Followers

29.9.08

Allah Maha Kuasa, Allah Maha Penyayang

Assalamualaikum dan Salam Akhir Ramadhan untuk semua pengunjung budiman.

Hari ini hari terakhir KakChik bekerja untuk Ramadhan ini dan mulai esok, kami di Dar Nur al-Zahra' akan bercuti sehingga 10 Oktober. Wui... lama sungguh cuti yang kami dapat kali ni. Jangan cemburu ya! Hari ni pun sudah ada rakan-rakan sekerja yang mengambil cuti lebih awal demi untuk bersama ahli keluarga yang pulang dari jauh. KakChik pun teringin juga nak buat macam mereka tapi bila ingatkan perpustakaan kesayangan ni dan kesian kepada pengunjung muda yang bakal menghadapi peperiksaan selepas raya, tak jadilah nak ambil cuti. Lagipun lepas ni boleh cuti sakan...

Pagi tadi masa keluar rumah nak datang kerja, KakChik lihat cuaca sungguh cerah dan indah (gambar atas sekali matahari naik selepas Subuh). Lebih-lebih lagi KakChik menuju ke arah Matahari jatuh dan cahaya ia sedang naik, menyimbah dari belakang kereta menerangkan jalan di hadapan, indah sungguh cuaca. Terasa gembira tiba-tiba. Senyuman terus terukir di bibir...

Berbeza petang semalam. Maha Kuasa Allah, cuaca yang tenang dalam rembang petang dalam sekejap waktu berubah menjadi angin ganas dan hujan ribut mencurah-curah. Waktu itu baru jam 5 petang dan KakChik baru nak menutup kedai. Tiba-tiba saja angin kuat datang, langit jadi gelap, hujan tanpa tunggu sesiapa, terus turun dengan lebat membasahkan makhluk di bumi. Allahu Akbar! Hebat kuasa Tuhan. Sekejap cerah, sekejap hujan ribut. Siapa di antara kita yang boleh membaca perubahan alam yang akan berlaku? Mungkin ahli kaji cuaca boleh meramal tapi penentunya ialah Allah jua. Kesesakan lalulintas di saat cuaca terang bertambah menyesakkan apabila cuaca berubah.

Mungkin ramai yang mengeluh dengan keadaan tersebut dan mungkin juga yang telah hilang sabar kerana terpaksa melalui suasana yang sangat menyesakkan. Adakah kita terlupa sesuatu? Kita lupa bahawa Allah suka menguji hamba-hambaNya. Kita sedang diuji... ujian kesabaran, ujian tolak-ansur, ujian keletihan, ujian mulut yang lidahnya tak bertulang, ujian iman... tapi KakChik pun terlupa juga...

Bukan mudah... tapi mesti juga berusaha.

Tapi, Allah yang suka menguji hambaNya masih memberi peluang kepada hambaNya menikmati keseronokan dan kebahagian. Kalau masa balik kami disimbahi hujan yang menyukarkan pandangan, bila tiba di rumah kami disambut ahli keluarga yang mula pulang untuk berhari raya. Wajah gembira, kelam cuaca di luar bertukar ceria dalam sekelip mata. Abang Sir (abang no. 2) dan keluarganya sudah balik. Dan anak-anak saudara yang menambahkan keceriaan. Nampaknya mendung tak selamanya....

Insya-Allah saat gembira akan datang buat kita semua. Hari yang kita nanti-nantikan hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Hari apa lagi kalau bukan hari raya...

Selamat hari raya (nak ucapkan juga walau berpuluh kali) untuk semua. Hargailah masa yang ada dengan bertemu mesra sesama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Hidup lebih ceria bila kita punya keluarga...

"Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan aku sebuah keluarga yang bahagia. Semoga bahagia kami dunia dan akhirat."

Selamat perjalanan untuk Abg Ee dari Bangi dan La dari Pulau Pinang yang akan pulang hari ini. Semoga perjalanan selamat sampai ke rumah. Begitu juga KakChik ucapkan selamat perjalanan untuk semua kenalan sama ada melalui blog atau lain-lain. Berhati-hati dan berhematlah di jalan raya.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'

Semoga Allah kurniakan kesabaran & ketenangan...

Salam Lebaran.

Pendek saja... keratan akhbar Sinar Harian hari ini. Muka depan:


sambungan di mukasurat 2:


Datang dan pergi hanya Allah penentunya... semoga mereka bersabar dan redha dengan pemergiannya. Tinggallah isteri-isteri dan 13 anak di dunia, agar doa untuk si mati sentiasa sampai, mencerahkan alam kubur.

Kita, belum tahu....

28.9.08

Raya Card, Specially for My Friends

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...semoga kenangan pahit semalam tinggal sebagai sejarah hidup kita dan memberikan kita seribu satu peringatan terutama... KEMATIAN. Datangnya tidak pernah diduga, tidak diketahui bila saatnya. Semoga ruh Allahyarham orang-orang yang kita kenali ditempatkan di sisi ruh orang-orang yang beriman. Al-Fatihah untuk mereka...

Hari ini masih berbaki 2 hari sebelum Syawal menjenguk kita. KakChik ingin mengambil kesempatan ini untuk menujukan kad raya ini khas untuk pengunjung blog Keluargaku Sayang ini dan juga teman-teman blogger yang sering berinteraksi dan singgah di sini.

Memandangkan KakChik tak sempat nak menulis dan menghantar kad raya fizikal maka kad raya maya pun diharapkan diterima sebagai pengganti diri. Kad raya ini ditujukan khas kepada semua rakan blogger yang dikenali di alam nyata mahupun di alam maya. Silalh terima kad ini sebagai tanda persahabatan kita.

AMARAN! NAMA-NAMA BERIKUT SILA TERIMA KAD INI DENGAN KADAR SEGERA! JIKA TERLEWAT, ANDA AKAN MELEPAS.

