Followers

30.9.07

Akhirnya Nofi Kembali ke Semarang

Hari Rabu lepas, Nofi telah bertolak ke JB bagi memulakan perjalanannya pulang ke Semarang, Indonesia. Nofi (Norvianti Karsono), 22 ialah pengasuh (bibik) anak-anak adikku Dr.Azila.

Seingat aku, Nofi datang ke rumah kami di Pulau Melaka, dua minggu selepas Aidil Fitri 2005, bermakna dia telah menjadi sebahagian ahli keluarga kami hampir dua tahun lamanya. Walaupun Nofi datang untuk bekerja, namun keluarga kami telah mengangkat Nofi sebagai keluarga kami. Tiada layanan berbeza (lazim antara majikan-pekerja) yang kami lakukan terhadap Nofi. Alhamdulillah layanan seluruh ahli keluarga, sama ada yang tinggal di rumah keluarga atau sudah ada rumah sendiri terhadap Nofi seperti adik-beradik (dalam batas-batas agama).

Umi ialah orang yang paling rapat dengan Nofi sebab sepanjang hari mereka berdualah orang yang sentiasa sibuk menguruskan rumah dan urusan dapur. Kalau awal datang dulu Nofi bercakap Bahasa Melayu (yang agak standard), kini Nofi bercakap dialek Kelantan pelat Indonesia. Bak gurauan kami sekeluarga, kalau Nofi kena tinggal di luar Kelantan lepas ni, tentu dia susah nak berkomunikasi sebab, loghat Kelantannya.

Jun 2007, La terpaksa berpindah ke Penang mengikut suaminya yang naik pangkat dan ditukar ke sana. Bermakna ketiga-tiga anak saudaraku (Ameerah, Amreena dan Emran) dan sudah tentu Nofi akan turut berpindah. Khabarnya kehidupan La sekeluarga di Penang agak baik walaupun katanya terlalu banyak masa dihabiskan di atas jalanraya kerana jalan di Penang sering 'jam'.

Tiba-tiba Allah ingin menguji kami sekeluarga, tanggal 26 Ogos, La kemalangan bersama Ameerah, Amreena dan Nofi. Ringkas ceritanya mereka dalam perjalanan ke pasar melalui jalan berbukit yang masih basah dan licin selepas hujan. Oleh kerana belum agak biasa dengan jalan berbukit, La telah terbabas ke dalam parit di bahu jalan. Akibatnya... kemalangan. Alhamdulillah La dan anak-anak hanya cedera ringan, tapi Nofi pula sebaliknya. Patah tulang selangka, retak tulang punggung dan cedera teruk di lutut kanan. Sungguh kami sekeluarga bersedih atas musibah ini terutama memikirkan Nofi yang berhajat untuk pulang ke seberang sebelum Aidil Fitri tahun ini.

Aku, Umi dan Adik ke Penang mengambil semuanya pulang ke kampung terutama Nofi, untuk dapatkan rawatan tulangnya. Oleh kerana Ayah telah banyak pengalaman terlibat dalam kemalangan dan patah tulang, sebaik sampai di kampung Nofi dibawa berjumpa Dr Daud (bomoh patah) di Kg. Buloh Poh. Berkat kesabaran, alhamdulillah tulang Nofi dapat diperbetul kedudukannya. Nofi boleh berehat (gambar atas) di rumah kami dan dilayan seperti ahli keluarga yang sakit yang lain. Dia dah sedih bimbang lambat sembuh dan tak dapat pulang ke kampungnya, tapi kuasa Allah Maha Hebat, dalam waktu yang singkat Nofi boleh bangun-duduk sendiri, berjalan, membengkokkan lututnya, mengangkat benda-benda ringan dan pernah juga menggoreng bihun untuk Ikhwan!

Akhirnya Allah makbulkan doa Nofi untuk pulang tahun ini. Yang sedih adalah kami. Bukan senang mendapat pengasuh yang baik, menjaga aurat, banyak sabarnya dengan kerenah anak-anak saudaraku yang ramai di rumah tu (5 di bawah 8 tahun termasuk anak-anak La), dan kami berenam (Mama, C'Nah, C'Na, Aku, La dan Adik). Kami ialah sebuah keluarga yang 'meriah'.

Malam Rabu lalu sukar sekali untuk kami berpisah dengannya. Aku sempat menghadiahkan sepasang baju mini kurung untuk raya, sebuah buku Mendekati Tuhan dan sebuah album gambar kenangan keluarga. aku lihat Nofi sudah berderaian air mata. Namun, Nofi permisi juga. Selamat jalan Nofi. Jika diizin Allah, kita akan jumpa lagi.

Rumah kami

18.9.07

Khairul Ikhwan sedang melukis di pejabat aku

Aku memang selalu membawa Ikhwan ke Zahra' ni. Biasanya aku suruh dia baca buku dulu kemudian baru aku benarkan dia buat aktiviti lain. Yang selalu dia buat ialah melukis. Kat dalam pejabat aku ni dah ada 4 lukisan yang dia lukis. Rasanya Umi dia pun tak tahu.



Ini salah satu lukisan yang dilukisnya. Tajuk buah-buahan tempatan. Cantikkan?

Amreena Solat

Tengoklah si kecil Amreena ni. Lepas tengok Tok Mek sembahyang, dia pun apa lagi, ambil tempat di sejadah kono-kononnya Solat lepas tu siap dengan berdoa sekali. Baguslah, inilah latihan dari kecil.


Apa yang didoakan tu? Gambar ni diambil semasa aku ke Penang menziarahi La yang kemalangan pada 27 Ogos lepas.

Wan Farihin Mustaqim Wan Mustafa di Dar Nur al-Zahra'

Inilah anak saudaraku yang tinggal di Kuala Krai. Eii...geramnya. Pandai betul bergaya Aqim ni. Nak ikut aku ke Zahra' padahal Mama dan Wan nya ada di rumah. Seronok tengok Aqim susun buku dan melukis. Nanti kalau balik KB, boleh datang lagi ya.




Ha... tengok tu, disusun dengan kemas buku-buku tu.




Related Posts with Thumbnails