datang lagi.

Nampaknya kena mohon cuti lagilah.

Nasib baik masanya selepas peperiksaan pertengahan tahun selesai.

Nak pergi ke taknak? Nak pergi ke taknak? Nak pergi ke taknak?

Nak pergi ke taknak? Nak pergi ke taknak? Nak pergi ke taknak?

Nak pergi ke taknak?...NAK!

Di mana CapSquare ni?

PETA [klik di sini]

14.7.09

Brown Rice Cereal Drink

Assalamualaikum dan salam petang semua. Sudah selesai makan ke kalian semua? Jam 2.15 petang ni kakchik rasa semua sudah makan kan kecuali mereka yang sedang diet, mungkin hanya minum jus atau makan ringan saja.

Kakchik nak cerita sikit pasal makanan sampingan yang kakchik mula ambil sejak minggu lepas. Sebenarnya ini BUKAN MLM ya, sekadar nak kongsi makanan ni je. Semasa kakchik ke Billion 2 minggu lepas, kakchik ternampak produk beras perang ni. Entah macamana terasa nak saja membelinya padahal sebelum ni kakchik hanya makan cereal Nestume (sejak boikot Nestle dah lama tak makan).


Kakchik pun belilah satu kotak sambil rancang-rancang untuk diminum untuk sarapan atau menggantikan makan tengahari. Walaupun dibeli 2 minggu lalu, hanya minggu lepas baru kakchik mula meminumnya. Satu paket ditambah air panas. Alhamdulillah... rasanya sedap, tidak muak dan baunya agak harum. Yang paling menarik minat kakchik pada asalnya ialah perkataan KAYA DENGAN NIASIN & ASID FOLIK tu.

Di belakang kotak ada disertakan maklumat pemakanan bagi minuman segera ni. Kakchik memang tak ambil kira langsung maklumat ni masa membelinya, hehe... tau nak minum aje.


Di bahagian tepi pula ada maklumat ini:


Kakchik pernah baca tentang khasiat beras perang ni dalam beberapa majalah kesihatan sebelum ni. Rasa-rasanya dalam majalah RAPI. Tapi yang melambatkan kakchik mula meminumnya ialah kerana kakchik nak selidik dulu apa khasiatnya melalui internet. Memang banyak laman info yang menulis tentang kelebihan memakan beras perang.

Mengikut pakar pemakanan dari Califonia, Dr. Victor Lombart, beras perang baik dimakan oleh individu yang ingin mengamalkan diet kalori rendah.

Mari kita lihat apakah kelebihannya:
  1. kaya dengan nutrien vitamin B1, B2, B6, zat besi, magnesium, fosfat dan serat
  2. mengandungi kalsium yang lebih tinggi berbanding beras putih
  3. menjaga kesihatan otak dan saraf selain mengurang risiko sakit jantung
  4. kandungan kolesterol yang rendah
Bagus kan manfaat memakan beras perang ni. Kita saja yang tidak tahu kan? Mungkin kakchik seorang saja yang jahil tentang makanan ini.

Jadi, kakchik merancang untuk terus mengambil makanan sampingan ini kerana satu mug minuman bijirin beras perang sudah cukup mengenyangkan.

Untuk pembacaan lanjut tentang beras perang ni boleh baca keratan akhbar KOSMO di bawah:

KESIHATAN

Bijirin pelangsing


KHASIAT beras perang terletak pada lapisan dedak luarnya dan embrio.


BUKAN hanya warna membezakan beras ini dengan beras biasa. Walaupun beras yang berwarna coklat pudar ini jarang dimakan dalam diet masyarakat Malaysia, tetapi hakikatnya khasiat beras perang jauh mengatasi beras putih yang sudah menjadi menu ruji harian kebanyakan kita.

Adakah kerana warnanya, beras perang diklasifikasikan sebagai salah satu beras paling sihat? Sebenarnya beras perang dan beras putih berasal daripada beras yang sama. Cuma proses seterusnya selepas dituai yang membezakan hasil beras itu sama ada menjadi beras putih atau beras perang.

Menurut jurucakap syarikat beras Serba Wangi, P. Kamalanathan, beras perang terhasil apabila ia tidak menjalani proses mengilat atau memutihkannya seperti beras putih.