Senarai penerima khas:
Pada teman-teman yang tak tertulis namanya di sini, sudilah jua menerima kad raya ini. Semoga akhir Ramadhan kembali ceria, penuh semangat untuk meneruskan ibadah tanpa lagho atau lalai dengan perkara lain.

Selamat Hari Raya Fitrah untuk semua...

Terkejut, Terkedu, Tercalar Kemeriahan Menyambut Syawal...

KakChik masih terkejut.

Tidak percaya melihat apa yang berlaku.

Pembunuhan berlaku di kampung sendiri.

Kejam, zalim, tiada peri kemanusiaan.

Dibunuh ketika dalam perjalanan untuk berterawih di Masjid Pulau Melaka.

Ditembak ketika isteri berada di sebelah, kereta sedang bergerak.

Melampau! Pembunuhan yang kejam!

Di saat kita sedang mengisi hari-hari terakhir Ramadhan, penjahat mengambil kesempatan melakukan jenayah.

Hanya sepelaungan dari rumah kami. Terlalu dekat. KakChik turut mendengar bunyi 2 das tembakan. Terkejut. Terkejut. Astaghfirullah hal aziim. Astaghfirullah hal aziim.

Ya Allah, berilah ketenangan dan kesabaran kepada keluarga Allahyarham.

Berita lanjut seperti dilaporkan oleh:

Tragedi Pembunuhan di Pulau Melaka - Kelantankini.com
Ahli perniagaan ditembak mati ketika ke masjid - Utusan Online

Takziah untuk keluarga beliau yang sudah tentu ketika ini masih trauma. Tentu Ummi dan Ayah terkejut dengan peristiwa ini kerana mereka juga mengenali mangsa. Ayah juga sempat berbual dengan beliau selepas solat Maghrib tadi.

KakChik
Teratakku, 1.08 pagi
Tak dapat tidur - terbayang-bayang... bagaimana keadaan keluarga Arwah? Hanya Allah Yang Maha Tahu. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Tenangkanlah jiwa...

Edit 28/09/2008: Gambar sekitar tempat kejadian, sila klik untuk melihatnya.

26.9.08

Sepagi di Pasar Kota Jembal

Salam pagi yang cerah dan indah untuk semua pengunjung.

KakChik sebenarnya baru balik dari pasar ni. Dengan tangan yang sembab dan bengkak ni KakChik terasa rajin pula nak menulis kat ruangan blog ni. Tangan jadi macam tu bukan sebab sakit ke apa, tapi sebab mengangkat raga sayur yang berat tadi.

Hari ni KakChik temankan Cik Abe membuka gerai (buat pertama kalinya) menjual biskut raya dan juga membawa Ummi membeli-belah barangan dapur. Oleh kerana Ummi kurang sihat, lututnya tak gagah sangat untuk berjalan maka KakChik jadi tukang bawa raga dan beg-beg plastik barangan yang dibeli, tu yang bengkak tangan tu... Tak apa, kejap lagi hilanglah.

Hari ini juga tercatat sejarah buat kami suami isteri. Ha.... inilah kali pertama kami merasai suasana berniaga di pasar pagi. Walaupun tadi belum ada satu pun biskut yang laku, kami optimis yang akan ada orang membelinya nanti. Buat masa ni Cik Abe suruh KakChik balik ke rumah dulu untuk siapkan baju Melayu dan kain pelikat untuk di pakai solat Jumaat nanti. Kesian Cik Abe, tinggal dia sorang di gerai tu. Dahlah hari semakin panas dan kami ni sebab takde pengalaman berniaga begitu, manalah ada payung ke apa. Yang ada cuma meja kecil saja. Semoga Allah permudahkan Cik Abe berjualan hari ni. Semoga Allah takdirkan ramai orang membeli biskut-biskut tu. KakChik bimbang Cik Abe sedih kalau jualan kurang nanti. "Good luck Yang... May Allah helps you today and forever."

Bila dah siap susunkan biskut-biskut kat atas meja, KakChik tinggalkan Cik Abe di gerai dan temankan Ummi membeli barang dapur pula. Mula-mula kami singgah membeli mentimun kampung (ala... terlupa nak ambik gambar pulak) dan tapai ubi. Makcik yang menjual tu sangat pemurah, mentimun yang segar dan besar dijual selonggok (dalam 4 @ 5 biji) RM1.00, bila Ummi beli 2 longgok, ditambah lagi beberapa biji. Ya Allah baik sungguh! Patutlah murah rezeki dia sebab pemurah dalam berniaga. Dah tu, tapai ubinya sebungkus sebesar plastik sekilo gula berharga RM1.00 juga. Banyak tapainya tak seperti tapai ubi yang kami beli minggu lepas di gerai lain. Itulah makcik-makcik Kelantan yang berjualan kecil-kecilan tapi pemurah sangat-sangat. Tinggallah dulu timun dan tapai kat gerai tu nanti kami ambil dalam perjalanan balik.

Kami berjalan lagi menuju tempat jualan daging lembu. Wah.... banyaknya daging hari ni. Kalau minggu lepas Pakcik daging tu hanya jual 2 batang kaki lembu (mesti penuh daging la...) minggu ni dah jadi 4. Barangkali sebab beberapa hari lagi kita akan beraya, hari ni orang akan pakat-pakat beli daging untuk buat macam-macam. Kami pun singgah juga sebab Ummi nak beli 2 kilo daging (RM16 sekilo) dan sedikit perut kitab (gambar kanan) untuk dibuat sup pencicah (kegemaran keluarga ni... rebus perut tu sampai masak, masukkan kuah sup, taburkan bawang goreng, daun sup, sambal jantan dan perah limau nipis, ummph sedap sungguh). Nasib kami baik kali ni, masih ada sedikit perut kitab. Kalau minggu lepas, masa yang sama semua dah habis. Minggu ni kami habis RM38 ringgit untuk daging dan perut kitab. Nampaknya malam nanti kami makan sedap... hari KakChik akan berbuka di rumah Ummi, yelah semalam sibuk berpindah tapi masih ada barang di rumah sewa tu. Barang yang besar-besar yang perlu diangkut dengan lori. Kotak-kotak buku dan pakaian juga barangan kecil kami bawa dengan Kenari je. Letih sungguh pindah rumah dalam bulan puasa ni. Sekali ingat sedapnya kalau dapat minum sirap lepas siap angkut barang semalam... isyh, isyh tak baik... puasa ni...