“Beras yang dituai, dikupas kulitnya dan diselaputi lapisan dedak yang kaya dengan zat bermanfaat.

“Ketika proses penghasilan beras putih, lapisan dedak ini dibuang menghasilkan beras berkilat. Bagaimanapun ia menyebabkan kebanyakan zat makanan yang terkandung di dalamnya juga hilang.

“Sedangkan untuk menghasilkan beras perang, lapisan ini dijaga dengan teliti. Malah ia melalui sistem teknologi khas untuk mengelakkan pengeringan padi memusnahkan khasiat penting yang terkandung dalam lapisan dedak dan embrio padi, katanya.

Siapakah yang sesuai mendapat manfaat daripada beras perang? Jelas pakar pemakanan dari Califonia, Dr. Victor Lombart, beras perang baik dimakan oleh individu yang ingin mengamalkan diet kalori rendah.

Terdapat beberapa khasiat penting beras perang yang menjadikannya istimewa iaitu kaya dengan nutrien vitamin B1, B2, B6, zat besi, magnesium, fosfat dan serat. Malah ia juga mengandungi kalsium yang lebih tinggi berbanding beras putih.

Justeru itu kata Lombart, beras perang sebenarnya wajar diambil oleh golongan remaja, dewasa mahupun warga emas. Ini kerana khasiat yang terkandung dalam beras perang menjaga kesihatan otak dan saraf selain mengurang risiko sakit jantung.

“Satu cawan beras perang menyediakan anda 88 peratus magnesium harian yang diperlukan tubuh. Mineral ini penting untuk kesihatan sistem saraf, mengawal paras kolesterol badan selain penghasilan hormon seks.

“Satu kajian oleh Sekolah Perubatan Harvard dan Hospital Wanita Brigham yang tercatat dalam jurnal American Jurnal of Clinical Nutrition mendedahkan, wanita yang mengambil beras perang secara puratanya berat badan yang lebih langsing berbanding wanita mengambil diet beras putih.

“Kajian ke atas 74,000 wanita mendapati 49 peratus wanita yang mengambil beras perang tidak menghadapi masalah obesiti,” katanya.

Walaupun beras perang sering diabaikan oleh kebanyakan pengguna kerana dikatakan kurang enak atau baunya yang kurang segar namun, tiada siapa dapat menafikan manfaat dan kebaikannya.


Semoga mendapat manfaat bersama. Wassalam.

Cik Abe di Manek Urai

Assalamualaikum semua. Semoga kita semua dalam keadaan sihat sejahtera.

Hari ni kakchik seronok sebab dapat CUTI... hehe siapalah yang tak seronok bila diberi cuti kan? Dapatlah tengok-tengokkan buku sambil-sambil meninjau-ninjau keadaan semasa, politik, sosial dan ekonomi.

Hari ni kakchik nak kongsi ringkas saja.

Cik Abe tiada di rumah sekarang ni sebab dia sekarang di Manek Urai. Malam tadi dalam jam 9.30 malam dia dan kawan-kawannya bertolak ke sana. Kata Cik Abe, jalan bermula sesak bila sampai di Kuala Krai. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa cuma 1 jam setengah menjadi hampir 4 jam. Lama tuuu...


Cik Abe cuma pergi melihat-lihat dan meninjau sahaja. Kalau kakchik ke sana sudah tentu untuk membuat berita. Cik Abe ada hantar banyak gambar suasana PRK hari ni tapi semua gambar kakchik muat naik ke facebook.

Pagi tadi kesian Cik Abe sebab sarapan cuma dengan teh O kosong. Kakchik rasa kesian pula sebab kami di rumah ni enak bersarapan dengan bihun goreng. Harap-harap Cik Abe dan kawan-kawannya bertuah lepas ni. Semuanya gara-gara terlalu ramai orang di MU sekarang ni hinggakan bekalan makanan di kedai-kedai makan dan restoran kehabisan.


Amboi... bukan main seronok lagi dia dapat jumpa pemimpin yang dia segani tu. Hehe... tinggi sungguh YB Salahuddin ni.


Suasana perayu undi di tempat mengundi. Hijau dok bertakbir 'Allahu Akbar', Biru dok laung 'hidup ****'. Seronoklah kalau dapat berada di sana. Tapi syukurlah juga sebab ada telefon Cik Abe yang boleh hantarkan gambar-gambar ni.

pstt... sekali-sekala ada la juga cerita politik kat sini.

13.7.09

12.7.09

Lauk makan malam



Assalamualaikum dan salam tengahari kepada semua teman-teman yang sudi menziarahi kakchik hari ni.

Sekarang ni waktu rehat kakchik jadi rasa macam nak kongsikan gambar lauk yang dimasak untuk makan malam, malam tadi.

Tentu ramai yang sudah biasa tengok lauk ini kan.

Kami panggil Ayam Goreng Campur.

Sebenarnya orang selalu buat lauk ini sebagai lauk sampingan tapi kakchik buat lauk ini sebagai lauk utama walaupun hidangan malam tadi ada ikan goreng dan gulai kari daging.

Tengahari ni kakchik tak keluar. Cukup sekadar minum air teh 'O' dengan beberapa keping kraker kecil dan sebiji cekmek molek.

Selamat makan tengahari ya. Makan tu beringat-ingat... jangan sampai berlebihan, nanti nak solat Zohor tentulah susah.

11.7.09

Bersiap untuk peperiksaan pertengahan tahun

Assalamualaikum dan salam petang semua. Di hari Sabtu ni kebanyakan orang sedang enak beristirehat bersama keluarga tapi kakchik pula berada di pejabat melayan urusan kerja. Sebentar tadi kakchik meminta izin untuk keluar dalam 2 jam untuk ke OUM kerana ada kelas Malaysian Studies.

Sebenarnya kakchik dalam minggu persediaan untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Jarang OUM ada peperiksaan ni, selalunya ada tugasan, diskusi online dan juga peperiksaan akhir semester. Kali ini sistem pemarkahan pun ada perubahan berbanding semester sebelum ini.

Kakchik mahu khabarkan kepada kawan-kawan semua bimbang ada yang tertanya-tanya kenapa kakchik jarang menziarahi blog. Semester ni kertas yang kakchik ambil agak susah dan kakchik perlu menggunakan banyak waktu terluang untuk membaca dan memahami konsep. Sempat kemaskini blog hampir setiap hari tapi memang lambat sikit kakchik membalas komen dan mesej. Kakchik harap kawan-kawan tidak terasa macam kakchik tidak hiraukan kalian.

Insya-Allah peperiksaan pertengahan semester ni hanya mengambil masa 3 hari berturut-turut tidak seperti peperiksaan akhir. Ala... melepaslah peluang kakchik mahu ikut cik abe bercuti ke Cameron Highland hujung minggu nanti. Hari tu kakchik gembira sangat sebab ingatkan kakchik boleh ikut serta. Kena rancang sekali lagilah nampaknya. Cik abe pergi dengan rombongan guru-guru sekolahnya. Katanya sekolah nak buat hari keluarga di sana. Alangkah seronoknya.... yang kakchik teringin sangat nak ke Cameron ni ialah TEH BHARAT, hehe.

Apapun, jika diizinkan Allah insya-Allah akan ada peluang lagi suatu hari nanti.

9.7.09

Abaya for sale and other things.

Assalamualaikum dan salam malam Jumaat kepada semua teman-teman. Jam 11.32 malam ni kakchik berseorang sebab cik abe ke MU bersama teman-temannya petang tadi. Sebenarnya kakchik pun baru je balik dari KB menghantar adik bongsu sekeluarga ke stesen bas untuk pulang ke KL. Lepas tu kakchik ke Mydin bersama adik dan anak-anak saudara sebab adik nak beli alatulis untuk sekolahnya. Boleh tahan juga jalan malam-malam ni. Dah lama kakchik tak keluar malam ke bandar KB, cantik juga. Sayangnya susah nak ambil gambar bila ada budak-budak yang tukang penyibuk, hehe.

Ok, cerita pertama malam ni ialah kakchik ada stu abaya yang dibeli bulan Mei lepas tapi kakchik tak pernah pakai sebab tersalah saiz. Kakchik nak saiz XS tapi terambil saiz S pulak. Nak pulangkan ke kedai terasa malas pula nak pergi. Jadi kakchik nak tawarkan kat sesiapa yang berminat untuk membelinya.