Jalan lagi dan kami singgah pula di Kedai Emas Azrain sebab Ummi nak mengambil gelang Adik dan rantai leher Amreena yang dibaiki. 2 minggu sebelum ni kami dah hantar ke situ. Kedai emas ni taklah besar dan suasana dalam kedai pun bukanlah cantik sangat tapi pelanggannya tak pernah putus. Ummi kata tuan kedai tu ada kedai lain di Kota Bharu. Kedai yang ini hanyalah dibuka pada hari Jumaat. Patutlah dekorasinya sempoi saja. KakChik ambil peluang melihat-lihat pelbagai aksesori wanita daripada emas yang menarik perhatian. Nasib baik KakChik ni jenis tak gemar barang kemas, kalau tak barangkali dah banyak yang KakChik beli. Barang kemas KakChik hanyalah pemberian Cik Abe sejak awal perkahwinan lagi iaitu seutas rantai tangan, sebentuk cincin, 2 pasang subang dan seutas rantai leher yang panjang (yang ni dah jual buat modal bisnes). Semuanya dipakai sejak 6 tahun berkahwin. Kalau Cik Abe nak belikan yang baru KakChik tak mahu, cukuplah kalau sekadar nak berhias.

Sementara menanti urusan Ummi dengan tuan kedai selesai KakChik ambil peluang mengambil beberapa keping gambar suasana di hadapan kedai emas tu. Masa tu lebih kurang pukul 9, orang pun dah semakin ramai dan cabang 3 Kota Jembal dh mula jem (bukan yang makan tu...). Dari dalam kedai emas KakChik boleh lihat macam-macam jenis orang berjualan dan barangan jualan mereka pun macam-macam. Seronok melihat-lihat gelagat masyarakat kita yang datang ke pasar. Ada makcik tua bongkok 3 membawa pelbagai barang belian di tangan kiri dan kanannya siap dengan seberkas daun ketupat palas. Sehari dua lagi orang dah mula buat ketupat palas ada yang ketupat lemak manis ada ketupat tawar. Tapi KakChik 'tok berehi... makanan berminyak atau yang manis-manis'. Walaupun kami orang Kelantan, keluarga KakChik jenis yang kurang manis.

Pagi-pagi pun dah ada orang menjual kuih. Kalau ikut undang-undang PBT untuk pasar Ramadhan, kuih-muih hanya boleh dijual selepas jam 3 petang. Tapi mungkin makcik penjual kuih di kampung ni tidak tahu dan berjualan juga. Setakat yang KakChik lihat ada beberapa orang kaum ibu yang membeli kuih untuk anak kecil yang mengikut mereka ke pasar. Harap-harap tak adalah orang yang tak puasa dan mengambil kesempatan membeli kuih-muih tu...

Selepas urusan di kedai emas selesai, kami ke tempat makcik sambal daging (serunding) pula. Mahal juga serunding sekarang ni. Satu kopi (lebih kurang saiz mug minuman biasa) harganya RM5 untuk daging elok. KakChik tak dengar berapa harganya untuk daging import sebab kereta lalu kat belakang kami, bising. Ummi suka makan serunding dengan nasi terutama bila selera kurang semasa bersahur. Serunding jadi penambah selera. KakChik makanlah juga tapi tak suka sangat kecuali diratah begitu saja.

Hmmm... kalau datang ke pasar ni boleh kurus banyak % puasa ni. Tengok depan orang jual buah, tengok kiri orang jual kuih, tengok kanan orang jual kain baju, tengok tepi orang jual macam-macam. Kalau tak rancang betul-betul banyak yang akan TERBELANJA nanti. Lepas beli serunding RM5 kami beli bula taugeh kontot (gemuk, pendek, segar... cute sangat tapi KakChik tak suka... tak tahan bau taugeh). Satu kopi RM1.00 saja. "Eh, ngapa adik penjual tu tak licinkan taugeh yang dalam bekas tu masa nak masukkan dalam plastik, tak jujur macam tu dik... sepatutnya kena licinkan sebab sukatannya satu kopi penuh. Bukan kami berkira pun tapi berniaga kenalah jujur seperti yang Nabi Muhammad s.a.w ajar."

Kami jalan lagi meredah orang yang semakin ramai. Adoi... lenguhnya tangan menjinjit raga yang berisi daging ni. Nanti nak isi barangan lain pula. Kami nak ke tempat orang jual barangan runcit pula. Rupanya makcik peniaga adalah kawan Ummi. Murah dengan senyuman dan ringan tangannya menimbang dan membungkus barang. Cuba nak ambil gambar elok dia sedang bertegur-sapa dengan Ummi tapi makcik ni bergerak tak henti-henti, semua gambar yang diambil, dia dalam keadaan memalingkan muka. Gambar ni pun kira jadilah.

Di sini kami membeli bawang besar sekilo, bawang merah sekilo, rempah ratus, telur dan klorox. Kalau kami jalan lagi kami akan sampai ke depan SMK Raja Sakti iaitu satu-satunya sekolah menengah di mukim ini. Malaslah nak jalan lagi. Ummi suruh pergi simpan dulu barang dalam kereta, dia nak pergi beli sayur sikit. Katanya dia boleh jalan pelan-pelan. Sayur dia larat lagi nak jinjit. KakChik pun jalanlah terhegeh-hegeh menjinjit raga yang berat di tangan kanan dan sepapan telur (betul ke panggilan dia ni?) di tangan kiri. Beginilah kerja surirumah kalau ke pasar. Patutlah ada ustaz yang sarankan suami yang keluar membeli barangan dapur sebab beratnya, ya Allah.

Sebab dah berat sangat kakChik singgah di gerai Cik Abe. "Yang, Yang tolong hantar ke kereta, biar Nor yang jaga gerai sekejap. Boleh lah Yang... lenguh!" Nasib baik Cik Abe kita baik, dia hantarkan barang-barang tu ke kereta dan tolong pusingkan kereta menghadap jalan keluar. Masa parking tadi KakChik parking ikut sempat je. Kejap aje Cik Abe datang dan lepas tu KakChik pergi cari Ummi dan ambil barang yang dibelinya. Nampaknya semuanya ringan-ringan saja. Penyapu sebatang, sayur seplastik, buah duku tahi ayam (maaf la, itu la namanya) sekilo, dan beberapa alatan dapur yang kecik-kecik. Ummi rehat sekejap di gerai kami sebelum kami balik ke rumah. Dalam berjalan ke kereta tu sempat lagi Ummi singgah beli beberapa sikat pisang kebatu (tak tahu nama suratnya) dan pisang berangan. Mesra dan baik sangat pakcik jual pisang. Pisang pun murah, RM1 untuk 7 biji. Kalau beli di Kota Bharu, hanya 5 biji pada harga yang sama. Sebab tulah Ummi beli banyak, lagipun Ayah suka makan pengat pisang atau sira pisang semasa berbuka. Ayah sorang je yang suka makanan manis tapi tu pun dia hanya suka makan untuk berbuka saja. Biasanya Ayah makan pengat campur dengan nasi atau pulut. Kalau takde pengat atau sira, Ayah takde selera.

Dah tu kami pun baliklah... tinggal Cik Abe sorang-sorang di gerai biskut. Tak tahu macamana rezeki kami hari ni? Moga-moga Cik Abe sabar kalau tak ada yang laku. Ini pengalaman pertama. Kalau ada orang beli, syukur alhamdulillah.

Pukul 11.15 Cik Abe telefon suruh pergi ambik dia. Sedih... takde yang laku. "Hari ni bukan rezeki kita Yang, sabarlah..." Kita cuba lagi lain kali. Pukul 12 kami tutup kedai dan KakChik sempat membeli 5 kilo beras untuk disedekahkan. Itulah hajat KakChik. Selamat tinggal Pasar Kota Jembal, walaupun tiada rezeki kami hari ni, insya-Allah kami akan datang berjualan lagi di masa depan. Tapak sudah ada... hanya tunggu kami sama ada rajin atau tidak menyahut cabaran sendiri. Wallahua'lam.

KakChik
Teratakku, Kg. Pulau Melaka
Untuk: keluargakusayang.blogspot.com

25.9.08

Persahabatan di Alam Maya

Bismillah...

Allah telah mengurniakan kita banyak kemudahan yang apabila dimanfaatkan sebaiknya akan memberikan faedah yang berbagai-bagai. Perasan atau tidak dunia dari sehari ke sehari semakin luas. Kalau dulu KakChik ingat luasnya Negeri Kelantan, apabila buat pertama kali menaiki kereta dari rumah ke Kota Bharu. Kemudian KakChik rasa luasnya Malaysia ini apabila telefon dipasang di dalam rumah dan KakChik boleh berhubung dengan sanak-saudara yang tinggal di Kuala Lumpur. Kemudian perasaan ini makin dirasai apabila belajar di Matrikulasi di Ipoh seterusnya ke universiti di Pulau Pinang. Luasnya negara kita... hinggakan Kakchik boleh berkawan dengan ramai kawan dari hampir seluruh negeri di Malaysia. Sejak KakChik mula mengenali Internet (mungkin sejak di tingkatan 5 apabila mula menggunakan Hotmail), dunia KakChik semakin luas.

Dulu KakChik ingat hanya melalui buku KakChik dapat merantau ke mana-mana saja mengikut suasana yang diceritakan di dalam buku. Kini KakChik sedar, dunia ini sememangnya amat luas! Tidak terjangkau oleh seorang insan kerdil seperti diri KakChik.
"Yang, tengok ni... Ini kawan Nor dari Indonesia, ini pula kawan dari Turki... ada ramai lagi Yang...", cerita KakChik kepada Cik Abe bila dia nampak KakChik dari pagi hingga tengah hari dok menghadap komputer berhubung di alam maya.
Sebenarnya KakChik berukhuwwah melalui alam maya.

Bukankah kita disarankan agar meluaskan pergaulan terutama membina silaturrahim atau persaudaraan Islam. Atau ada juga panggil ukhuwwah fillah. KakChik amat-amat menghargai persahabatan. Bagi KakChik sekali kita berkenalan kerana Allah, kita telah bersahabat dan persahabatan kita adalah berpanjangan. Selagi ia tidak melalaikan selagi itu pertalian itu akan KakChik hargai sebaiknya.

Kalau masa di sekolah dulu, KakChik ramai kawan baik yang kini semua menjadi insan berjaya seperti Dr. Wan, Dr. Marini, Dr. Siti Raihan, Syusi, Cikgu Mahani, Cikgu Jijah, Dr. Shimah, Cikgu Fa, Dr Chueda, Cikgu Aya, Ninie, Tan Yok Mui (sekadar menyebut beberapa nama) hingga kini masih lagi berhubung melalui emel dan juga telefon. Kalau di USM sahabat KakChik bertambah lagi dengan hadirnya Cikgu Jida, Sakinah, DikMaz, Cikgu Na, Cikgu La (isteri SU Politik MB Kedah), Dr Lily, Camay (Susuibu.com), Cikgu Azu, Cikgu KakNi, Cikgu Fatni, Cikgu Mila, Cikgu Shah, Niza, CikMa, Cikgu KakMar, Dr Karimah (satu kumpulan usrah dari Matrikulasi) yang hampir kesemuanya masih dihubungi walaupun tidak kerap sangat. Ada juga yang sudah lama tidak berhubung namun berita mereka ada juga sampai.