Abaya berwarna hitam, kain jenis lembut (tak tahu nama kain) dan selesa dipakai sebab kakchik ada beli 4 helai dari kain yang sama, ada sulaman labuci sekitar leher, lengan baju dan kaki baju. Boleh tengok gambar kat atas tu. Nak lebih besar, klik gambar ya. HARGAnya RM99.00 kerana diimport dari Dubai. Kalau berminat, email kakchik ya: hanniaziz@yahoo.com

Cerita kedua ialah pasal adik bongsu yang balik bersama keluarganya. Sebenarnya dia balik cuti kecemasan kerana bapa mertua isteri keduanya sakit tenat. Dia sampai hari Selasa petang dan dalam jam 3 pagi bapa mertuanya meninggal dunia. Dari Allah kita datang kepadaNya jua kita akan kembali. Semoga ruh bapa mertua adik bongsu akan ditempatkan bersama ruh orang-orang yang beriman.


Nampaknya anak ketiga adik bongsu, Nuramalina, 1 tahun setangah dah pun aktif berjalan ke sana ke mari cuma percakapannya saja yang belum begitu jelas.


Abdul Aziz, 3 tahun setengah pula masih malu-malu nak bercakap dengan kakchik tapi senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Yang ni memang amat suka membaca. Asyik berkepit dengan bukunya (dalam gambar tak nampak seba buku jauh di depan).

Walaupun beristeri dua, adik bongsu nampaknya boleh berlaku adil kepada kedua-duanya. Sebenarnya kami dulu memang amat risaukan dia yang beriya-iya nak berpoligami. Tapi Allah sudah banyak membantu dia sekeluarga. Dulu asyik mengajar Qur'an merata-rata, mengubat orang dan hidup tak stabil, kini sudah pun bekerja di Masjid Jamek KL. Syukur bagi pihak adik bongsu.

Cerita terakhir ialah cerita makan. Hari ni kami semua memang agak keletihan. Ummi dengan lututnya yang sakit, kakchik pula ke sana-sini menguruskan bungkusan buku dan anak-anak buah yang asyik 'berbelit' sepanjang hari sebab mereka tahu kakchik cuti dan adik-adik pulak, seorang teramat letih menyambut entah berapa kelahiran di hospital tu dan yang seorang lagi ada sukan di sekolahnya. Hakikatnya... semua orang letih untuk memasak jadi kami sediakan aja hidangan yang paling ringkas seperti di bawah.

Ada pucuk ubi celur (bahasa surat ke ni?), budu (hanya adik ipar yang makan, cik abe puasa), sayur air, ulam mentimun, ikan kerisi goreng dan tembikai untuk pencuci mulut. Ringkas kan?

Hidup dalam keluarga yang besar macam kakchik ni meriah memanjang. Hampir setiap hari adik-beradik perempuan semuanya berkumpul di rumah utama. Memang riuh-rendah la kami ni. Sebab tu kakchik pun mulut banyak la juga hehe.

Jumpa lagi esok, insya-Allah. Wassalamualaikum.

8.7.09

Cerita Shopping

Assalamualaikum...

Semoga setiap yang singgah tu dipermudahkan Allah dalam segala urusan harian dan terima kasih kerana sudi singgah membaca catatan perjalanan hidup kakchik.

Hari ni kakchik dah kembali ke pejabat dan ditakdirkan Allah beberapa rakan sekerja turut bercuti atas masalah kesihatan. Jadi tinggallah kakchik dan beberapa staf lagi menguruskan Zahra'. Insya-Allah kami masih dapat bertahan walaupun Zahra' mula dipenuhi pelajar sekolah menjelang tengahari.

Letih... memang letih tapi amanah mestilah dibuat sebaik mungkin.

Sambil-sambil kakchik berehat sekejap ni nak kongsi sikit cerita pasal 'shopping' Ye lah siapalah di kalangan kita ni yang tak pernah 'shopping' kan? Boleh dikatakan kaum hawa ni memang suka 'shopping', kakchik pun serupa juga.