Hari ini Internet telah meluaskan persahabatan KakChik dengan kenalan jauh dan dekat tanpa mengira usia. Ada yang dikenali kerana minat yang sama, ada yang dikenali melalui kawan atas kawan, ada juga dikenali kerana penulisan mereka, ada yang dikenali kerana kunjungan mereka ke laman peribadi KakChik. "Oh, Tuhan... alangkah hebat kuasaMu membolehkan aku membina jambatan ukhuwwah yang sebegini besar... Subhanallah."

Hari ini ada teman yang baru dikenali telah menghadiahkan sekeping kad hari raya, terasa gembira sekali dan KakChik merasakan perkenalan yang singkat itu akan bertambah erat di masa-masa akan datang. Terima kasih Tirana di atas kad yang bermakna. Sudah ramai yang semakin rapat seperti ady, zaki, ni'mah, kaknor, syam, chemekmolek, etik, adah (sekadar menyebut beberapa nickname) yang jauh di mata tapi dekat di hati.

Semoga kita dapat menjaga dengan baik persahabatan kita agar ia menjadikan kita insan yang lebih dekat dengan Allah SWT bukannya menjauhkan. Carilah kawan seramai mungkin kerana dengan berkawan kita dapat menambah ilmu, kita dapat berkongsi ilmu, kepandaian mahupun kemahiran. Dengan berkawan kita meneliti diri kita, menambahkan kemahiran berkomunikasi, meningkatkan kemahiran berbahasa dan menulis, memahami kepelbagaian watak-watak manusia.

Seronok sebenarnya berkawan ni! Keseronokkan yang boleh menjadikan kita pengguna tegar Internet. Persahabatan di alam maya, jasa baik Blogger, Wordpress, Multiply, Youtube dan lain-lain (terlalu banyak talian yang boleh menghubungkan hingga kepalaku pusing juga...).

KakChik: entah apa-apalah yang ditulis ni... macam boring je

Kalau Rajin Membaca, Kita Jadi Orang Berguna

Assalamualaikum untuk semua pengunjung budiman.

Sekadar nak mengkhabarkan, BANYAK buku baru sampai di MariBaca. Kalau tak mahu ketinggalan membacanya atau boleh juga sekadar melihat-lihat, silalah ke laman multiply KakChik di alamat di bawah.

http://maribaca2u.multiply.com

KakChik tahu ramai juga kaki buku yang singgah di sini. Silakan...

Sebelum berundur, khas untuk semua:


Get Hari Raya Graphics Here

24.9.08

Dunia Canggih, Mengaji Quran di Internet.

Dengan nama Allah Yang Maha Pencipta, yang menciptakan makhluknya yang bernama manusia yang pintar menggunakan ilmu mereka maka terciptalah pelbagai kemudahan untuk sekalian ummat manusia.

Subhanallah...

Hari ini seorang rakan telah memanjangkan satu email yang mengandungi satu 'link' yang sungguh menarik sekali. Biasanya KakChik jarang nak klik pada mana-mana 'link' yang dihantarkan melalui email. Maklum saja sekarang ini bermacam-macam penyakit atau virus yang bersembunyi di sebalik email-email. Walaupun yang menghantarnya adalah kenalan rapat.

Tapi kali ini lain sungguh, bila lihat saja 'link' tu KakChik tanpa fikir panjang terus saja menekan tetikus di atasnya... dan pop! keluarlah satu laman web yang seperti di kanan tu. Laman kitab suci al-Quran yang boleh dibaca sendiri, boleh dibelek sendiri helaian-helaiannya. (Untuk lihat full page KakChik tekan butang F11 pada laptop). Mungkin orang lain sudah lama tahu mengenai laman web ini, tapi rezeki KakChik mengenalinya pada hari ini. Terima kasih Anees kerana menghantar email pasal laman ini. Seronok melihat helaiannya yang serupa langsung dengan al-Qur'an yang baru KakChik baca tadi. Dalam gambar tu halaman terakhir KakChik baca selepas solat Zohor tadi.

Katalah kita pergi ke mana-mana tapi kita terlupa nak bawa Qur'an dan kat situ ada pula talian Internet, maka mudahlah kerja kita. Buka saja laman web ini dan teruslah membaca al-Qur'an. Lagipun zaman sekarang ni dah meluas penggunaan Internet. Kalau tak ada dial up guna streamyx atau kalau kaya sikit, boleh aje guna broadband. Tak ada alasan untuk tidak membaca al-Qur'an. Untung orang zaman sekarang, Qur'an berada di mana-mana saja, cuma rajin atau malas saja.

Selain dari boleh baca full page macam gambar atas tu, laman tersebut juga boleh dilihat dalam gambaran lain dengan hanya menekan butang more options di bahagian atas. Kita boleh lihat paparan yang lebih kompak dengan beberapa pilihan butang. Seronokkan? Background pun boleh ditukar mengikut pilihan kita... cantik-cantik pilihan backgroundnya.

Mudah sungguh nak baca Qur'an kan? Terima kasih banyak kepada orang yang membangunkan laman web tu. Besarnya ganjaran pahala untuk mereka yang memudahkan orang untuk membaca Kitab yang mulia. Alangkah cemburu KakChik dengan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu mereka dan kebolehan mereka memikirkan kemudahan ini. Moga Allah membalas jasa baik mereka dengan ganjaran yang setimpal.

Silakan selalu-selalu berkunjung ke : http://www.quranflash.com/en/quranflash.html

23.9.08

Qur'an, Buku dan Ramadhan

dan Assalamualaikum untuk semua pembaca yang sudi berkunjung, semoga hari kita dipenuhi dengan amalan yang berfaedah kepada diri dan juga orang lain.

Sudah acapkali KakChik terfikir-fikir nak tulis sesuatu pasal hobi kesayangan KakChik tapi seacapkali itu jugalah KakChik jadi tak tahu nak tulis apa. Buntu saja... dan kadang-kala rasa malas pula nak ceritakan kat orang lain pasal tu.

Kira macam nilah, KakChik tulis saja apa yang terfikir di minda sekarang ni dan ikut saja rentak jari-jemari ni menaip.

Hari ni dah masuk hari ke-23 Ramadhan bermakna kita sekarang berada di 10 terakhir Ramadhan yang mana di waktu ini KakChik akan cuba berusaha lebih gigih untuk mengkhatamkan Qur'an. Oleh kerana baru habis ber"cuti" KakChik baru sempat menghabiskan hingga ke juz 17. Insya-Allah akan berusaha juga sambil-sambil meneliti terjemahan ayat-ayat al-Qur'an. Cemburu juga dengan rakan yang sudah pun menamatkan bacaan mereka dan boleh pula memulakan sekali lagi. Itulah kelebihan mereka...

Mengikut cerita Ust. Zainuddin Ismail (Mudir MML) dalam satu ceramah petang semalam, ada orang yang berusaha khatam Qur'an sebanyak usia mereka iaitu jika 64 tahun, 64 kali khatam dan ada juga yang telah khatam lebih 80 kali walaupun usianya 69 tahun. Kagumnya dengan mereka tu. KakChik teringin nak khatam Qur'an sebanyak 34 kali sama dengan umur KakChik tapi mampukah diri ini? Ada juga berangan-angan nak khatam dua bulan sekali di bulan-bulan biasa tapi setakat ini tak pernah berjaya. Betul kata Ustaz, tipulah kalau kata orang umum macam kita ni boleh khatam Qur'an dalam bulan-bulan lain macam dalam bulan Ramadhan. RUGI kalau tak cuba khatam dalam bulan penuh berkat ini. Bagi orang perempuan mungkin agak sukar kerana ada masanya mereka terpaksa ber"cuti" dari solat, puasa malah membaca al-Qur'an, tapi bagi orang lelaki KakChik rasa mereka lebih mampu melakukannya. Doa KakChik agar semua lelaki (terutama Cik Abe) dalam keluarga KakChik, semua lelaki kenalan KakChik akan berjaya khatam sekurang-kurangnya 2 kali dalam bulan ini. Semoga Allah permudahkan kita semua.

Satu perkara yang KakChik perasan, dalam bulan Ramadhan ni KakChik paling banyak membaca buku. Setakat ini KakChik sudah menghabiskan 4 buah buku iaitu:

1. Life Is An Open Secret 2. You've Got To Read This Book 3. Kenapa Bisnes Gulung Tikar dan 4. Kemanisan Beribadah

Sekarang ni sedang membaca beberapa buku termasuklah:

1. Nota Kepada Diri
2. Holly Would Dream
3. Ten Things I Hate About Me
4. Manikam Kalbu (yang ditangguhkan dulu sebab kena 'concentrate' betul-betul)
5. Kemuncup Dalam Perjuangan

Sudah lama KakChik tak mampu habiskan sebuah buku dalam masa sebulan. Kalau membuat rujukan tu biasalah guna banyak buku, tapi menghabiskan sebuah buku dari kulit depan hingga kulit belakang, memang sudah jarang dapat melakukannya. Tapi ajaib! Bulan ini saja sudah 4 buah dibaca... betul-betul Ramadhan yang penuh hikmah. Kat atas tu susunan buku fiksyen yang belum dibaca dan sedang dibaca. Mungkin kena tangguh pembacaannya lagipun buku tu semuanya sampingan saja untuk mantapkan bahasa Inggeris dan untuk kemudiannya disewakan.

KakChik sebenarnya baca macam-macam buku. Kadang-kadang kalau tengok buku di pameran 'New Arrival' di Popular KB, KakChik beli je walaupun belum tentu dapat terus dibaca. Tambah-tambah kalau ada diskaun 20% atau 25% untuk ahli. Di KB ni hanya itu saja kedai buku yang menjual buku-buku yang lain sikit dari SMO, Pustaka Sri Intan atau Kedai Buku Banggol (kedai buku berangkaian paling banyak di Kelantan). Lagipun KakChik pun suka baca buku berbahasa Inggeris yang tak banyak dijual di ketiga-tiga kedai tu. Biasanya di Popular KakChik banyak beli novel sebab nanti boleh ditambah koleksi buku sewa di MariBaca tu. Kalau buku motivasi, bisnes, pengurusan dan pendidikan, KakChik suka buku-buku PTS, haaaaa yang ni tak payah beli dengan kedai lain sebab MariBaca pun menjualnya. Lagipun MariBaca hanya menjual buku-buku terpilih saja....

KakChik amat bersyukur kerana dikurniakan Allah dengan pekerjaan di sebuah perpustakaan yang sudah semestinya dipenuhi pelbagai jenis buku. Ibarat syurga dunia bagi KakChik. Terlalu banyak buku yang KakChik berkenan untuk dibeli sebagai koleksi peribadi gara-gara membacanya di perpustakaan ini. Terima kasih kepada Dato' Pengarah yang sudi mengambil KakChik bekerja di sini sejak 2000 dulu. Mungkin sebab keserasian kami yang memang hantu buku... hehehe. Sekarang ni kerja KakChik mengemaskinikan data-data buku yang telah dikatalog secara manual ke dalam Sistem Maklumat Buku yang baru. Sambil tu KakChik perlu 'review' buku-buku terpilih untuk direkomen kepada pengunjung. Inilah yang KakChik suka... dapat membaca. Kemudian kena buat senarai buku-buku yang ingin dibeli untuk Perolehan terkini bulan depan, boleh layari internet ke kedai-kedai buku online untuk membuat pilihan... seronoknya.