Sejak kakchik menjadi ejen RORINE, sudah beberapa kali kakchik singgah di butiknya yang kat KB tu untuk membeli barangan yang dipesan orang. Kali terakhir kakchik ke sana ialah minggu lepas iaitu pada hari Rabu. Kali ni kakchik TERBELI beg tangan pulak. Memang kakchik suka sangat dengan rekabentuknya, agak besar dan menarik (macam dalam gambar tu). Harga pun berpatutan, RM69.90 je.

Sejak dibeli, kakchik menggunakannya hingga ke hari ini. Hehe, rasanya beg lain yang ada dalam koleksi tu kena tunggu giliran yang lama untuk bertukar.

Selain dari beg, kakchik juga ada membeli sehelai ABAYA secara 'online'. Yelah... kawan-kawan pun tahu kan, kakchik ni suka pakai abaya hitam. Kakchik dah 'order' abaya ni dari DE'ABAYISH bulan lepas dengan deposit RM100 (harga penuh RM195). Alhamdulillah, balik dari Manek Urai semalam, abaya ni sudah pun sampai ke tangan kakchik.


'Design'nya paling ringkas berbanding yang lain yang terdapat dalam Koleksi Istimewa De'Abayish dan harganya pun paling murah (tapi paling mahal berbanding abaya yang lain yang kakchik beli sebelum ni).

Bila kakchik sentuh, memang kainnya sangat lembut dan sejuk serta jahitannya pada abaya dan juga shayla (selendang 'free') sangat kemas. Kiranya kakchik puas hati dengan abaya yang ni. Kalau kawan-kawan berminat nak tengok/beli dari De'Abayish, boleh la KLIK imej di bawah ni.



Pakai abaya ni selesa dan ia boleh digayakan ke pelbagai majlis dan suasana dan memang sesuai untuk Muslimah, hehe. Bukan ke ada yang kata HITAM ITU MENAWAN...

Cukuplah dulu untuk hari ni. Kakchik harap kalian 'enjoy' membaca post hari ni.

Wassalam.

7.7.09

Melakar Kenangan di Manek Urai

Assalamualaikum semua. Minta maaf banyak-banyak sebab baru nak kemaskini blog. Kakchik letih sebenarnya sebab sepanjang di Manek Urai asyik jadi pemandu je, hehe. Hari ni dah balik ke rumah dah sebab ada hal sikit nak selesaikan pasal MariBaca.

Semalam kakchik tak pergi pun ke tempat penamaan calon sebab diarahkan bertugas di bilik berita. Jadi takdelah sebarang gambar kenangan kakchik di sana. Sepanjang pagi menolong rakan memilih gambar, membuat berita dan mengedit. Lepas tu kami ke jamuan nasi DAGING KERBAU tapi bila kami sampai lat tempat jamuan gulai kawah daging kerbau dah habis dimakan orang ramai yang AMAT RAMAI. Itu baru jam 12 lebih sikit.


Gulai kawah Sg. Peria, Manek Urai

Tapi kami masih ada rezeki, dapatlah makan nasi gulai kawah juga tapi gulai daging lembu je. 2 ekor kerbau dan 3 ekor lembu habis licin. Alhamdulillah... sedap sungguh gulai kawah tu. Kakchik tak ingat nak ambil gambar nasi yang kami makan tapi gambar gulai yang sedang dimasak adalah. Ok la kan. Boleh juga kongsi kat sini.

Lepas makan kami balik berehat dan kemaskini berita (kakchik tukang edit gambar je) dan selepas Asar kakchik ke Manek Urai Baru untuk mendengar ceramah kesihatan dan melihat demonstrasi memasak NASI JAGUNG SIHAT atau NASI JAGUNG YB kerana ramainya YB yang menyumbangkan tenaga mereka untuk membuatnya.

Ceramah dan demo dilaksanakan oleh YB Dr. Lo' Lo' Dato Mohd. Ghazali, MP Titiwangsa yang turun dari KL. Gambar-gambar ada kat bawah tu.


Nasi dah masak dan YB mula menyendukkan nasi untuk dirasa oleh semua yang hadir. Nasinya memang enak sekali. Baunya sangat harum sehinggakan semasa nasi sedang menggelegak aromanya dibawa angin sedikit mengganggu konsentrasi pendengar ceramah, hehe. Kakchik yang jadi jurugambar pun terasa lapar.