Ya Allah, mohon Engkau permudahkan aku dalam menghayati hobiku ini.
Ya Allah, mohon Engkau permudahkan aku berkongsi keseronokan ini dengan orang lain.
Agar membaca terus menjadi kegemaranku dan juga kegemaran orang lain.
Ya Allah, mohon permudahkan aku dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan yang aku perolehi dari gedung ilmuMu.
Ya Allah, mohon perkenankan doaku.

KakChik
Dar Nur al-Zahra'

21.9.08

Duhai hati, maafkanlah mereka...

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan untuk sesiapa yang membaca tulisan ini.

Pernah tak anda mengalami situasi di mana ada sesuatu peristiwa yang menaikkan nama syarikat atau organisasi anda dan hanya gambar anda seorang yang keluar sama ada dalam akhbar atau majalah? Lepas tu rakan-rakan sekerja mulalah berkata seperti,

"Tok acilah lagu nih... muko dio soghe jah keluar. Tok panggil doh kito maso amik gamba."

Nadanya... nada menyindir... Kita pun jawab,

"Hok sebenarnya saya dah pesan jange amik gamba saya, kalau nak amik juga, amiklah gambar sumo staf. Maah la deh, sebab wartawae tu meme tok tanya sangat pasa staf, pah tu dio tok mitok pun nak amik gamba, tokke lah saya nok sughuh pulok..., cukuplah saya ceghito pasal library kito jah..."

Ingatkan perkara ni dah selesai di situ, rupa-rupanya ayat yang sama diulang-ulang banyak kali. Dah tu asyik sengaja diucap kuat-kuat di hadapan orang lain. Akhirnya hati yang OK dah mula menjadi sakit. Bukan hati orang lain, tapi hati KChik lah. Ini semua gara-gara gambar kecik yang keluar dalam suratkhabar semalam.

Kalau diikutkan hati, baik tak payah keluar gambar tu tapi semua tu kerja wartawan nak masukkan. Lagipun kalau kita baca berita tentu nak tahu kan siapa yang wartawan tu temuramah untuk dapatkan maklumat. Yelah, bukan kehendak KChik gambar tu keluar. Nasib baik kecik, kalau besar... tak tahulah ayat yang macamana yang KChik akan dengar. Tak mahu fikirlah...

Kadang-kadang perkara sekecil inipun nak diungkit-ungkit. Sakit sungguh hati KChik. Bila dah beberapa kali diulang, KChik pun kata,

"Tolongla... bo lah dok sebutnyo. Buke Chik nok pun masuk paper tu... Lain kali kalu ado oghe nok interviu, bo lah sughuh Chik nyo."

KChik pun angkat kaki masuk ke pejabat. Tak larat nak dengar dan tak mahu tambahkan sakit hati. Alhamdulillah, bila dah mula mengadap kerja, hilang dah perkara tadi. Banyak buku yang nak kena baca dan buat 'review'. Lebih baik selesaikan kerja daripada melayan hati yang sakit. Walaupun takde sapa yang minta maaf, KChik maafkan saja...

Hati pun senang...

Hari ni datang kerja, masing-masing buat macam biasa... Perkara semalam sudah pun dilupakan. Baguslah, barulah dapat bekerja dengan selesa. Alhamdulillah. Moga-moga hati KChik akan lebih mudah memaafkan rakan-rakan. Duhai hati, jadilah engkau husnul khotimah.

18.9.08

Ummi, Ayah, Cik Abe & Rumah Baru

Assalamualaikum dan salam Ramadhan.

Pagi tadi KakChik dengan Cik Abe pergi bersahur di rumah Ummi. Kami bawa sebiji kek keladi (lebihan yang dijual Cik Abe di pasar Ramadhan Peladang). Semua yang makan, kata kek tu sedap... nampaknya hari ni bolehlah Cik Abe tambah bilangan kek yang dijual. Dia borong kek-kek tu dari sebuah kedai kek di Beris, Bachok. Baru sekejap Cik Abe bertolak ke Panji untuk buka gerai. KakChik doakan hari ni jualan Cik Abe bertambah baik. Dia sedang semangat tu...

Sahur pagi tadi kami makan nasi berlaukkan sup ayam, ikan percik, dan daging goreng kunyit. Pencuci mulut pula pengat ubi keledek, sira tapai, kek keladi dan cendol. Banyakkan. itulah kalau berbuka atau bersahur di rumah Ummi. Macam-macam yang Ummi sediakan. Walhal bukan semuanya habis. Kata Ummi, tak apa... sebab nanti berbuka boleh makan lagi. Itulah Ummi KakChik.

Semalam kami berdua diserang sakit perut sejak tengah hari. Tak taulah apa yang kami makan hingga kami berebut bilik air. KakChik cek dengan Ummi, Ayah dan Adik, makanan apa yang berbeza yang kami makan... semuanya sama je. Tapi kami aje yang diserang... hari ni pun masih ada lagi saki-bakinya. Nasib le... dah lah kat rumah ni masalah air belum selesai, kami pulak macam ni... harulah jugak.

OK, berbalik ke rumah Ummi, selepas Subuh tadi KakChik sempat menghabiskan 3 bab modul CDCA Information Technology & Application (esok pagi ada tutorial) sambil-sambil tunggu Cik Abe balik dari masjid. Nak masuk bab 4, mata dah mula layu... lampu ruang tamu rumah Ummi pula malap saja. Mata mana yang dapat bertahan. Syukur... berjaya juga habiskan 3 bab. Tutorial esok kira bersedialah juga.

Bila semua dah balik dari masjid, hari pun dah pukul 7 lebih. Orang yang kerja buat rumah KakChik pun dah datang. Kami ramai-ramai ke belakang rumah Ummi nak tengok rumah KakChik yang sedang dibina. Nampaknya mereka sedang bina pelantaian untuk tingkat atas. (Gambar kanan) Nampak tu Pak Muda kat atas tu... Ayah kat bawah sedang bagi arahan. Itu ruang dapur dan bilik air bawah.

Ayah dok tanya, kat mana KakChik nak dia bina tangga ke tingkat atas. Pelan asal kami nak bina dekat dengan ruang dapur, alih-alih rasa sempit pulak, akhirnya KakChik cadang buat aja sebelah 'sliding door' pintu utama. Almaklumlah buat rumah di tanah sekangkang kera je, kenalah 'berjimat-cermat'. Tu sebelah kiri tu gambar tapak tangga kamilah tu. Cik Abe tu olok-olok je pegang penyodok simen tu... Ayah jadi mandor sambil pak Muda (adik Ayah) tengok Cik Abe dok berlakon. Haa... kat situlah nanti akan dibina tangga. KakChik bercadang nak ambil gambar bakal ruang tamu kami tapi tak pandai nak ambil 'angle' yang baik. akhirnya gambar tak menjadi. Masih banyak bahan pembinaan yang tersusun menyebabkan susah sikit nak ambil gambar.

Ruang dapur, bilik air bawah, bilik tetamu dan ruang makan, semua dah bina kat bawah. Yang belum bina ialah ruang tamu. Dari kiraan kasar kakChik rumah kami tu ukurannya lebih kurang 20' x 60' je. Tu agakan Kakchik je... mungkin lebih kecik dari tu. Ruang tamu kami lebih kurang 20' x 20' - tempat sofa dan almari buku - yang juga ruang meraikan tetamu. Insya-Allah nanti nak terima ramai tetamu sebab rumah yang sering menerima tetamu berkat. (Betul ke?)

Tu semua gambar yang rakam pagi tadi menggunakan Nokia 6120C. Boleh tahanlah juga telefon ni. Palang-palang kayu dan kekotak simen masih belum ditanggalkan sebab simen yang dibuat semalam masih basah lagi. Mungkin esok akan ditanggalkan dan barulah boleh dimulakan untuk simen tiang-tiang dinding di bahagian atas. KakChik tulis aje apa yang Ayah cakap ni sebab KakChik pun tak tahu bagaimana proses yang sebenarnya. Semua serah kat Ayah. Ini bidang dia.

Agaknya tahun ni tak sempat siap rumah kami tu. Banyak lagi nak kena buat. Duit pun bukan banyak sangat. Lagipun Ummi yang banyak belanja untuk rumah tu. Sekarang ni tingkat bawah hampir siap, cuma ruang tamu yang belum dibina sebab ada beberapa bahagian dinding asal perlu dirobohkan. Lupa nak tulis, tempat kami bina rumah ni asalnya ruang berbumbung untuk menjemur kain. Sempitkan. Agaknya bila dah siap nanti rumah ni 'cute' sangat.

Rumah KakChik kalau tengok dari depan memang tak nampak sebab terlindung oleh rumah Ummi. Kat atas sekali ada gambar rumah keluarga kami yang ceria dengan bunga-bunga Ummi. Ummi ni suka menanam. Yang paling dia suka pokok bunga kertas. Cik Abe kata rumah Ummi ni macam Cameron Highland... dia cadang suruh Ummi buat kolam ikan pula. Tapi sekarang ni Ummi kurang sihat, nak membuang rumput-rampai di celah pokok bunga pun dia dah tak larat. Sejak Ummi sakit, selalunya Ayah atau Adik yang siramkan pokok-pokok tu.

Ummi pun ada menanam sayur-sayur kampung terutama yang nak digunakan sebagai rempah masakan. Yang paling banyak ialah pokok cili, keluarga kami memang sukakan sambal. Selalunya sambal ni dibuat mengikut kesesuaian lauk. Kata Ummi pokok cili dia subur tapi baru-baru ni diserang penyakit, buah yang dah besar tiba-tiba jadi buruk dan jatuh. Itu cili hijau tapi cili padi masih elok.

Pagi tadi tu sempatlah kami anak-beranak ambil angin di sekitar rumah sambil tengok-tengok pokok yang banyak dan pohon bunga kertas yang sedang berbunga mekar sekarang ni. Pernah ada orang datang nak membeli pohon bunga Ummi tu sebab dia ingatkan Ummi menjual bunga. Kelakarlah juga... mungkin dia nampak dari jalan raya bunga yang sedang mekar tu.

KakChik hairan sungguh! Bunga Labina yang warna ungu tu KakChik beli sepasang. Satu KakChik bagi kat Ummi dan satu bawa balik ke rumah sewa. Yang di rumah Ummi masih subur berbunga, sebaliknya yang kat rumah ni, makin layu dan tidak berbunga lagi. agaknya sebab tak ada kawan. Kat rumah ni, itulah bunga pertama. Nampaknya bunga tu KakChik kena bawa ke rumah Ummi juga biar dia berkawan dan berlawan dengan yang satu lagi. Harap-harap lepas ni dia berbunga macam dulu.

Ceria sangat kawasan rumah Ummi dengan pokok-pokok tu. Cik Abe pun sempat ber'posing' dengan bunga-bunga Ummi. Bukan main lagi dia. Seronok je... yelah rumah pun dah nak naik setingkat lagi. Asyik tersengih memanjang... Cik Abe kata nanti biar dialah jadi tukang kebun Ummi, tolong jaga pokok-pokok bunga Ummi. Betul ke Abang ni...?

Seronok pula jalan-jalan sambil duduk-duduk melihat bunga-bunga. Terasa segar jiwa dan badan. Tambahan bulan puasa ni KakChik langsung tak ke kelas senamrobik. Dapat sedut udara segar waktu pagi ni badan pun rasa cergas saja. Mandi saja belum... hehehe.

Dalam pukul 9 pagi kami balik ke rumah sewa ni, kononnya nak bersiap ke HUSM dan BIMB tapi rancangan dibatalkan sebab masing-masing sakit perut....

KakChik
Teratakku
Pulau Melaka
Untuk: keluargakusayang.blogspot.com
Related Posts with Thumbnails