Nasi hampir masak.


Orang ramai yang datang untuk mendengar ceramah kesihatan tentang diabetes dan H1N1. Ceramah dibuat di luar dewan kerana semuanya mahukan udara nyaman yang datang dari padang di hadapan tadika tersebut. Kat dalamnya walau dipasang kipas, masih lagi panas.


Khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Dr. Lo' Lo' yang memang sedap didengar dan tidak membosankan.

Gambar memang banyak tapi kakchik tak boleh nak letak kat sini sebab bukan hakcipta kakchik sendiri. Jadi inilah yang dapat kakchik kongsikan bersama kalian.

Wassalam.

5.7.09

Kunjungan Teman Blogger

Assalamualaikum dan salam pagi ceria semua. Aduhai... lenguh segala urat badan rasanya tapi dalam dok lenguh dan masih keletihan ni kakchik nak juga kemaskinikan blog dengan gambar-gambar bersama teman blogger semalam. Lagipun kakchik dah janji malam tadi tapi bila gambar dah siap 'upload' mata dah nak tertutup rapat dah jadi kakchik 'save'kan dulu.

Jom la tengok. Kalian pun dah tahu kan siapa yang kakchik jumpa semalam.


Inilah SHU !!! Dia datang bukan main lagi nak buat 'surprise', nak kakchik teka-teka pula. Hehe, akhirnya betul juga tekaan kakchik. Kita macam sama saiz je kan cuma shu lebih tinggi... Suka tak tahu nak cakap. Kakchik gembira sebab kami ni belajar di bawah bumbung yang sama tapi baru semalam kami berjumpa. Shu datang dengan suaminya yang senyum je bila kakchik tegur. Nanti kita jumpa lagi ya shu. InsyaAllah kalau kakchik ke Jertih, kakchik singgah.

Dua orang pelanggan ni siapa pula ya? Tak kan tak kenal kot? Beli dik... beli kak... harga murah-murah... diskaun pun banyak... hehe

Jeng! Jeng! Siapa lagi kalau bukan KAK INA KL dan DJ FIZA (Kelantan FM). Kena bergambar kat depan banner MariBaca ni sebagai kenangan dah sampai ke kedai kakchik, biarlah... kedai/gerai pun..


Dua-duanya sama comel. Seorang anak dara dan yang seorang lagi mak dara. Hehe memang betul pun... fiza masih lagi muda tratang tang, kak ina pula masih nampak muda walaupun dah ada anak dara. Mungkin sebab kak ina selalu senyum bergelak ketawa. Haa... itu sebablah sentiasa nampak muda kan.


Jangan tak tau kak ina yang beriya nak bergambar dengan rak buku PTS tu. Kot-kot le boleh dapat komisyen kan. Tolong promosi buku PTS la katakan.


Candid. Apa entah yang dibagitahu fiza kat kak ina tu.


Diorang dah nak balik dah. Kakchik nak juga ambik gambar candid tapi fiza perasan kakchik nak ambil gambar, sempat la dia lambai.


Bye bye kak ina dan fiza. Kalau panjang umur kita jumpa lagi ya. Memang betul kata fiza memang sekejap sangat kami jumpa, tak puas hati kan. Dah la tu... kat gerai buku kakchik pulak tu. Angan-angan nak le bawa kawan-kawan tu pergi makan atau minum kat mana-mana. Nak ajak ke rumah cerewt pulak sebab kakchik kena singgah di MariBaca dulu untuk turunkan buku-buku, lepas tu baru balik. Lagipun kesian fiza... datang dari Wakaf Bharu, nanti nak balik bukannya dekat tambah-tambah jalan memang jem yang amat semalam.

Memang SERONOK dapat jumpa teman-teman blogger ni. Lagi seronok kami macam dahkenal lama dan semuanya mulut banyak, hehe, kecoh jadinya.

Syukur alhamdulillah Allah bagi peluang dapat bertemu mereka bertiga. Dengan pertemuan tu kakchik mendoakan agar hubungan sesama kami akan lebih erat lagi. Ramai sahabat di mana-mana insyaAllah akan dapat membantu kita suatu hari nanti.

Siapalah pula yang kakchik akan berpeluang jumpa lepas ni?
Related Posts with Thumbnails